Sunday, 11 January 2026

Sizzle Eatery, Alor Setar

Catatan hari Sabtu, 3 Januari 2026.

Sejak menetap di negeri paling kecil di Malaysia, setiap kali nak servis kenderaan kami perlu ke negeri lain - sama ada ke Kedah atau Pulau Pinang. Sebabnya, tiada pusat servis di Perlis bagi jenama kenderaan yang kami pakai.

Sabtu minggu lepas, kami ke sebuah pusat servis kenderaan yang terletak di Bayan Lepas, Pulau Pinang. Dalam perjalanan balik ke Perlis, kami singgah cari makan di Alor Setar, Kedah. Tekak teringin makan mi sizzling, jadinya saya buat carian di Google Maps - ‘sizzling sedap Alor Setar’. Muncul nama kedai ‘Sizzle Eatery Enterprise’, baca ulasan dan jomlah kita!

Sizzle Eatery terletak di tepi sebuah jalan besar, berhadapan dengan Masjid Nagore Alor Setar - sebuah masjid lama yang dibina oleh komuniti India Muslim dari Nagore, India. Dengan berpandukan aplikasi GPS, mudah je nak cari kedai ni.

Tiada ruang parkir di hadapan kedai, tetapi kita boleh parkir di lorong tepi kedai yang dikenali sebagai Laman Seni. Lorong ini merupakan jalan sehala, kita tak boleh masuk dari laluan depan kedai. Kita kena pusing bangunan dan masuk ikut laluan belakang. 

Sizzle Eatery, Alor Setar
Kenderaan kami parkir di sini. Sebelah kiri merupakan bangunan kedai dan sebelah kanan pula bangunan penjara lama. Lorong ini dikenali sebagai Laman Seni kerana terdapat seni lukisan mural di dinding bangunan kedai dan tembok penjara lama. Cantik dan menarik! Ketika kami tiba di sini, saya nampak beberapa orang sedang berfoto dengan latar mural.

Sizzle Eatery, Alor Setar
Sizzle Eatery terletak di bangunan berhadapan jalan utama, kedai yang pertama. Tepi bangunan kedai terdapat lukisan mural Tun Dr. Mahathir Mohamad. Saya tak ambil foto penuh mural sebab ada orang sedang berfoto di sini.

Sizzle Eatery, Alor Setar
Papan tanda restoran Sizzle Eatery.

Sizzle Eatery, Alor Setar
Meja makan di bahagian depan sudah dipenuhi pelanggan, kami duduk di sudut belakang. Tempat memasak dan kaunter bayaran di ruang paling belakang. Ruang makannya tidak begitu luas, tapi saya nampak di bahagian tepi ada anak tangga ke atas. Tak pasti jika ada ruang makan di bahagian atas.

Sizzle Eatery, Alor Setar
Imbas kod QR di atas meja untuk melihat menu, kemudian tulis sendiri kod menu pada kertas order. Lepas tu pergi ke kaunter untuk serah kertas order dan buat bayaran.

Sizzle Eatery, Alor Setar
Minuman saya - apple asam boi kurang manis dan minuman Encik Suami kopi O ais tanpa gula.

Sizzle Eatery, Alor Setar
Kami berdua pilih menu sama - sizzling yee mi biasa.

Sizzle Eatery, Alor Setar
Sedap rasanya, tak terlalu masin kuahnya. Tambah sedap bila dimakan bersama cili kicap.

Sizzle Eatery, Alor Setar
Sebelum beredar, saya beli dadih susu dan puding karamel untuk makan di rumah.

Kalau kalian berkunjung ke Alor Setar dan teringin nak menikmati hidangan sizzling, bolehlah cuba makan di Sizzle Eatery - restoran milik Melayu Muslim. Tempat makannya bersih selesa, layanan mesra dan rasa mi sizzling yang memuaskan selera. 


*******************************************

SIZZLE EATERY
34, Jalan Penjara Lama,
Pesisiran Tanjung Chali,
Alor Setar, Kedah.

Google Maps | Sizzle Eatery Enterprise

Waktu operasi :
Setiap hari | 12 tengah hari - 11 malam
Jumaat & Sabtu | 4 petang - 11 malam
Tutup hari Isnin







Thursday, 8 January 2026

Perkhidmatan Rawatan Doktor di Rumah (Home Visit / House Call)

Sudah setahun (sejak penghujung Disember 2024) Mak saya tak mampu mengurus diri, banyak menghabiskan masa di atas katil. Masalah skoliosis (scoliosis) - tulang belakang bengkok menyebabkan Mak hilang upaya pergerakan dan mengganggu fungsi badan yang lain. Atas faktor usia, tiada rawatan khusus dapat dilakukan.

Atas nasihat doktor, kami (saya dan adik-beradik) dapatkan khidmat juru terapi datang ke rumah. Jadinya sejak hampir setahun lalu, setiap hari Isnin dan Khamis Mak akan menjalani fisioterapi. Ketika inilah Mak akan melakukan pergerakan dan berjalan dengan bantuan juru terapi.

Kondisi Mak menyukarkan kami bawa ke klinik kerana setiap pergerakan akan terasa sakit. Jadinya kami usahakan doktor untuk datang merawat di rumah. Syukurlah ada juga klinik di bandar Pontian yang menawarkan khidmat begini. 

Bab mencari dan berurusan dengan doktor home visit menjadi tugasan saya. Mudahnya zaman teknologi ni, walaupun kita berada jauh nun di utara tanah air tapi masih boleh membantu hal keluarga nun di selatan.

Setakat ini saya pernah berurusan dengan dua buah klinik bagi perkhidmatan rawatan doktor di rumah (home visit / house call). Saya sertakan caj yang dikenakan (tidak termasuk ubatan) untuk tujuan rekod dan rujukan bagi yang memerlukan.
  1. Poliklinik QMS - home visit RM100, konsultasi RM100, mileage RM50.
  2. Klinik Rakyat - home visit & rawatan asas RM150.
Sebelum panggil doktor datang ke rumah, kita kena berikan maklumat secukupnya berkenaan kondisi pesakit supaya mudah doktor bersedia dengan peralatan dan ubatan berkaitan. Contohnya, semalam pagi doktor datang ke rumah siap bawa nebulizer sebab Mak mengadu sempit pernafasan. Alhamdulillah suara Mak lebih bertenaga lepas dapat rawatan.


Foto hiasan - senja di kolam takungan tempat biasa jiran memancing. Saya datang dah lambat, tak ikut memancing.







Tuesday, 6 January 2026

Kamu Yang Mesra (Top Commentators) Tahun 2025

Entri penghargaan buat sahabat blog yang sudi memeriahkan blog saya yang tidak begitu aktif menghasilkan entri. Tahun 2025 saya cuma menghasilkan 128 entri. Alhamdulillah itu pun dah cukup bagus, walaupun banyak hal yang nak dicatatkan akhirnya terlupa begitu saja dek kerana kurang stamina berblog 😅

Berbalik kepada tajuk entri. Saya letak widget Top Commentators di blog cuma untuk 30 hari terakhir supaya loading time blog ini tak mengambil masa lama. Tujuan saya letak - sebagai penghargaan buat sahabat blog yang rajin berkunjung dan memudahkan saya juga sahabat lain untuk berkunjung ke blog mereka (cuma klik link pada nama).

Bagi tujuan pengiraan Top Commentators tahun 2025, saya ubah seketika setting kepada 365 hari. Hasilnya, inilah senarai 10 orang sahabat blog yang paling banyak meninggalkan komen di blog saya pada tahun 2025 :

Terima kasih buat 10 orang sahabat blog yang namanya tertera di atas kerana selalu memberikan kata-kata mesra di blog ini. Tak dilupakan juga penghargaan buat semua sahabat blog yang sudi berkunjung, setiap kata-kata yang ditinggalkan menjalin ikatan persahabatan di alam maya.

Terima kasih sahabat blog yang telah menceriakan blog ini, semoga Allah kurniakan kalian dengan kebaikan di dunia dan akhirat 💙


**************************

Sebagai tanda penghargaan, saya ingin beri hadiah buat tiga orang sahabat yang paling mesra dan beralamat di Malaysia. Sekali lagi (seperti tahun 2024), saya tak dapat mengirim hadiah buat blogger Fanny yang berada di negara jiran. Semoga kali ini bila Fanny datang ke Malaysia saya dapat mengirim sesuatu buat beliau.


Maklumat pengeposan blogger NA dan Puan Hazel masih ada dalam simpanan saya, cuma masih belum ada maklumat blogger Tot a.k.a. Nur - mohon berikan maklumat pengeposan menerusi e-mel : halifa02@gmail.com. Pengeposan hadiah mungkin ambil masa sedikit, saya akan maklumkan selepas pos ya.







Sunday, 4 January 2026

Api Api Ikan Bakar, Kuala Perlis

Walaupun dah dua tahun menetap di Perlis, saya jarang makan seafood di Kuala Perlis atas faktor jarak (lebih kurang 40 km dari rumah) dan kurang gemar keluar waktu malam (restoran seafood beroperasi mulai lewat petang). Jadinya boleh dikira dengan sebelah jari je berapa kali saya pernah makan di Kuala Perlis 😄

Bulan lepas Encik Suami bawa saya mencuba hidangan di Restoran Api Api Ikan Bakar. Encik Suami pula dah beberapa kali makan di sini atas urusan kerja. Kami pergi sini waktu siang, jadinya menjelang malam dah boleh sampai rumah semula.

Api Api Ikan Bakar, Kuala Perlis
Api Api Ikan Bakar terletak di tepi jalan besar, mudah dilihat. Pengunjung boleh parkir kenderaan di ruang parkir kawasan restoran atau ruang parkir yang terletak di seberang jalan.

Api Api Ikan Bakar, Kuala Perlis
Sudut berfoto. Restoran ini terletak di tepi Sungai Perlis.

Api Api Ikan Bakar, Kuala Perlis
Sebaik melangkah masuk restoran, petugas kaunter beri salam kepada kami. Kami diberi nombor dan diminta duduk.

Tak lama kemudian, nombor kami dipanggil untuk pilih makanan laut dan buat pesanan makanan. Sebelum tu kami dah berbincang nak makan apa, jadinya mudahlah Encik Suami pergi sendiri uruskan pesanan makanan kami. 
 
Api Api Ikan Bakar, Kuala Perlis
Ruang makan yang luas dan bersih. Selesa nak makan.

Sementara menunggu hidangan yang dipesan tiba, sempatlah saya memotret foto keindahan suasana Sungai Perlis menerusi jendela restoran.

Api Api Ikan Bakar, Kuala Perlis
Terdapat jeti dengan deretan bot, antaranya bot milik UiTM dan IKBN.

Api Api Ikan Bakar, Kuala Perlis
Sesekali ada bot lalu di sini. Tengoklah orang tu, siap boleh berdiri atas bot kecil.

Api Api Ikan Bakar, Kuala Perlis
Cantik warna air sungai di sini - kehijauan.

Bot warna biru kuning tu pula tertera tulisan - Api Api River Cruise. Restoran Api Api Ikan Bakar menawarkan servis river cruise dengan kadar RM15 seorang, berkongsi satu bot dengan pengunjung lain (saya tak pasti berapa orang untuk satu bot). Aktiviti river cruise bermula pada pukul 6.30 petang. Kami tak sempat nak ikut serta sebab nak segera balik rumah selepas makan.

Tak lama menunggu, hidangan yang dipesan tiba satu demi satu.

Api Api Ikan Bakar, Kuala Perlis
Sotong goreng tepung, saiz hidangan untuk seorang.

Api Api Ikan Bakar, Kuala Perlis
Kerang bakar 500 g.

Api Api Ikan Bakar, Kuala Perlis
Udang masak butter. Udang pilih sendiri dan timbang.

Api Api Ikan Bakar, Kuala Perlis
Ikan pari kami ambil satu bahagian, buat ikan bakar santan. Bila makan tu rasa macam makan ikan dengan kuah masak lemak. Lebih sedap kalau makan dengan pencicah air asam. Tadi Encik Suami silap faham pertanyaan petugas, jadinya tak ada pencicah air asam 😄. Tapi makan tanpa pencicah pun saya rasa dah cukup menyelerakan.

Api Api Ikan Bakar, Kuala Perlis
Sayur kailan ikan masin, saiz hidangan untuk seorang.

Api Api Ikan Bakar, Kuala Perlis
Kos makan-makan kami. Ada caj SST 6%.

Alhamdulillah sedap semuanya sesuai dengan cita rasa kami. Habis licin kami makan 😀. Paling saya suka - sotong goreng tepung dan ikan pari bakar santan. Lauk udang tu saya merasa sikit jelah, saya kurang gemar makan udang. Kali ini makan tak terlampau kenyang sebab kami ambil nasi satu pinggan je dan minum air suam.

Saya rasa puas hati makan di Api Api Ikan Bakar - ruang makan bersih & selesa, layanan mesra & pantas serta rasa masakannya memuaskan selera. InsyaAllah ada kesempatan pasti saya datang makan di sini lagi.


********************************

API API IKAN BAKAR
Jalan Dato Ali, Bukit Tok Po,
Kuala Perlis,
Perlis.

Google maps - Restoran Api Api Ikan Bakar

Waktu operasi :
Setiap hari | 5 petang - 10.30 malam







Thursday, 1 January 2026

Catatan Pertama di Tahun 2026

Hari ini 1 Januari sepatutnya bukan cuti umum bagi negeri Perlis, tetapi semalam Menteri Besar yang baru dilantik mengumumkan 1 Januari 2026 sebagai Cuti Peristiwa. Dapatlah Encik Suami cuti kerja.

Tiada apa yang istimewa saya lakukan pada hari ini, jujurnya saya sendiri tak terasa tibanya tahun baru. Malam tahun baru di kawasan tempat saya tinggal ini berlalu seperti malam-malam yang sebelumnya - hanya kedengaran bunyi cengkerik juga serangga lain yang aktif di waktu malam. Sunyi dan tenang. Menjelang tengah malam, kedengaran sayup bunyi mercun dari negara jiran. Itu sajalah kebisingan malam tahun baru di sini.

Saya suka kehidupan begini.

Langit malam ini - rakaman foto sekitar 9.30 malam.

Terima kasih Allah yang memberi kesempatan buat saya untuk terus hidup di bumi-Nya. Selamat Tahun Baru 2026 buat semua sahabat blogger, semoga Allah merahmati hidup kita 💙