CATATAN KEMBARA 8 HARI 7 MALAM DI BUMI HARAMAIN
Hari Pertama | Selasa, 7 April 2026
Sambungan entri terdahulu —> Persediaan Ke Tanah Suci Untuk Umrah dan Ziarah
⏵ BERKUMPUL DI KLIA 1
Saya dan Encik Suami bertolak dari rumah Perlis sehari sebelum berlepas, kami bermalam di ibis Styles Sepang KLIA. Bilik hotel selesa tapi saya pula yang sukar melelapkan mata - berdebar nak ke Tanah Suci buat kali pertama. Kerap kali saya terjaga, kesannya saya tak cukup tidur.
Penerbangan kami dijadualkan berlepas pada pukul 2.50 petang. Para jemaah diminta berkumpul di lapangan terbang pada pukul 10.50 pagi untuk urusan serahan pasport, tiket penerbangan, lanyard pengenalan diri dan label beg - tertera info negara, nama syarikat pengendali iaitu Rayhar Travels dan nama hotel di Mekah/Madinah. Selesai letak label, terus check-in beg. Lepas tu naik Aerotrain untuk ke Gate C4 yang terletak di bangunan satelit.
Taklimat sebelum berlepas oleh mutawif Ustaz Ahmad Subki. Terasa sebak pula semasa ustaz membacakan doa.
Rombongan kami seramai 86 orang.
Masing-masing siap berpakaian ihram kerana penerbangan kami ke Mekah terlebih dahulu. Masa berjalan ramai-ramai nak masuk pesawat ni pun dah terasa lain suasananya, perasaan saya bercampur baur.
⏵ TERBANG KE JEDDAH DENGAN PESAWAT AMAL BY MALAYSIA AIRLINES (AMAL)
Sebaik melangkah masuk ke perut pesawat, kami disambut dengan audio alunan talbiah. Bertambah sebak perasaan bila dengar talbiah dan bibir ikut sama melafazkannya.
لَبَّيْكَ اللّٰهُمَّ لَبَّيْكَ. لَبَّيْكَ لَا شَرِيْكَ لَكَ لَبَّيْكَ. اِنَّ الْحَمْدَ وَالنِّعْمَةَ لَكَ وَاْلملْكَ لَا شَرِيْكَ لَكَMaksudnya: “Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu ya Allah. Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu. Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu. Tuhan yang tiada sekutu bagi-Mu. Hamba-Mu datang menyahut panggilanMu. Sesungguhnya segala puji dan nikmat dan kerajaan adalah kepunyaanMu, tiada sekutu bagiMu.”
Pesawat A330-300 dengan susunan tempat duduk 2-4-2.
Alhamdulillah kami dapat tempat duduk berdua, berada di belakang tempat duduk mutawif. Rombongan kami duduk sekumpulan, jadi mudah ustaz nak pantau. Selain rombongan kami, nampaknya ada juga rombongan jemaah dari syarikat Az-Zuha.
Oh ya, yang sedang berdiri dalam foto di atas itulah kru kabin Amal - berpakaian sopan dan bertudung. Amal by Malaysia Airlines (Amal) merupakan anak syarikat milik penuh Malaysia Aviation Group (MAG) yang beroperasi sebagai perkhidmatan penerbangan khusus untuk umrah dan haji.
WiFi percuma sepanjang penerbangan. Lepas set telefon ke Flight Mode, saya dapat SMS serta link ke MHconnect. Seronok juga dapat guna WhatsApp semasa dalam penerbangan, boleh update situasi terkini di grup keluarga. Tapi line tak stabil, tak sentiasa ada.
Mula-mula dapat air mineral dan kotak berisi kurma, kemudian dapat Kit Amal yang mengandungi botol spray wuduk (siap berisi air), face mask, beg tali dan sejadah poket - semuanya barang keperluan yang sangat berguna untuk jemaah umrah.
Set hidangan pertama - saya pilih nasi beringin ikan paprik, Encik Suami pilih nasi ayam popcorn sos telur masin.
Hampir di sepanjang penerbangan, beginilah pemandangan dari jendela pesawat. Cahaya luar agak terang cerah, jadinya lebih sesuai ditutup. Lagi pula kami semua memang perlu tidur kerana selepas menempuh perjalanan panjang, nanti tiba di Mekah akan terus selesaikan ibadah umrah.
Saya terjaga dari tidur bila terdengar azan berkumandang juga pengumuman memaklumkan masuknya waktu solat Asar. Skrin di hadapan saya memaparkan tata cara wuduk menggunakan botol spray wuduk dan tata cara solat di tempat duduk. Wow…memang terbaik!
Kami semua sudah pun solat jamak semasa di lapangan terbang tadi, jadi bolehlah sambung tidur.
Terjaga lagi bila kru kabin mengedarkan set hidangan kedua, enam jam selepas hidangan pertama. Walaupun dalam keadaan mengantuk, saya masih berselera menikmati hidangan yang diberi - nasi briyani Hyderabad.
Niat Ihram Umrah di Miqat Qarnul Manazil | Oleh kerana penerbangan kami terus ke Jeddah, kami perlu berniat ihram umrah di miqat Qarnul Manazil. Jemaah perlu memakai pakaian ihram dan berniat sebelum atau ketika melintasi ruang udara kawasan miqat.
Terdapat dua kali pengumuman berkenaan miqat dan peringatan memakai pakaian ihram dibuat dalam pesawat Amal - kali pertama lebih kurang 50 minit sebelum melintasi miqat (tak lama selepas makan hidangan kedua) dan kali kedua pula kira-kira 5 minit sebelum melintasi miqat.
Encik Suami tukar baju dan memakai kain ihram selepas pengumuman yang pertama.
Masya Allah indah sungguh pemandangan langit senja dan hamparan awan yang kelihatan kira-kira 30 minit sebelum pesawat mendarat. Ketika ini jam 6.33 petang waktu tempatan Arab Saudi (pukul 11.33 malam waktu Malaysia).
Pesawat menghampiri lapangan terbang, di bawah sana kelihatan pantai Laut Merah.
⏵ TIBA DI KING ABDULAZIZ INTERNATIONAL AIRPORT, JEDDAH, ARAB SAUDI
Alhamdulillah…pesawat kami selamat mendarat di King Abdulaziz International Airport pada pukul 7 malam waktu tempatan (pukul 12 tengah malam waktu Malaysia).
Perbezaan waktu | Malaysia 5 jam lebih awal berbanding Arab Saudi.Tempoh penerbangan Kuala Lumpur - Jeddah | 9 jam.
Naik airport train untuk ke terminal utama.
Tak perlu beratur lama untuk urusan di kaunter imigresen, orang tak ramai. Pegawai imigresen bertugas semuanya lelaki. Saya dapat pegawai yang agak garang, bising mulutnya menyebut “Tekan…tekan…” sambil mendengus. Sebelum tu saya tengok orang depan saya dapat layanan begitu, kemudian saya pun sama juga. Nak buat macam mana, kita dah tekan jari kuat-kuat tapi mesin dia yang macam kurang berfungsi.
⏵ NAIK BAS KE MEKAH
Naik bas untuk ke Mekah. Bas bertolak pada pukul 8.40 malam.
Dalam bas, kami diberi bungkusan makanan dan minuman. Saya simpan dan makan selepas selesai ibadah umrah, badan letih dan mata mengantuk jadi tak selera nak makan.
Dalam perjalanan, bas singgah berhenti di suatu tempat bagi memberi peluang pada jemaah yang nak menunaikan solat jamak Maghrib Isyak di situ. Awalnya saya nak solat tapi menukar fikiran setelah melihat keadaan tempat solat dan tandas yang sangat kotor. Tak perlulah saya terangkan bagaimana keadaannya, yang pasti saya dan sekumpulan jemaah lain tak sanggup nak masuk tandas tersebut. Di sini juga tiada tempat berwuduk khas, ambil wuduk di singki tandas.
⏵ MENGINAP DI AL SAFWAH ROYALE ORCHID
Lebih kurang 2 jam perjalanan dengan bas, akhirnya kami selamat tiba di kota suci Mekah. Alhamdulillah…Allahu Akbar…perasaan saya bercampur baur. Gembira dan sebak. Terima kasih Allah atas kesempatan ini 🥹
Bas berhenti dan turunkan jemaah di hadapan Hotel Olayan Ajyad, perlu berjalan kaki sedikit untuk ke hotel penginapan kami di Al Safwah Royale Orchid sebab bas tak boleh sampai depan hotel. Beg akan dihantar ke hotel, saya cuma bawa sendiri beg kecil berisi persalinan pakaian warna putih.
Pandangan hadapan bangunan yang menempatkan hotel penginapan kami. Sentiasa meriah dan sesak tak kira siang atau malam.
Kami dapat masuk bilik kira-kira pukul 11 malam. Segera saya membersihkan diri, menunaikan solat jamak Maghrib Isyak dan bersiap untuk melaksanakan ibadah umrah. 45 minit kemudian, para jemaah perlu berkumpul di lobi hotel untuk bersama-sama ke Masjidil Haram.
Bilik penginapan saya dan Encik Suami selama 4 malam di Mekah. Bilik no. 737, ada tingkap tapi cuma pemandangan bangunan/tingkap bilik-bilik lain. Foto diambil selepas selesai menunaikan umrah, bilik dah pun bersepah jadi tak boleh nak tunjuk keseluruhan bilik. Alhamdulillah biliknya selesa - luas, bersih dan semua berfungsi baik.
11.50 malam waktu tempatan (4.50 pagi waktu Malaysia) - ketika ini kami sedang menunggu rakan jemaah yang lain di lobi hotel.
Sebenarnya tadi semasa di dalam bas, ustaz ada bertanya jika para jemaah nak selesaikan umrah selepas solat Subuh. Ini kerana kami baru saja menempuh perjalanan yang jauh dengan perbezaan waktu yang membuatkan badan letih (jet lag).
Saya sendiri berada dalam keadaan letih, mengantuk dan kepala ‘senoneng’ (macam pening rasa melayang). Saya tak biasa berjaga malam, jadi agak sukar bagi saya menyesuaikan diri bila tak tidur semalaman. Tapi nampaknya rata-rata jemaah nak segera selesaikan ibadah umrah, maka saya perlu ikut majoriti. Jemaah yang dah berpengalaman menunaikan umrah pula, mereka lakukan ikut masa sendiri tanpa mutawif.
Video pendek ketika berada di dalam pesawat menuju ke Jeddah.



















Alhamdulillah seronoknya dapat pengalaman ke sana.
ReplyDeleteAlhamdulillah...
Deletealhamdulilah dapat rezeki menunaikan umrah... semoga dapat juga menunaikan haji suatu hari nanti :)
ReplyDeleteAamin...moga ada rezeki ikut PJH. Kalau ikut turn TH, tunggu umur 70an 😅
DeleteAlhamdulillah seronok tengok PU dapat jemputan istimewa ni...
ReplyDeleteFlight haji dulu pun stewardess pakai tudung juga. Dalam flight pun pasang zikir, rasa tenang sepanjang perjalanan.
Mudah-mudahan Allah jemput lagi kita ke sana 🤲🏻
Wah ada pasang zikir 👍
DeleteInsyaAllah aamin...
yang membaca ni pun turut bercampur baur perasaan antara hiba, berdebar, dan tertanya-tanya bilakah Allah S.W.T. akan menjemput saya sekeluarga menjadi tetamu-Nya
ReplyDeleteMoga Afzan sekeluarga dapat segera ke sana. Kalau dah niat, InsyaAllah sampai nanti tu.
DeleteTerima kasih atas perkongsiannya Ujie. KSarie yang tumpang baca ini turut ada rasa bercampur baur sebak dada semua ada sebab bila cerita bab umrah dan haji ni syahdunya memang lain macam. Semoga semua yang membaca blogpost ini termasuk diri saya dijemput menunaikan umrah dan haji nanti
ReplyDeleteSama-sama KSarie.
DeleteInsyaAllah aamin..
Seronok baca pengalaman terbang ke Jeddah ini. Perkongsian seperti ini memang membantu memberi gambaran awal tentang perjalanan, terutama bagi yang pertama kali ke sana. Semoga semua urusan perjalanan sentiasa dipermudahkan dan selamat sampai ke destinasi.
ReplyDeleteBetul, saya tulis lengkap sebab nak beri gambaran jelas buat yang pertama kali pergi. Jadi boleh lebih bersedia.
DeleteI feel you.... Perasaan tu
ReplyDeleteLepas saya pergi, baru tau perasaannya tu.
DeleteWah ada kuih talam! Nampak sedap makanan yang diberi.
ReplyDeleteAlhamdulillah selamat sampai. Itulah eloknya selesaikan cepat-cepat umrah.
Pertama kali naik flight dihidang kuih talam 😀. Sedap pulak tu, habis saya makan. Dua-dua set hidangan memang sedap!
DeleteAlhamdulillah, seronok membaca catatan perjalanan santai tapi penuh info macam ni. Gambar-gambar pun menarik! Terima kasih Ujie sebab sudi kongsi detail dari mula berkumpul sampai tiba di hotel. Sangat membantu memberi gambaran awal bagi yang pertama kali nak ke sana nanti...
ReplyDeleteTerima kasih jugak SA sudi baca 😊
DeleteHarapnya catatan ni dapat bantu persediaan bagi mereka yang pertama kali pergi macam saya.
Ikutkn mmg penat dlm perjalanan jauh tp sbb nk segera tunaikan umrah dan bila selesai makanya syarat2 dlm ihram dh boleh dilaksanakan.. Jika kita lambat dan masih dlm keadaan ihram tu yg kena jg pantang larang lg... Tp time kita pi aritu ada je yg org berusia xlarat so die rehat dlu kt hotel
ReplyDeleteIya, memang betul mudah jika selesai awal.
DeleteBaca akak punya perkongsian ni memang lengkap, boleh dijadikan panduan kalau ada yang nak menunaikan umrah ni.
ReplyDeleteAlhamdulillah, moga membantu bagi mereka yang pertama kali nak pergi. Dapat gambaran.
DeleteCantik gambar-gambarnya Ujie. Alhamdulilah dapat menjejakkan kaki ke sana. Masa saya umrah dulu saya buat umrah ziarah jadi pergi ke turki dulu baru ke mekah. Tiba mekah jam 3-4 pagi macam tu lepas tu naik atas bilik bersihkan diri dan turun semula untuk buat umrah. Selesai jam 5 pagi camtu. Solat subuh dulu sebelum balik hotel. Ya allah penatnya sebab awal pagi sangat tu.
ReplyDeleteAlhamdulillah Terima kasih Ezna.
DeleteItulah, kalau malam mungkin ok lagi. Bila kena awal pagi ni memang terasa lebih penat.
Alhamdulillah. Tumpang excited dan seronok bila baca perkongsian Umrah kawan. Rindu serindu nya moga dapat ke Tanah Suci lagi, Insyaa Allah
ReplyDelete