Sunday, 17 August 2025

Menginap 2 Hari 1 Malam di Duta Riang Villa, Selandar, Melaka

Cerita hujung minggu bulan lalu | Sabtu - Ahad, 19 - 20 Julai 2025.

Saya dan Encik Suami dapat jemputan untuk menginap di Duta Riang Villa yang terletak di Selandar, Melaka. Selain kami, pemiliknya yang juga kenalan Encik Suami turut menjemput beberapa individu lain bersama keluarga mereka.
Pengenalan | Duta Riang Villa (DRV) merupakan sebuah resort percutian yang baru beroperasi. DRV menempatkan vila penginapan, dusun durian dengan keluasan lebih 40 ekar dan sebuah dewan acara. 
Kami bertolak ke Melaka pada hari Sabtu dari rumah NS. Dalam perjalanan, kami singgah melawat anak saudara perempuan yang baru mendaftar masuk Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan di Kuala Pilah. Selepas singgah sana sini, akhirnya kami sampai ke destinasi pelancongan agro ini kira-kira pukul 4.30 petang.

Kawasan parkir yang cukup luas. Dari sudut ini kita boleh nampak bumbung bangunan - dewan acara dan deretan vila.

Satu hal yang menarik - sebaik saja kami memasuki kawasan resort, terus tercium aroma durian. Kuat sungguh baunya. Maklumlah kita sedang berada dalam kawasan dusun durian dan sedang dalam musim durian (ketika kunjungan kami).

Tempat ini luas dengan bentuk muka bumi berbukit. Memang terasa penat jugalah kalau berjalan kaki di sini. Tapi jangan risau, pihak resort menyediakan kemudahan buggy bagi membawa pengunjung ke tempat makan atau ke vila penginapan.

Surau cantik yang terletak berhampiran kawasan parkir. Hasil foto zoom-out.

Dah ada dusun durian, mestilah ada tempat jualan durian. Lokasi tempat makan durian ini juga berhampiran dengan kawasan parkir.

Pilih, timbang dan bayar. Boleh terus makan durian di sini, tempatnya bersih dan cukup selesa.

Dari kawasan parkir, kita perlu turun ke bawah untuk mendaftar masuk penginapan. Begitu juga kalau nak ke tempat makan, dewan acara dan vila penginapan. Kalau tak larat nak berjalan, boleh naik buggy. Kami berdua jalan kaki jelah.

Bangunan di sebelah kanan ni tempat pendaftaran dan pejabat. Deretan pondok tu pula tempat makan. Bangunan dengan dinding kaca tu pula dewan acara yang memuatkan 500 orang tetamu. Memang menarik kalau dapat buat majlis perkahwinan di tempat begini.

Deretan pondok dan gazebo mengelilingi sebuah kolam. Tempat makan dibuka kepada semua pengunjung, walau tidak menginap di sini kita masih boleh datang untuk makan sambil menikmati suasana resort.

Selesai mendaftar masuk penginapan dan dapat kunci, kami masuk bilik bagi menunaikan solat jamak qasar. Kami dapat vila Kim Hong, lokasinya paling hadapan. Catatan berkenaan penginapan akan dibuat dalam entri lain. 

Kami tak berlama dalam bilik, selesai solat terus saja keluar bersiar-siar di sekitar resort. Selepas itu kami duduk bersantai di salah satu gazebo di tepi kolam. Seorang pelayan lelaki datang menghulurkan buku menu.

Klik foto untuk paparan lebih jelas.
Antara pilihan hidangan yang ditawarkan. Walaupun resort ini milik orang bukan Islam, tetapi bahagian masakan (restoran) diuruskan sepenuhnya oleh orang Islam. Bolehlah kita makan dengan yakin.

Kami masih rasa kenyang sebab tadi singgah makan sebelum tiba di resort. Jadinya Encik Suami cuma memesan minuman, saya pula makan aiskrim - Avocado Stick Gelato. Unik bentuknya seperti potongan buah avocado. Rasanya juga sedap!

Aiskrim keluaran syarikat pemilik resort ini juga memiliki logo halal Jakim. Harganya RM15. Menurut saya, harganya setanding dengan kualiti produk.

Selesai duduk bersantai sambil minum dan makan aiskrim di gazebo, saya kembali ke bilik. Encik Suami pula pergi makan durian dengan kawan-kawannya. Saya tak berminat nak makan durian, mungkin sebab cuaca panas terik jadi badan mudah rasa letih. Saya memilih untuk berehat di bilik saja.

Suasana pada waktu malam. Masa ni kami sedang menunggu makan malam disiapkan.

Binaan bangunan kayu dua tingkat di hujung kolam ini khas untuk acara tertentu. Semasa kami di sini, nampaknya ada syarikat yang sedang menganjurkan acara - mungkin Hari Keluarga. Siang tadi riuh rendah mereka beraktiviti di satu sudut resort, malam ini pula kelihatan masing-masing menggayakan baju tradisional menuju ke bangunan di hujung kolam. Suasana malam jadi hidup dengan bunyi riuh mereka.

Sekitar pukul 8.40 malam, saya selesai makan. Saya duduk makan di pondok dalam foto di atas bersama dua buah keluarga lain yang baru saya kenali. Encik Suami pula duduk makan di pondok lain bersama kawan-kawan lelaki.

Ini saja foto hidangan makan malam yang sempat saya rakam. Segan saya nak beria merakam foto bila bersama dengan orang-orang yang baru saja dikenali.

Selesai makan, saya berjalan-jalan sendirian menikmati suasana malam di resort yang terletak di tepi jalan besar laluan Selandar/Alor Gajah ini.

Dekorasi lampu berbentuk bumi menjadi penghias malam.

Puas berjalan dan memotret sana sini, saya kembali ke bilik penginapan. Encik Suami pula balik ke bilik ketika saya sudah pun tidur.

Esok paginya, ada aktiviti menarik buat kami semua - naik ATV melawat dusun durian. Wow…teruja sungguh saya! 







34 comments:

  1. Bestnya pengalaman Ujie ni. Menariknya resort di dalam dusun durian, nak nak lagi tengah musimnya. Sy jarang sekali menginap di kawasan Alor Gajah, pernah sekali aje menginap di A Famosa, kemudian AG cuma jadi tempat lalu-lalang dan ada sesekali singgah makan.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Alhamdulillah rezeki dapat merasa pengalaman gini. Saya tak ingat pernah ke tidak menginap di hotel/resort di Melaka ni. Mungkin ini kali pertama 😄

      Delete
  2. Bestnya resort macam ni. Suasana tenang je. Seronok bercuti resort macam ni.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Memang betul-betul tempat untuk bercuti tenangkan fikiran.

      Delete
  3. Menariknya Avocado stick gelato. Semua ukiran kayu kt villa ni nampak mahal. Satu hari mesti ajak hubby dia cukup suka ukiran2 kayu mcm ni

    ReplyDelete
    Replies
    1. InsyaAllah moga ada rezeki sis dan suami ke sini. Memang sesuai sangatlah tempat ni.

      Delete
  4. Cantik tempat ni dan luas sangat.. kaya sungguh owner ni huhuu... Nasib ada buggie utk di bawa dari parking tu.. kalau tak panas boleh la jalan kaki..
    Aiskrim tu comey jer kalau sesedap seperti dibayangkan berbaloi juga RM15.00 tu.. ☺️

    ReplyDelete
    Replies
    1. Beli kopi secawan pun sekarang dah harga berbelas ringgit, lebih kuranglah harga aiskrim ni. Rupa menarik dan rasa sedap, sesuailah dengan harga.

      Delete
  5. Biji avocado itu daripada coklat ke? Rupa memang betul-betul sama. Terbayang rasa macam air coklat avocado.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Betul NA, bahagian biji tu perasa coklat. Jadi sedaplah makan perasa avocado dan coklat.

      Delete
  6. Wah menariknya tempat ni. Kak Ujie share, baru tahu kewujudannya. Seronoknya duduk sini, kawasan tenang je. Pergi masa masih baru dibuka ni rasa macam lebih seronok gitu, rasa special sebab semuanya masih baru.
    Comel je kat banner tu duriang, durian +riang. Tempat makan dia pun nice sangat ada gazebo tepi kolam. Aiskrim buah avocado tu rugi kalau tak cuba kan. Walaupun harga mahal tapi setanding kualiti rasa dia.
    Best tu ada aktiviti naik ATV pulak melawat dusun durian.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hehe..iya, pergi masa baru buka ni seronok semua masih dalam keadaan elok baru.

      Ada pilihan aiskrim durian, tapi macam dah biasa pulak. Jadi akak try aiskrim avocado.

      Delete
  7. Tempat baru dibuka memang seronok dapat berkunjung kan...
    Surau tu lawa! Lampu bumi tu pun menarik.. tak sabar nak tunggu entry seterusnya

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kagum saya tengok surau lawa tu. Bagus owner buat tempat yang mesra Muslim.

      Delete
  8. Waaaa bestnya kak... nampak cantik dan luas tempatnya.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Luas dan berbukit. Penat kalau jalan kaki 😄

      Delete
  9. Cantik la resort ni.....tempat makan ni pun tenang sebab ada kolam.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kolam tu memang jadi tarikan untuk orang datang makan-makan situ.

      Delete
  10. Masya-Allah, menarik sungguh resortnya. Tempat pun luas. Kemudahan pun banyak. Sedap tengok avocado gelato. Bagus la, tempatnya open. Tak menginap pun boleh masuk makan.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Jadi meriah bila orang boleh datang sekadar makan-makan. Saya nampak ramai jugak yang datang makan dengan keluarga.

      Delete
  11. cantiknya surau dan seluruh villa ni Ujie.

    ReplyDelete
  12. Cantiknya resort ni, memang seronok kalau dapat bermalam.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Bermalam di sini barulah dapat betul-betul menikmati suasana.

      Delete
  13. Aduuuuuh cantiiiiik tempatnyaaaa 😍😍😍😍. Apalagi sesuai nama, memang durian nya banyak juga ya kak. Tp saya pun lebih tertarik dengan eskrim alpukat 🥑 yg dijual. Ini pasti buah asli , harganya lumayan 👍👍👍.

    Ada jual tak di tempat lain? Teringin nak coba 😍😍.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Akak tak pasti, terlupa nak tanya masa di sana. Padahal akak pun ingin tahu juga 😄

      Delete
  14. cantik view malam tu ... sedap nmpk Avocado Stick Gelato

    ReplyDelete
    Replies
    1. Suasana malam lebih menyerlah dengan cahaya lampu, kawasan sekitar pulak gelap.

      Delete
  15. Betul2 luas dan bersih tempat ni. Nampak mcm villa yg mewah! Comelnya aiskrim avocado tu. Kalau nak beli agaknya ada kt situ jelah ye. Kan best kalau dia jual lat kedai2 jugak haha

    ReplyDelete
    Replies
    1. Agaknya ada jual kat sini jelah, tak pernah nampak atau tahu kewujudan aiskrim ni kat tempat lain.

      Delete
  16. nampak macam kawasan yang baru didirikan...
    sangat menarik!
    tang durian tu fuhhh kalau ada sy ni, sy rembat tu dulu hahaha...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ya Anies, resort ni baru beroperasi beberapa bulan lalu.
      Kat rumah dah puas makan durian, itu yang bila ke sini jadi kurang minat. Lagi pulak badan letih travel 😅

      Delete

*****
Komen kalian, bicara antara kita 😊

Saya juga boleh dihubungi menerusi e-mel | halifa02@gmail.com
*****