Tuesday, 5 November 2024

11 Jam dan 1 Jam

Biasanya bila cuti panjang (cuti umum + cuti hujung minggu), kami suami isteri lebih memilih duduk di rumah je. Malas nak bersesak di mana-mana, apa lagi nak menempuh kesesakan di lebuh raya utama. Tapi kali ini Encik Suami ada urusan, terpaksalah kami ikut bersesak di jalanan ketika cuti sambutan Deepavali lalu.

Hari Sabtu, 2 November 2024 | Kami bertolak dari rumah Perlis ke rumah NS pada pukul 9 pagi. Perjalanan lancar saja pada awalnya, tapi kenderaan mulai banyak dan jadi sesak bila sampai di Pulau Pinang. Selepas itu, perjalanan kadang-kala lancar dan kadang-kala mengalami kesesakan di beberapa tempat.

Alhamdulillah, akhirnya kami selamat tiba di Nilai pada pukul 8 malam. Kami ke Restoran Planet Tomyam bagi menikmati hidangan malam sebelum menuju ke rumah. Perjalanan kali ini mengambil masa 11 jam! Biasanya kami ambil masa kira-kira 7-8 jam sahaja, itu pun saya dah rasa cukup lama berada di atas jalan 😅

2.56 petang | Situasi kesesakan di Lebuhraya Utara Selatan (Kuala Kangsar menuju ke Ipoh)

Hari Isnin, 4 November 2024 | Atas sebab tertentu, kami menaiki pesawat bagi perjalanan kembali ke utara - turun di lapangan terbang di Alor Setar, Kedah. Ini merupakan pengalaman pertama saya menaiki penerbangan KUL - AOR.

5.28 pagi | Jauh kami berjalan kaki menuju ke pintu pelepasan di Gate K16, KLIA Terminal 2.

Penerbangan kami menaiki pesawat Air Asia berlepas kira-kira pukul 7.30 pagi dan kami selamat menjejakkan kaki di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim di Alor Setar kira-kira pukul 8.30 pagi. Tempoh masa cuma sekitar 1 jam!

Hasrat di hati nak memotret foto keindahan hamparan sawah padi dari udara, tapi nasib tak menyebelahi saya dapat tempat duduk E. Nak membeli tempat duduk F (tepi tingkap) rasa tak berbaloi nak membayar tambahan caj sekitar RM30. Untuk rekod - harga tiket penerbangan kami berdua kira-kira RM260, pembelian menerusi Traveloka.

Seronok jugak bila rasa sekejap je perjalanan menaiki pesawat berbanding naik kenderaan sendiri. Tapi tempoh masa 1 jam tu belum termasuk perjalanan dari/ke rumah dan masa berurusan/menunggu penerbangan di lapangan terbang. Juga sedikit leceh nak berfikir dan berkira-kira membawa barang keperluan. Jadinya, kedua-duanya (sama ada naik kenderaan sendiri atau naik pesawat) ada lebih kurangnya. Pilihan terbaik bergantung kepada situasi semasa.







20 comments:

  1. Kalau cuti umum, memang meriah lah highway di Malaysia kan. Sama juga highway Pantai Timur. Hubby pun ke KL sebelum Deepavali utk meeting, kami discuss, dia fly seorang je lah. Tak nak imagine padatnya kereta.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kami ni terpaksa jugak drive, ada nak bawak barang.

      Delete
  2. Itulah, Ujie.. kadang sy ajak PI naik flight aje balik Penang, nt samalah dok fikir persediaan mental sebelum terbang tu. Lebih baik naik kereta boleh relaks2 boleh gerak ikut masa kita, hihi. Tapi, 11 jam tu mmg beza amat la ngan 1 jam.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Betul, drive sendiri boleh ikut selesa sendiri - gerak pukul berapa, nak bawak barang apa.

      Delete
  3. Begitulah keadaannya bila cuti panjang/cuti perayaan yg selalu kami hadap jika balik kg huhu...
    Ada pro & cons la kan mana² pilihan pun :)

    ReplyDelete
  4. Cuti Deepavali hari tu, Melaka agak sesak juga

    ReplyDelete
    Replies
    1. Melaka negeri pelancongan, harus sesak bila cuti panjang ni kan.

      Delete
  5. Saya belum pernah naik pesawat 😄

    ReplyDelete
  6. Agak mahal juga tu harga tiket kapal terbang di musim cuti perayaan.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Oh..biasa berapa KUL-AOR?
      Ini pun kami dapat lebih murah berbanding ambil flight hari Ahad.

      Delete
  7. Cuti panjang je highwayyy pun panjang la he hee biasa tu kan
    Ciknur pun rumah je malas nk kemana
    Hati tu teringat je kg tp mikirkan jemmm tak jadi la

    ReplyDelete
    Replies
    1. Duduk rumah boleh rehat-rehat kan cikNur 😀

      Delete
  8. Saya pun lihat2 kondisi kalo nak bepergian domestik begini kak. Kalo beda pulau, macam Sumatra - Jawa dah pasti pesawat. Tak sanggub saya naik bus, ke Medan saja 3 hari 🤣🤣🤣.

    Tapiii kalo masih dalam pulau Jawa, misalnya ke Solo, Jogjakarta, Semarang, Surabaya, nah lihat dulu keperluan nya.

    Kalo santai tak ada yg dikejar, saya prefer kereta api. Apalagi naik yg luxury compartment. Benar2 menikmati sangat.

    Tapi kalo mengejar waktu dah pasti pesawat.

    Kalo nak santai tapi murah, mobil sendiri lah 😁. Cuma kalo pergi di saat peak season siap2lah macet 🤭

    ReplyDelete
    Replies
    1. Menarik tu Fanny, perjalanan menaiki kereta api.

      Delete
  9. Keadaan disini sama juga Mbak, kalau ada hari cuti bersama pasti jalanan dimana-mana akan macet karena banyak kendaraan.
    Saya melihat dari foto diatas suasan di jalan yang cukup sesak oleh kendaraan...

    Salam,

    ReplyDelete
  10. lepas ni nak naik lagi x? hehehe...
    sy suka kalau naik flight sekejap ni
    tp tu laa awat laa mahal bebenor tix AA ni haihh

    ReplyDelete
    Replies
    1. InsyaAllah naik kalau perlu, ikut situasi 😀

      Kami beli last minute, agaknya sebab tu mahal. Pulak kena masa public holiday.

      Delete
  11. Apalah sebab kena ambil penerbangan ya?
    Rasanya kalau mampu pandu kenderaan lama-lama dan tidak perlu kejar masa mestilah pilih memandu.

    ReplyDelete

*****
Komen kalian, bicara antara kita 😊

Saya juga boleh dihubungi menerusi e-mel | halifa02@gmail.com
*****