Friday, 23 December 2022

Masjid Terapung - Bakal Menjadi Mercu Tanda Bagan Datuk

Ini merupakan kunjungan pertama saya dan encik suami ke pekan Bagan Datuk, Perak. Alang-alang ada urusan di Hutan Melintang, bolehlah kami ke pekan Bagan Datuk pula.

Ada yang kehairanan bila tahu kami menuju ke sini, tak ada apa-apa katanya. Menurut saya pula, tujuan kunjungan ke satu-satu tempat adalah untuk meluaskan pengetahuan kita sendiri dan melihat suasana kehidupan orang lain di tempat yang berbeza dari tempat kita. Bila dah sampai sendiri, kita lebih faham kedudukan geografi tempat tersebut dan ada perkara yang membuat kita rasa kita lebih beruntung juga ada perkara yang membuat kita rasa mereka lebih beruntung. Begitulah. Kita datang, lihat dan fikir.

Pekan Bagan Datuk Perak
Beginilah rupa pekan Bagan Datuk, sebuah pekan ‘koboi’. Cuma ada deretan dua baris rumah kedai lama di laluan utama pekan. Setelah melihat sendiri kedudukan geografi pekan ini, fahamlah saya mengapa pekan ini kelihatan agak lesu.

Kedudukannya yang jauh dari laluan utama dan terletak di hujung jalan mati membuatkan pekan Bagan Datuk sunyi daripada kunjungan orang luar. Suasana menjadi meriah cuma pada hari hujung minggu atau cuti umum bila anak-anak pulang ke kampung (yang ini saya tahu hasil berbual ringkas dengan penjual keropok lekor di kawasan Dataran Bagan Datuk).

Dataran Bagan Datuk Perak
Dataran Bagan Datuk, mungkin ini satu-satunya tempat yang nampak ceria dan menghidupkan pekan ini. Semasa kunjungan saya pada petang hari Jumaat, kelihatan deretan gerai penjaja kecil makanan & minuman yang baru nak memulakan perniagaan. Selain itu, ada juga yang sedang menyusun kenderaan mainan untuk disewakan kepada pengunjung. Selain kami, kelihatan beberapa kumpulan kecil pengunjung lain berada di dataran ini. Masa ni sekitar pukul 3 petang, cuaca panas terik. Memang tak sesuai bersantai di sini, kecuali kami pengunjung jauh yang tetap gigih meronda ke sana ke sini.

Saya nak menyentuh sedikit berkenaan tulisan di atas - ‘Welcome To Bagan Datuk’. Persoalan saya, mengapa mesti menggunakan bahasa Inggeris? Kalaupun pengunjung sasarannya adalah orang asing, mereka tentu lebih menghargai kalau kita menggunakan bahasa kebangsaan. Tujuan seseorang ke tempat yang asing adalah untuk melihat suasana dan budaya setempat. Bila perlunya bahasa Inggeris? Ia perlu digunakan di papan info dan yang sewaktu dengannya. Mungkin saya agak berlebihan, tapi saya fikir kita perlu tahu mengekalkan jati diri bangsa.

Dataran Bagan Datuk Perak
Antara binaan lanskap yang terdapat di sini.

Masjid Terapung Bagan Datuk
Inilah masjid terapung yang masih belum siap sepenuhnya. Sudut pandang dari celahan lubang tebing di dataran.

Masjid Terapung Bagan Datuk
Masjid terapung yang tersergam indah di tebing Sungai Perak dan sebuah replika bahtera turut menambah keceriaan di sini.

Replika bahtera Bagan Datuk
Replika bahtera. Nampaknya ada tempat permainan kanak-kanak di bahagian atas dan mungkin ruang galeri di bahagian bawah. Menarik! Tertera waktu lawatan di bahagian sisi replika bahtera, dibuka setiap hari 10 pagi - 10 malam. Tapi masa kami datang ni tak beroperasi. Tak pastilah memang belum beroperasi atau sedang ditutup sementara waktu.

Replika bahtera Bagan Datuk
Foto hasil mengintai di balik cermin sisi replika bahtera, mungkin ruang galeri.

Dataran Bagan Datuk
Binaan tempat letak tong sampah dengan pelbagai pesanan dan paparan perkataan positif.

Dataran Bagan Datuk
Jom kita ke sudut kiri dataran pula. Kalau kita menghadap ke sungai, sebelah kirilah ya.

Jeti Bagan Datuk Perak
Terdapat sebuah jeti - Jeti Bagan Datuk.

Jeti Bagan Datuk Perak
Nampaknya jeti ni masih belum beroperasi. Terdapat sebuah papan info berkenaan Pulau Sembilan. Mungkin tujuannya pembinaan jeti ini untuk membawa para pelancong ke Pulau Sembilan. Sebelum ini saya pernah tahu berkenaan Pulau Sembilan dan plankton yang mengeluarkan cahaya biru (dikenali sebagai ‘Blue Tears’), tapi tak ingat lokasinya. Rupa-rupanya terletak di sini.

Hasil carian berkenaan Pulau Sembilan, pulau tanpa penghuni tersebut telah ditutup sejak tahun 2017 bagi tujuan pemulihan. Nampaknya kalau dah buka, memang saya berhajat nak berkunjung ke Pulau Sembilan demi menyaksikan sendiri ‘Blue Tears’.

Jeti Bagan Datuk Perak
Pemandangan masjid terapung dari jeti. Menarik sungguh gumpalan awan tu, Maha Suci Allah yang menjadikan alam ini.

Jeti Bagan Datuk Perak
Sudut pandang dari tempat duduk di jeti - ruang menunggu. Dekorasi ‘pokok kelapa’ yang membawa maksud Bagan Datuk dikenali sebagai tempat penanaman pokok kelapa.

Masjid Terapung Bagan Datuk
MasyaAllah indah sungguh pemandangan masjid terapung dengan latar langit membiru dan gumpalan awam memutih.

Menurut info, masjid ini akan diberi nama Masjid Tuminah Hamidi. Ia dibina menggunakan dana Yayasan Akalbudi, milik keluarga Ahmad Zahid Hamidi yang kini merupakan Timbalan Perdana Menteri (TPM) kita. Nama Tuminah Hamidi adalah bersempena nama ibu dan ayah beliau yang telah meninggal dunia, iaitu Hamidi Abdul Fatah dan Tuminah Abdul Jalil.

Masjid terapung ini merupakan sebuah kompleks yang dilengkapi dengan kemudahan ruang solat yang boleh menampung sehingga 5,000 jemaah pada satu-satu masa, dewan serba guna dan dataran dalam perkarangan masjid.

Sekiranya siap, maka masjid terapung ini menjadi menjadi mercu tanda baru Bagan Datuk. Semoga ia mampu menambah kemakmuran dan menghilangkan kesuraman pekan Bagan Datuk. Dari segi sektor pendidikan, saya lihat sudah ada sebuah sekolah sains dan MRSM di Bagan Datuk.





31 comments:

  1. Cantiknya suasana Bagan Datuk. Beberapa tahun lepas kami datang ke sini tapi suasananya tidak seceria ini.
    Bonda saya lahir di Bagan Datuk.
    Saudara mara saya termasuk emak saudara dan sepupu-sepupu menetap di Hutan Melintang, Tapah dan Tronoh.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Memang nampak baru buat semuanya. Masa kak Amie datang tu belum siaplah agaknya.

      Ada kaitan dengan Bagan Datuk jugak rupanya kak Amie.

      Delete
  2. Walaupun sunyi dan jauh dari laluan utama, tapi pekannya nampak ceria dan ada pelbagai tarikan yang cantik. Mengenai papan tanda tu, mungkin nak jimatkan kos sebab perkataan 'welcome to' lebih pendek dari 'selamat datang ke'. Husnuzon hehe

    ReplyDelete
  3. Cantik Bagan Datuk ni... sy sebenarnya suka jugak pekan koboi mcm ni... tenang je... mesti hidup x bz kalau stay kat sini.. perak antara negeri yg sy belum explore... setakat ipoh je pernah sampai

    ReplyDelete
    Replies
    1. Memang langsung tak busy. Tenang je. Jalan ke sini pun lengang. Itulah kelebihan penduduk di sini.

      Delete
  4. cantik masjidnya...warna birunya dengan warna langit seakan bersatu

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kebetulan ambik gambar masa panas terik, itu yang terang langit membiru.

      Delete
  5. cantiknya kak, bila lah dana nak sampai sana tu...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Akak rasa kalau saja berjalan, mau akak pun tak sampai sini Dana 😅

      Delete
  6. Wah menarik..
    Pernah lalu saja Bagan Datuk ni masa nak pi Pulau Pangkor tapi tak singgah.
    Bagan Datuk mengingatkan saya pada buku teks Gografi masa saya darjah 4..
    " Penanam Kelapa di Bagan Datuk"

    ReplyDelete
    Replies
    1. Fuh...hebat memori 👏
      Eh jap Geografi darjah 4 atau tingkatan 4?

      Delete
    2. Darjah 4 Ujie🤭
      Saya kelahiran 70-an sempat merasa subject Goe,Tatarakyat dan Ilmu Kesihatan.Darjah 4 Geo pasal pertanian dan perikanan di Malaysia.Darjah 5 meluas ke geo Asia Tenggara dan darjah 6 belajar Geo Dunia.Kebanyakan tajuk saya masih ingat kerana saya sangat minat Goe

      Delete
    3. Hebat subjek dan hebat ingatan 👍
      Masa saya dulu dah tukar kepada Alam dan Manusia, tapi tak ingat apa sangat pun 😅

      Delete
  7. Cantik gambar Ujie ambil. :)
    Saya tak pernah sampai ke pekan Bagan Datuk. Nanti, ada jambatan yang sedang dalam pembinaan, bila dah siap, lagi dekat je, dari Bagan Datuk, pergi ke Lumut atau zon Perak Tengah. Seberang sungai Perak je. :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih Nur 😊
      Haritu nampak jugak jambatan dalam pembinaan. Mungkin nanti Bagan Datuk bertambah meriah bila jambatan tu siap.

      Delete
  8. Memang nampak pekan lama sebab bangunan berangkai 2 tingkat.
    Saya tertarik dengan tong sampah yang berbentuk pokok kelapa.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Oh..bentuk pokok kelapa! Betul la...saya duk fikir bentuk apa la gini 😄

      Delete
  9. cantik sungguh tempat ini dan di Sarawak ada juga masjid terapung...tidak jauh dari Waterfront

    ReplyDelete
    Replies
    1. Moga jadi tarikan untuk orang luar datang berkunjung ke sini.

      Delete
  10. Rasanya minat & pandangan kita sama puan :)
    Mungkin tidak menarik bagi org lain, tapi bagi sy setiap satunya ada keistimewaan tersendiri :)
    Cantik sungguh gambar masjid dari celahan lubang tu 👍

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kan...tiap tempat adalah unik. Jadi tiap tempat adalah menarik.

      Delete
  11. dekat bagan datuk ada ladang bunga mataharikan? ke saya salah tengok. tengok suasana area masjid terapung ni seronok tengok.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ha'ah ada. Tapi tak taulah statusnya sekarang macam mana. Akak tak pergi.

      Delete
  12. Kali terakhir kami datang baru lepas habis PKP, so tak dapat masuk replika bahtera tu jugak. bagi saya tiap-tiap tempat ada keistimewaannya sendiri. Nampak cantik masjid tu. Teringin nak tengok plankton di Pulau Sembilan pula. Dulu pernah tengok di Kuala Selangor

    ReplyDelete
  13. alamak, terngiang2 pulak lagi anak TPM ari tu :) ha ha ha ha...

    yes la. aida setuju. tulis la SELAMAT DATANG KE BAGAN DATUK.
    lagi la indah. tak perlu english. unless ada dwibahasa.

    ReplyDelete
  14. sekolah sains tu sekolah akk, SEMESTI..sains teluk intan....hihi...pernah gi bagan datuk masa sekolah utk cross country...lari dlm kebun kelapa...wahh, dah cantik sekarang ni...

    ReplyDelete
  15. Cantiknya gambar yang sis ambil.. Sha pernah sampai sini tapi tak perasan pula masjid tu.. huhuhu..

    ReplyDelete
  16. Bagan Datuk bertambah ceria. Dimana-mana dah ada signboard ceria macam tu. Barulah menarik kan. Cantik cantik gambar akak. Suka tengok langit membiru dengan awan putih kepok kepok. Cantik seni bina masjid berlatarbelakangkan awan dan langit biru. Bagus juga ada pesanan begitu dimana mana kawasan awam.

    ReplyDelete

*****
Komen kalian, bicara antara kita 😊

Saya juga boleh dihubungi menerusi e-mel | halifa02@gmail.com
*****