▼

Wednesday, 30 September 2026

Menginap 3 Malam di STEG Hotel, Kuala Lumpur

Dari Royal Park Hotel di Bangi, Selangor kami ke penginapan seterusnya di Kuala Lumpur pula.

Selama dua hari penuh (Isnin dan Selasa) Encik Suami ada kerja di KL, jadinya kami perlu menginap selama tiga malam di STEG Hotel - daftar masuk hari Ahad dan daftar keluar hari Rabu. Lokasi hotel berhampiran dengan tempat kerja Encik Suami, pergi/balik kerja jalan kaki je.

STEG Kuala Lumpur (Transitioning to Boutech Hotel KL Chow Kit) - ini paparan nama pada Google Maps. Setelah menginap di sini, barulah saya tahu bahawa STEG Hotel telah diambil alih oleh pengurusan baharu sekitar Mac lalu dengan nama baharu - Boutech Hotel.

Dalam entri ini, saya kekalkan penggunaan nama STEG Hotel sebab ia nama yang digunakan ketika kami buat pembelian secara online. 

STEG Hotel, Kuala Lumpur
Bangunan STEG Hotel. Tiada kemudahan kawasan tempat letak kereta yang khusus dan percuma untuk tetamu hotel.

Terdapat tiga pilihan - sama ada kita letak kereta di kawasan parkir terbuka yang terletak sedikit jauh dari hotel dengan kadar caj RM4/hari, atau valet parking di hadapan hotel dengan kadar caj RM12/hari, atau petak parkir di sekitar bangunan berhampiran dengan kadar caj mengikut jam.

Pintu masuk hotel.

STEG Hotel, Kuala Lumpur
Laluan ke bilik penginapan kami bernombor 611 di aras 6.

STEG Hotel, Kuala Lumpur
Alhamdulillah biliknya luas, dalam keadaan baik dan bersih.

STEG Hotel, Kuala Lumpur
Tilamnya pun empuk selesa untuk tidur 3 malam.

STEG Hotel, Kuala Lumpur
Bilik gaya moden dan ceria dengan padanan dinding warna kuning.

STEG Hotel, Kuala Lumpur
Saya suka bilik air warna cerah dan ceria begini, rasa lapang dan tak suram.

STEG Hotel, Kuala Lumpur
Tuala muka dengan sulaman nama baharu - Boutech Hotels.

STEG Hotel, Kuala Lumpur
Pemandangan luar dari jendela bilik kami. Rupa-rupanya hotel ini terletak berhampiran kawasan perumahan. Rumah lama tapi tentu mahal harganya kini, sesuai dengan lokasinya di tengah bandar raya Kuala Lumpur.

Banyak juga rumah yang telah diubah suai kepada premis niaga, antaranya restoran Herman Ayam Kampung Signature dan Kampunglah yang terletak berhadapan dengan STEG Hotel.

STEG Hotel, Kuala Lumpur
Pintu masuk ke ruang makan. Harga bilik kami sudah pun termasuk sarapan, tapi kami cuma makan dua kali saja di sini. Pagi terakhir tu kami beli makanan luar.

Menarik rekaan tangga kayu dengan tempat duduk bertingkat ni, sesuai untuk mereka yang gemar berfoto. Tangga kayu ini terletak bersebelahan dengan pintu masuk ke ruang makan tadi. 

STEG Hotel, Kuala Lumpur
Pilihan sarapan agak banyak jugalah, cuma nampaknya tiada yang kena dengan selera saya. Boleh makan tapi kurang menikmati.

Sepanjang dua hari kami bersarapan di sini, rata-rata tetamu merupakan kumpulan pelancong asing berwajah Cina. Terasa seperti saya sedang berada di negara China 😄

Ada satu kisah sewaktu bersarapan di sini pada pagi kedua. Saya ikut beratur di bahagian telur, panjang jugalah barisan pagi tersebut. Di hadapan saya semuanya orang Cina, saya nampak beberapa orang yang dah ambil telur masing-masing minta dalam kuantiti yang banyak - menimbun telur mata di piring mereka. Jadinya sebab itulah tukang masak ambil masa lama. Saya rasa kurang sabar nak menunggu, terus saja keluar barisan.

Sedang saya makan hampir separuh hidangan, tiba-tiba datang tukang masak tadi membawa piring berisi telur dadar - diletakkan di hadapan saya sambil tersenyum dan meminta maaf atas kelewatan. Tukang masak bahagian telur - seorang perempuan muda manis bertudung. Tak pasti bangsa/warga mana, berkulit hitam manis dan bertutur dalam bahasa Inggeris. MasyaAllah! Saya rasa tersentuh hati dengan budi baik beliau. Terkejut pun iya juga, tak sangka siap dihantar ke meja. Perbuatan yang nampak kecil tapi besar nilainya pada saya.

***

Secara keseluruhannya, saya rasa puas hati sepanjang 3 malam menginap di STEG Hotel. Bilik penginapan dengan ruang luas, lengkap pelbagai kemudahan, berada dalam keadaan baik dan paling penting bersih. Kalau pun perlu ditambah baik, ia berkaitan kebersihan ruang shower dan mangkuk tandas yang perlu deep cleaning.

Bufet sarapannya pula tidak sesuai dengan selera saya (setakat yang saya makan pada hari tersebut), kalau perlu menginap di sini lagi saya akan pilih bilik tanpa sarapan.







17 comments:

  1. berbaloi dengan suasana dalam bilik hotel macam tu.

    ReplyDelete
  2. tak tau pun kewujudan hotel ni di Jalan Raja Laut...

    ReplyDelete
  3. Alhamdulillah, bilik hotel nampak bersih, selesa dan ceria betul dengan tema warna kuning tu. Paling tersentuh baca kisah tukang masak telur tu... perbuatan kecik tapi cukup buat kita rasa dihargai sebagai tetamu. Bertuah Ujie jumpa orang baik-baik!

    ReplyDelete
  4. Terima kasih atas perkongsiannya. Semoga saya ada rezeki juga untuk menginap di sini.

    ReplyDelete
  5. Susah juga tiada kemudahan tempat letak kereta percuma.
    Eh macam mana tukang masak itu tahu Puan Ujie minta telur dadar? Bagus juga dia hantar terus makanan ke meja.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sebenarnya, sebelum masuk barisan tu dia ada tanya. Saya ingat kot dah tak berbaris kira tak jadilah. Tak sangka dihantar pulak.

      Delete
  6. Nice biliknya sis.Warga cina mmg gitu la sis.Masa sy brbuka puasa dkt hotel area subang jaya dulu , mereka selamber je potong q.Sdgkn nk amik air je kot. =(

    ReplyDelete
  7. Bersih dan kemas, simple deco dan menarik. Bagus nya staff f&b tu hantar telur untuk Ujie.

    ReplyDelete
  8. Bab parking tu satu kekuranganlah juga pada pandangan Sy. Tapi dari segi bilik nampak selesa. Alhamdulillah rezeki dapat telur terus ke meja. Bagus chef tu 👍🏻

    ReplyDelete
  9. Toilet macam tu cantik kan? Terang dan bersih

    ReplyDelete
  10. Menarik juga baru tahu STEG Hotel kini bertukar pengurusan dan nama kepada Boutech Hotel. Lokasinya memang praktikal bila Encik Suami boleh berjalan kaki saja pergi balik kerja sepanjang dua hari tu.

    ReplyDelete
  11. Pernah lalu depan hotel ni mmg ramai pelancong China menetap di sini. Bilik nampak baru lagi, hotel pun lawa. Sayang pulak makanan buffet sarapan pagi tu tak kena dgn tekak Kak Ujie.

    ReplyDelete
  12. Hotel besar tp parking berbayar ya kak. Saya jarang melihat hotel di Indonesia yang parkir berbayar. Biasanya dah include dengan tariff kamar. Mungkin saya jarang perhatikan , sebab kalau ke Malaysia pun tak pernah bawa kendaraan.

    Saya sukaaaa juga dengan warna2 terang begitu, Krn kesannya jadi ceria kan 😄😍.

    Sayang pula kalau menu sarapan tak sesuai selera. Tapi memang sayapun dah di tahap nak sarapan hotel macam tak excited seperti dulu 😄. Terkadang pun malas booking dengan sarapan . Mungkin Krn saya dah rutin IF

    ReplyDelete
  13. Alhamdulillah rezeki berjumpa dengan staff yang manis dan muda yang berhemah orangnya. Berjumpa dengan orang baik-baik sokmo akan buat hati kita berbunga-bunga kan? Banyak spot untuk bergambar di hotel ini. Memang favourite anak-anak muda ni

    ReplyDelete
  14. bilik hotel nampak selesa betul, mcm kat hilton pulakk. tandas pun ceria je. silap2 boleh photoshoot dlam tandas haha.
    baiknya tukang masak tu. mesti dia rasa serbasalah sbb kak ujie beratur lama tu

    ReplyDelete
  15. Suka lah tangga kayu dan tempat duduk tu.. nampak santai.

    ReplyDelete

*****
Komen kalian, bicara antara kita 😊

Saya juga boleh dihubungi menerusi e-mel | halifa02@gmail.com
*****