Thursday, 17 February 2022

Janji Temu Pertama Dengan Pakar Periodontik | Rawatan ‘Root Surface Debridement’

Cerita di Perlis masih belum habis, saya selit dulu cerita berkenaan rawatan gusi sebelum terlupa dan terus tak catat di blog. Catatan panjang ini penting sebagai rujukan saya sendiri pada masa akan datang memandangkan rawatan gusi mengambil masa yang agak lama, perlu berulang kali datang ke klinik dan kosnya yang tinggi.

Apa itu periodontik? Periodontologi merupakan satu cabang kepakaran pergigian yang tertumpu secara khusus dalam pencegahan, diagnosis dan rawatan penyakit yang berkaitan dengan tisu penyokong gigi (periodontium) iaitu gusi (gingiva), tulang alveolus (alveolus), ligamen periodontium (periodontal ligament) dan simentum (cementum). Perkhidmatan kepakaran ini disediakan di klinik-klinik pergigian primer kerajaan dengan kepakaran Periodontik dan semua pesakit adalah pesakit rujukan. (Sumber : ohd.moh.gov.my)

Kata mudahnya, pakar Periodontik adalah pakar gusi (Gum Specialist). Biasanya kalau kita pergi ke klinik pergigian tu jumpa doktor gigi untuk rawatan biasa, tapi jika kita ada masalah gusi yang serius perlulah berjumpa dengan pakar Periondontik. 

Macam mana saya tahu saya perlu jumpa pakar Periodontik? Beberapa tahun terakhir ini (atau mungkin lebih awal cuma saya tak perasan), saya menghadapi masalah gusi sensitif - rasa ngilu atau sakit disebabkan gusi yang menyusut. Bacaan lanjut berkenaan gusi sensitif di siniYa, saya sudah menggunakan ubat gigi Sensodyne dan memang sangat membantu mengurangkan rasa sensitif yang saya alami. Saya jumpa beberapa orang doktor gigi yang berbeza, semua mengatakan saya ada masalah gusi susut dan tiada rawatan boleh dilakukan selain melakukan rutin rawatan cuci gigi (scaling) seperti biasa.

Masa pertama kali dengar dulu memang saya rasa agak sedih dan kecewa, juga geram pada diri sendiri sebab masa muda dulu penakut jumpa doktor gigi akibat trauma dengan pengalaman zaman sekolah. Saya mula berani berjumpa doktor gigi semula bila umur sudah pun 30-an. Itu pun tidaklah mengikuti rutin scaling 6 bulan sekali. Begitulah kisah kesilapan lalu saya yang memberi kesan kepada kualiti kesihatan gigi saya pada hari ini. Sila ambil pengajaran ya! Amalkan jumpa doktor gigi secara rutin dan bagi yang ada anak, bawalah anak berjumpa doktor gigi seawal gigi pertama tumbuh. 

Jadinya selepas itu gigihlah saya buat carian di internet berkenaan masalah gusi susut. Memang betul, hampir tak ada apa boleh kita buat bila gusi dah susut. Tetapi rupanya masih ada rawatan lanjutan yang boleh kita lakukan untuk mengelakkan masalah menjadi lebih serius. Tetapi rawatan tersebut perlu dilakukan oleh pakar Periodontik. Masa inilah baru saya tahu adanya pakar Periodontik. 

Disebabkan adanya kekangan untuk saya mengikuti janji temu rawatan di klinik pergigian kerajaan, saya pun buatlah carian klinik pergigian swasta yang ada doktor pakar Periodontik. Alhamdulillah saya jumpa satu klinik di PP ni yang ada pakar Periodontik (selepas itu baru saya tahu cuma ada dua orang doktor pakar Periodontik swasta di PP).


KLINIK PAKAR PERIODONTIK & PERGIGIAN FREEDA WOON
Saya telefon klinik untuk membuat janji temu pertama pada awal Januari lalu. Agak susah juga nak cari slot kosong. Saya dapat pada penghujung Januari dan kemudian saya tukar (atas sebab tak dapat dielakkan) kepada hari Khamis, 10 Februari lalu.

Temu janji saya pada pukul 11 pagi. Saya sampai klinik sekitar pukul 10.45 pagi. Lepas buat pendaftaran, terus je dipanggil masuk ke bilik rawatan. Setelah duduk di kerusi rawatan, seorang doktor perempuan muncul serta memberi salam kepada saya. Oh, Alhamdulillah…doktor Muslim. Sebolehnya memang saya nak buat rawatan dengan doktor perempuan Muslim.


Setelah menerangkan masalah dan keadaan gigi saya, Dr. Freeda buat pemeriksaan awal terhadap gigi saya. Seperti yang saya sedia maklum, kata beliau saya mengalami penyakit gusi - Periodontitis. Saya juga ditanya kalau-kalau ianya faktor keturunan, memandangkan gusi saya susut awal (umur 40-an) dan tiada faktor lain (merokok, stres, diabetes). Ya, karang gigi antara faktor penyebab penyakit gusi. Tetapi bagi mereka yang ada kecenderungan genetik, akan lebih mudah terkena penyakit gusi apabila adanya faktor lain (karang gigi, merokok, stress). Lebih kurang begitulah yang saya faham.

Sebelum memulakan rawatan, saya diberi penerangan (siap tunjuk gambar-gambar) berkenaan apa itu penyakit gusi dan apa rawatan yang boleh dibuat. Kata beliau lagi, rawatan gusi akan mengambil masa yang lama dan tujuan rawatan adalah supaya gusi mampu memegang gigi semula. 



Untuk rawatan kali pertama :
  1. X-ray
  2. Ukur gigi
  3. Deep cleaning (Root Surface Debridement) untuk gigi bahagian bawah.
Untuk x-ray, saya berpindah ke bilik sebelah. Pengalaman pertama saya melakukan x-ray gigi. Perlu senyum lebar sambil gigi menggigit satu alat. Selepas x-ray, saya kembali ke bilik rawatan untuk proses ukur gigi dan rawatan deep cleaning.

Apa itu deep cleaning (Root Surface Debridement)? Root surface debridement involves the careful removal of deposits of calculus and plaque from the root surface. When healthy, the gum surrounding the tooth will fit tightly with a small space between measuring 1-3mm.

Secara mudahnya, ia sama seperti scaling tetapi dibuat lebih jauh ke dalam lagi dan memerlukan pesakit dibius. Rawatan ini perlu dilakukan kerana rawatan scaling biasa tak memadai bagi kes seperti saya. Oleh kerana proses rawatan akan mengambil masa yang lama, deep cleaning akan dilakukan dua kali. Saya pilih buat rawatan untuk gigi bahagian bawah terlebih dahulu.

Sebelum tu, gusi saya (bahagian bawah dalam mulut) disuntik ubat bius supaya kebas dan tak rasa sakit sepanjang rawatan. Sakit tak kena suntikan bius? Sakit sikit je sebab sebelum tu doktor dah sapu ubat bius di tempat suntikan. Selepas itu, seluruh bahagian bawah mulut saya jadi kebas. Memang tak rasa apa-apa dan selesa sepanjang doktor buat rawatan. Sesekali mungkin ada rasa kurang selesa di beberapa tempat, tapi masih ok. Cuma bila doktor suruh berkumur, memang susahlah sebab bibir bawah dah kebas.

Berapa lama proses rawatan deep cleaning saya? Saya agak mungkin menghampiri 1 jam 30 minit. Masa keseluruhan dari masuk jumpa doktor sehingga keluar adalah 2 jam. Fuh, lama sungguh! Walau pun lama, tapi tak rasa terseksa cuma lenguh juga badan berbaring. Sepanjang rawatan saya amalkan zikir Rabbi Yassir Wala Tu’assir (Ya Allah, permudahkanlah dan jangan dipersulitkan). Dr. Freeda sesekali akan bertanya saya, “Puan ok?”. Saya jawab pertanyaan beliau dengan buat isyarat jari πŸ‘ŒπŸ½. 

Root Surface Debridement
Caj rawatan untuk janji temu pertama. Pergi jumpa doktor pakar di klinik swasta kan, beginilah harganya. Splinting tu ‘ikat gigi’. Ada 4 batang gigi saya yang ‘diikat’ sementara untuk mengukuhkan gigi.

Alhamdulillah selesai rawatan pertama sekitar pukul 12.45 tengah hari. Semuanya berjalan lancar. Klinik yang cantik dan selesa. Staf yang mesra melayan. Paling penting, saya sangat berpuashati dengan layanan dan rawatan yang diberikan oleh Dr. Freeda. Orangnya lembut dan sangat sopan berkata-kata.

Temu janji berikutnya pada awal bulan Mac (tiada slot kosong yang lebih awal) untuk rawatan deep cleaning gigi bahagian atas pula. Selepas tu tunggu dua bulan untuk proses penyembuhan gusi.

Kesan ubat bius tadi hilang sepenuhnya kira-kira 2 jam selepas saya meninggalkan klinik. Alhamdulillah lepas habis ubat bius, saya tak mengalami apa-apa kesakitan. Cuma ada beberapa tempat rasa sedikit tak selesa. Tak terlalu mengganggu.

Semoga Allah memberi kesembuhan kepada gusi saya. Walau pun tak mungkin kembali seperti asal, tapi sekurang-kurangnya rawatan ini dapat mengawal masalah menjadi lebih serius dan mengelakkan kehilangan semua gigi sebelum waktunya. Sejak ada masalah gusi ni, banyak yang saya belajar dan ambil tahu mengenai kesihatan gigi dan gusi. Antaranya, jangan senang-senang setuju cabut gigi kalau sakit. Kenal pasti masalah sebenar dan usahakan buat rawatan (jika ada) sebelum buat keputusan cabut gigi.






.

21 comments:

  1. Saya teringat buat rawatan gigi di klinik swasta 3 tahun lalu. Beberapa kali janji temu rawatan dibuat dan memakan masa selama 3 bulan. Alhamdulillah, walaupun keluar ribu ribuan tapi puas hati.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Itulah..kena bersabar dengan masa dan kos πŸ˜…. Semoga hasil rawatan saya pun memuaskan hati jugak nanti.

      Delete
  2. Terima kasih kongsi. Terperinci. Sayapun baru tahu ada rawatan khas gusi.
    Hehe rawatan pakar memang mahal. Pernah kena untuk kes seliuh kaki saya tapi yang Puan Ujie nampak apa dilakukan. Moga dipermudahkan untuk bahagian ke-2.

    ReplyDelete
  3. Replies
    1. Gigi uncle takpe, masih boleh kunyah ais! 😁

      Delete
  4. semoga cepat sembuh sakit gigi tuu,. ;p

    ReplyDelete
  5. Sha yang baca nie pula terasa ngilunya.. huhuhu..
    Semoga diberikan kesembuhan buat sis.. Aamiin..

    ReplyDelete
  6. seram tengok bil tu huhu.. semoga semuanya baik-baik sahaja

    ReplyDelete
    Replies
    1. Akak pun seram...1st time bayar tinggi gitu untuk gigi πŸ˜…

      Aamin..terima kasih Syaz.

      Delete
  7. Membacanya pun dah ngilu. Lama tak scaling ni, kena buat jugaklah. Penting juga ye jaga kesihatan gusi ni. Thanks for sharing info

    ReplyDelete
    Replies
    1. Silalah ikut rutin scaling Sal. Nanti dah teruk, lagi tinggi kos rawatan πŸ˜‡πŸ˜…

      Delete
  8. Bab gigi ni tak boleh bawak bincang. Pernah berada dalam bilik operate sejam lebih untuk cabut gigi geraham. Seram bila difikirkan semula. InshaAllah dengan berzikir dan berdoa dapat membantu kita dan Allah permudahkan segala urusan akak dan cepat baik segala kesakitan tu. Aaminn..
    Sekarang ni appt klinik kerajaan atau swasta sentiasa penuh je. sebab covid ni terhad sikit kan kena buat appt dulu. Betul tu, sebelum buat rawatan kena consult dulu. Dan doktor akan buat mana yang priority.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Aduh..cabut gigi geraham memang seram. Lama tu, sejam lebih.

      Aamin..terima kasih Fiza.

      Delete
  9. semoga cepat sembuh..

    pernah buat rawatan root canal treatment utk selamatkan gigi dari dicabut..

    ReplyDelete
  10. Salam puan. Slm kenal. Sy juga ada masalah gusi. Tp sy taktahu nk refer mana. Berminat sy nk tau ttg rawatan gusi puan.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wa salam, salam kenal.

      Jika cik nak buat rawatan di klinik swasta, cik cari doktor pakar Periodontik berhampiran tempat tinggal cik.

      Jika nak ke klinik kerajaan, saya kurang pasti. Tapi setahu saya, perlukan rujukan. Jadinya cik pergi dahulu ke klinik pergigian kerajaan dan maklumkan berkenaan masalah gusi dan minta dirujuk kepada doktor pakar.

      Harap jawapan ini membantu. Moga Allah permudahkan urusan rawatan cik.

      Delete
  11. Salam puan.sy nak tanya.mcm mana keadaan gigi puan sekarang?sy ada masalah gusi dan sedang mencari klinik pakar terdekat.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wa salam,

      Setakat ni Alhamdulillah, kesihatan gusi saya lebih baik lepas buat rawatan. Dan saya masih menjalani rawatan susulan setiap 6 bulan sekali.

      Boleh baca pengalaman/info berkaitan rawatan susulan saya di entri berikut ya. Copy & paste di browser.

      https://ujieothman.blogspot.com/2022/10/rawatan-susulan-bagi-penyakit-gusi.html?m=1

      Delete

*****
Komen kalian, bicara antara kita 😊

Saya juga boleh dihubungi menerusi e-mel | halifa02@gmail.com
*****