Friday, 31 December 2021

Cuma 16, Cuba Lagi Tahun Hadapan!

Hari terakhir tahun 2021, saya melihat kembali azam yang telah saya letakkan buat diri. Azam membaca buku sebanyak 24 buah setahun, gagal! Memang membaca bukanlah satu perlumbaan, tetapi kalau ada sasaran kita akan rasa lebih bersemangat untuk menyelak lembaran demi lembaran.

Saya guna aplikasi Goodreads untuk merekod bacaan. Bagi tahun 2021 saya cuma berjaya menghabiskan bacaan 16 buah buku. Ada sebuah buku digital, tidak termasuk dalam pengiraan di atas. Jumlah muka surat yang tertera di atas pula tidaklah begitu tepat, sebab ada buku terbitan edisi kemaskini dengan pertambahan muka surat dan ada pula buku edisi terjemahan dengan jumlah muka suratnya tidak sama dengan yang asal. Tidaklah penting pun, saya nyatakan sekadar untuk makluman sendiri memandangkan ini tahun pertama saya merekod bacaan di Goodreads.

Buku paling nipis dan buku paling tebal yang saya baca tahun ini.

16 buah buku, boleh klik DI SINI kalau nak baca catatan saya berkenaan buku-buku tersebut. Kecuali sebuah buku berjudul Di Bawah Teduhan Kisah-Kisah Al-Quran, saya belum buat catatannya sebab baru saja selesai membaca malam semalam.

Apa pun, Alhamdulillah dengan pencapaian ini. InsyaAllah tahun 2022 saya akan cuba lagi. Saya masih tetapkan sasaran 24 buah buku sahaja.

Selain azam membaca buku, saya juga sudah senaraikan azam berkenaan sasaran ibadah (mengaji/solat sunat/puasa sunat), berblog dan aktiviti rekreasi (mendaki/merentas hutan/berkhemah/eksplorasi gua). Semua sasaran saya biasa-biasa saja dan tidaklah tinggi. Dengan menulis senarai azam, kita lebih jelas dengan apa yang ingin kita capai dan lebih bersemangat untuk menjalani hidup seharian. Tapi, kena ingat bahawa kita hidup dalam suasana yang sangat mencabar. Sediakan hati dengan segala kemungkinan di mana azam kita tak terlaksana dek perkara yang tak terduga, di luar kawalan kita.

Semoga dengan izin Allah segala azam dan impian kita semua menjadi nyata. Selamat menyambut tahun 2022 buat sahabat-sahabat blog ❤️



Tuesday, 28 December 2021

Amazing Camp Legacy (Veteran VAT69), Lenggong | Penginapan Chalet

Rabu - Khamis | 15 - 16 Disember 2021

Kunjungan kali kedua saya ke Amazing Camp Legacy pada bulan Disember ini. Kali pertama, saya dan suami berkhemah (catatannya DI SINI). Kali kedua ni, kami memilih untuk menginap di chalet sebab kami bawa bersama dua orang anak saudara. Kawasan tapak perkhemahan dan kawasan chalet terletak di kawasan yang berbeza, tapi taklah terlalu jauh. Jadinya pengalaman bermalam di khemah dan bermalam di chalet juga berbeza.

Kami menginap di Chalet A, RM110 / malam termasuk sarapan pagi. Saya minta satu chalet dengan katil Queen dan satu chalet dengan katil Single. Sebahagian dinding chalet saya duduk ni diperbuat daripada hasil anyaman, mungkin sebab tu tak terasa panas sebab ada aliran udara melalui celahan anyaman.

Kalau nak chalet untuk 3 orang dan bilik air di dalam, boleh pilih chalet Jerai atau Kemar dengan harga RM150 / malam termasuk sarapan pagi.

Bilik air di luar chalet. Tak jauh mana pun. Saya ambil gambar bilik air ni dari chalet saya menginap. Terdapat 4 buah bilik air. Kelengkapan mandian perlu bawa sendiri. 

Langit malam yang indah. Berada di tempat yang kurang pencemaran cahaya, kita akan dapat melihat bulan dan bintang dengan lebih jelas dan lebih cantik. Suasana malam di sini tenang dan sunyi. Kami tidur awal sebab siangnya dah penat bermain air dan esok pagi nak main air lagi 😁

Waktu Subuh kami dikejutkan dengan bunyi yang asing di pendengaran saya. Bila buka pintu chalet, rupanya ada dua ekor ayam di atas dahan pokok. Suami kata ni ayam kluk kluk. Memang terasa suasana kampung bila menginap di sini.

Suasana pagi di sini meriah dengan bunyi unggas peliharaan pemilik tempat ni. Inilah rupa ayam kluk kluk. Mungkin juga ada nama lain, sebab kluk kluk tu merujuk kepada bunyinya. Cantik rupa ayam ni bila mengembangkan badannya.

Percubaan anak saudara untuk bergambar bersama kumpulan unggas di sini. Dapat dekat begini dah dikira satu kejayaan πŸ˜€. Tapi dengan angsa, masih belum berani dekat.

Ambil pengalaman memberi makan angsa. Sebelumnya, salah seekor angsa ni ‘menyudu’ suami saya. ‘Digigitnya’ baju tak mau lepas, sehinggalah diarahkan tuannya suruh lepaskan ‘gigitan’ πŸ˜…. Lepas tu, elok je keduanya makan di tapak tangan suami. Tak perlu takut kalau ‘disudu’ angsa, sebabnya angsa tak ada gigi dan paruhnya pun tak tajam.

Dewan Kerambit, inilah tempat kami bersarapan pagi. Dewan ini dihias dengan gambar-gambar kenangan pemilik sepanjang berkhidmat dengan PDRM. 

Kami berpeluang bersarapan pagi bersama pemilik Amazing Camp Legacy, iaitu Dato’ Abd Rashid bin Harun. Terasa segan juga saya duduk bersama orang hebat. Beliau merupakan Yang Dipertua Persatuan Veteran VAT69 Komando, juga pernah menjawat jawatan sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah dan merupakan Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) yang pertama.

Dalam pada segan, habis juga saya makan sebungkus nasi lemak dan kuih. Air kopi pun siap menambah πŸ˜„. Rupa-rupanya air kopi sedap tu dibuat sendiri oleh Dato’ Rashid. Istimewanya nasi lemak di sini, dibungkus sepenuhnya menggunakan daun pisang. Susah nak jumpa pada zaman sekarang ni kan.

Dato’ Rashid ni seorang yang peramah dan suka bercerita, juga pandai berjenaka. Saya suka mendengar buah fikiran beliau berkenaan masa depan negara. Juga tentang semangat dan impiannya dalam menubuhkan kem ini, ia bukan sekadar tempat untuk menikmati alam semulajadi. Saya suka idea beliau untuk menyampaikan ilmu ikhtiar hidup (survival) komando kepada orang awam menerusi latihan kepimpinan yang akan dikendalikan oleh veteran VAT69 Komando. Bukanlah nak suruh jadi macam komando, tapi sekurang-kurangnya ada ilmu untuk membaca situasi dan melakukan tindakan yang terbaik.

Kami beli buku biografi beliau - Abd Rashid Harun : Antara Kedaulatan dan Pengorbanan. Dapatlah tanda tangan beliau di buku ini. Kami juga membeli beberapa helai t-shirt cenderahati.

Aktiviti Utama - Main Air
Sebelum ni kami berdua je bermain air, kali ni lebih seronok bila ada budak-budak bersama. Kuranglah segan kami yang tahap umur makcik pakcik nak main air 😁

Dari kawasan chalet, kita perlu menuruni anak tangga untuk ke sungai di bawah sana. Bunyi deruan air sungai tu memang membuat hati melonjak seronok!

Ketiga-tiga gambar di bawah, kami berada di tempat yang berbeza. Setiap tempat ada keseronokan tersendiri, kenalah rasa semuanya. Ada yang cetek, ada yang dalam dan ada yang deras.

Airnya sejuk sangat. Petang pun sejuk, pagi lagilah sejuk!

Di tempat ni pula ada hammock, syok baring sambil pejam mata dan menikmati bunyi deruan  air sungai.


Puas kami bermain air sungai yang sejuk dan menyegarkan badan - berendam, menyelam, apungkan diri, bersantai dengan hammock di dalam sungai. Lagi pulak selama 2 hari kami di sini keadaan agak lengang sebab kami datang pada hari bekerja. Selain kami, cuma kelihatan beberapa khemah pengunjung di kawasan tapak perkhemahan.

Kelebihan air sungai di sini, tiada kawasan penempatan mahu pun kebun di bahagian atas. Jadinya air yang mengalir benar-benar bersih dan bebas pencemaran.

Bagi sesiapa yang sukakan kehidupan dengan suasana kampung yang tenang, juga keriuhan bunyi unggas di waktu pagi, bolehlah cuba menginap di sini. Dapat pula bermain air sungai berjeram, memang seronok! Kalau ada sekolah/jabatan nak buat kursus kepimpinan & latihan di sini pun memang sangat sesuai, ada penginapan dorm. Yang ni kena bertanya lanjut dengan pihak kem sendirilah ya.

—————————————————————
AMAZING CAMP LEGACY (VETERAN VAT69)
LOT 1550, KG. DANGLANG,
KUAK, LENGGONG,
PERAK.

Carian Google Maps : Amazing Camp Legacy (veteran VAT69)

Pertanyaan / tempahan :
013-985 6300 (En. Zam)
019-420 2770 (Pn. Ira)






.

Thursday, 23 December 2021

Dapur Terminal Cinta, Lenggong

RABU | 15.12.2021

Minggu lepas, saya dan suami sekali lagi ke Amazing Camp Legacy di Lenggong, Perak. Pada waktu malamnya, kami keluar mencari kedai makan di kawasan berhampiran. Alhamdulillah tak perlu keluar jauh, kami jumpa sebuah kedai makan yang menarik - Dapur Terminal Cinta.

Kedai makan dengan dekorasi unik. Ada jiwa. 

Dekorasi di bahagian dinding.

Memang tak sempat nak bosan. Sementara menunggu hidangan yang dipesan tiba, bolehlah kita meneliti poster dan potret yang ada di kedai ini.

Oh ya, nak tengok menu cuma perlu scan QR code yang ada di meja makan untuk melihat paparan e-Menu.

Hidangan pilihan suami.

Hidangan pilihan anak-anak saudara.

Hidangan pilihan saya.

Kali ni kami bukan berdua, tetapi ada dua orang anak saudara bersama kami. Kami diamanahkan menjaga keduanya sepanjang ibu ayah mereka pergi menunaikan umrah. Masa ni saya cakap nak ambil gambar masuk blog, terus yang seorang tu menyorok muka πŸ˜„

Alhamdulillah, semua makanan dan minuman sedap menepati selera kami berempat. Masing-masing memuji kesedapan makanan masing-masing. Layanan pun sangat mesra dan pantas. Kedai makan yang menarik, kemas dan bersih.

Kalau ada sesiapa ke Lenggong bolehlah mencuba makan di sini. Kedai di buka pada waktu petang hingga tengah malam. Nak ke sini cari je ‘Terminal Cinta’ di Google Maps. Lokasinya di tepi jalan, mudah dilihat.

——————————————————————
DAPUR TERMINAL CINTA
Kuak, Lenggong,
Perak.
016-534 4313

Waktu operasi :
Selasa - Sabtu (4 petang - 12 tengah malam)
Ahad - Isnin (tutup)


Wednesday, 22 December 2021

Superfruit | Buah Gac

Ada yang kenal buah ini (lihat gambar di bawah)? Inilah BUAH GAC. Sebelum ini saya sekadar tahu nama buah ini (tanpa kenal rupanya), dan ini merupakan kali pertama saya melihatnya sendiri.

Buah Gac dikategorikan sebagai superfruitSuperfruit merupakan kelompok buah-buahan yang memiliki nutrisi tinggi yang bermanfaat bagi kesihatan, seperti antioksidan, serat, vitamin dan mineral dan banyak nutrisi lainnya yang tentu bermanfaat bagi kesihatan tubuh.

Superfruit ialah terminologi yang digunakan oleh industri makanan untuk menggambarkan buah-buahan yang mempunyai nilai nutrisi yang melebihi tahap nutrisi asas.

Istilah superfruit ini telah diperkenalkan pada 2005 untuk mempromosi beberapa jenis buah-buahan yang telah dikenalpasti yang lazimnya diaplikasikan dalam makanan kesihatan dan minuman serta berpotensi untuk mencegah atau mengurangkan penyakit. (Sumber info : web laman eksotik perlis)

Buah Gac
Buah Gac - warna oren kemerahan, kulitnya berduri tetapi tidaklah begitu tajam.

INFO BUAH GAC
Buah Gac atau gac fruit atau dalam bahasa saintifiknya Momordica Cochinchinensis dari famili Cucurbitaceae merupakan buah yang boleh didapati di rantau Asia Tenggara yang berasal dari Selatan China ke Timur Laut Australia, termasuk Thailand, Laos, Myanmar, Kemboja dan Vietnam.

Pokok buah Gac mempunyai musim yang pendek dan hanya mengeluarkan buah sekali setahun sekitar bulan Disember dan Januari, menyebabkan kurangnya kelihatan jika dibanding dengan buah-buahan lain. Buah Gac telah mula popular dan dipasarkan di luar Asia dalam bentuk jus kerana kandungan fitonutrien yang tinggi.

Buah Gac atau melon merah, tumbuh sebagai tumbuhan menjalar pada pagar atau pada trilis. Gac mengeluarkan buah berwarna hijau ketika muda dan bertukar warna oren gelap apabila matang, dan biasanya berbentuk bulat atau bujur dengan saiz antara 13 cm panjang dan 10 cm garis pusat. Kulit bahagian luarnya berduri kecil (bergerigi) manakala pulpa didalam berwarna merah gelap menutupi kelompok biji benih. Rasanya agak pahit seperti peria.

Secara tradisinya, Gac dimakan sebagai buah-buahan manakala daunnya dimasak untuk hidangan di Vietnam, Gac juga digunakan untuk perubatan. Membrane biji benih dikatakan dapat membantu dalam melegakan dan menyejukan mata dan juga untuk menggalakkan kesihatan penglihatan. Begitu juga, dalam perubatan tradisional Cina, biji benih buah Gac, yang dikenali dalam bahasa Mandarin sebagai mù Bie zǐ yang membawa maksud 'kayu penyu benih', digunakan untuk pelbagai tujuan dalaman dan luaran.

Buah Gac mencapai Β΅g 380/gram lycopene jika dibandingkan dengan buah tomato yang hanya mengandung Β΅g 31/gram lycopene. Kandungan beta-karoten dan lycopene memberikan warna oren, jingga dan merah pada buah atau sayur. Pengambilan buah atau sayur yang mengandungi lycopene mampu memperbaiki kerosakan pembuluh darah, menekan pembentukan kolestrol, ketumpatan rendah (LDL – low density lipoprotein) dan mengurangkan risiko serangan jantung. 

Sekumpulan penyelidik dari Universiti Cambridge England yang diketuai oleh Parag Gajendragadkar, mengukur tekanan darah, kelajuan aliran darah, kadar kalestrol baik atau high density lipoprotein (HDL) dan low density lipoprotein (LDL) menggunakan pelbagai parameter. Hasilnya pengambilan lycopene terbukti meningkat keanjalan saluran darah pesakit dan mengurangi serangan jantung sehingga 53%.

Oleh kerana kandungan yang tinggi beta-karotena dan lycopene, ekstrak gac mampu mendapat pasaran yang baik sebagai makanan tambahan dalam bentuk kapsul lembut atau jus minuman. (Sumber info : web laman eksotik perlis)

Jom potong buah Gac.

Buah Gac
Beginilah rupa isi buah Gac setelah dipotong. Yang warna kuning tu lembut, saya tak cuba makan. Saya lihat di Facebook ada yang kisar jadikan jus dan ada yang campur dalam masakan. Biji-biji kecil dengan selaput warna merah gelap tu pula katanya cuma boleh dimakan sebanyak 3 biji sahaja dalam sehari. Kalau berlebihan mungkin akan mendatangkan mudarat disebabkan nilai nutrisinya yang tinggi. Bagaimana rasanya? Tiada rasa. Bagi saya, ianya bukanlah sedap untuk dimakan begitu saja. Tapi sebab dah ada, makan sajalah untuk ambil khasiatnya.

Buah Gac
Begini rupa biji benih buah Gac. Kecil, leper dan berwarna hitam.

Bagi yang berminat nak mendapatkannya, saya lihat ada yang menjual benih, anak pokok dan buah Gac ini di Shopee, Lazada dan Facebook. Hasil carian saya juga mendapati pokok buah Gac ini ada ditanam di Taman Buah-Buahan Eksotik yang terletak di Jalan Batu Pahat, Perlis. Bolehlah datang melawat bagi yang ingin melihat pokok dan buah Gac secara dekat. Saya tak pasti mereka menjualnya atau tidak.



Sunday, 12 December 2021

Pengalaman Berkhemah di Amazing Camp Legacy (Veteran VAT69), Lenggong, Perak

Amazing Camp Legacy, Lenggong, Perak | 4 - 5 Disember 2021

Semenjak ada khemah sendiri, ini merupakan kali ke-2 saya dan suami berkhemah. Kali pertama di Janda Baik, Pahang sekitar dua tahun lalu. Catatannya DI SINI

Kali ini kami ke Perak, ke sebuah tapak perkhemahan yang agak baru beroperasi. Amazing Camp Legacy (Veteran VAT69) dimiliki oleh Datuk Abd Rashid Harun, seorang veteran VAT69 komando. Ini antara sebab yang membuat kami tertarik nak mencuba berkhemah di sini.

Kedudukan tapak perkhemahan ini tak sampai 2 km dari jalan utama. Kita akan melalui jalan kampung yang kecil dan sedikit laluan tidak berturap. Jangan risau, jalannya sesuai bagi kereta biasa. Boleh tonton video di hujung catatan ini untuk lebih jelas.


Sabtu | 4 Disember 2021

Amazing Camp Legacy (Vateran VAT69), Lenggong, Perak
1. Sampai je kawasan parkir, kita akan terus nampak binaan tandas ni. Terdapat 2 tandas dan 2 bilik mandi. Dalam tandas tu ada dipasangkan shower juga. Keluasan yang selesa, ada penggantung pakaian, cermin muka, baldi dan gayung. Masuk buka selipar dan pakai selipar disediakan di dalam supaya tandas/bilik mandi tak kotor dengan tanah. Di bahagian tepi terdapat 2 buah sinki untuk kemudahan kita membasuh pinggan mangkuk.

Kat kawasan berhampiran tandas inilah terletaknya Campsite 1. Sesuai bagi mereka yang menggunakan khemah saiz besar atau memang memilih nak pacak khemah atas tanah. Masa kami sampai di sini sekitar pukul 12 tengah hari, cuma ada satu keluarga besar yang sedang berkhemah. Katanya dah berada di sini sejak semalam (Jumaat) dan memang tak ada pengunjung lain.

Amazing Camp Legacy (Vateran VAT69), Lenggong, Perak
2. Kami nak berkhemah di Campsite 2, yang juga dikenali sebagai Pulau Legenda sebab kedudukannya seperti pulau (dikelilingi sungai). Untuk ke Campsite 2 kita perlu menyeberangi jambatan kecil ni. Masa ni saya dah cukup terpesona dengan pemandangan sekitar dan aliran sungai berjeram. Bunyi deruan air sungai bagai memanggil-manggil saya untuk menikmati kedinginan airnya. Sangat teruja!

Amazing Camp Legacy (Vateran VAT69), Lenggong, Perak
3. Di Campsite 2 - Pulau Legenda semua tapak khemah di atas pangkin. Masa kami sampai semua pangkin masih kosong, dapatlah kami memilih pangkin dengan kedudukan yang memenuhi citarasa kami. Mulanya terkial-kial juga nak pasang khemah, maklum saja dah tersimpan selama dua tahun. Alhamdulillah khemah masih dalam keadaan baik dan tak susah pasang. Disebabkan khemah tak pacak dengan tali, kenalah cepat-cepat letak barang berat di dalam khemah sebab angin agak kuat. Flysheet tu pulak memang dah tersedia dan termasuk dalam bayaran. Tak payah kita susah-susah pasang sendiri.

Amazing Camp Legacy (Vateran VAT69), Lenggong, Perak
4. Terasa syahdu lain macam dapat solat berlatarkan bunyi deruan air dan menghadap sungai berjeram. Berhampiran pangkin kami, terdapat satu pangkin yang sedang dibina untuk dijadikan tempat solat. Tapi saya tak ada masalah untuk solat di pangkin sendiri, masih muat.

Amazing Camp Legacy (Vateran VAT69), Lenggong, Perak
5. Keindahan sungai berjeram di tepi tempat kami berkhemah. Yang ada macam tali tu hammock. Syok sungguh dapat baring di hammock sambil berendam di dalam air. Tempat ni agak privasi sebab tak ramai pengunjung yang datang bermain air di sini sepanjang kami berkhemah, kecuali beberapa orang dan cuma sekejap saja. Dapatlah saya bebas bermain air di sini. Sebabnya, sungai di sini panjang dan luas. Pengunjung ada banyak pilihan tempat untuk bermain air.

Amazing Camp Legacy (Vateran VAT69), Lenggong, Perak
6. Merasmikan Foldable Barbeque Grill yang baru dibeli. Sesuai juga jika nak buat tempat unggun api, tak merosakkan/mengotorkan tanah di tapak perkhemahan. Kami panggang ayam, sotong dan daging burger.

Amazing Camp Legacy (Vateran VAT69), Lenggong, Perak
7. Petangnya kami meninjau keseluruhan kawasan tapak perkhemahan ini dan mencuba bermain air di beberapa tempat. Yang dalam gambar ni kedudukan jeram paling hujung yang mudah dan selamat untuk kita pergi. Kami sangat teruja dengan keindahan yang terbentang. Maha Suci Allah yang menjadikan tempat indah begini. Berkenaan kedalaman air sungai, ada tempat yang kedalamannya separas dada saya.

Amazing Camp Legacy (Vateran VAT69), Lenggong, Perak
8. Pokok-pokok di sini juga menarik perhatian saya. Kawasan ini asalnya hutan dan kebun, sebab tulah ada pokok-pokok besar dengan akar berselirat.

Amazing Camp Legacy (Vateran VAT69), Lenggong, Perak
9. Geram tengok kan? Di sebabkan dah lewat petang, esoknya selepas sarapan pagi kami kembali ke sini untuk bermain air di hujung sana.

Amazing Camp Legacy (Vateran VAT69), Lenggong, Perak
10. Pemandangan di sekitar Campsite 2. Masa ni kami dah ada jiran, ada beberapa khemah didirikan berhampiran pangkin kami.

Amazing Camp Legacy (Vateran VAT69), Lenggong, Perak
11. Malamnya kami mengopi dan makan mi Maggi sambil menikmati suasana malam. Tapak perkhemahan sudah meriah dengan para pengunjung di Campsite 1 & 2, tetapi suara-suara mereka tenggelam di balik ‘keriuhan’ deruan air sungai. Begitu juga bunyi cengkerik dan burung tukang yang hampir tenggelam dengan bunyi deruan air sungai.


Ahad | 5 Disember 2021

Amazing Camp Legacy (Vateran VAT69), Lenggong, Perak
12. Lepas menunaikan solat Subuh, kami berjalan-jalan menikmati suasana awal pagi di sini. Indah dan cukup tenang.

Amazing Camp Legacy (Vateran VAT69), Lenggong, Perak
13. Inilah chef sepanjang perkhemahan kami, suami saya menawarkan diri untuk membuat tugasan masak-memasak. Memang sukalah saya, sebab saya lebih gemar menikmati alam dan kurang berminat nak memasak. Hehe. Jadinya saya bertugas membasuh bekas makan dan mengemas. Dalam gambar ni suami sedang sibuk menyiapkan hidangan sarapan pagi kami.

14. Hidangan sepanjang kami di Amazing Camp Legacy. Yang mudah dan ringkas je, janji perut kenyang.

Sekian catatan perkhemahan kami kali ini. Alhamdulillah tak hujan sepanjang kami di sini. Sangat berpuashati dan sangat seronok! InsyaAllah kami akan datang lagi ke sini. Selain tapak perkhemahan, di sini juga ada chalet untuk disewa.

———————————————————————
AMAZING CAMP LEGACY (VETERAN VAT69)
LOT 1550, KG. DANGLANG,
KUAK, LENGGONG,
PERAK.

Carian Google Maps : Amazing Camp Legacy (veteran VAT69)

013-985 6300 (Zam)
019-420 2770 (Ira)

Kadar sewa tapak khemah untuk satu malam :
Campsite 1 (atas tanah) - RM30
Campsite 2 (atas pangkin) - RM50
*tambah plugpoint - RM10


Video berdurasi 2:22 minit.






.

Tuesday, 7 December 2021

Flora di The Habitat, Bukit Bendera, Pulau Pinang

The Habitat merupakan taman hutan yang terletak di Bukit Bendera (Penang Hill), Pulau Pinang. Bila masuk hutan, saya suka memerhati alam sekeliling. Saya suka merakam gambar flora dan fauna, satu terapi bagi diri saya. Cuma fauna agak susah nak dirakam sebab jarang jumpa atau pergerakannya laju.

Sebenarnya, semuanya tumbuhan yang ada di taman hutan ni menarik perhatian saya. Gambar-gambar di bawah ni merupakan gambar tumbuhan yang terpilih untuk saya abadikan di blog. Senang saya nak belek-belek pada masa akan datang. Membelek gambar dapat mengembalikan memori indah, dapat meningkatkan hormon gembira kita.

Gambar-gambar di bawah dirakam dengan menggunakan lensa kamera handphone saya dan pinjam handphone suami (sebab di hujung perjalanan handphone saya kehabisan bateri dek kerana asyik merakam sana sini πŸ˜…).

1.

2.

3.

4.

5.

6.

7.

8.

9.

10.

11.

12.

13.

14.

Kalau nak baca catatan saya sewaktu berkunjung ke The Habitat, boleh klik DI SINI untuk bahagian 1 dan klik DI SINI untuk bahagian 2. Tak lama lagi cuti sekolah, mungkin ada yang nak ke Bukit Bendera bolehlah merancang kunjungan ke The Habitat.