Thursday, 23 July 2026

5 Hari 5 Malam Ke Sana Ke Sini

Ikut perancangan, saya dan Encik Suami akan pulang ke kampung halaman kami di selatan tanah air pada pertengahan bulan Jun yang lalu. Takdir Allah, Jojo si anak bulu sakit serta memerlukan rawatan dan pemantauan rapi. Jadi tak mungkinlah saya ke mana-mana selagi kesihatan Jojo belum stabil.

Setelah lebih sebulan dalam rawatan, Jojo akhirnya pergi meninggalkan kami pada 9 Julai lalu. Sedihnya tak terkata, sukar bagi kami menahan air mata kerana setiap sudut rumah ini ada kenangan bersama Jojo. Ada bagusnya kalau kami pulang ke kampung halaman dalam masa terdekat, sekurang-kurangnya penat bermusafir dan gembira bertemu keluarga dapat mengurangkan perasaan sedih kami.

Senja hari ke-4 selepas Jojo tiada, kami memulakan permusafiran. Tak terus balik ke Johor, kami banyak singgah sana sini - buat urusan Encik Suami serta menghantar oleh-oleh dari Tanah Suci buat adik-beradik.


Lima Hari Lima Malam | 13 - 18 Julai 2026
Rumah Perlis —> Ipoh, Perak —> Damansara, Selangor —> Cyberjaya, Selangor —> Nilai, Negeri Sembilan —> Kajang, Selangor —> Nilai, Negeri Sembilan —> Merlimau, Melaka —> Pontian, Johor —> Batu Pahat, Johor —> Rumah Perlis

Malam pertama - Hotel Valya, Meru, Ipoh, Perak.
Malam kedua - Hotel Yootel, Bandar Bukit Mahkota, Kajang, Selangor.
Malam ketiga - kampung saya di Pontian, Johor.
Malam keempat & kelima - kampung Encik Suami di Batu Pahat, Johor.


Bertemu Adik-Beradik | Biasanya oleh-oleh saya letak je di rumah Mak, nanti masing-masing balik kampung boleh ambil sendiri. Berbeza kali ini ada air zamzam, jadi saya rasa lebih sesuai bagi terus kepada orangnya. Walaupun sedikit tapi bolehlah setakat merasa. Sambil tu dapat juga bersua muka kerana rata-rata kami duduk berjauhan, tak selalu jumpa.

Saya ada sembilan orang adik-beradik, sempatlah saya singgah ke rumah lima orang adik-beradik. Lagi tiga orang - kakak menetap di rumah Mak, adik di Matu, Sarawak dan abang di Johor Bahru, Johor.

Hari pertama, rumah pertama kami pergi - kakak (anak no. 4) tinggal di kuarters sekolah di Cyberjaya, Selangor.

Singgah jumpa adik (anak no. 8) di Nilai, Negeri Sembilan.

Esok harinya sebelum meneruskan perjalanan ke selatan, kami singgah Nilai bagi membeli buah tangan - sandwic di Banat Sandwich dan kuih sejuk beku di Seehat Store.

Dulu semasa menetap di Rumah NS, memang kerap saya beli kuih sejuk beku di Seehat Store. Dah pindah Perlis pun masih membeli di sini bila ada urusan di kawasan sekitar. Orang kedai pun dah kenal, siap tanya “Nak bawak balik Perlis?”. Kali ni bawa balik Johor, nanti hari Sabtu kami datang lagi membeli untuk bawa ke Perlis pula.

Singgah rumah kakak (anak no. 5) di Merlimau, Melaka. Kakak masih bertugas di sekolah, saya berfoto dengan anak saudara sebagai kenangan dah sampai rumahnya.

Sampai Pontian, Johor singgah rumah kakak (anak no. 3). Mengelat kakak saya ni tau, berfoto dengan posisi mengiring. Dah saya nampak macam giant - walaupun memang betul saya lebih besar dan tinggi berbanding kakak.

Rumah kakak (anak no. 6) juga di Pontian, Johor.


Musim Buah | Nampaknya pokok buah-buahan tahun ni sangat menjadi. Kalau sebelum ini di Perlis - sana sini meriah dengan pokok mangga berbuah lebat. Kali ini kami di Johor menyaksikan sana sini meriah dengan pokok rambutan, pulasan, manggis, langsat berbuah lebat. Buah rambai dan duku pun ada tapi tak sebanyak rambutan, pulasan dan manggis.

Meriah keliling rumah mak dan mak mentua saya dengan pelbagai jenis buah-buahan. Banyak sungguh sampai tak termakan. Saya pula makan sekadar merasa.

Pokok langsat yang dah sekian lama tak berbuah, tiba-tiba tahun ni berbuah lebat. Pokok ni tak dijaga, jadinya dah meninggi susah nak ambil buahnya.

Buah pulasan lebat tapi saiz buah kecil.

Alhamdulillah tahun ni Allah bagi rezeki mewah buah-buahan, sampaikan durian premium pun turun harga. Kali ini ramai yang dapat merasa buah durian premium dengan harga rendah.







26 comments:

  1. Elok juga tu Kak Ujie balik kampung dan berjumpa adik beradik supaya dapat melupakan kesedihan tu. Seronok dapat jumpa sorang-sorang kat rumah masing-masing. Jauh perjalanan sambil tu singgah menyinggah. Sampai dah kenal tuan kedai ye walaupun duduk jauh. Saya tak pernah tahu pula kedai tu.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kami bawa cooler bag yang agak besar, tu yang orang kedai senang kenal dan ingat 😄

      Delete
  2. Rezeki tu balik kampun tengah musim buah-buahan. Dapatlah merasa buah fresh from pokok. Bonet pun mesti dipenuhi bekal dari kampung nanti.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Bawak sekotak je sebab perjalanan jauh kan, itu pun jenuh laa banyak semut kat bonet 😅

      Delete
  3. Seronoknya baca pengalaman percutian K.Ujie ni! Percutian 5 hari 5 malam yang penuh dengan pelbagai aktiviti dan lokasi best. Memang cara terbaik nak recharge minda dan nikmati masa berkualiti. Walaupun bunyinya macam penat ulang-alik 'ke sana ke sini', tapi bila dapat jalan-jalan dan kumpul kenangan indah macam ni, terus rasa berbaloi dan puas hati.

    ReplyDelete
  4. Alhamdulillah. Dapat bersua muka dengan adik-beradik kurang sikit rasa sedih kehilangan Jojo. Lamanya tak makan buah pulasan.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Bila sibuk dan penat travel, fikiran pun terisi, tak asyik teringat Jojo.

      Delete
  5. Alhamdulillah. Moga erat silaturrahim sesama keluarga.
    Sedih kan kalau kehilangan si bulu tersayang....

    ReplyDelete
    Replies
    1. Bila anggap macam ahli keluarga, rasa kehilangan tu lebih perit 🥹

      Delete
  6. Lamanya 5 hari 5 malam tu. Sedapnya langsat lama sangat tak makan. Susah nak jumpa.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Gitulah kalau nak balik kampung kami, kurang-kurang perlu 4 hari. Pergi dan balik je dah ambik masa 2 hari 😄

      Delete
  7. Jauhnya perjalanan daru uthara ke selatan

    ReplyDelete
    Replies
    1. Negeri paling utara ke negeri paling selatan, pastu patah balik 😅

      Delete
  8. Alhamdulillah tahun ni menjadi betul buah-buahan bermusim ni.

    Jadinya PU anak ke 7 la kan? Seronok ada ramai kakak :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hehe...tepat! Saya ada 1 abang, 5 kakak, 2 adik perempuan.

      Delete
  9. Bila dapat jumpa adik beradik seronok kan. Tahun ni musim buah alhamdulillah dapat merasa. Pokok langsat rumah kg akak pun dah lama tak berbuah tiber tahun ni ada rezeki

    ReplyDelete
    Replies
    1. Itulah..terkejut tengok sebab pokok tu dah sekian lama tak berbuah. Allah bagi rezeki mewah buah tahun ni.

      Delete
  10. Moga dapat bertemu kembali dengan Jojo di Syurga nant....melimpah rezeki buah tahun ni...

    ReplyDelete
  11. Wahhh..Lama perjalanannya tu sis..Seronok tu..=D

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kadang seronok, kadang jemu jugak lama atas jalan 🤣

      Delete
  12. Jauh perjalanan tu, banyak tempat disinggah. Alhamdulillah, dapat jumpa adik-beradik.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sekali jalan, buat macam-macam urusan 😀

      Delete
  13. Hehe keliling ke rumah kakak-kakak dan adik. Eh perasan Puan Ujie ada seorang abang di JB.
    Alhamdulillah dapat jumpa mereka. Cantik pula gambar dalam bentuk kartun. AI buatkan ke?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hehe iya, ada seorang je lelaki.

      Betul, hasil AI 😀

      Delete

*****
Komen kalian, bicara antara kita 😊

Saya juga boleh dihubungi menerusi e-mel | halifa02@gmail.com
*****