Thursday, 3 November 2022

Hutan Lipur Bukit Ayer, Kangar

Kali terakhir saya berkunjung ke Hutan Lipur Bukit Ayer sekitar 9 tahun lalu. Saya pun dah ingat-ingat lupa rupa tempat ini. Selepas bersarapan pagi di Lepak Ngopi de’ Kelulut, adik ipar mengajak kami semua ke sini - Hutan Lipur Bukit Ayer memandangkan ia berada di laluan yang sama. Bukan nak bermandi-manda pun, cukuplah sekadar melihat-lihat suasana sebab kami tak bawa persalinan. Maklumlah, tujuan asal cuma nak bersarapan di luar.

Hutan Lipur Bukit Ayer, Kangar
Kami tiba di Hutan Lipur Bukit Ayer sekitar pukul 8.50 pagi. Masih awal. Suasana agak lengang memudahkan saya untuk memotret kawasan sekitar, terutamanya kawasan air terjun.

Hutan Lipur Bukit Ayer, Kangar
Kawasan air terjun di bahagian bawah.

Hutan Lipur Bukit Ayer, Kangar
Ini pula air terjun di bahagian atas. Untuk ke sini, kita perlu mendaki anak tangga yang disediakan.

Hutan Lipur Bukit Ayer, Kangar
Air dari air terjun tadi dialirkan ke dua buah kolam mandi. Kolam mandi pertama ni mungkin untuk orang dewasa, saiz lebih luas. Kedalamannya saya tak pasti.

Hutan Lipur Bukit Ayer, Kangar
Kolam mandi kedua dengan saiz lebih kecil. Mungkin untuk kanak-kanak.

Hutan Lipur Bukit Ayer, Kangar
Di bahagian belakang sana cuma ada sebuah pondok. Nampaknya memang kena datang awal pagi kalau sesiapa yang mahu menggunakan pondok tersebut.

Hutan Lipur Bukit Ayer, Kangar
Dah sampai sini takkan tengok je air tu kan? Tergoda juga untuk celup kaki. Tak peduli pada hal saya datang sini pakai kasut. Bila lagi nak rasa kedinginan air dari air terjun unik ni. Perasan tak apa yang unik di sini?

Hutan Lipur Bukit Ayer, Kangar
Keunikan air terjun di sini, punca air sungainya mengalir dari perbukitan batu kapur yang kemudiannya berlaku proses pemendakan di bahagian dasar. Sebab tu warna dasarnya kekuningan, tak macam warna dasar sungai yang biasa kita lihat tu kan?

Satu lagi yang unik, saya perhatikan terdapatnya batuan dengan bentuk seakan bergerigi atau berlapis (boleh lihat dalam gambar di atas). Batuan begini juga terdapat di bahagian tepi sungai.

Hutan Lipur Bukit Ayer merupakan geotapak kerana terdapat geologi struktur primer dan sekunder. Saya nak cakap lebih pun bukan arif pasal geologi ni. Menurut kefahaman saya, dua keunikan yang saya nyatakan di atas itulah geologi struktur yang dimaksudkan. Mohon betulkan jika ada pakar geologi yang membaca entri saya ni ya.

Ini pun menarik juga, puisi karya Rejab F.I.

Hutan Lipur Bukit Ayer yang terletak di dalam kawasan Hutan Simpan Bukit Bintang ini sememangnya lokasi rekreasi yang sesuai untuk riadah hujung minggu bersama keluarga. Bunyi aliran air terjun dan kehijauan alam memberikan rasa tenang ketika berada di sini. Kawasan persekitaran pun nampaknya dijaga baik, tak kelihatan sampah bersepah.

Satu saja masalah di sini, tandas tidak boleh digunakan. Tertera tulisan ‘Rosak’. Tak pastilah baru saja rosak atau memang dah lama begitu. Manakala di pintu surau pula tertera tulisan yang melarang pengunjung masuk untuk salin baju basah. Yang ini mungkin sebab lokasi tandas yang agak jauh berbanding lokasi surau yang berhampiran pintu masuk. Mungkin pihak pengendali hutan lipur perlu segera bertindak bagi memudahkan pengunjung yang datang, terutamanya kemudahan tandas. Kemudahan tandas yang baik sangat penting, tak menjadi masalah sekali pun perlu bayar asalkan tandas boleh digunakan dengan selesa.

Jika kalian mahu datang ke sini, boleh buat carian ‘Taman Eko-Rimba Bukit Ayer’ di Google Maps. Berkenaan bayaran, semasa kami ke sini tiada sebarang bayaran dikenakan. Tetapi hasil carian saya sewaktu menghasilkan entri ini, ada pengunjung yang dikenakan bayaran masuk dan bayaran parkir. Saya tak pasti berkenaan bayaran kerana saya tak perasan pula sebarang notis bayaran. Notis hari Rabu tutup tu ada, jangan datang sini hari Rabu ya.





12 comments:

  1. Siap ada puisi..
    Cantik betul air terjunnya..

    ReplyDelete
  2. Menariknya air terjun kat sini. Unik struktur dia dan air pun jernih je. Jalan jalan tanpa mandi pun best ni. Celup kaki sambil menikmati permandangan pun okay.

    ReplyDelete
  3. wahh lihat kehijauan nature hutan tu mengkagumkan., ;p

    ReplyDelete
  4. Cantik air terjunnya. Unik pembentukan sungai.
    Alamak tandas tiada. Susahlah kalau rasa hendak lepas hajat.

    ReplyDelete
  5. cantiknya ya allah! tenang je.. tapi alamak spoilt betul lah bila tandas rosak

    ReplyDelete
  6. cantik dan bersih kawasannya.. tak pernah sampai lg

    ReplyDelete
  7. Cantik air terjunnya dan persekitaran nampak bersih.
    Harapnya dapat diperbaiki segera kemudahan yang rosak dan ditambahbaik mana yg perlu.

    ReplyDelete
  8. Wah cantek nya view air terjun tu.. Sesuai buat photoshoot hehehe..

    ReplyDelete
  9. Subhanallah.
    Terpegun saya melihat gambar-gambar air terjun yang sangat jernih dan cantik! Memang memukau mata yang memandang.

    ReplyDelete
  10. Seronoknya kalau dapat berenang kat sini. Tapi tu lah tandas tak best memang fail

    ReplyDelete
  11. cantiknya pemandangan. Air pun jernih.

    ReplyDelete
  12. Lor, camana nak salin baju kalau tandas rosak.
    Cantik tempatnya. Mesti sejuk air dia.

    ReplyDelete

*****
Komen kalian, bicara antara kita 😊

Saya juga boleh dihubungi menerusi e-mel | halifa02@gmail.com
*****