Monday, 6 March 2023

Catatan 2 - 5 Mac 2023

Ringkasan catatan pada 2 - 5 Mac 2023. 

Khamis | 2 Mac 2023
Saya menemani encik suami ke Hutan Melintang, Perak atas urusan kerja beliau. Kami bertolak waktu pagi dari rumah di PP, tiba di pekan Hutan Melintang pada waktu tengah hari.

Kami menginap di VVIP Hotel buat kali kedua. Cuma kali ini agak kurang selesa sebab dapat bilik dengan bau asap rokok dan ada lipas berlarian di bilik (dah malam baru lipas memunculkan diri). Bertabah ajelah untuk satu malam. Esok paginya saya buka tingkap bilik hotel untuk pengudaraan. Kebetulan malamnya hujan lebat di sini, dapatlah udara sejuk dan segar masuk ke ruangan bilik.

Jambatan Bagan Datuk - Sejagop yang sedang dalam pembinaan. Foto dirakam sewaktu kami melalui Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE).

Jumaat | 3 Mac 2023

Lontong sedap - nasi impit lembut dan kuah lodeh secukup rasa.
Kami sarapan pagi di kedai makan Zura Nasi Lemak Hijau. Setiap kali bermalam di Hutan Melintang, memang di sinilah kami bersarapan pagi. Cuma kali ni kami datang awal, sebelum pukul 7.30 pagi sebab encik suami perlu memulakan kerja awal pagi. Nasi lemak masih belum siap masak, jadi kami pilih makan lontong.

Pelayan kedai tanya, nak letak kuah apa? Ooh…rupanya ada pilihan nak kuah lodeh atau kuah sambal kacang. Saya fikir kalau minta menu lontong dah tentu dapat nasi impit dimakan bersama kuah lodeh dan telur rebus. Telur rebus tak disediakan, saya letak jelah telur mata. Tak kelihatan di foto sebab saya tambah kemudian. Rasa macam tak syok pulak makan lontong tak ada telur.

Terdengar bunyi hujan turun. Saya keluar untuk menikmati suasana hujan di luar masjid.
Sebelah petangnya kami dah pun berada di Selangor. Sementara encik suami selesaikan urusannya, saya menghabiskan masa di Masjid Al-Hasanah, Bangi. Saya lebih selesa berada di sini berbanding perlu duduk menunggu di kafe. Dapat juga saya ikut berjemaah solat Asar di masjid besar ni. Di sini memang selesa dan sentiasa meriah. Selain ada gerai-gerai jualan, masjid ini juga sentiasa dikunjungi para musafir. Dah dua kali saya menghabiskan masa di sini, belum pernah saya duduk sendirian di ruangan muslimah.

Selepas selesai urusan encik suami, kami menuju ke rumah di NS pula. Dapatlah bermalam semalam dua sebelum kembali ke rumah di PP.

Sabtu | 4 Mac 2023
Rancangan asal saya, pagi Sabtu nak menikmati suasana hutan di Hutan Rekreasi Tanjung Tuan. Memandangkan cuaca tak sesuai, musim hujan sedang melanda jadinya kita tukar plan. Saya ajak encik suami cari baju raya di Bangi Sentral. Dah beberapa tahun kami tak membeli baju raya. Yang itu itu jelah berulang kali pakai, tahun ni barulah rasa nak membeli.

Kami sampai di Bangi Sentral sekitar pukul 11 pagi. Ingat dah cukup awal, rupanya orang lain lagi awal. Parkir semua dah penuh. Kami parkir di kawasan kedai seberang jalan Bangi Sentral. Lepas tu bermulalah misi pencarian baju. Saya dah ada senarai beberapa nama kedai, terus tuju jelah tak payah buang masa keluar masuk tiap kedai. Tapi, kecewa sungguh sebab masing-masing belum mula menjual baju raya. Yang diiklan di media sosial tu masih belum siap jahit. Selepas itu kami ikut bersesak keluar masuk kedai, ya memang sesak tau. Masing-masing dah mencari baju raya, boleh fokus ibadah puasa je pada Ramadan nanti.

Dipendekkan cerita, kami tak berhasil membeli baju raya 😅

Pembangunan di Pajam, NS
Sejak berpindah dari Pajam, NS ke PP pada musim pandemik lalu, saya menyaksikan perubahan di Pajam. Pembangunan semakin rancak. Jalanan semakin sibuk.

Kerja-kerja tanah di simpang jalan, nampaknya ada satu lagi projek pembangunan bakal dibuat.
Jalan di sini agak sesak dan bahaya kerana pertembungan antara kenderaan yang keluar dari lebuh raya LEKAS dan kenderaan yang keluar dari stesen minyak & bangunan sebelahnya.

Inilah bangunan baru di sebelah stesen minyak. Ada Mr DIY, Richiamo Coffee, 7-Eleven dan yang paling baru beroperasi - KFC. Sasaran pelanggan di sini mungkin orang-orang yang baru keluar dari lebuh raya LEKAS kerana tiada laluan masuk bagi mereka yang datang dari arah Bandar Baru Nilai dan Batang Benar.

Kami mencuba makan di Richiamo Coffee buat kali pertama semasa balik rumah NS pada pertengahan Februari lalu. Ingatkan jual kopi dan kek/pastri je, rupa-rupanya di sini ada bermacam pilihan set lauk. Jadinya balik kali ni pun kami makan di sini je, mudah sebab dekat dengan rumah.

Berkenaan rasa, setakat yang saya dah cuba makan semuanya sedap. Walaupun kuah masak lemak cili apinya tidaklah pekat, tetapi masih memuaskan selera. Layanan di sini juga baik dan mesra.

Ahad | 5 Mac 2023

Air terjun Lata Kinjang dilihat dari lebuh raya PLUS.
Setelah dua malam di rumah NS, kami bertolak balik ke rumah PP pula. Aliran trafik di lebuh raya PLUS menuju ke utara kebanyakkan tempat lancar, dengan beberapa tempat trafik bergerak perlahan.

Alhamdulillah kami selamat sampai rumah pada waktu Maghrib.







18 comments:

  1. nampak gaya pencarian baju raya belum selesai lah ye kak...nak senang online je kak tapi tu lah kadang yg online ni indah kabar dr rupa

    ReplyDelete
    Replies
    1. Beli online tak boleh nak rasa material baju 😀

      Delete
  2. Seronoknya Ujie selalu jenjalan dengan "boipren"😍
    Saya pun kalau ke Utara memang mata terlekat pada Lata Kinjang tu..
    Memang sungguh dah kita berselisih kat PLUS semalam 🤣

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kena ikut jadi peneman supaya tak ngantuk drive ke sana sini 😄

      Boleh ber-hai2 la kita kelmarin kat highway 😁

      Delete
  3. Alamak, bilik ada lipas? OK, saya akan ingat ni supaya tak book hotel ni, sebab saya takut lipas tahap fobia huhu...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Bilik sebelum ni OK. Bilik kali ni pulak tak OK.

      Delete
  4. seronoknya kak dapat berjalan-jalan, tak penat sebab temankan cik abang hehehhe. Mungkin lontong satu lagi tu lontong kering kot kak

    ReplyDelete
    Replies
    1. Penat jugak, tapi rasa lebih tenang jiwa tak risaukan dia drive sorang jauh2.

      Suami akak pilih dengan kuah sambal kacang, memang dibagi nasi impit + kuah sambal kacang jelah.

      Delete
  5. Pernah solat di Masjid Al-Hasanah itu. Sekali sahaja.
    Hehe saya tidak masuk-masuk Richiamo Cafe. Tidak tahu mengapa teragak-agak.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Jauh NA jalan-jalan sampai Bangi.

      Sebelum ni, saya pun tak pernah cuba masuk Richiamo kat tempat lain. Ni sebab dekat dengan rumah NS, cubalah jugak sebab nak tengok menu. Rupanya ada macam-macam. Menarik jugak

      Delete
  6. Saya tak selalu makan lontong. Tapi bila saya order, memang takde telor rebus dalam lontong kuah lodeh, biasanya. Kat sini la. Lain negeri, lain kot.
    Alamak, lain kali boleh teruskan misi mencari baju raya, ye, Ujie. :)
    Masak lemak ikan patin kah itu? Hehe.. nampak sodap!
    Jelasnya pemandangan air terjun Lata Kinjang tu. Saya bila lalu, selalu dapat pemandangan berkabus je.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Patutlah takde telur rebus, yelah tu, lain cara.

      Memang nak kena cari jugak baju raya. Harap jumpa la yang berkenan di hati 😄

      Tu masak tempoyak ikan patin, Alhamdulillah sedap kat tekak saya.
      Keliru pulak ya, sebab lepas tu saya tulis pasal masak lemak cili api (pernah makan sebelum ni).

      Delete
  7. Mrs. A kalau makan lontong nak dua-dua kuah lodeh pun nak lepas tu campurlah sesudu dua atau sesenduk kuah kacang.
    Haish! apalah kedai tu boleh pulak baju rayanya belum siap jahit ya sabar yolah

    ReplyDelete
  8. favourite saya lontong tu..ada menu ni, tak pandang dah hat lain..betul, makan lontong wajib ada telur..kalau tak, rasa macam kurang sesuatu dalam lontong tu...

    ReplyDelete
  9. Tak pernah sampai lata kijang tu...

    ReplyDelete
  10. Sy teringin nak ke Hutan Melintang tu, sebab namanya unik :D
    Nampaknya ramai yg dah mula mencari baju raya ye...

    ReplyDelete
  11. Terpikat pula saya melihat nasi sepinggan dengan gulai ikan patin!

    ReplyDelete
  12. masak tempoyak ikan patin, besar ikan dia...puas makan...tenang je ihtikaf di masjid, masjid pula byk aktiviti...sentiasa diimarah..

    ReplyDelete

*****
Komen kalian, bicara antara kita 😊

Saya juga boleh dihubungi menerusi e-mel | halifa02@gmail.com
*****