[Catatan Trip ke Kuching - Hari Pertama | Jumaat, 17 Mei 2024]
Hari Jumaat 17 Mei lalu merupakan cuti umum bagi negeri Perlis sempena Hari Keputeraan Raja Perlis. Bersambung pula cuti hujung minggu hari Sabtu dan Ahad serta ditambah dengan cuti tahunan 1 hari, maka dapatlah saya dan Encik Suami merealisasikan trip ke Kuching selama 4 hari 3 malam.
Penerbangan menaiki pesawat Firefly dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching lewat kira-kira 50 minit dari jadual asal. Entah apa sebabnya saya pun tak pasti.
Di dalam pesawat, saya duduk di kerusi 7F - tepi tingkap. Trip kali ini, Encik Suami beli tiket penerbangan dengan pakej servis - one time flight change, baggage 20 kg & seat selection. Menurut Encik Suami yang menguruskan hal pembelian tiket, total harga tiket berserta servis begini lebih rendah berbanding jika kami beli tiket tambang asas.
Pemandangan indah bandar raya Kuching dari jendela pesawat. |
Alhamdulillah penerbangan kami selama kira-kira 1 jam 40 minit lancar dan selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching sekitar pukul 12.40 tengah hari.
PAS LAWATAN SOSIAL
Satu hal yang unik, iaitu apabila kita rakyat Malaysia berasal dari Semenanjung Malaysia mengunjungi Malaysia Timur (Sabah dan Sarawak) kita perlu menggunakan dokumen perjalanan. Kita boleh memilih untuk menggunakan pasport atau boleh mendapatkan Pas Lawatan Sosial sebaik tiba di Sarawak.
Pas Lawatan Sosial saya, entah bagaimana boleh tertera alamat rumah sewaktu menetap di Kajang. |
Kami memilih untuk tidak menggunakan pasport. Sebaik tiba di lapangan terbang, saya cuma perlu hulurkan kad pengenalan di kaunter Balai Ketibaan. Sehelai kertas iaitu Pas Lawatan Sosial diberi untuk kita masuk dan berada di Sarawak selama 90 hari. Kertas ni kena simpan elok-elok tau sebab ia perlu dikembalikan semasa balik nanti.
BEG DISELONGKAR!
Biasanya kami bawa semua beg naik kabin (hand carry baggage), tetapi kali ini kami perlu bawa lebih kelengkapan sebab nak melakukan aktiviti eksplorasi hutan. Jadinya, ada dua buah beg masuk kargo (check-in baggage) - sebuah beg tarik/troli dan sebuah backpack. Semasa check-in, timbangan berat beg kami 8 kg dan 10 kg.
Sewaktu mengambil beg-beg tersebut di lapangan terbang Kuching, saya perasan ada semacam gumpalan tisu di zip backpack. Saya rasa ada sesuatu tak kena. Saya terus minta Encik Suami buka beg tersebut di situ juga. Apabila dibuka, jelas kelihatan sebuah beg kecil kepunyaan saya sudah terbuka luas zipnya. Dalamnya berisi toner, moisturizer & sunscreen dan barang kecil lain. Tiada barang yang hilang dalam beg kecil tersebut. Gumpalan tisu tadi pula merupakan tisu yang terkeluar dari pek tisu yang saya bawa dalam beg.
Selaku orang yang menyusun dan mengemas barang dalam beg, saya tahu apa isi setiap beg. Saya mula memeriksa setiap barang dalam beg tersebut dengan hati berdebar. Hasil pemeriksaan mendapati sebuah lampu suluh jenama Olight milik Encik Suami telah dicuri!
Backpack kami, beg kecil saya yang dah terbuka dan alat penimbang di kaunter aduan/tuntutan. |
Berhampiran tempat mengambil beg, terdapat kaunter aduan/tuntutan setiap syarikat penerbangan. Kami ke kaunter Firefly bagi membuat laporan. Seorang staf wanita dan seorang lelaki wakil bahagian keselamatan lapangan terbang turut hadir sebagai saksi. Backpack kami ditimbang, terbukti ada barang yang hilang kerana berat berkurang 550 gram daripada timbangan semasa check-in.
Kami diminta isi borang dan menjawab beberapa pertanyaan. Kami juga diminta mengemukakan tuntutan melalui e-mel berserta salinan resit pembelian barang yang hilang. Bab resit agak sukar juga untuk dicari kembali kerana pembelian berlaku beberapa tahun lalu.
Menurut staf wanita tadi, dia ada bersama di tempat beg tiba. Mungkin maksudnya, beliau tak nampak sebarang aktiviti mencurigakan ke atas beg penumpang. Kami pula bersependapat, perbuatan ini berkemungkinan besar dilakukan oleh pengendali bagasi di lapangan terbang Pulau Pinang kerana kelewatan penerbangan selama 50 minit memberi cukup masa untuk si pencuri.
Pengajaran dan Peringatan
Ianya suatu pengajaran dan peringatan buat kami, terutamanya saya selaku orang yang menguruskan hal beg. Semua check-in baggage wajib ada perlindungan - berkunci atau balut plastik (shrink wrap). Memang itu tak menjamin 100% sebab kalau orang nak mencuri dia tetap ada banyak cara untuk buka beg kita. Tetapi sekurang-kurangnya kita dah berusaha. Dalam kes saya ni, hanya beg tarik yang berkunci dan bersarung khas. Backpack sepatutnya kami nak balut plastik dan saya dah siap bawa shrink wrap saiz kecil, tetapi bila tiba di lapangan terbang terlupa pula terus menuju ke kaunter check-in.
Satu lagi, jangan sesekali simpan barang yang kita rasa sangat berharga di dalam check-in baggage. Sekali lagi dalam kes saya, ini merupakan kesilapan saya sebab letak lampu suluh yang harganya agak mahal di dalam check-in baggage yang tidak berkunci/dibalut plastik. Sebab masa letak tu saya dah rancang nak balut beg, jadinya insyaAllah selamat.
InsyaAllah selepas ini kami akan lebih berhati-hati. Pencuri akan sentiasa mencari peluang, jadi kita kena minimakan peluang mereka mencuri. Carian info mendapati, pencuri bukan saja mencuri barang berharga. Ada juga yang kehilangan sekadar roti Gardenia tetapi beg rosak kerana cubaan buka secara kasar.
KERETA SEWA
Hasil carian di internet, kami memilih untuk menyewa kereta dari syarikat Ikram Transports. Sangat mudah berurusan, tempahan boleh dibuat melalui laman web ikramtransports.com. Masukkan saja jenis kereta dan tempoh masa sewaan, akan terpapar amaun yang perlu dibayar. Pihak syarikat akan menghubungi kita melalui WhatsApp bagi urusan selanjutnya.
Kami menyewa sebuah kereta Perodua Axia (A) bermula pukul 1 petang 17 Mei 2024 sehingga pukul 4 petang 20 Mei 2024 dengan bayaran RM345. Kadar sewa harian sebanyak RM110/hari, jika sewa minima 3 hari dapat diskaun jadi RM100/hari. Vehicle security deposit (refundable) dikenakan sebanyak RM100.
Kereta sewa kami. |
Ambil dan pulang kereta di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching. Alhamdulillah dapat kereta dalam keadaan baik tanpa sebarang masalah, juga selesa bersih luar dalam. Kalau kalian nak sewa kereta di Kuching, bolehlah cuba menyewa dengan Ikram Transports ni ya 👍🏽
DORMANI HOTEL
Penginapan kami pada hari pertama - Dormani Hotel yang terletak di Kampung Masjid, Kuching. Jaraknya dari lapangan terbang kira-kira 10 km. Hotel ini mempunyai bangunannya sendiri tetapi dengan ruang parkir yang terhad. Ketika kami tiba, ada acara sedang berlangsung dan tiada ruang parkir kosong. Terpaksalah kami parkir di luar kawasan hotel.
Ambil bilik dengan harga cuma RM62.86, tak bolehlah nak berharap lebih. Ruang bilik dan bilik airnya kecil. Mujur masih muat untuk solat seorang diri, tapi tak dapatlah nak berjemaah. Untung juga masih ada tingkap, tidaklah rasa terperangkap di ruang kecil. Dalam bilik ini juga disediakan sejadah dan naskhah surah Yasin (dalam beg plastik warna merah). Pertama kali saya menginap di hotel ada disediakan naskhah surah Yasin.
Hotel ini juga menyediakan sarapan, tapi kami cuma ambil bilik tanpa sarapan. Berhampiran hotel juga terdapat sebuah masjid dan kedai makan. Boleh berjalan kaki saja kalau nak ke masjid dan kedai makan. Secara keseluruhannya, hotel ini memuaskan tetapi kalau nak selesa kena ambil bilik lebih besar.
Catatan hari pertama bersambung pada entri akan datang - mencuba hidangan tradisional masyarakat Melanau di Dapur Melanau.
.
Aduh, diselongkar bagnya. Yang tak tahan sebab bag jadi rosak kan. Moga Allah ganti dengan yang lebih baik. Tak pernah ke Sarawak. Moga sampai sana nanti Insyaa Allah.
ReplyDeleteSyukurlah beg kami ni tak rosak, cuma barang hilang.
DeleteAamin.
Mmg kena lock kak... dpd menyesal x sudah... dormani hotel tu mmg sempit... tp lokasinya strategik... ada masjid, tempat makan... kalau jalan sikit belakang area hotel atau 1 inn, laila inn... bawahnya ada kedai mee kolok yg azhan rani selalu makan
ReplyDeleteOo..ingat bilik kami je sempit sebab harga rendah 😄
DeleteOrang yang curi itu tahu harga lampu suluh itu mahal. Saya tidak pernah kena tapi datuk saudara pernah kena beg digeladah yang menyebabkan kunci beg rosak. Kena beli baru. Kiranya Hotel Dormani ini mesra Muslim.
ReplyDeleteSaya pulak fikir, pencuri capai je apa-apa barang yang dia boleh gunakan dan bersaiz kecil. Mudah sorok dan kita tak perasan.
DeleteTapi sebab tergesa-gesa, sampai terkeluar tisu. Jadi kami tahu ada yang tak kena.
Seluruh negeri di Malaysia telah dilawati tp kenapa la Sarawak tak pegi2 lagi. kena kunci mmg luggage kan.
ReplyDeletePergilah kak, bandaraya Kuching banyak tarikan. Suasana pemanduan sana pun tenang je. Makanan jelah rasa mahal sikit.
DeleteBaru tahu tentang pas lawatan sosial. Boleh rupanya pergi sana tanpa pasport.
ReplyDeleteSampai begitu sekali ye, kena balut beg dan kunci beg. Nak elak kena curi barang. Saya langsung tak tahu tentang ni, sebab jarang sekali naik flight. Last naik pun, bawa beg yang hand carry je, balik hari.
Itulah, selama ni dengar cerita orang pasal check in luggage kena selongkar, kali ni kami alami sendiri. Susahlah kalau ada pekerja yang tak amanah.
DeleteMemang dasar pencuri ni. Kesian Ujie dan suami, tentu penting lampu suluh tu sebab nak masuk hutan, kan. Menyakitkan hati betul!
ReplyDeleteIya, masuk hutan dan gua kena ada lampu. Lampu saya ada jugak, tapi tak sebagus lampu suami yang dicuri tu.
DeleteMasa sampai airport Penang tu rasa macam nak cari siapa pencurinya. Geram!
Ya Allah sian akak.. :( :(
ReplyDeleteldy x pernah ke sarawak...
Sampai situ je rezeki guna lampu suluh tu. Dan silap akak jugaklah tak lock/wrap, buka peluang pencuri buat kerja.
DeleteKadang kita dah jaga sebaiknya tapi terjadi juga perkara yg tak diinginikan...
ReplyDeletecantik sungguh gambar pertama tu kak... subhanallah indah dunia ciptaanNya.
ReplyDeleteMujur lampu suluh je yang kene kebas kan kak, pandai dia ambil masa mencuri tu masa delay lama tu ya... bahaya sungguh kan kalau yang jenis ambil mudah letak barang berharga lain dalam beg biasa gitu.
Selalu ada pencuri seperti ini di setiap bandara memang. Kalo di Indonesia, saya blacklist sangaaat maskapai Lion Air. Itu dah terkenal di dalamnya ada banyak 'tikus' yg suka bongkar koper penumpang. Kejadiannya dah banyak kali barang2 hilang. Saya pun mengalami.
ReplyDeleteSaking bencinya dengan maskapai ini, saya lebih rela batal pergi ke Mamuju, Sulawesi saat tahu maskapai yg kesana cuma ada Liong ❌.
Teruk betul pekerja yg curi tu...ntah² ada org dlm, boleh target beg Ujie sorang..hmmm..semoga Ujie dpt ganti yg lbh baik..ok nmpknya servis sewa kereta..
ReplyDeleteWalau kita dah usaha berhati-hati tetapi adakala nasib tak menyebelahi.
ReplyDelete