Tuesday, 27 December 2022

Jom Ke Kompleks Pekan Rabu, Alor Setar

[Catatan kisah hari Ahad, 25 Disember 2022]

Setelah menetap di utara tanah air sekitar dua tahun enam bulan, baru kelmarin saya mengunjungi Pekan Rabu buat kali pertama. Kalau encik suami pula, memang dah beberapa kali singgah membeli di sini bila ada urusan di tempat berhampiran. 

Jarak dari rumah kami di PP ke Pekan Rabu sejauh 114 km, tak begitu jauh tapi taklah dekat. Kami tiba di Alor Setar dah tengah hari dan petangnya bertolak balik ke PP. Sempatlah berjalan dan makan-makan di beberapa tempat.


KOMPLEKS PEKAN RABU

Pekan Rabu merupakan sebuah kompleks perniagaan peniaga-peniaga Melayu yang terletak di tengah bandar raya Alor Setar, Kedah. Fakta sejarah Pekan Rabu :
  • Mula dibuka di Tanjung Chali pada tahun 1930.
  • Diasaskan oleh seorang Putera Diraja Kedah, Tunku Yaakob Abdul Hamid.
  • Pada tahun 1932, berpindah ke lokasi baharu di Jalan Tunku Ibrahim.
  • Antara peniaga di Pekan Rabu ialah bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
  • Bangunan baharu yang dikenali Kompleks Pekan Rabu yang berharga RM55.5 juta dibina di tapak lama di Jalan Tunku Tunku Ibrahim pada tahun 2014 dan dibuka semula dengan wajah baharu pada tahun 2018.

Kompleks Pekan Rabu, Alor Setar
Bangunan yang tersergam di sebelah kanan itulah Kompleks Pekan Rabu.

Pada awalnya kami nak parkir kereta di bahagian bawah bangunan kompleks, tapi laluan masuk sudah diletak penghalang. Mungkin dah penuh. Jadinya kami parkir kereta di kawasan parkir yang terletak di seberang jalan Kompleks Pekan Rabu.

Kompleks Pekan Rabu, Alor Setar
Bangunan Kompleks Pekan Rabu setinggi empat tingkat dengan seni bina moden dan berkonsep Islamik.

Kompleks Pekan Rabu, Alor Setar
Beginilah suasana di dalam bangunan Kompleks Pekan Rabu. Ada pilihan nak menggunakan tangga atau lif. Saya gunakan tangga sebab nak melihat-lihat setiap tingkat.

Kompleks Pekan Rabu, Alor Setar
Berada di dalam bangunan ini tak terasa bahang atau panas. Mungkin disebabkan reka letak ruang niaga dengan konsep terbuka begini dan terdapat kipas siling besar menyumbang kepada pengudaraan yang baik. Saya suka konsep begini. Pengunjung pun senang nak membelek barang jualan sebab fokus satu arah je, kalau jenis lorong dan ada kedai di kanan kiri jalan tu agak susah nak fokus melihat-lihat. Laluan pun jadi lebih sesak dan panas.

Kompleks Pekan Rabu, Alor Setar
Apa yang ada di Pekan Rabu? Macam-macam ada! Ada jualan kuih, makanan kering, pakaian, barangan kraf dan boleh menjamu selera di aras bawah kompleks.

Kompleks Pekan Rabu, Alor Setar
Jualan pakaian.

Kompleks Pekan Rabu, Alor Setar
Paling menarik, di sini ramai juga yang menjual kuih yang baru dimasak. Ada kuih karas, peneram dan bahulu. Kita dapat melihat penjual menghasilkan kuih-kuih tersebut.

Kompleks Pekan Rabu, Alor Setar
Kami beli kuih karas di sebuah kedai yang terletak di aras paling atas. Penjual dan pembuatnya seorang lelaki. Foto di atas saya rakam setelah meminta izin. Kuih karas dijual dalam bekas bulat dengan harga RM15 satu bekas.

Kompleks Pekan Rabu, Alor Setar
Pelbagai pilihan makanan kering terdapat di Pekan Rabu. Ikan pekasam, rempah, kopi, kerepek dan banyak lagi. Juga ada produk dari Thai seperti biskut dalam tin comel, kekacang dan pes tom yam.

Kompleks Pekan Rabu, Alor Setar
Nampak menarik bila kuih bangkit digantung begini. Eh, sebenarnya semua nampak menarik di mata saya. Haha! Kena fikir apa yang betul-betul teringin nak merasa dan patut dibeli.

Selain membeli untuk kami berdua, kami beli juga oleh-oleh untuk di bawa ke kampung kami di Johor. Antara yang kami beli - kuih ros madu, kuih karas dan kopi cap Gantang. Itu sikit, ini sikit, jadi banyak jugalah.

Sememangnya Pekan Rabu merupakan tempat yang sesuai untuk kita membeli oleh-oleh. Sangat banyak pilihan. Kompleks ini juga nampaknya dijaga dengan baik. Bersih dan saya rasa selesa berjalan di sini. Kalau tak selesa, kita akan rasa nak cepat keluar dan jadi kurang berminat nak membeli. Satu lagi, tandas di sini pun berada dalam keadaan baik dan selesa.

Ada ke Alor Setar? Jomlah membeli-belah di Kompleks Pekan Rabu!



25 comments:

  1. Sudah berwajah baru. Saya pergi ketika bangunan lama. Insya Allah.
    Nampak kemas dan bersih.

    ReplyDelete
  2. Betul ke namanya Pekan Rabu sebab dulu2 aktiviti berniaga cuma dibuka pada hari Rabu? Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhari dulu pun berniaga kat Pekan Rabu kan Kak Ujie?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih Carneyz bertanya. Terus akak buat carian.

      Memang betul nama Pekan Rabu asalnya sebab berniaga hari Rabu.

      Berkenaan Tan Sri Syed Mokhtar tu akak tak jumpa info. Tapi logik juga kalau beliau pernah berniaga situ.

      Delete
  3. Rindunya nak berjalan-jalan di Alor Star <3

    ReplyDelete
    Replies
    1. Pulau Pinang dah sampai, lain kali giliran Alor Setar pulaklah Syaz 😀

      Delete
  4. lamanya saya tak ke sini semuanya dah nampak baru lebih tersusun dan kemas

    ReplyDelete
    Replies
    1. Rugi pulak akak tak pernah pergi bangunan lama, padahal dulu selalu lalu tapi tak singgah. Kalau tak, boleh tengok perbezaan.

      Delete
  5. Oooo... design kompleks tu ala-ala kompleks pertama kan?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Alaa..saya lupa Kompleks Pertama rupa macam mana. Dulu zaman U ada pergi rasanya.

      Delete
  6. Welcome to Pekan Rabu puan :)
    Beli kuih loyang tak? Itu favorite item sy jika ke Pekan Rabu.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hihi...terima kasih PH.
      Kuih loyang tu kuih apa? Nama lain bagi kuih ros kah? Dulu masa kecik kuih ros tu kami panggil kuih kembang goyang 😄

      Delete
  7. Wah..Ujie pi Pekan Rabu ka..
    Kalau masuk memang rambang kan..
    Balik Kedah baru ni pun saya beli juga kuih karas 2 bekas.Dulu2 mak buat sendiri.Lani ni beli..hihihi
    Kalau pi Pekan Rabu,Halwa Maskat akan jadi barang wajib untuk tekak saya🤭

    ReplyDelete
    Replies
    1. Memang rambang mata 😁
      Halwa maskat? Lain kali pergi saya cari. Rasa macam tak pernah makan.

      Delete
  8. Mak saya ke sini memang penuh kiri kanan tangan. terutama makanan lah. Kalau keluarga kami selain karas, wajib beli kuih bangkit.

    ReplyDelete
  9. bila tengok gambar, hati saya terdetik. macam pasar payang la. haha.. siap tengok tajuk banyak kali pekan rabu dekat alor setar atau kuala terengganu.

    ReplyDelete
  10. Kalau ke sini mmg rambang mata... dulu sblm sampai di sini sy imagine pekan rabu ni mcm pasar tamu, org berniaga macam² scr openspace... rupanya dlm kompleks bgnn begini lebih kurang mcm pasar payang rupanya

    ReplyDelete
  11. Dah makin meriah ye kak bangunan pekan rabu tu, dana pernah datang tahun 2018 masa tu masih agak sendu, orang pun tak ramai sangat lagi yang niaga

    ReplyDelete
  12. lama sudah tak jejaki negeri Kedah.
    fly terus ke langkawi :)
    dgr je cerita hebat pasal pekan rabu ni.
    one day in shaa Allah, memang minat gi lepak tempat gini.
    beli local food. tgk local products. memang minat!

    ReplyDelete
  13. Saya last pergi Pekan Rabu, masa zaman sekolah rendah. Rindunya... mekasih, share Ujie, dapat tengok tempat lama tak pergi.

    ReplyDelete
  14. mak saya suka beli bahulu di sini..

    ReplyDelete
  15. besarnya ,mcm2 ada ni. seronok shopping mknan
    Kalu kg ciknur pekan rabu ni mcm pasar tani tp ada hanya hari rabu. Peniaga2 dtg meniaga mcm2 jga.

    ReplyDelete
  16. Pernah beberapa kali ke Kedah, tapi belum berkesempatan untuk pergi ke Pekan Rabu.

    ReplyDelete
  17. Saya suka singga di Pekan Rabu ini untuk beli bahulu dan kuih karas.. Seba rasa dia yang lebih umph berbanding di tempat lain.. Makin cantik bangunan dia..

    ReplyDelete
  18. Nampak kemas dan tersusun pekan Rabu. Saya pun tak ingat pernah singgah ke tidak di sini. Best pergi tempat macam ni macam-macam ada. Sediakan duit je lah. Rambang mata nak memilih.

    ReplyDelete

*****
Komen kalian, bicara antara kita 😊

Saya juga boleh dihubungi menerusi e-mel | halifa02@gmail.com
*****