Catatan hari Jumaat, 17 Oktober 2025.
Setelah beberapa kali menginap di The Everly Putrajaya Hotel, baru kali ini saya berkesempatan beriadah di taman rekreasi Tasik Putrajaya yang terletak berhampiran dengan hotel.
Saya sebenarnya tak bawa pakaian khas untuk aktiviti riadah, tapi kalau setakat nak morning walk tu boleh je pakai apa yang sesuai. Kasut pula tak menjadi masalah, saya memang pakai Skechers walking shoes ke mana-mana.
Jom kita morning walk!
Keluar dari pintu 2 lobi hotel, kita ambil arah ke kiri menuju tempat parkir bas. Dari situ akan nampak anak tangga turun ke bawah menuju ke tasik. Kalau nak ke Alamanda pula, ikut laluan berbumbung arah ke kanan - sebelum tangga.
![]() |
| Peta laluan Jejak Sisiran 1. Sila klik foto untuk paparan lebih jelas. |
Laluan sepanjang 6 km bermula dari Cruise Tasik Putrajaya sehingga kompleks beli-belah Alamanda ini dikenali sebagai Jejak Sisiran 1 atau Putrajaya City Trail.
Laluan yang mendamaikan di bawah rimbunan pokok dan pemandangan luas tasik di sebelah kiri.
Hampir pukul 9 pagi, cahaya matahari menghasilkan pantulan imej pada permukaan tasik.
Bahagia sungguh dapat jalan-jalan menikmati suasana pagi di sini. Tenang dan bersih. Mungkin sebab hari bekerja, tak ramai pengunjung datang beriadah. Hanya sesekali saya berselisih dengan pengunjung lain yang rata-rata bersendirian seperti saya. Selain itu, hanya kelihatan para pekerja mungkin warga asing sedang melakukan kerja-kerja pembersihan dan penyelenggaraan taman.
Tiba di kawasan santuari burung Wetland Upper Bisa - habitat spesies burung air.
Terdapat sebuah pulau kecil di tengah tasik yang menjadi habitat spesies burung air.
Hasil foto zoom-in. Kelihatan pelbagai jenis burung dengan kaki dan leher panjang menjadi penghuni pulau kecil ini. Menarik!
Di sepanjang perjalanan kita akan jumpa papan tanda maklumat seperti ini. Sambil menikmati suasana, kita juga dapat menambah pengetahuan.
Tak perlu risau kalau tiba-tiba rasa nak ke tandas, terdapat tiga buah tandas disediakan di laluan Jejak Sisiran 1 ini. Masa lalu di salah sebuah tandas, saya nampak pekerja sedang membersihkan tandas.
Berlaku hal kecemasan? Boleh tekan butang kecemasan (panic button) pada tiang merah ni. Fungsinya bagi membolehkan orang awam berhubung terus dengan Putrajaya Command Centre untuk mendapatkan bantuan.
Antara tumbuhan yang menarik perhatian saya. Macam biasa nampak pokok dan buahnya di kawasan berhampiran pantai - pokok pandan laut. Tak pasti ini jenis pokok yang sama atau tidak.
Saya nampak taburan bunga berwarna oren kuning di tanah, juga dengar bunyi dengungan serangga di atas. Ini pun menarik juga, belum pernah nampak.
Rasa lebih sejuk nyaman ketika saya melalui tempat ini.
Terasa sudah lama saya berjalan hingga tiba di kawasan Jambatan Seri Bakti. Saya berpatah balik di sini setelah berjalan sejauh hampir 2 km dalam tempoh masa hampir 30 minit.
Masa dalam perjalanan berpatah balik ke hotel, barulah saya terasa penat dan tekak haus. Ingat kot nak jalan sikit je, tak sangka pula suasana di sepanjang laluan Jejak Sisiran 1 ni sangat menarik - membuatkan saya terus melangkah.
Rekod aktiviti saya. Alhamdulillah dapat berjalan hampir 4 km berbanding morning walk di kawasan rumah yang biasanya saya buat lebih kurang 1 km sahaja.
Kalau ada kesempatan di lain masa, saya pasti nak mengulang riadah di laluan ini. Seronok tempatnya luas, cantik, selesa dan rasa selamat walau jalan sendirian. Cuma lain kali kena ingat - bawa bekalan minuman.
















Cantik nya.. biasa dtg putrajaya atas urusan kerja sahaja. Cantik pula siap ada pulau utk habitat burung tu..
ReplyDeleteKita teman orang kerja, sempatlah jalan-jalan tasik. Orang yang kerja memang tak sempat apa 😄
DeleteCantik pantulan gambar tu. Pernah jugak masa duk Everly brisk walk tepi tasik tu tapi tak pernah pusing keliling la. Separuh je patah balik.
ReplyDeleteKalau habis pusing tu memang jauh sangat, dapat sebahagian pun dah ok tu 👍
DeleteSeronok dapat brisk walking di sini. Suasana cantik dgn pokok² pelbagai jenis. Sy suka Putrajaya sbb byk taman utk kita teroka
ReplyDeleteUntung kan orang Putrajaya, banyak pilihan taman rekreasi cantik.
DeleteSaya pun baru je balik dari brisk walk dekat taman tasik Titiwangsa. Bunga2 yg dipamerkan sempena KLPF tu DBKL belum angkut lagi jadi saya kerap berhenti belek2 bunga kat situ hehe.
ReplyDeleteSeronok tu, dapat belek macam-macam bunga 😀
DeletePutrajaya memang banyak port cantik nak riadah kan kak...suasana pagi tu nampak tenang nyaman
ReplyDeleteTaman cantik, lebih semangat kita nak beriadah.
DeleteMasya-Allah, bestnya dapat morning walk di tempat ada banyak pokok besar. 😍
ReplyDeleteIya..lebih redup dan nyaman!
DeleteNanti saya juga stay di Putrajaya , dan memang dah niat kak nak briskwalk pagi2 dengan suami 😄. Apalagi tujuan utama saya kesana memang mau wisata kuliner saja. Jadi wajib lah tetap workout supaya kalori terbuang 😄
ReplyDeleteWahh...selamat datang ke Putrajaya! Kalau stay di The Everly ni senang dekat je boleh jalan kaki ke tasik dan mall Alamanda.
DeleteBest kan brisk walk keliling tasik. Lama pulak tak ke sana.
ReplyDeleteBest sangat! Taman bersih dijaga rapi.
DeleteApabila tempat tenang dan cantik, semangat berjalan. Hehe ingatkan balik itu singgah Alamanda untuk minum.
ReplyDeleteDah bau masam berpeluh-peluh, kena balik bilik jugak 😄
Deletemendamaikan.... best riadah tempat macam ni
ReplyDeletesis..jom plan riadah sama sama nanti nak? boleh jumpa dan jadikan aktiviti bulanan ke. cam best je
ReplyDeleteAlaa sis...menarik idea tu tapi saya datang tak tentu masa, ikut bila-bila suami ada kerja area situ.
Deletecantiknyaa. menyegarkan mata! lalu bawah pokok2 memang best sebab terlindung dek panas hahaha
ReplyDeleteHaha..iya, sesuailah untuk orang yang riadah lewat ni, matahari dah cerah.
DeleteKat Putrajaya ni memang banyak tempat untuk riadah.....kadang tukar2 tempatnya....
ReplyDelete