Ini kisah sebelum Hari Raya Aidiladha - percutian mengejut ke pulau Langkawi. Saya katakan mengejut sebab tak ada perancangan awal. Hari Khamis encik suami tanya sama ada saya nak ke Langkawi atau tak pada hari hujung minggu. Sebab encik suami ada sedikit kelapangan jadinya bolehlah ambil cuti pada hari Isnin, kiranya dapatlah kami ke Langkawi pada hari Sabtu dan balik pada hari Isnin.
Sebenarnya saya terfikir juga nak ke Langkawi pada hujung minggu, tapi simpan dalam hati saja sebab fikirkan encik suami biasanya banyak kerja nak disiapkan. Sesungguhnya Allah Maha Tahu setiap bisikan hati hamba-Nya. Alhamdulillah…ibarat orang mengantuk disorongkan bantal.
Jadinya hari Khamis malam tu terus encik suami buat tempahan online tiket feri dan bilik hotel. Manakala tugas saya pula merancang itinerari sepanjang di Langkawi. Berpinar juga mata saya nak buat carian itu ini di internet dalam masa yang cukup singkat. Antara hasil carian yang membantu saya adalah entri blogger Ako Retna - berkenaan Sky Bridge.
SABTU | 02.07.2022
Percutian kali ini akan menjadi kunjungan kali ketiga saya ke Langkawi setelah kunjungan kali kedua sekitar 8 tahun lalu. Dah cukup lama. Bagaimanapun, ini merupakan percutian pertama ke Langkawi semenjak kami berpindah ke utara tanah air. Juga pengalaman pertama saya menaiki feri dari Jeti Kuala Kedah, berbanding encik suami yang sudah beberapa kali atas urusan kerjanya.
Kawasan parkir berhampiran Terminal Jeti Kuala Kedah. Caj RM10 / hari. |
Dari rumah di PP kami menaiki kereta ke Kuala Kedah. Perjalanan mengambil masa hampir 2 jam dengan jarak sekitar 120 km. Semasa kami berada di satu persimpangan lampu trafik menuju ke terminal, kereta kami didekati oleh seseorang yang menaiki motorsikal. Lelaki tersebut bertanya, “Nak ke Langkawi?”. Encik suami menjawab, “Tak”. Menurut encik suami, mereka inilah ‘ulat parkir’. Dan akan ada ‘ulat parkir’ lain yang akan mendekati kita di persimpangan seterusnya. Kalau kita jawab ‘ya’ mereka akan ajak kita ikuti mereka untuk parkir kereta. Masalahnya, tempat yang dibawa adalah jauh, bukan tempat parkir yang selamat dan caj yang melampau. Boleh baca cerita mereka yang pernah menjadi mangsa DI SINI.
Alhamdulillah kami dapat parkir di kawasan yang sah - ada petak parkir dan ada pondok penjaga parkir. Dekat je dengan terminal. Pun begitu, tetap ada risiko bila kita parkir kereta berhampiran terminal. Iaitu sekiranya berlaku fenomena air pasang besar, ada kemungkinan kereta kita akan dimasuki air laut.
Terminal Feri Kuala Kedah. |
Nak naik feri kita kena datang awal 1 jam sebelum berlepas. Sebelum memasuki bangunan terminal, anggota RELA bertugas akan membuat pemeriksaan dokumen pengenalan diri dan tiket feri (boarding pass). Mulai 1 Julai 2022, hanya penumpang dengan tiket sah selari dokumen pengenalan diri saja dibenarkan masuk terminal. Ini bertujuan mengatasi masalah penyeludupan PATI dan ‘ulat tiket’.
Apa itu ‘ulat tiket’? Mereka ni akan beli tiket feri lebih awal dan menjual semula kepada bakal penumpang (yang terdesak sebab tiket feri habis) dengan harga lebih tinggi. Macam kami ni memang dah membeli tiket secara online di laman www.cuticutilangkawi.com dengan harga RM23 / dewasa untuk perjalanan sehala.
Beratur untuk pemeriksaan tiket sebelum ke jeti. |
Jadual berlepas feri kami adalah pada pukul 12 tengah hari. Sekitar pukul 11.30 pagi pintu ke jeti di buka. Para penumpang perlu beratur untuk pemeriksaan tiket. Satu barisan bagi penumpang yang membeli tiket di kaunter dan satu barisan lagi bagi penumpang yang membeli tiket secara online. Kami beli tiket online secara bersama, jadinya hanya seorang saja perlu mengimbas kod QR yang terdapat pada Boarding Pass.
Beratur untuk memasuki feri. |
Kali pertama ke Langkawi hampir 20 tahun lalu, saya menaiki feri di Kuala Perlis. Saya ingat-ingat lupa suasananya. Tapi rasanya kali ni macam lebih teratur dan tidak perlu bersesak memasuki feri. Yelah, dah 20 tahun berlalu.
Sementara beratur, sempat juga saya memotret foto kapal-kapal nelayan. Juga orang-orang yang sedang menguruskan jemuran ikan masin. Klik gambar untuk lebih jelas.
Tingkat atas feri. Tak seluas ruangan di tingkat bawah. |
Masuk saja ke dalam feri, kita beritahu nombor tempat duduk kita kepada krew kapal yang memang berada di pintu masuk feri. Mereka akan tunjukkan arah lokasi tempat duduk kita. Maklumlah, bahagian dalam feri ni luas dan ada dua tingkat. Jenuh juga kalau nak mencari sendiri. Kami dapat tingkat atas. Perlu menaiki tangga kecil untuk ke atas. Beg pun kami bawa bersama memandangkan kami cuma membawa beg galas belakang. Kalau beg besar boleh letak di ruangan beg, tapi kena bertimpa-timpa dengan beg penumpang lain.
Begini Rasanya Mabuk Laut…
Masa mula-mula dapat tahu tempat duduk kami di atas, saya rasa seronok. Konon dapatlah tengok pemandangan lebih luas sebab duduk di tingkat atas. Tapi rupanya, itulah permulaan seksaan bagi saya. Foto di atas saya rakam semasa baru saja mula duduk, orang belum memenuhi tempat duduk dan feri belum bergerak. Memang terasa olengan feri, tapi tidaklah rasa pening. Bolehlah berfoto-foto lagi masa ni.
Tapi selepas beberapa ketika feri mulai bergerak, olengan tadi yang semakin kuat memberikan rasa tak selesa buat saya. Dari tempat duduk saya, apabila memandang ke luar - sekejap nampak lautan dan sekejap tak nampak. Begitulah kesan olengan feri.
Saya rasa pening kepala, perut tak selesa dan tekak jadi mual. Encik suami yang duduk di sebelah kiri saya masih stabil, siap boleh layan handphone. Penumpang lelaki di sebelah kanan saya pula, awal perjalanan terus tidur. Saya cuba pejamkan mata. Oh, rupanya bila pejam mata kurang jugalah rasa pening kepala. Hati terus berzikir minta Allah bantu, janganlah sampai muntah.
Maka sepanjang perjalanan feri yang mengambil masa 1 jam 45 minit, saya hanya memejamkan mata dan berada dalam keadaan yang sangat tak selesa. Pendingin hawa yang terpasang pun tak terasa sejuk, saya berpeluh. Tak boleh nak tidur walau mata pejam. Bukan saya seorang saja yang sedang terseksa, saya mendengar perbualan dan suara beberapa penumpang perempuan lain yang sedang mengalami hal yang sama seperti saya. Patutlah di dalam feri banyak disediakan gantungan plastik hitam, rupanya untuk kemudahan mereka yang muntah.
Oh, begini rasanya mabuk laut. Pengalaman pertama bagi saya. Tak terfikir akan mengalami mabuk laut sebab ini bukan kali pertama saya menaiki kenderaan laut.
Kalaulah Boleh Memilih Nombor Tempat Duduk Feri…
Nampaknya mabuk laut yang saya alami adalah disebabkan duduk di tingkat atas feri. Yang mana gerakan olengan feri lebih memberi kesan kepada penumpang di atas. Semasa perjalanan baliknya, kami dapat duduk di tingkat bawah. Saya tak mengalami sebarang masalah kesihatan. Lega sungguh rasanya. Dapat menikmati pemandangan di lautan - melihat kapal-kapal nelayan dan benda-benda yang terapung di permukaan laut.
Jadinya, bolehkah kita memilih tempat duduk di dalam feri? Jawapannya - tak boleh. Sistem komputer yang aturkan tempat duduk kita. Memang bermasalah bila guna sistem begini. Yang jenis mabuk laut bila duduk di tingkat atas, tak boleh memilih untuk duduk di bawah. Yang beli tiket bersama ahli keluarga, mungkin duduk terpisah walaupun nombor bersebelahan. Kami pun terkena juga. Masa perjalanan balik, nombor tempat duduk kami 145 & 146. Tapi terpisah di barisan berbeza. Terpaksalah encik suami minta ehsan penumpang lelaki di sebelah saya untuk bertukar tempat duduk.
Harapan saya agar pihak pengendali feri dapatlah ubah sistem sedia ada ni. Berilah penumpang memilih tempat duduk supaya perjalanan menjadi lebih selesa.
SA pun lama dah x pi Langkawi...rasa nak pi berdua ngan Dania naik flight je...tapi tu la..anak dara tu kerja plak sementara ni sblom masuk Kolej / Uni kan...dah tergendala plan nak bercuti berdua ngan dia
ReplyDeleteKalau dah kerja memang susah nak cuti lama sikit. Mungkin Dania kena berhenti kerja awal sebelum masuk U untuk cuti2 berdua. Sekejap pun jadiklah kan…cipta memori bersama.
DeleteOoo... dah jadi style macam tu pulak, naik feri. Saya last sekali pergi Langkawi, ikut jeti kuala perlis.
ReplyDeleteSeksa kalau mabuk laut ni. Paham macamana rasanya.
Sangat seksa. Rasa serik naik feri pun ada. Tapi kalau boleh pilih tempat duduk, oklah jugak…jangan duduk atas.
DeleteMabuk laut memang boleh spoilkan keadaan yang ceria bertukar suram sesuram-surammnya. Bercakap berdasarkan pengalaman husband kena mabuk laut huhuu...
ReplyDeleteBetul sangat…saya agak excited naik feri sebab dah lama tak naik. Sekali mabuk laut pulak, rasa nak turun dari feri je.
Deletebest nyaaaa weekend ke langkawi... ikutkan, sama la mcm nk terbang je hujung minggu ke langkawi hahaha
ReplyDeleteNak tunggu cuti panjang susah, tu yang terfikir dapat pergi kejap weekend pun jadiklah. Duduk utara dah 2 thn, Langkawi dekat pun tak sampai2 π
Deletedah lama sangat tak ke Langkawi naik feri. Oh..tak bestlah tak boleh pilih. patut bagilah beli seat, macam flight. kalau nak naik pas ni kena bawak ubat tahan muntah siap-siap
ReplyDeleteItu la…okey je walau kena bayar untuk pilih seat. Janji kita selesa.
DeleteMemang kena bawak ubat siap2 la kalau nak naik feri lagi. Kot kena duduk tingkat atas lagi.
tak pernah naik feri, macam ngeri pulak pengalaman mabuk laut tu. Macam pengalaman pertama kali dana naik bas dulu, siap muntah lagi tapi bila dah selalu naik bas dah makin ok sampai laaaa ni.
ReplyDeleteMemang pengalaman ngeri, serik. Tapi kalau dapat duduk tingkat bawah feri insyaAllah okey je tu Dana.
DeleteNaik feri kena duk diam2 sb xnk mabuk lauk. Ciknur buat camtu je
ReplyDeletebestttnya dpt ke langkawi cuti2
Dah duduk diam jugak. Feri mula gerak je terus simpan hp. Konon nak menikmati pemandangan lautan. Sekali…huhu
Deletepaling benci kalau mabuk laut!
ReplyDeleteYang pernah merasa je tahu seksanya kan…
DeleteHehe saya pun lama tidak pergi. Macam baru tahu kapal laut ada 2 tingkat.
ReplyDeleteSaya pun baru tahu ada 2 tingkat gini π
DeleteSebab dulu2 naik feri di Kuala Perlis seingatnya setingkat je.
kesiannya, lain kali kene makan ubat mabuk sesiap sebelum naik feri. klu saya, kena hirup udara segar baru rasa ok.
ReplyDeleteItu la..tak sangka akan mabuk laut. Sebab selama ni naik kenderaan laut tak pernah pulak mabuk. Jadinya tak bekal ubat tahan mabuk tu.
DeleteMacam tahu-tahu je. Rezeki dapat bercuti ke Langkawi. Dulu rasa lama betul rasa nak sampai ke jeti. Tak tahan jugak dengan pergerakan feri dengan ombak tu. Mujur lagi tak mabuk laut. Seronok pergi kalau tak ramai orang. Kurang sesaknya.
ReplyDeleteNasib masa shida pi langkawi boleh main duduk jer mana2 sebabnya tak ramai masa tu..kesian juga dgn kak uji..mabuk laut huhuuu
ReplyDeletenext time boleh beli ubat mabuk laut..
ReplyDeletepernah sekali naik feri ke langkawi masa rombongan pejabat...pernah jg rasa mabuk laut masa di phuket, duduk tersengguk dkt rel besi di tkt atas, muntah ke dlm laut...turun bawah, ada sorang kakak bagi minyak cap kapak baru lega...
ReplyDelete