Agak lama saya tak mencoret di blog dek semangat menulis yang hilang entah ke mana. Bulan April menjadi bulan paling sedikit saya mencatat di blog.
Catatan terakhir bulan ini - berkenaan Jojo si anak bulu yang sudah selamat dimandulkan. Saya juga buat full blood test bagi mengetahui status kesihatan Jojo. Maklumlah, saya mula bela Jojo si kucing jalanan ini ketika usianya (menurut doktor) sekitar 2-3 tahun. Entah apa sejarah kesihatannya saya pun tak tahu.
Saya hantar Jojo ke klinik pada petang hari Sabtu, 26 April dan ambil semula pada lewat petang hari Isnin, 28 April. Prosedur pemandulan dibuat pada petang hari Ahad.
Sepatutnya cuma perlu tinggalkan Jojo satu malam saja bagi prosedur pemandulan, tapi saya tambah lagi satu malam bagi penjagaan selepas prosedur pemandulan.
Menurut staf klinik, kucing jantan perlu dikurung selama tiga hari selepas pemandulan bagi memastikan luka sembuh dan kering. Saya nak tinggalkan Jojo di klinik selama tiga hari tersebut, tapi nampaknya Jojo tak boleh dikurung dalam sangkar - asyiklah mengiau minta keluar 😅. Kasihan pada Jojo dan kasihan staf klinik tahan telinga dengar Jojo bising, jadi saya ambil bawa balik Jojo lebih awal.
Jojo saya biarkan bebas dalam rumah, bukan kurung dalam sangkar. Tapi hampir sepanjang masa Jojo bising mengiau, ada ketikanya sibuk ‘mengais’ bahagian bawah pintu rumah. Beberapa kali Jojo ‘berdiri’ nak capai pemegang pintu 😂. Budak dah biasa bebas keluar masuk tiba-tiba kena kurung, memang tak senang duduklah dia.
Malam tadi (selepas berbincang laki bini dan memeriksa luka Jojo), kami lepaskan Jojo ke luar rumah. Sekejap je dah menghilang, tak sabar agaknya Jojo nak jumpa kawan ceritakan pengalaman masuk wad 😆
Fuh…pengalaman pertama kami yang agak memenatkan dan bercampur lucu.
Klik foto untuk paparan lebih jelas.
Jojo dapat diskaun prosedur pemandulan sebab sebelum ni ambil suntikan vaksin di klinik yang sama. Harga biasa RM90 untuk kucing jantan termasuk wad satu malam. Full blood test tu pula dapat harga promosi pengenalan.
Alhamdulillah Jojo dalam keadaan baik - keputusan ujian darah semuanya ok tak ada masalah. Jojo pun nampaknya sihat selepas ‘bersunat’ - kuat makan dan minum.
Foto terkini Jojo, saya ambil kira-kira pukul 2.30 petang tadi. Sejak jadi kucing yang dibela, beginilah rutin Jojo - tidur dari pagi hingga ke petang. Sesekali je bangun untuk makan dan minum. Geli hati saya tengok gaya tidurnya yang pelbagai, selalunya terlentang dan terkangkang 😆
Alhamdulillah selesai satu hal. Moga dengan usaha ini (prosedur pemandulan) akan memberi kebaikan buat Jojo dan dapat membantu mengurangkan populasi kucing jalanan.
Semasa membuat itinerari trip ke Jepun, saya susun supaya pada hari Jumaat kami dapat menunaikan solat Jumaat di Tokyo Camii (Camii adalah bahasa Turki, cara sebut - Jamii). Selain tujuan ibadah solat, ia memberi pengalaman baru buat kami - menunaikan solat Jumaat di negara Jepun.
Ini juga merupakan pengalaman pertama saya menunaikan solat Jumaat. Sebelum pergi, saya buat carian berkenaan perempuan ikut solat Jumaat di masjid ini. Maklumlah kalau di negara kita budayanya berbeza, hanya lelaki sahaja yang menunaikan solat Jumaat.
Sewaktu kami tiba, orang ramai sudah pun memenuhi pekarangan masjid dan di bahagian dalam bangunan - bersedia untuk menunaikan solat Jumaat. Saya pula dalam keadaan tergesa-gesa mengejar masa untuk ikut bersama solat Jumaat, memang tak sempatlah nak memotret itu ini. Masuk je pintu bangunan masjid, saya dan Encik Suami berpisah membawa haluan masing-masing - pergi tandas, ambil wuduk dan menuju ke ruang solat.
Foto-foto di bawah saya ambil setelah selesai solat Jumaat (kecuali foto no. 3 & 7), dah tak ramai orang jadi lebih mudah saya memotret sana sini.
Foto 1 | Inilah rupa bangunan Tokyo Camii dengan seni bina Turki. Masjid ini terletak di pinggir jalan besar, tiada pagar memisahkan bangunan masjid dengan bangunan di sekitarnya.
Info ringkas Tokyo Camii :
Terletak di Shibuya, Tokyo.
Merupakan masjid terbesar di negara Jepun.
Pembinaan bangunan masjid ini bermula pada bulan Jun, 1998 dan majlis perasmian pada bulan Jun, 2000.
Dikenali juga dengan nama Tokyo Camii and Diyanet Turkish Culture Center.
Pembinaan masjid dan kos pengurusan dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan Turki.
Perkataan ‘camii’ dalam bahasa Turki bermaksud masjid.
Tokyo Camii turut berfungsi sebagai pusat aktiviti dakwah bagi muslim dan bukan muslim.
Kalau nak tahu sejarah panjang pembinaan masjid ini yang bermula sejak tahun 1938, boleh baca di laman rasmi tokyocamii.org.
Foto 2 | Pintu masuk utama bangunan masjid. Bahagian tingkat bawah menempatan ruang legar, perpustakaan, dewan aktiviti, kafe & kedai produk halal, tandas dan tempat wuduk.
Dewan solat terletak di tingkat atas, boleh naik/turun melalui anak tangga yang terletak di sebelah pintu masuk utama atau anak tangga di bahagian dalam bangunan.
Foto 3 | Tandas dan ruang wuduk muslimah. Terdapat rak untuk kita letak kasut dan beg. Juga disediakan tisu tebal untuk kita lap keringkan kaki sebelum pakai kasut menuju ke dewan solat di tingkat atas.
Ketika di sini, saya jumpa muslimah dari pelbagai bangsa. Semuanya berwajah mesra - tanpa sepatah kata, kami saling bertukar senyuman. Terasa indahnya persaudaraan dalam Islam.
Foto 4 | Selesai ke tandas dan berwuduk, saya naik ke tingkat atas - dewan solat. Kebetulan semasa menaiki tangga tadi saya bertemu dengan orang Malaysia - seorang perempuan muda. Bila ada kawan, kuranglah rasa kekok saya nak lalu di hadapan jemaah lelaki (ruang dalam dewan solat dah penuh, jadi orang lelaki memenuhi bahagian luar).
Foto 5 | Pintu kecil menuju ke ruang solat muslimah. Buka kasut dan tinggalkan di luar sini.
Foto 6 | Lepas tu kena naik tangga sekali lagi. Tangganya bentuk spiral dan kecil saja, perlu berhati-hati melangkah. Foto di atas saya ambil semasa menuruni anak tangga (selesai solat).
Foto 7 | Di sinilah ruang solat muslimah yang terletak di bahagian paling atas di dalam dewan solat. Ruangnya berbentuk memanjang. Semasa saya tiba, ruang muslimah sudah pun hampir penuh. Syukurlah saya masih dapat tempat. Masing-masing berbaik hati bergerak duduk rapat-rapat bagi memberi ruang kepada muslimah yang baru tiba.
Khutbah disampaikan oleh dua orang khatib dalam empat bahasa iaitu bahasa Jepun, diikuti dengan bahasa Turki, bahasa Arab dan bahasa Inggeris. Sempatlah saya membuat sedikit rakaman audio sebagai perkongsian pengalaman dan kenangan :
Video berdurasi 3:06 minit - audio laungan azan dan khutbah dalam empat bahasa.
Foto 8 | Selesai solat Jumaat, saya dan para musafir yang lain terus bangun bagi menunaikan solat qasar Asar (buat solat jamak Jumaat dengan Asar). Selesai solat Asar, tak lama kemudian barulah imam memulakan bacaan doa.
Foto 9 | Beginilah rupa dewan solat Tokyo Camii. Begitu indah mempesona dengan seni bina Turki.
Foto 10 | Bahagian kubah masjid. Kalau dapat rakam foto dari bawah tentu lagi cantik. Saya cuma sempat memotret dari ruang solat muslimah, agak sukar nak dapatkan sudut foto yang menarik.
Selesai solat, saya turun ke bawah. Tadi dah berjanji dengan Encik Suami untuk menunggu di ruang legar. Kami jalan-jalan melihat sekitar.
Foto 11 | Atas - lukisan simbolik hubungan Turki - Jepun. Bawah - ruang perpustakaan dan pameran.
Foto 12 | Sudut berfoto yang menempatkan bendera Turki dan Jepun. Untuk info - Turki merupakan negara Islam pertama yang mempunyai hubungan diplomatik secara rasmi dengan Jepun sejak tahun 1890.
Foto 13 | Paparan waktu solat dan aktiviti masjid sepanjang bulan Disember 2024. Solat Jumaat dibuat pada pukul 12.45 tengah hari, lewat berbanding waktu Zohor supaya sesuai dengan masa rehat orang bekerja.
Foto 14 | Dewan untuk pelbagai aktiviti masjid. Pada mulanya kami sangka di sini letaknya kafe masjid sebab nampak orang ramai sedang makan dan minum. Rupa-rupa mereka sedang menikmati hidangan selepas solat Jumaat yang disediakan secara percuma (kalau tak silap pemahaman kami).
Tengok sana sini, tak nampak pulak papan tanda pintu kafe. Lepas tu kami keluar dari bangunan masjid untuk melihat-lihat kawasan sekitar.
Foto 15 | Menara masjid - megah berdiri menjadi simbolik perkembangan agama Islam di Jepun.
Foto 16 | Keadaan jalan raya di hadapan masjid, tak banyak kenderaan lalu-lalang. Ketika kami di sini, langit berwarna biru cerah dengan udara sejuk. Sesekali angin bertiup menerbangkan dedaun kering penghujung musim luruh. Terasa indah suasana di sini.
Foto 17 | Foto bangunan Tokyo Camii yang menampakkan menara dan kubah masjid.
Foto 18 | Dah berada di luar ni, barulah saya perasan papan tanda kafe & kedai. Pintu masuknya terletak di bahagian tepi belakang bangunan masjid. Bila dah masuk, baru nampak ada laluan ke kafe dari bahagian dalam bangunan.
Foto 19 | Atas - antara produk jualan di kedai ini. Saya perasan, banyak produk keluaran Jepun, Turki dan Indonesia. Bawah - antara makanan yang dijual di kafe. Kafe dan kedai berada di ruang yang sama.
Foto 20 | Kami beli burger, pistachio baklava, sejenis manisan dalam bekas mangkuk dan secawan kopi. Harga semua ni sebanyak 2,721 yen. Kami duduk makan di deretan meja kecil yang disediakan di luar ruang kafe.
Pergi Jepun tapi rezekinya makan makanan Turki, solat pun di masjid dengan seni bina Turki. Boleh terlupa kita berada di Jepun 😄
Alhamdulillah, saya rasa seronok dapat pengalaman baru - menunaikan solat Jumaat buat kali pertama dan dapat solat jemaah di masjid terbesar dan tercantik di Jepun. Terima kasih Allah atas kesempatan ini 💙
.
Ke mana kami selepas ini? Kami nak jalan-jalan ke tempat membeli-belah di sekitar Shibuya dan Ginza. Bersambung catatan di entri seterusnya.
Alhamdulillah saya baru saja kembali dari kembara ke dua buah wilayah di China - Yunnan dan Jiangsu. Ini bukanlah trip jalan-jalan santai tetapi saya ikut Encik Suami dan beberapa orang rakan atas urusan kerja. Trip yang melelahkan kerana banyak pergerakan dari suatu tempat ke suatu tempat.
6 Hari 5 Malam
Perjalanan selama 6 hari 5 malam bermula pada hari Khamis 10 April 2025 sehingga hari Selasa 15 April 2025. Tapi cuma tiga malam saja kami bermalam di hotel, lagi dua malam kami berada dalam pesawat penerbangan.
Lima Penerbangan, Tiga Syarikat Penerbangan
Suatu pengalaman baru buat saya apabila hampir setiap hari saya melakukan perjalanan dengan menaiki pesawat. Lima penerbangan dengan tiga syarikat penerbangan iaitu China Southern, China Eastern dan Scoot.
Laluan perjalanan saya :
Pulau Pinang -> (transit) Guangzhou -> Kunming -> Nanjing -> (transit) Singapura -> Pulau Pinang
Tren CRH
Dua hari berturutan saya menaiki tren CRH (China Railway High-speed) bagi perjalanan pergi dan balik laluan Kunming - Lincang. Perjalanan dengan jarak kira-kira 500 km mengambil masa selama 4 jam.
Transit Sehari di Singapura
Setelah berpuluh tahun saya tak menjejakkan kaki di Singapura (kali terakhir ketika zaman kanak-kanak), trip kali ini membawa saya melihat wajah terkini Singapura.
Kisahnya, rakan yang uruskan pembelian tiket telah tersilap masa penerbangan sewaktu membeli tiket. Sepatutnya kami semua hanya transit di Singapura selama beberapa jam, tetapi akhirnya jadi transit seharian. Kami tiba di Singapura awal pagi dan terbang pulang ke Pulau Pinang pada waktu malam.
Seharian berjalan-jalan di Nanjing pada hari terakhir di China.
Alhamdulillah saya dan Encik Suami selamat sampai di rumah Perlis pada awal pagi semalam - pukul1.15 pagi hari Rabu. Hari ini masuk hari kedua saya berada di rumah, rasa letih dan lesu badan masih belum hilang sepenuhnya.
InsyaAllah catatan permusafiran di dua wilayah negara China akan menyusul setelah catatan trip ke Jepun selesai. Mungkin tak begitu banyak nak diceritakan kerana ini trip kerja, tetapi banyak juga kutipan pengalaman baru yang perlu dicatat sebagai kenangan hidup.
Mohon maaf jika saya masih belum sempat berziarah ke blog kalian dan tak membalas komen-komen di entri terdahulu.
IMAM TERLUPA TAKBIR LIMA KALI | Pagi 1 Syawal, saya dan ahli keluarga yang lain menunaikan solat sunat hari raya di masjid terdekat - di pekan Seri Medan, Batu Pahat.
Pada rakaat kedua, imam terus saja membaca surah Al-Fatihah tanpa bertakbir sebanyak lima kali. Selesai membaca surah Al-Fatihah, agak lama juga imam berdiam diri - mungkin beliau baru sedar terlupa bertakbir. Selepas itu imam meneruskan solat seperti biasa.
Persoalannya, perlukah solat tersebut diulang semula?
Takbir sebanyak tujuh dan lima kali adalah sunat hai’at iaitu amalan sunat yang dituntut, jika ditinggalkan tidaklah membatalkan solat dan juga tidak perlu diganti dengan sujud sahwi.
Maka, solat tak perlu diulang semula.
KUBURAN | Rutin selepas solat hari raya, kami ke kubur pak mentua. Suasana di kuburan ini agak redup dan mendamaikan kerana dikelilingi ladang sawit.
LEPAT | 2 Syawal - sewaktu beraya ke rumah Mak Su (makcik Encik Suami), kami dihidangkan dengan lepat dan rendang daging. Lepat makanan tradisi yang semakin dilupakan, tak ramai yang rajin nak membuatnya.
Lepat atau dalam bahasa Jawa kami sebut ‘lepet’ merupakan sejenis makanan tradisi Jawa yang dibuat daripada beras pulut, dicampur kelapa parut dan garam. Tambah kacang merah jika nak buat lepat kacang merah. Semua bahan tadi digaul dan diletakkan dalam daun kelapa yang dibentukkan. Kemudian diikat dan direbus sama cara merebus ketupat, iaitu selama 3-4 jam.
JALAN RAYA SESAK | Setiap kali hari raya, laluan di sini mengalami kesesakan. Perjalanan jarak dekat boleh jadi sehingga hampir satu jam. Tambah pulak cuaca ketika ini panas terik, memang menguji kesabaran. Tapi kalau mahir dengan ‘jalan dalam’, bolehlah elak dari kesesakan di jalan utama ni.
BALIK KAMPUNG, TIDUR HOTEL | Kami berada di kampung Encik Suami selama dua malam. Malam seterusnya kami ke kampung saya di Pontian. Buat pertama kali, kami balik kampung tapi menginap di hotel. Di rumah mak ada keluarga adik, tiga orang kakak dan abang saya.
Kami menginap di Hotel Aloha - hotel bertaraf 3-bintang yang terletak berhampiran laut Pontian. Tiada pilihan lain, kecuali bilik jenis Deluxe tanpa tingkap dengan harga RM160 (kadar peak season). Harga termasuk sarapan pagi untuk dua orang. Terasa mahal tapi terpaksalah sebab hotel ni je yang banyak mendapat ulasan baik.
Hotel ni ada kemudahan lif, mudahlah kami nak ke bilik di tingkat atas. Biliknya dengan keluasan memuaskan - boleh letak beg dan boleh solat dengan selesa. Tahap kebersihan dan kekemasan bilik pula perlu dipertingkatkan.
Pilihan makanan sarapan pagi - nasi lemak, mi goreng, kue tiau goreng dan bubur nasi. Semasa bersarapan barulah saya nampak ramai orang yang menginap di hotel pada hari raya, malah ada yang siap berpakaian raya.
Kalau ikut hasil survey di medsos, rata-rata orang ramai bergerak pulang ke kampung halaman pada hari Khamis, Jumaat dan Sabtu. Kami pula bergerak pulang pada hari Ahad - bermusafir menjelang Aidilfitri.
PAGI | Sebelum meninggalkan rumah, kami siapkan keperluan Jojo si anak bulu - makanan, minuman serta tempat lepak/tidur (sebuah khemah kecil dan kerusi healing) berhampiran pintu masuk rumah.
Berat hati sungguh nak tinggalkan budak yang banyak gelagat ni. Dahlah dia buat muka sedih, berguling-guling dan gesel kepalanya di kaki kita.
Beberapa hari sebelumnya, saya berulang kali cakap dengan Jojo - kami akan balik kampung seminggu. Saya pesan dia jaga diri, jangan asyik merayau bergaduh dengan kucing lain dan tolong tengok-tengokkan rumah 😆
Kami bergerak meninggalkan rumah Perlis kira-kira pukul 9.30 pagi.
TENGAH HARI | Masa ni kami dah sampai di Perak. Alhamdulillah aliran trafik menuju arah KL lancar kecuali sedikit kesesakan sewaktu di Pulau Pinang.
Pukul 2.15 petang kami sudah berada di NKVE (New Klang Valley Expressway). Catatan masa 4 jam 45 minit, rekod perjalanan dari Perlis ke Lembah Klang paling pantas setakat ini 😃
Sebelum meneruskan perjalanan ke Johor, kami ke Bangi dan Nilai bagi menyelesaikan sedikit urusan. Pukul 4.30 petang barulah kami masuk lebuh raya menuju ke selatan tanah air.
MALAM | Pukul 7.20 malam kami singgah di RnR Pagoh untuk berbuka puasa. Makanan dah siap dibeli di Aeon Nilai. Minuman cuma air kosong yang dibekal dari rumah. Selain kami, ramai lagi para musafir yang sama-sama berbuka di dalam kenderaan masing-masing. Ada juga yang siap bentang tikar di atas jalan. Seronok saya lihat suasana begini.
Pengumuman perisytiharan hari raya kami ikuti menerusi siaran radio - esok raya! Lain sungguh perasaannya bila tiba di kampung pada malam menjelang Aidilfitri. Kami selamat tiba di Batu Pahat - kampung Encik Suami pada pukul 8.30 malam.
Rumah Perlis —> Lembah Klang : 4 jam 45 minit
Nilai, NS —> Batu Pahat, Johor : 4 jam
Alhamdulillah…perjalanan sejauh kira-kira 730 km dari negeri paling utara ke negeri paling selatan yang lancar - tiada kesesakan teruk di lebuh raya, tiada kerja penyelenggaraan jalan dan hampir tiada kenderaan berat di atas jalan.
SELAMAT HARI RAYA BUAT SEMUA SAHABAT BLOGGER 😊
Mohon maaf jika ada penulisan dan komen saya yang tidak menyenangkan.