Tuesday, 7 February 2023

Ringkasan Perjalanan & Kos | Trip Ke Kota Medan, Indonesia (4 - 6 Februari 2023)



Alhamdulillah…semalam selesai trip luar negara dan penerbangan yang pertama buat saya selepas musim pandemik COVID-19. Trip kali terakhir saya ke luar negara sekitar September 2018 dengan melalui jalan darat ke Betong, Thailand. Manakala penerbangan kali terakhir saya pada April 2019 ke Kota Kinabalu untuk merasai pengalaman menaiki keretapi lama ke Tenom.

Saya dan encik suami memilih destinasi yang dekat je dan ada penerbangan langsung dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang. Cukuplah sekadar beberapa hari mengisi cuti hujung minggu dan cuti Thaipusam.

Jadinya, kota Medan di Sumatera Utara, Indonesia menjadi destinasi tujuan kami kali ini. Biasanya kalau orang bercuti ke Medan akan ke Danau Toba dan Berastagi (tanah tinggi), tapi kami cuma ke kota Medan je. Kalau nak ke dua tempat lain tu perlu tambahan hari dan lebih mudah ambil pakej dari ejen pelancongan sebab lokasinya jauh dengan laluan perjalanan yang tidak mudah. Kami pula tak boleh berlama dan tak berbaloi membayar kos pakej kerana ahli grup cuma berdua. Paling penting, kami lebih suka bergerak bebas sendiri.

Setakat ke kota Medan, memang nampak tak begitu menarik. Tetapi menurut saya, setiap perjalanan ke tempat asing pasti memberikan kita pengalaman yang berbeza. ‘Liburan buka pikiran…’, memetik kata bapak pemandu GrabCar yang kami naiki sebaik mengetahui kami datang dari Malaysia ke kota Medan yang sepertinya tak ada apa-apa yang menarik 😁

—————————————————————-

Saya catatkan ringkasan perjalanan dan kos di bawah untuk rujukan sendiri pada masa akan datang.

Ringkasan Perjalanan Trip ke kota Medan, Indonesia (4 - 6 Februari 2023)

Hari Pertama | Sabtu
Penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (kod IATA : PEN) ke Bandara Internasional Kualanamu (kod IATA : KNO) menaiki pesawat Lion Air sekitar 50 minit. Kami tiba di KNO sekitar pukul 1 petang waktu tempatan. Waktu di Medan lewat 1 jam dari Malaysia.

Jarak dari lapangan terbang ke hotel penginapan di kota Medan cuma sekitar 40 km, tetapi mengambil masa hampir 1 jam jika menaiki GrabCar dengan kos pada masa tersebut sebanyak Rp. 180k. Kami memilih menaiki tren KAI Bandara pada pukul 2.20 petang dengan kos Rp. 70k seorang dan jarak perjalanan 30 minit. Perjalanan lebih selesa dan dapat merasai pengalaman menaiki tren bandara.

Hampir pukul 3 petang kami tiba di Stasiun Kereta Api Medan / Stasiun Medan yang menempatkan stasiun KAI Bandara di tingkat atas dan stasiun tren ke tempat-tempat lain di tingkat bawah. Ikut Plan A kami akan berjalan kaki dari stasiun ke hotel yang cuma berjarak sekitar 1 km. Tetapi terpaksa ubah ke Plan B setelah menyaksikan aliran trafik dan kondisi jalan raya ketika itu. Nanti saya ceritakan di entri lain bagaimana sibuknya jalanan di sini.

Sekitar 3.30 petang, kami ke Centre Point Mall yang terletak di seberang jalan dari pintu KAI Bandara. Jalanan di sebelah sini tidak sibuk. Kami mengisi perut yang kelaparan di The Coffee Crowd.

Pukul 4.45 petang, kami tiba di penginapan Hotel Santika Premiere Dyandra dengan menaiki GrabCar. Mendaftar masuk hotel dan berehat di bilik.

Sekitar pukul 7.30 malam, kami keluar dengan menaiki GrabCar untuk makan durian di Ucok Durian Medan. Pilih je harga ikut bajet kita, nanti buah durian akan dihidang atas meja. Masa kami tiba ni kenderaan yang membawa durian baru tiba, memang berlonggok tinggi durian.

Pukul 8.40 malam, naik GrabCar ke Sun Plaza. Tujuannya nak ke toko buku Gramedia membeli oleh-oleh buat diri sendiri, iaitu buku-buku karya penulis Indonesia - Tere Liye.


Hari Kedua | Ahad
Pukul 7 pagi kami turun ke lantai 3 hotel untuk sarapan pagi di Benteng Restaurant.

Pukul 9.15 pagi kami menaiki GrabCar ke Tjong A Fie Mansion - sebuah rumah agam dua tingkat berusia lebih 120 tahun milik tokoh perniagaan terkemuka dari China yang kini dijadikan muzium. Pemandu GrabCar menurunkan kami di simpang jalan masuk Jl. Jend. Ahmad Yani kerana jalan di tutup pada pagi tersebut. Kami berjalan kaki beberapa minit melewati deretan bangunan lama untuk tiba di lokasi. Bayaran dikenakan termasuk lawatan dengan jurupandu muzium kira-kira 30 minit. Selepas itu kami sambung melihat-lihat sendiri. 

Pukul 10.40 pagi kami berjalan kaki kira-kira 200 meter untuk menikmati hidangan Nasi Padang di Garuda Restaurant. Ikut perancangan kami akan makan sekitar pukul 12 tengah hari, tapi rupanya tak begitu lama kami di Tjong A Fie Mansion. Terpaksa makan awal 😅

Pukul 12 tengah hari dengan menaiki GrabCar, kami tiba di Istana Maimun - istana Kesultanan Deli yang telah dijadikan muzium. Jaraknya tak jauh, tapi mengambil masa agak lama disebabkan kesesakan lalu lintas. Rupanya hari ni banyak jalan di tutup sebab ada acara di kota Medan. Pemandu GrabCar kami terpaksa mencari laluan alternatif dan menempuh kesesakan di jalan-jalan utama.

Pukul 12.40 tengah hari, kami sudah berada dalam GrabCar untuk kembali ke hotel. Rancangan asal nak berjalan kaki ke Masjid Raya dari Istana Maimun kami batalkan saja. Keletihan keluar masuk dua buah muzium yang panas, membuat badan kami terasa ‘melekit’. Tak selesa. Perjalanan balik mengambil masa agak lama dan berpusing-pusing disebabkan kesesakan lalu lintas. Kami berehat di bilik saja dan tak lama kemudian hujan lebat turun membasahi kota Medan. Alhamdulillah syukur, tentu susah juga kalau kami masih di luar pada waktu hujan begini.

Pukul 2.30 petang kami buat pesanan kuih yang terkenal di Medan, iaitu Bika Ambon Zulaikha melalui GrabFood. Jadinya tak perlu bersusah-payah kami keluar ke kedainya hanya untuk membeli. Bika Ambon datang terus depan pintu hotel.

Pukul 5.20 petang, sekali lagi kami mengulang makan durian di Ucok Durian Medan demi memenuhi keinginan encik suami, seorang penggemar durian 😄. Tapi kali ini cuma ada longgokan kecil durian, sebab stok baru belum tiba.

Malam kedua kami tak keluar. Kami buat pesanan Sate Padang Afrizal Amir melalui GrabFood. Makan di bilik hotel je.


Hari Ketiga | Isnin
Pukul 7.30 pagi sarapan di hotel.

Balik bilik penginapan dan berkemas.

Pukul 10 pagi kami keluar berjalan kaki di sekitar hotel penginapan.

Pukul 11.30 pagi kami mendaftar keluar hotel.

Pukul 12 tengah hari kami tiba di Center Point Mall dengan menaiki GrabCar. Tak ada rancangan khusus hari ini. Jadinya sekadar menghabiskan masa begitu saja. Kami makan tengah hari di The Coffee Crowd (ulang tempat yang sama pada hari pertama tiba), kali ni makan menu berbeza supaya dapat merasa macam-macam 😁. Lepas makan, kami menunaikan solat jamak Zohor-Asar di musholla dalam mall.

Pukul 1.40 petang kami ke Stasiun Medan. Beli tiket tren di mesin tiket untuk pelepasan pukul 2 petang.

Pukul 2.35 petang, tiba di Bandara Internasional Kualanamu. Kami berjalan-jalan melihat sekitar bandara. Kemudian terus ke kaunter syarikat penerbangan Citilink untuk mendaftar masuk. Selepas itu barulah kami duduk melepak di Starbucks. Beli minuman dan pastri seorang satu. Tapi saya memang jenis bosan duduk setempat, jadinya pada kebanyakkan masa saya berjalan seorang diri meronda bandara. Melihat pelbagai ragam manusia dan kesibukan bandara. Memerhati juga banyaknya kedai-kedai yang terbiar tak lagi beroperasi. Saya memotret sana sini.

Pukul 6.45 petang barulah kami dapat masuk pesawat. Terlewat sedikit dari jadual atas masalah teknikal katanya. Alhamdulillah selamat mendarat di PP sekitar pukul 8.30 malam (waktu Malaysia).

——————————————————————


Kos 3 Hari 2 Malam Untuk 2 Orang

Kos agak tinggi atas faktor pembelian tiket penerbangan di saat akhir (beberapa hari sebelum bertolak), perjalanan hujung minggu dan cuti perayaan. Juga kami memilih hotel penginapan yang selesa lengkap dengan sarapan pagi. Aktiviti pula lebih kepada makan-makan dan kami bergerak menggunakan perkhidmatan GrabCar. Aktiviti memborong buku-buku saya juga menjadi penyumbang besar kepada kos trip kali ini 😅

Pengangkutan :
  • Tiket kapal terbang PEN-KNO perjalanan pergi-balik - RM527.92
  • Parkir di lapangan terbang untuk 2 hari 10 jam - RM70
  • Tiket tren KAI Bandara Rp. 70k x 4 - Rp. 280k
  • GrabCar sekitar kota Medan - Rp. 237k
Takaful perjalanan :
  • Etiqa Tripcare 360 | Silver - RM40.67
Internet :
  • Simkad Digi Prepaid - RM10 (tapi tak boleh guna, gagal daftar)
  • Langgan Internet Roaming Celcom telefon encik suami - RM58 (untuk 7 hari, ni je paling berbaloi)
Penginapan :
  • Hotel Santika Premiere Dyandra | Superior Room Queen Bed with breakfast - RM391.73
Makanan :
  • Malaysia - RM16
  • Indonesia - Rp. 1,296,510
Tiket masuk muzium :
  • Tjong A Fie Mansion Rp. 35k x 2 - Rp. 70k
  • Istana Maimun Rp. 10k x 2 - Rp. 20k
Oleh-oleh :
  • 8 buah buku Tere Liye - Rp. 755k
  • Bika Ambon - Rp. 93,501

JUMLAH :
  • RM1,114.32
  • Rp. 2,752,011

* kadar tukaran wang RM293 = Rp. 1j






.

24 comments:

  1. Bestnya kak dapat bercuti ke seberang. ;)

    ReplyDelete
  2. Oleh-oleh buku Tere Liye tu yang paling menarik!

    ReplyDelete
  3. wah trip mengejut ke ni Kak Ujie? Seronoknya pergi bercuti2 jauh sikit. Saya belum lagi travel ke luar negara pasca covid walaupun dah renew passport.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Buat keputusan dan beli tiket mengejut. Tapi akak memang dah study beberapa destinasi dan siap cadangan itinerari. Bila-bila ada kesempatan, terus pilih trip ke mana dan sesuaikan itinerari dengan masa yang ada.

      Delete
  4. wahh dekat rm2k jugak tapi yg penting enjoy dan happy kann gi indonn 🇮🇩 👍👍

    ReplyDelete
    Replies
    1. Enjoy ambil pengalaman baru - suasana dan makanan. Kos trip kali ni memang tinggi 😅

      Delete
  5. Banyak jalan tutup, perjalanan jadi lama.
    Harap gembira jalan di sana.
    Jauh juga cari durian. Hehe.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Pemandu GrabCar kata, ada acara orang keling. Merujuk kepada Thaipusam agaknya. Itu yang banyak jalan tutup.

      Alang-alang dah sampai, kita cari la durian sana. Hehe

      Delete
  6. Tak pernah ke sini..nanti nk try la..hihi

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sesuai untuk dicuba sebab Medan ni antara destinasi luar negara yang paling dekat dan rendah kos penerbangannya.

      Delete
  7. kalau ke jakarta boleh jumpa wak Lat tu kak heheheh... dia kan dh biasa jln sana sini

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wak Lat busy ke sana ke sini…susah nak jumpa tu 😄

      Delete
  8. Wah...seronoknya...Saya suka bika ambon dari seberang...Pernah beli dalam talian kat sini tapi tak sama rasa..tak sekenyal dan seharum dari sana

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ooh ada juga orang jual kat sini ya..
      Memang harum bau Bika Ambon dari Medan ni.

      Delete
  9. tiba2 dah sampai seberang ye kak....

    ReplyDelete
  10. betul, kembara ke tempat yg belum pernah sampai, sentiasa mengujakan, pengalaman baru, suasana baru...bestnya, dah travel ke luar negara..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Pembuka tirai...pergi yang dekat dan mudah je.

      Delete
  11. Saya belum pernah sampai Medan.
    Membaca catatan Ujie...teringin pula nak ke sana..hihihi

    ReplyDelete
  12. Waah kak ujie ke kota tempat orang tua saya 😄. Saya orang Medan, tapi dah lama merantau ke Jakarta. Medan tuh buat saya juga tak terlalu menarik kalo wisata, tapi lebih tepat untuk wisata kuliner kak. Saya pernah tulis banyak ttg kuliner Medan. Makanan Medan yang paliiing saya suka. Jadi tiap kali mudik melihat orang tua, pasti tujuan utama saya mencari kuliner baru 😁.

    Sayang kak ujie ga mencicipi lontong Medan, nasi gurih kak Lin, warkop agen senyum, soto Kesawan, wajir seafood, ga tau lagi lah saking banyaknya 😄😄.

    Tapi Ucok durian tempat saya juga kalo kepengen durian. Sedang musim kah? Seinget saya musimnya September.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wah...Hai orang Medan!
      Betul, kami datang lebih kepada kuliner - makan-makan.

      Memang banyak lagi tempat makan yang kami tak pergi. InsyaAllah kunjungan lain.

      Ucok Durian katanya ada sepanjang tahun. Setiap hari ada stok durian tiba dari serata tempat.

      Delete

*****
Komen kalian, bicara antara kita 😊

Saya juga boleh dihubungi menerusi e-mel | halifa02@gmail.com
*****