Wednesday, 23 August 2023

Pengangkutan Awam di Bangkok

Sewaktu kembara selama 5 hari 4 malam di Bangkok pada bulan Jun / Julai lalu, saya dan Encik Suami bergerak ke sana sini dengan menaiki beberapa jenis pengangkutan awam. Dalam entri ini saya cuba senaraikan semua jenis pengangkutan awam yang ada sebagai perkongsian info.

Saya kongsikan juga foto-foto berkaitan pengangkutan awam yang sempat saya rakam serta catatan pengalaman berkenaannya sebagai suatu memori. Ianya juga mungkin boleh memberi sedikit gambaran awal bagi pengembara yang mahu mengunjungi Bangkok buat kali pertama.


1. SISTEM PENGANGKUTAN REL
Terdapat 4 jenis sistem pengangkutan rel yang boleh kita naiki di Bangkok :
  • SRT (State Railway of Thailand) Red Lines
  • BTS Skytrain (Bangkok Mass Transit System)
  • MRT (Metropolitan Rapid Transit)
  • ARL (Airport Rail Link)

 SRT (State Railway of Thailand) Red Lines
Saya tiada pengalaman naik SRT Red Lines dan juga tiada sebarang rakaman foto berkaitan.


 BTS SKYTRAIN (Bangkok Mass Transit System)
BTS merupakan pengangkutan awam yang paling kerap kami naiki. Sesuai dengan namanya ‘skytrain’, rel atau landasannya terletak di atas paras jalan raya.

Pembelian tiket BTS boleh dibuat di kaunter tiket atau di mesin tiket berikut :

Pengangkutan Awam di Bangkok
Klik foto untuk paparan lebih jelas.
Kelemahan beli di mesin tiket, mesin ini hanya menerima duit syiling saja. Pilihan lain, bayar guna kod QR (kami tak pernah cuba bayar dengan cara ini). Kalau tak ada atau tak cukup duit syiling, kita boleh tukar duit di kaunter tukar syiling.

Seperkara lagi yang perlu kita tahu, mesin ini hanya mengeluarkan maksima 4 kad bagi setiap transaksi. Kalau kumpulan kita lebih 4 orang, yang lain tu boleh beli di mesin tiket lain supaya cepat urusan pembelian. Sepanjang pengalaman kami, tak pernah lagi kami perlu beratur panjang di mesin ini sebab terdapat banyak mesin tiket di stesen.

Pengangkutan Awam di Bangkok
Ada beberapa kali kami beli tiket di kaunter sebab tak cukup duit syiling. Juga tak perlu beratur panjang dan sekejap saja urusannya.

Pengangkutan Awam di Bangkok
Beginilah rupa kad BTS Skytrain bagi satu perjalanan. Sentuh kad pada mesin untuk masuk dan masukkan kad pada mesin untuk keluar.

Selain pembelian ‘Single Journey Card’ seperti ini, kita ada pilihan membeli ‘One-Day Pass’ atau ‘Rabbit Card’.

Nak beli yang mana satu? Ia bergantung kepada kekerapan kita menaiki BTS. Kami memilih beli tiket setiap kali nak naik BTS, iaitu ‘Single Journey Card’. Ini kerana kami sendiri tak pasti berapa kerap kami akan menaiki BTS dan ada ketika kami naik ARL dan MRT.

Info penting - tiada satu jenis kad yang boleh kita beli untuk kegunaan semua jenis sistem pengangkutan rel di Bangkok.

Pengangkutan Awam di Bangkok
Platform BTS Skytrain di stesen Phaya Thai.

Pengangkutan Awam di Bangkok
Suasana di dalam tren BTS. Masa ni kami dalam perjalanan menuju ke Jeti Sathorn untuk aktiviti menyusuri Sungai Chao Phraya. Nampak kosong je kan? Sebab tren baru berhenti di satu stesen dan tak ramai penumpang yang naik.

Seperkara lagi harus kita tahu, priority seat di sini diberi kepada sami Buddha, orang tua, orang kurang upaya, wanita hamil dan kanak-kanak. Dalam foto di atas, boleh nampak tempat duduk dengan stiker mereka yang layak diberi priority seat. Sesekali akan ada pengumuman peringatan berkenaan priority seat ini.

Nak info lanjut berkenaan BTS Skytrain? Boleh terus ke laman web https://www.bts.co.th


 MRT (Metropolitan Rapid Transit)
MRT merupakan sistem pengangkutan rel di bawah tanah. Kami berkesempatan naik MRT sebanyak dua kali. Tak banyak foto berkaitan MRT yang sempat saya rakam kerana orang terlalu ramai di stesen.

Kali kedua kami naik MRT pada waktu petang, orang terlalu ramai sehinggakan beberapa kali tren tiba kami masih tak dapat masuk dalam tren. Mujur kekerapan tren tiba setiap dua minit, jadinya taklah lama menunggu.

Pengangkutan Awam di Bangkok
Hanya sempat merakam foto mesin tiket ini. Pembelian tiket boleh dibuat di mesin tiket atau kaunter tiket. Barisan agak panjang jika beli di kaunter, tapi sekejap saja urusannya.


⏵ ARL (Airport Rail Link)
ARL merupakan pengangkutan rel kedua yang kerap kami naik. Ini kerana lokasi hotel bagi dua malam terakhir kami di Bangkok terletak berhampiran stesen ARL Ratchaprarop. Jadinya nak ke mana-mana yang perlu naik tren akan bermula dari stesen Ratchaprarop.

Pengangkutan Awam di Bangkok
Terdapat 8 buah stesen yang menghubungkan laluan stesen Phaya Thai dengan stesen Suvarnabhumi. Penerbangan kami balik ke Malaysia berlepas dari Suvarnabhumi Airport, memang sangat mudah cuma naik ARL dari stesen Ratchaprarop dan terus menuju ke stesen di lapangan terbang.

Pengangkutan Awam di Bangkok
Pembelian tiket boleh dibuat di mesin tiket. ARL menggunakan token, sentuh token pada mesin untuk masuk dan masukkan token pada mesin untuk keluar.

Pengangkutan Awam di Bangkok
Foto platform ARL di stesen Ratchaprarop. Setiap kali tren berlepas, pengawal keselamatan akan berdiri di tren paling depan dan memberi tabik hormat (klik foto untuk paparan lebih jelas).


2. BAS
Kami berpeluang naik bas sekali saja, iaitu semasa tiba di Don Mueang Airport untuk menuju ke stesen BTS Mo Chit. Bas yang selesa, ada pendingin hawa dan menggunakan laluan tol.

Terdapat banyak bas biasa di sini, tapi saya belum berani mencuba selain nak mengelakkan kemungkinan terperangkap dalam kesesakan jalan raya.

Pengangkutan Awam di Bangkok
Bas A2 dari Don Mueang Airport.


3. TEKSI  /  E-HAILING
Tak semua tempat mudah untuk kita sampai dengan menaiki pengangkutan rel. Nak naik bas biasa, tak berani pulak. Pilihan yang ada, kita naik teksi atau e-hailing.

Pengalaman kami, sekali naik teksi dan sekali lagi naik e-hailing Bolt. Terdapat dua pilihan e-hailing iaitu Grab atau Bolt. Kami naik Bolt sebab ia menawarkan tambang lebih rendah berbanding Grab.

Bagi perjalanan dengan pilihan laluan bertol, kita boleh pilih nak ikut jalan biasa atau laluan bertol. Caj tol tidak termasuk tambang teksi / e-hailing. Kita boleh gunakan wang tunai kita atau pemandu boleh dahulukan wangnya untuk bayar tol.


4. TUK TUK

Pengangkutan Awam di Bangkok
Kami tiada pengalaman menaiki tuk tuk. Menurut pendapat saya, tuk tuk lebih sesuai dinaiki untuk tujuan pengalaman melancong di Bangkok dan bukan sebagai pilihan pengangkutan untuk bergerak ke sana sini yang bagus. Sebaiknya kita ambil tahu berkenaan jarak dan kadar tambang yang dirasakan sesuai sebelum berunding dengan pemandu tuk tuk untuk mengelakkan rasa tertipu.


5. TEKSI MOTOR

Pengangkutan Awam di Bangkok
Kami tiada pengalaman naik teksi motor, tapi saya selalu memerhatikan mereka menunggu pelanggan di sudut tertentu jalan raya.

Berdasarkan pemerhatian saya, teksi motor merupakan antara pengangkutan awam yang banyak digunakan oleh warga Bangkok. Sebaik turun dari stesen tren, kelihatan deretan teksi motor sedia menunggu di bawah. Tak lama kemudian, satu demi satu bergerak dengan membawa penumpang. Saya lihat penumpang perempuan duduk secara sisi, macam bahaya pulak sebab jalanan di sini sesak.


6. TEKSI AIR

Terdapat pelbagai pilihan jenis teksi air di Sungai Chao Phraya dengan kadar tambang berbeza mengikut destinasi dan jenis bot dinaiki.

Memandangkan ini pengalaman pertama kami naik teksi air di sini, kami pilih naik tourist boat. Lebih mudah dapat info menerusi carian internet dan dapat naik feri yang selesa.


Nak info lebih lanjut berkenaan pengangkutan awam di Bangkok? Itu kena buat carian sendiri ya, ada banyak laman web yang memberikan info lengkap. Saya sekadar mencatat secebis pengalaman sendiri yang baru pertama kali ke Bangkok. Maaf jika ada info yang tidak tepat.






.

11 comments:

  1. Dalam banyak2 pengangkutan awam tu, saya paling tertarik dengan teksi air hehe

    ReplyDelete
  2. baru tau pasal keutamaan kepada sami buddha. tak boleh naik dan tak tengok peraturannya la kan..nanti teruk kita

    ReplyDelete
  3. pengankutan awam kat sana...boleh dipuji sbb banyak & efisyen..
    MA pernah air yg trains semua tu kecuali yg ke airport tu, taxi/ grab.memang selalu la, bas x pernah, motorsai (yg motor tu) x pernah sbb takut...diaorang bawak laju. taxi air pernah, tuk tuk pun pernah..Iris suka. ada satu lagi..lori merah (song tiaw) ni kat pekan2 kecik la..tu pun pernah MA naik....ni murah je & banyak sgt....
    seronok kan..pengalaman di negara org..alhamdulillah

    ReplyDelete
  4. rasa seram nak naik teksi motor tu,tengok video tuktuk pun macam naik rollercoster dekat funfair..memang tak kan pilih dua transport ni kan

    ReplyDelete
  5. Negara-negara jiran sebelah utara tak pernah lagi saya jejaki kaki. Hanya negara di sbelah-belah selatan sahaja.. Teringin juga nak ke Thai, Vietnam...

    ReplyDelete
  6. Susah juga tiada satu kad untuk segala jenis sistem pengangkutan rel.

    ReplyDelete
  7. wahhhh terima kasih utk info ni kan berguna ni kalau ada yg nk ke sana. Bagusla tu sentiasa ada peringatan psl siapa yg di galakkan utk duduk.... cuma kalau kene berdiri lama penat jgk tu

    ReplyDelete
  8. Transportasi di Bangkok ini memang best 👍👍. Saya sudah coba semua, termasuk taxi motor. Tapi memang yg paliiiing sering dinaikin yg pengangkutan by rel lah. Krn jangkauannya juga paling luas kan 😄👍

    ReplyDelete
  9. Keduanya dah dicubai.. Bangkok agak mudah nak bergerak darisatu tempat ke tempat lain :D

    ReplyDelete
  10. pernah guna BTS, ARL, teksi biasa, teksi air & tuk-tuk...tak naik bas sbb jln jem..

    ReplyDelete

*****
Komen kalian, bicara antara kita 😊

Saya juga boleh dihubungi menerusi e-mel | halifa02@gmail.com
*****