Thursday, 31 August 2023

Galeri Mat Kilau, Jerantut

Semasa berada di Jerantut, saya dan Encik Suami sempat mengunjungi Galeri Mat Kilau. Tak susah nak mencari lokasinya yang terletak di tepi jalan besar. Jika dari bandar Jerantut, bangunan galeri ini terletak di sebelah kiri jalan. Tertera di bahagian luar kawasan galeri - Kompleks Galeri Mat Kilau Pulau Tawar.

Kehadiran kami disambut oleh penjaga galeri ini, seorang lelaki yang ramah dan mesra. Menurut beliau, kami merupakan pengunjung pertama dari Pulau Pinang pada hari tersebut.

Jom kita tengok apa yang ada di Galeri Mat Kilau ini…

Galeri Mat Kilau, Jerantut
Beginilah rupa dalam galeri. Pengunjung akan menyusuri laluan berbentuk pusingan untuk menghayati kisah perjuangan Mat Kilau, pahlawan negeri Pahang ini.

Galeri Mat Kilau, Jerantut
Diorama pertempuran Mat Kilau dengan penjajah British.

Antara bukti penentangan Mat Kilau terhadap British - telegram bertarikh 26 Oktober 1895 mengenai kehadiran Mat Kilau di Tembeling yang menjadi ancaman kepada pihak British.

Galeri Mat Kilau, Jerantut
Keratan akhbar Utusan Melayu bertarikh 27 Disember 1969, memaparkan berita kemunculan semula Mat Kilau yang disangka telah terkorban dalam satu pertempuran pada tahun 1895.

Galeri Mat Kilau, Jerantut
Di galeri ini juga terdapat sebuah bilik tayangan yang memaparkan dokumentari Mat Kilau oleh TV3.

Lukisan potret pahlawan Mat Kilau. Saya edit sedikit dengan mengubah warna latar belakang lukisan supaya wajah Mat Kilau lebih menyerlah.

Fakta ringkas berkenaan pahlawan Mat Kilau :
  • Nama sebenar beliau - Mat Kilau bin Imam Rasu. Imam Rasu (ayah Mat Kilau) lebih dikenali sebagai Tok Gajah, juga merupakan pahlawan negeri Pahang.
  • Pada tahun 1892, Mat Kilau bersama orang-orangnya telah melakukan siri serangan hendap ke atas kubu-kubu British.
  • Pada tahun 1895, Mat Kilau telah tewas dan disangka telah meninggal dunia dalam satu serangan hasil kerjasama British dan pihak Siam.
  • Pada 26 Disember 1969, Mat Kilau (yang ketika itu dikenali dengan nama Mat Siam) muncul semula di Masjid Kampung Pulau Tawar, Jerantut dan mengisytiharkan dirinya adalah Mat Kilau pahlawan Pahang. 
  • Pada 8 Januari 1970, sebuah Jawatankuasa Menyiasat Kemunculan Semula Mat Kilau ditubuhkan. Hasil siasatan rapi, jawatankuasa menyimpulkan dan mengisytiharkan bahawa Mat Siam sebagai Mat Kilau. Pengumuman rasmi telah dibuat oleh Menteri Besar Pahang pada 6 Ogos 1970.
  • Mat Kilau meninggal dunia pada 16 Ogos 1970, iaitu 10 hari selepas pengumuman tersebut. Jenazah beliau dikebumikan di sebelah kubur ibunya di Tanah Perkuburan Islam Kedong, Pulau Tawar, Jerantut, Pahang dalam usianya lebih 100 tahun.

Walaupun hanya sebuah galeri kecil, tetapi cukup untuk kita mengenali dan mengenang Mat Kilau sebagai seorang pahlawan negeri Pahang khususnya dan Tanah Melayu amnya.

Selain membuat lawatan di galeri, kita juga boleh mengunjungi Makam Pahlawan Mat Kilau yang terletak sekitar 6.2 km dari Galeri Mat Kilau. Kami tak pergi ke makam, cukuplah lawatan di galeri ini.

Kemunculan semula Mat Kilau pada tahun 1969 mungkin tidak meyakinkan semua pihak, tetapi itu tidak menafikan sumbangan besar Mat Kilau yang telah bangkit berjuang menentang penindasan oleh penjajah British. Semangat membela maruah diri, agama dan bangsa itulah yang harus disematkan dalam diri kita.

————————————————————

GALERI MAT KILAU, JERANTUT
(Google Maps - Kompleks Galeri Mat Kilau Pulau Tawar)
Kampung Batu Rong, Jerantut,
Pahang.

Waktu lawatan :
Isnin - Khamis | 8 pagi - 5 petang
Jumaat | 10 pagi - 12 tengah hari & 2.30 petang - 5 petang
Sabtu, Ahad & Cuti Umum | 10 pagi - 5 petang

Bayaran Masuk :
Dewasa (13 tahun ke atas) - RM2
Kanak-kanak - RM1
Bawah 6 tahun - Percuma



SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN MALAYSIA KE-66 TAHUN
SELAMAT HARI KEBANGSAAN 2023 🇲🇾






29 comments:

  1. Salam merdeka Kak Ujie 🇲🇾 Besar jasa Mat Kilau menjadi pencetus inspirasi untuk orang2 Melayu bangkit dan menuntut kemerdekaan 💪🏻

    ReplyDelete
    Replies
    1. Betul sangat, tak ramai yang berani bangkit. Sangat besar jasa Mat Kilau.

      Delete
  2. Selamat Hari Merdeka puan 🇲🇾
    Besar pengorbanan nenek moyang kita mempertahankan negara. Mudah-mudahan roh mereka semuanya ditempatkan di kalangan para solihin aamiin 🤲

    ReplyDelete
    Replies
    1. Aamin.
      Mereka berjuang demi agama dan bangsa 💪🏼

      Delete
  3. Salam kemerdekaan untuk warga Malaysia.

    ReplyDelete
  4. Semoga kepahlawanannya melawan penjajah menjadi pengobar semangat buat generasi baharu melawan pelbagai bentuk penjajahan baharu.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Benar. Zaman berbeza, tetapi semangat yang sama tetap perlu ada.

      Delete
  5. Salam merdeka , jasa para pahlawan tak kan pernah terlupakan

    ReplyDelete
  6. slmt hari Merdeka
    pahlawan Melayu
    anak2 muda haruss ni tahu

    ReplyDelete
    Replies
    1. Itulah pentingnya kewujudan galeri begini. Orang muda yang tak kenal sejarah, tak akan dapat menghargai kehidupan hari ini.

      Delete
  7. Memang harus selalu dikenang jasa pahlawan seperti mereka. Museum dan galeri seperti ini menurut saya tempat terbaik untuk generasi sekarang lebih mengenal pahlawan negara.

    Selamat hari merdeka kak ujie ☺️. Saya doakan Malaysia semakin maju, dan dijauhkan dari segala macam bencana dan marabahaya. . ❤️

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih Fanny atas doanya. Doa buat Indonesia juga ❤️

      Delete
  8. Rasa bergenang air mata apabila baca tentang perjuangan Mat Kilau.
    Al-Fatihah untuk arwah yang telah bertemu Ilahi.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kalau kita membayangkan kesukaran yang dilalui beliau, memang mengundang sebak. Moga Allah menempatkan beliau di syurga atas pengorbanan yang dilakukan buat agama dan tanah air.

      Delete
  9. next time gi pahang, harus singgah jerantut plak laa... :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Harus singgah Ret, dapat rasa suasana hidup yang lebih tenang bebas sesak. Pergi pulak ke Taman Negara, dapat menikmati alam semula jadi.

      Delete
  10. Mesti seronok masuk ke Galeri ni.. Nampak gambar kelihatan menarik.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Bagi saya, galeri ni menarik sebab kita dapat info dan kefahaman tentang Mat Kilau.

      Delete
  11. Baru balik dari jerantut semalam kenapa tak tahu kewujudan galeri ni huhuu

    ReplyDelete
    Replies
    1. Akak tau pun sebab buat carian tempat menarik Jerantut di Google Maps 😄

      Delete
  12. Best ni, boleh la pergi nanti sambil ziarah uncle aunty di Jerantut

    ReplyDelete
  13. Taman Negara dah sampai, bdr Jerantut blm jejak lg...nice small town, penuh sejarah..

    ReplyDelete
  14. Semoga Allah mencucuri rahmatNya ke atas roh Mat Kilau dan para pahlawan yang bangkit menentang penjajah

    ReplyDelete
  15. Kalau ada projek sejarah boleh cari info kat sini.

    ReplyDelete

*****
Komen kalian, bicara antara kita 😊

Saya juga boleh dihubungi menerusi e-mel | halifa02@gmail.com
*****