Catatan 23 - 24 Ogos 2025.
Perancangan saat akhir cuti-cuti back to nature - saya dan Encik Suami menginap di sebuah chalet berhampiran aliran sungai. Saya cari lokasi dan buat tempahan dua hari sebelum pergi.
Lokasi kali ini - Air Beruk Campsite (ABC) yang terletak di Kampung Padang Stang, Gerik, Perak. Lokasinya kira-kira 210 km dari rumah. Perjalanan yang jauh, tapi saya suka dapat melihat tempat orang - melewati kampung-kampung yang belum pernah saya sampai.
Jalan masuk ke ABC. Terdapat banner Warung Sejuk Jiwa.
Dari jalan masuk tadi, akan nampak sebuah warung di sebelah kanan dan deretan pondok di sebelah kiri. Kaunter pendaftaran dan bayaran terletak di pondok sebelah kiri, di tepi jalan masuk. Tiada ruang parkir khusus, pengunjung boleh parkir di mana-mana sudut yang sesuai di celah pokok getah.
Kenderaan kami menuju terus ke hujung kawasan ini - chalet kami terletak di sudut paling hujung. Kami masuk letak barang dalam chalet, lepas tu keluar berjalan-jalan melihat sekitar kawasan ini.
Bilik air bagi pengunjung yang datang berkelah dan berkhemah.
Menu yang ditawarkan di Warung Sejuk Jiwa - warung yang beroperasi di dalam kawasan campsite.
Tak begitu lapar, jadinya kami sekadar memesan satu mangkuk mi bandung.
Boleh makan di mana-mana pondok bermeja berhampiran warung. Kami duduk di sini menghadap aliran sungai. Meriah jugalah tempat ini dengan pengunjung yang datang berkelah - mereka duduk di pondok tepi sungai.
Air sungai cetek di bahagian ini, sesuai untuk anak kecil bermandi-manda.
Di aliran sungai yang sama - depan sedikit dari kawasan ABC, terletaknya kafe dalam air iaitu Castella Cafe. Kami berjalan menyeberangi sungai untuk melihat dengan lebih dekat suasana Castella Cafe. Walaupun air sungai nampak cetek, tapi perlu melangkah dengan berhati-hati sebab ada ketikanya aliran terasa sedikit deras.
Menghampiri pukul 4 petang, keadaan agak lengang. Tempat ini mungkin sibuk pada waktu makan tengah hari. Kafe dalam air - nampak menarik, tapi atas alasan tertentu saya belum tertarik nak mencuba konsep makan begini.
Beginilah rupa chalet penginapan kami. Walaupun menginap di campsite, tapi kami tak berkhemah. Dah beberapa tahun kami tak guna khemah yang ada, entah elok lagi atau tidak.
Penginapan kami berharga RM150 bagi kadar hujung minggu. Tapi nampaknya harga tersebut tak berbaloi dengan apa yang kami dapat. Keadaan chalet tidak memuaskan - dinding kehitaman, keadaan katil seperti belum dikemas, bidai tingkap yang sudah rosak dan bilik air tidak diberus juga mangkuk tandas kuning. Pendek kata, saya rasa tak selesa. Chalet ini sebenarnya nampak belum lama dibina, tapi mungkin tidak diselenggara dengan baik.
Mujurlah saya bawa keperluan yang lengkap - tuala, sleeping bag sebagai alas tidur dan selimut, kain lap kaki dan lain-lain. Saya juga perlu kreatif bagi mengatasi masalah bidai tingkap yang rosak - saya tutup tingkap tersebut dengan kain tudung bawal yang dilipat dua dan disepit kanan kiri pada bidai. Bolehlah jadi langsir untuk satu malam.
Menariknya, chalet kami ni betul-betul menghadap sungai. Juga disediakan meja dan kerusi untuk kita bersantai sambil menikmati deruan air sungai.
Keadaan meja kotor, sebelum guna saya bersihkan meja dan kerusi dengan tisu basah. Cerewet sungguh makcik ni kan, ada je tak kena 😆
Suasana senja di sini, ketika ini hujan gerimis. Foto diambil dari chalet kami.
Sewa sebuah chalet tapi dapat satu campsite! Siang tadi petugas campsite memaklumkan bahawa tiada pengunjung lain menginap di sini dan tiada petugas menjaga. Agak terkejut jugalah saya mendengarnya. Tapi katanya tak perlu risau setakat ini tak pernah ada sebarang masalah. Kalau ada, boleh terus hubungi dia.
Pukul 8.30 malam - dalam rintik halus hujan, kami berdua berjalan memantau keadaan campsite. Terdengar sayup suara orang berborak dari chalet Castella Cafe yang terletak di seberang sungai. Tidaklah terlalu sunyi dan masih ada manusia lain di kawasan berhampiran. Lega jugalah.
Kami mengisi malam dengan mengopi dan berborak sambil ditemani irama alam - deruan air sungai, bunyi cengkerik dan entah bunyi apa lagi. Kemudian kami sambung berehat dalam chalet. Malam berlalu tanpa sebarang masalah. Alhamdulillah.
Esok paginya…
Hampir pukul 7 pagi - hujan sejak malam tadi masih belum berhenti. Air sungai yang jernih bertukar warna kuning coklat. Suasana sejuk dan nyaman.
Masa untuk main masak-masak! Masak yang mudah dan cepat je, janji perut kenyang. Seronok jugalah bila sesekali dapat sarapan dalam suasana alam semula jadi. Hidangan biasa je pun rasa jadi lebih menyelerakan.
Sedang kami menikmati hidangan pagi, ternampak sekumpulan monyet melompat dari satu pokok ke satu pokok. Alamak…terus saya rasa cemas. Syukurlah kumpulan monyet tersebut bergerak semakin jauh dari tempat kami.
Lepas makan, masa untuk turun ke sungai.
Chalet kami - foto diambil dari sungai.
Air sungai sudah semakin jernih maksudnya bahagian atas tak hujan lebat. Selamat untuk kita masuk dalam air. Ketika ini cuma terasa rintik halus hujan.
Airnya terasa sangat sejuk! Kena masuk kaki dan badan sedikit demi sedikit supaya tak terkejut. Paras air tak begitu dalam, cuma separas pinggang saya. Kemudian saya duduk berendam separas dada untuk menikmati keseronokan main air sungai. Ketika ini masih tiada sesiapa di campsite, terasa seperti sungai ini kami yang punya 😂. Fuh! Rasa segar sungguh badan dapat berendam dalam air sungai.
Kami beredar meninggalkan ABC - Air Beruk Campsite sebelum waktu tengah hari. Alhamdulillah dapat juga kami merasa bermalam di tepi sungai setelah sekian lama tak buat aktiviti begini. Kalau kalian nak datang sini untuk berkelah atau mandi sungai tanpa bermalam pun boleh, sedikit caj dikenakan.
Video berdurasi 2:32 minit.
nampaknya tempat ni memang sesuai dtang utk berkelah dan mandi sungai jekot harga chalet tu mahal betul utk bilik yg tak diselenggara. kalau saya pun rasa nak marah jugak.
ReplyDeletenasib baiklah sungai dia bersih, dapatlah pujuk hati sikit
Malam-malam macam agak creepy la, Ujie. Tapi nice getaway la, sejuk sejuk musim hujan ni, walaupun banyak terbaca campsite tepi sungai air besor naik sebab selalu hujan.
ReplyDeleteLebih kurang sama keadaan macam di Sahom, Kampar. Sebab saya pernah camping situ. Juga ada kedai makan yang meja kerusi dalam sungai. Tapi, situ tak sunyi malam-malam, sebab dekat dengan Sahom Valley Resort dan malam-malam kedai makan situ ada karaoke.
Wah, main masak²..berdating di campsite...kalau Linda pun cerewet juga kak..Hihihi...
ReplyDeleteSeronoknya mandi air sungai, sampai Linda ikot terasa sejuk.
Comel betul namanya, Air Beruk!
ReplyDeleteBestnya, sejuk-sejuk air sungai.
View dan suasana dah menarik. Tapi bilik tak selesa pulak ye. Patutnya kena maintain kebersihan dan jaga facilities.
ReplyDeleteJauh perjalanan luas permandangan dan pengalamannya.
ReplyDeleteAlamak, rasa seram pulak tengok bilik air tu. Kalau pergi waktu malam lagilah seram.
Mi bandungnya nampak macma mi sup atu tomyam pulak. Seronok tu makan sambil menikmati permandangan. Macam best pulak Castella Cafe tu, sambil makan sambil berendam kaki. Tapi saya pun macam kak Ujie juga rasa kurang tertarik nak mencuba. Bukan apa, rasa macam kurang selamat pulak. Kurang selesa pun ye juga. Kalau sekadar duduk kejap okay lagilah kan.
Sayangnya lah tak diselenggarakan dengan baik. Kalau begitu keadaan dia siapa pun yang menginap akan rasa tak selesa.
Walaupun dapat satu campsite tapi seram ye kalau tak ada orang lain dan tak ada penjaga. Ghisauu...
Syukurlah aman je ditemani bermacam-macam bunyi.
Syoknya pagi-pagi sejuk dan menikmati alam. Tak ada orang tu yang best, dapatlah berseronok main air.
Alahai chalet tak memuaskan ye... Tapi sungai nampak jernih dan bersih. Best tu berendam tanpa kelibat pengunjung lain. Privacy
ReplyDeleteerkk sebelum ni ada nampak campsite ni dalam website escabee.. nampak gaya mmg keluarkan dari list campsite yg kami nak pergi laa.. huhu
ReplyDeletemekasih berkongsikan info tempat ni..
Sama-sama Mun.
DeleteKalau datang ramai-ramai oklah, kalau berdua elok elakkan supaya tak jadi macam kami 😅
sedap tgk mee bandung tu...bestnya bila tgk view sungai tp view bilik tu nmpk usang
ReplyDeleteCantik tempatnya sungai tu cantik tapi sayang sebab tak diselenggara, kalau dana pun memang tak selesa kalau dapat bilik gitu. Dengan toilet kalau kuning atau berkerak memang rasa tak best la
ReplyDeletePadahal tempatnya menarik, ada sungai jernih juga. Tp sayang kalo kamar tidak sesuai harga ya kak. Saya pun kalo kondisi kamar tidak proper, atau agak kotor, agak malas nak tidur di atasnya. Jujur kulit saya pun sensitif sangat.
ReplyDeletePernah sekali saya menginap di suatu hostel, dan mungkin kasurnya ada kutu kasur, yg bikin badan saya gatal2 esok paginya.
Makanya saya pun cerewet kalo soal kebersihan kamar
Sayang, kawasan dah cantik tapi chalet pulak tak dijaga dgn baik. Saya ni dah la jenis penggeli, sanggup check out dan cari hotel yg bersih dari tidur atas katil yg entah2 cadarnya tak ditukar sejak tetamu yang lepas check out 🤢
ReplyDeleteAkak terfikir jugak, cadar macam tak ganti kalau tengok rupa parasnya tu 😅. Tapi sebab dah bawak alas/selimut sendiri, boleh jelah untuk 1 malam.
Deleteperak memang banyak campsite yang cantik-cantik..terutama di pedalaman, tapi tu la... campsite dah ok, tapi chalet pulak yang masalah.. kensel masuk dalam list..
ReplyDeleteSebagai orang Gerik, malu jugak bila review mcmtu haha terutama pasal keadaan bilik chalet tu. Hmm memang tak berbaloi dengan harga. Mungkin boleh cuba bermalam di Denai Kabus pula lepas ni?
ReplyDeleteDenai Kabus susah nak dapat penginapan kosong masa weekend, lagi pulak jenis last minute booking macam kami ni 😅
DeleteBila tengok bideo tu barulah rasa 'feel' kat sana!
ReplyDeleteMeremang sy baca entry ni. Sayangnya tempat baru tapi tak diselenggara dengan baik. Malas agaknya pekerja dia.
ReplyDeleteRasanya bukan tempat baru, cuma binaan chalet tu saya nampak bukanlah binaan lama. Tapi tak dijaga baik, jadi keadaan chalet teruk.
DeleteNasib baik kawasan sekitar dan sungai bersih dan dijaga baik.
ReplyDeleteHehe masak guna api terus ya? Sejuk-sejuk duduk depan unggun api.
Taklah NA, saja hidupkan unggun api nak kasi feel camping 😀
DeleteMasak kami guna gas.
Tempat dan suasana dah cantik cumanya chalet tak diselenggara dengan elok...kalau SA dah turn off tu..tapi dah jauh perjalanan kan...nak buat macam mana...
ReplyDelete