Thursday, 13 August 2026

Ukhuwah di Mekah : Buah Tangan Pemberian Rizwana dari Karachi, Pakistan

CATATAN KEMBARA 8 HARI 7 MALAM DI BUMI HARAMAIN
HARI KEEMPAT | JUMAAT, 10 APRIL 2026

Sambungan entri terdahulu —> Mencari Al-Quran Per Juzuk di Mekah


Petang terakhir di Tanah Suci Mekah, saya mula rasa tak sedap badan - macam nak demam. Kalau sebelum ini saya rasa letih dan mengantuk mungkin disebabkan perbezaan waktu dan perubahan rutin harian, tetapi kali ini rasa panas badan, berat kepala dan mulai batuk. Syukurlah bawa selengkapnya ubatan dari tanah air, rasa tak sihat je saya segera makan ubat.

Petang tersebut saya tunaikan solat Asar di surau hotel penginapan kami. Bangunan Safwah Tower ini bersambung dengan dataran Masjidil Haram, jadinya solat di surau hotel mengikut imam masjid. Mungkin ada pendapat yang berbeza berkenaan solat di surau hotel mengikut imam Masjidil Haram, bolehlah merujuk terus kepada mereka yang luas kefahaman agamanya. Antara rujukan yang saya dipercayai —> zulkiflialbakri.com dan Dr Abu Anas Madani

Apa pun, yang terbaik tentunya solat di dalam Masjidil Haram. Tetapi ketika ada halangan tertentu adalah lebih baik jika kita dapat ikut berjemaah di surau hotel berbanding solat sendiri di bilik.

Surau muslimat, Safwah Tower, Mekah
Pandangan hadapan pintu masuk surau perempuan - diletak penghadang kayu warna putih kerana kedudukannya bersetentang dengan pintu masuk surau lelaki.

Surau muslimat, Safwah Tower, Mekah
Ruang surau luas memanjang ke belakang. Selain al-Quran, turut disediakan deretan bangku kecil bagi yang memerlukan. Tiada tempat wuduk di sini, tapi tak tahulah jika ada di bahagian yang saya tak perasan.

Berbeza dengan surau lelaki yang terletak pada kedudukan hujung bangunan dengan sebahagiannya berdindingkan kaca, mereka boleh nampak terus kawasan dataran Masjidil Haram.

Berbalik kepada tajuk entri. Ketika berada di surau inilah saya bertemu dengan Rizwana, jemaah dari Karachi, Pakistan yang duduk di sebelah kanan saya. Bermula dengan bertukar senyuman, kemudian kami berbual ringkas.

Dia kemudian mengeluarkan dua kotak bahan masakan segera dari beg, dihulur kepada saya supaya memilih salah satu. Saya pilih kotak warna pink ‘Doodh Dulari Dessert Mix’ sebab nampak lebih menarik. Saya ambil, simpan dalam beg dan tak lama kemudian kami memulakan solat Asar.

Oleh-oleh dari Pakistan
Selesai solat (ketika jemaah mula bersurai), tiba-tiba Rizwana menghulurkan satu lagi kotak masakan segera ‘Kheer Mix Rice Pudding’. Katanya dua-dua untuk saya. Saya cuba menolak, segan nak terima sebab tak ada apa yang boleh saya berikan padanya. Dia mendesak saya ambil dan meminta saya mendoakannya. Katanya, dia juga akan mendoakan saya - sambil menyebut semula nama saya. Kami bertukar salam dan senyuman sebelum berpisah.

Ya Allah…saya rasa terharu terima kebaikan Rizwana. Ianya jadi kenangan manis pada petang hari terakhir saya di bumi Mekah. Terima kasih Allah 🩵

Semoga Allah mengurniakan kebaikan di dunia dan akhirat buat Rizwana. Sehingga detik ini, setiap kali saya teringat pertemuan tersebut atau memandang kotak bahan masakan segera (yang masih belum diolah menjadi hidangan 😄) pasti ada doa saya kirimkan buat Rizwana di Pakistan.







Sunday, 9 August 2026

30 Hari Sudah Berlalu

 

Semalam 8 Ogos 2026 merupakan Hari Kucing Sedunia.
Hari ini 9 Ogos 2026 genap sebulan pemergian Jojo.

Bayangan Jojo masih ada di mana-mana - di setiap sudut rumah.
Dia memenuhi rutin harian saya di rumah ini - selalu ada di mana saya berada.
Dia dengan telatahnya yang manja dan lucu, cukup menghiburkan.

Jojo bukan sekadar kucing yang kami beri makan, minum dan tempat tinggal.
Tapi dia berada dekat di hati kami suami isteri, si bulu yang pandai berkomunikasi.
Jojo adalah sebahagian daripada kehidupan kami.


***

Kalau sebelum ini, saya kurang memahami mengapa ada orang terlalu sedih atas kehilangan atau pemergian si anak bulu. Seekor kucing pergi, ada banyak lagi kucing menanti. Tetapi rupa-rupanya, setiap kucing itu unik dengan karektor tersendiri. Itulah yang membuat perasaan sebak dan dada rasa sesak setiap kali terkenangkan si anak bulu kesayangan.

30 hari sudah berlalu, saya masih dalam fasa menyesuaikan diri. Nak berblog pun terasa malas, hilang semangat walau pun banyak perkara nak saya catatkan. Setiap kali saya berada di tingkap dapur, sebak terasa memandang kuburan Jojo di tepi rumah.

Semoga tiba suatu hari di mana saya mampu tersenyum bahagia bila terkenangkan Jojo, bukan lagi dengan titisan air mata.

اَلْلَّهُمَّ إِنِّيْ أَعُوْذُ بِكَ مِنَ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ
Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada rasa sedih dan duka.



SELAMAT HARI KUCING SEDUNIA 🐈
Kalian ada anak bulu kesayangan? Kongsikan namanya di ruangan komen 🩵








Monday, 3 August 2026

Mencari Al-Quran Per Juzuk di Mekah

CATATAN KEMBARA 8 HARI 7 MALAM DI BUMI HARAMAIN
HARI KEEMPAT | JUMAAT, 10 APRIL 2026



Awal pagi esok kumpulan kami akan bergerak ke Madinah, jadinya hari ini merupakan hari terakhir aktiviti kami di Tanah Suci Mekah. 

Masjidil Haram, Mekah
Subuh di ‘Rooftop’ | Saya dan Encik Suami solat Subuh di rooftop Masjidil Haram. Kubah kecil di rooftop menjadi lokasi kami bertemu selepas solat Subuh dan solat jenazah. Foto dirakam sekitar pukul 5.30 pagi.

Masjidil Haram, Mekah
Dalam perjalanan turun, kami singgah di aras 1. Foto di atas memaparkan suasana ruang solat aras bawah.


Mekah, Arab Saudi
Sarapan | Pukul 6.55 pagi, kami makan sarapan di dewan makan hotel. Bagi rakan jemaah yang melakukan umrah tambahan, mereka sarapan lebih awal kerana pada pukul 7 pagi bas akan bergerak menuju ke tempat miqat di Taneem (juga dikenali sebagai Tanaim).


Mencari Al-Quran Per Juzuk Sebagai Oleh-oleh | Kami berhasrat mencari al-Quran per juzuk (satu naskhah satu juz atau beberapa juz) sebagai oleh-oleh dari Mekah buat diri kami sendiri. Boleh saja jika nak mencari di Madinah tetapi kami mahu beli di Mekah sebagai kenangan umrah pertama.

Idea membeli al-Quran tercetus setelah saya membaca naskhah travelog dan refleksi umrah karya Nisah Haron yang berjudul Sehelai Sejadah di Lantai Kaabah.

Jika kita mahu beli al-Quran biasa tu mudah saja, terdapat banyak gerai atau kedai yang menjualnya untuk tujuan wakaf atau untuk diri sendiri. Tetapi kami mahu al-Quran per juzuk, jadinya perlu cari di kedai buku.

Hasil carian Google Maps ‘bookstore near me’ membawa pencarian kami ke sebuah kedai buku di Makkah Commercial Centre.

Mekah, Arab Saudi
Tersesat masuk ke The Clock Towers Shopping Center. Oleh kerana ini kali pertama kami berjalan-jalan di bangunan sekitar Masjidil Haram, jadinya kami tak tahu nama-nama bangunan di sini (kecuali bangunan Safwah Tower - lokasi hotel penginapan kami).

Saya agak terkejut sebab baru tahu ada pusat beli-belah moden dan besar begini berhampiran Masjidil Haram. Tapi kami tak sempat dan tak larat nak meronda, bila sedar tersilap bangunan terus je keluar untuk mencari di manakah Makkah Commercial Centre.

Pintu gerbang The Clock Towers Shopping Center yang gah.

Masjidl Haram, Mekah
Pintu masuk Masjidil Haram di hadapan pintu gerbang tadi. Dekat je.

MCDC Mall (Makkah Commercial Centre)
Kami berjalan ke bangunan seterusnya, barulah jumpa MCDC Mall yang juga dikenali sebagai Makkah Commercial Centre.

MCDC Mall (Makkah Commercial Centre)
Berbeza dengan bangunan Clock Towers, keadaan di sini lengang tak ramai pengunjung.

Dawah Corner Bookstore, MCDC Mall (Makkah Commercial Centre)
Alhamdulillah…akhirnya jumpa kedai buku yang dicari iaitu Dawah Corner Bookstore. Lokasinya di Aras 1, berhampiran eskalator.

Dawah Corner Bookstore, MCDC Mall (Makkah Commercial Centre)
Saya bayangkan kedai buku besar, rupa-rupanya kecil je. Mulanya kami masuk ke dalam kedai, kemudian baru perasan jualan al-Quran diletakkan di bahagian luar.

Dawah Corner Bookstore, MCDC Mall (Makkah Commercial Centre)
Kami beli dua set al-Quran per juzuk - set mushaf warna biru putih (satu naskhah satu juz) menjadi pilihan Encik Suami berharga 250 riyal, manakala set mushaf warna coklat putih (satu naskhah lima juz) pilihan saya berharga 220 riyal.

Beli juga tiga buah buku himpunan surah pilihan sebagai oleh-oleh buat mak saya, mak Encik Suami dan kami sendiri. Harganya 25 riyal sebuah.

Alhamdulillah rasa gembira dapat memiliki al-Quran per juzuk pilihan saya ini sebab lebih ringan mudah dipegang semasa membaca, mushaf Madinah dengan kertas berkualiti dan cetakan yang jelas.

Membeli al-Quran sebagai oleh-oleh tidaklah mudah kerana kita perlu menjaga adab bagi memuliakan al-Quran  :
  • Perlu ada wuduk ketika memegang al-Quran.
  • Pegang beg yang membawa al-Quran di paras dada.
  • Semasa dalam kenderaan, letak beg yang membawa al-Quran di tempat tinggi.

Begitu juga kalau kita nak bawa al-Quran sendiri ke Tanah Suci, perlu jaga adabnya. Saya pernah nampak jemaah bawa al-Quran sendiri masuk ke masjid untuk dibaca sementara menunggu waktu solat. Masalahnya, al-Quran tersebut disimpan dalam beg dan hanya letak di hadapan tempat sujud. Kemudian datang jemaah lain lalu di depan dan langkah beg tersebut.


Beli Kopiah di Safwah Tower | Terdapat banyak kedai jualan di Safwah Tower - lokasi hotel penginapan kami. Kami pergi ke beberapa buah kedai melihat barangan dijual. Tak ada yang berkenan di hati, saya tak beli apa-apa.

Safwah Tower
Begini rupa deretan kedai di Safwah Tower tingkat atas. Encik Suami singgah beli kopiah untuk kawan-kawan tempat kerja. 

Safwah Tower
Sebelum naik ke bilik, kami ke food court beli makanan. Kali ini kami mencuba hidangan piza saiz sederhana berharga 35 riyal.