Tuesday 23 October 2018

Pasar Tani Kuala Pilah & Ulangtahun Ke-70


Sabtu 06/10/2018 : Pasar Tani Kuala Pilah
Kuala Pilah...antara tempat yang banyak menyimpan memori buat saya dan suami. Memori jatuh bangun dalam perjuangan kelangsungan hidup banyak tersimpan di sini. Juga memori rutin pagi Sabtu, membeli di Pasar Tani ini. 😍

Hari ini...kami kembali menggamit ingatan masa lalu dengan mengunjungi Pasar Tani Kuala Pilah, setelah lebih kurang 10 tahun berlalu. Lokasi masih sama, bertambah meriah rasanya. Semua nampak segar, nampak menarik! Antara yang saya beli mestilah daging salai & keli salai. Buat masak lemak cili padi...memang sedap sangat! 😋

Insya Allah akan berkunjung lagi. Mungkin rutin bulanan pulak - sekali dalam sebulan. Hehe..


Sabtu 13/10/2018 : Ulangtahun ke-70
Alhamdulillah...tahun ni dapat buat sedikit surprise untuk Mak sempena hari lahir ke-70. Hari lahir Mak sebenarnya pada hari Jumaat, 12 Oktober. Tapi kami balik rumah Mak pada keesokkan harinya, cuti hujung minggu. Mak tengah menyidai pakaian, saya dan kakak datang bawa kek dan bakul buah/bunga sambil menyanyikan 'happy birthday' dengan suara lemak merdu (ni tipu 😝). Suami saya pulak tukang rekod video/ambil gambar. Seronok tengok Mak happy! 😍

Fruit Pastry Cake order dari jiran saya, dan bakul buah/bunga digubah sendiri oleh kakak saya (anak ke-6).

Kalau ada rezeki nak buat lebih meriah, semua anak cucu balik. Untuk kali ni cuma 3 orang daripada 9 orang anak je yang ada. Kalau bukan Hari Raya, memang susah nak kumpul semua.

Sejak dulu, menyambut hari lahir bukanlah budaya dalam keluarga kami. Biasanya cuma beri ucapan selamat. Kadang-kadang sambut juga bila kebetulan tarikh lahir tu kena pada hari kami sedang berkumpul ramai-ramai di rumah Mak (buat pertama kali juga saya sambut hari lahir dengan meriah di rumah Mak pada 3 Syawal yang lalu...hehe).

Semoga Allah mengurniakan Mak dengan kebahagiaan di dunia dan akhirat. ❤️

Thursday 18 October 2018

BETONG, Thailand : Menjengah Winter Flower Garden

Winter Flower Garden Betong
Dari Piyamit Tunnel kami ke Winter Flower Garden, tak terlalu jauh. Kita boleh berpatah balik ikut jalan mula-mula datang tadi atau terus jalan ke hadapan untuk ke Winter Flower Garden. Laluan seperti satu bulatan. Jalan nak ke Winter Flower Garden ni saya rasa lebih mencabar, semakin menaik, banyak selekoh dan ada runtuhan tanah (mungkin sebab musim hujan).

BETONG, Thailand : Menjengah Winter Flower Garden
Kami tiba di pintu masuk utama ke Winter Flower Garden Betong. Pemandangan yang cantik, macam kat Cameron Highlands!

BETONG, Thailand : Menjengah Winter Flower Garden
Parking kereta, kemudian kita kena jalan kaki untuk masuk dalam kawasan taman bunga. Ada petugas jual tiket kat pondok tepi ni. Hujan semakin lebat, masa kami juga kian suntuk (perlu keluar dari Thai sebelum gelap). Kami tak masuk ke kawasan taman. Sekadar melihat-lihat kawasan luar ni je. Ada kafe, kedai souvenir, tandas. Juga ada bangunan besar macam tempat penginapan. 

BETONG, Thailand : Menjengah Winter Flower Garden
Antara bunga yang segar dan cantik di luar taman. Kalau masuk dalam taman mesti lagi banyak yang cantik! Melihat bunga segar memang menjadi terapi bagi saya.

Kami tak berlama-lama di sini. Perlu kembali ke sempadan semula, dan akan bermalam sekali lagi di Pengkalan Hulu.


Fakta Menarik
Setelah datang ke sini barulah saya faham bahawa kawasan ini ada banyak tarikan pelancongan. Hanya dengan melalui laluan seperti satu bulatan besar, kita boleh melawat pelbagai tarikan pelancongan. Ada Piyamit Tunnel, Winter Flower Garden, Betong Hot Spring, Inthason Waterfall dan lain-lain lagi (boleh rujuk gambar peta di entri INI).

Fakta lebih menarik - kawasan tanah tinggi ini asalnya merupakan tempat persembunyian gerila Parti Komunis Malaya (PKM), kerajaan Thai kemudiannya menyerahkan kepada mereka sebagai tawaran untuk mereka memulakan hidup baru. (boleh baca berita penuh di SINI)

Hari ini, kawasan tersebut muncul sebagai kawasan tarikan pelancongan yang terkenal di Betong. 


Perkara Menarik
Antara perkara yang menarik perhatian saya dan sempat ambil gambar...

Kawasan ini masih terpelihara kehijauannya. Pemandangan hutan dan bukit melatari sekitar. Paling menarik bila nampak pemandangan di atas (gambar kurang jelas sebab hujan). Bukit yang penuh dengan tanaman pokok durian, dan pokok tersebut berikat dengan tali (menghasilkan pemandangan yang menarik). Bukan ikat pada buah tau, tapi tali tu mengikat dahan supaya tak patah dek menampung buah durian. Sepanjang jalan memang nampak buah durian banyak di pokok dan kenderaan-kenderaan pick-up sedang memunggah buah-buah durian. Teringin jugak nak merasa, tapi bila dah hujan jadi malas nak berhenti mana-mana.

Lori yang diubahsuai jadi kenderaan bawa pelancong. Yang ni banyak kelihatan di Piyamit Tunnel. Macam ngeri jugak naik kenderaan begini untuk ke tanah tinggi..hehe.

Catatan ke Betong, Thai tamat di sini. Walaupun singkat, tapi banyak pengalaman baru yang saya dapat.






.

Thursday 11 October 2018

BETONG, Thailand : Piyamit Tunnel

10/09/2018 | ISNIN

Selaku peminat sejarah, PIYAMIT TUNNEL menjadi tarikan utama saya ke Betong, Thai. Tapi rupa-rupanya saya dapat lebih dari sekadar melihat tinggalan sejarah!

[INFO] Piyamit Tunnel adalah salah satu sistem terowong yang terletak di Tano Maero, Betong di dalam wilayah Yala. Ia merupakan jaringan terowong sepanjang 1 kilometer yang telah dibina pada tahun 1977 oleh 50 anggota komunis. Terowong ini mengambil masa selama tiga bulan untuk disiapkan secara manual, iaitu tanpa penggunaan sebarang jentera. Lebarnya dianggarkan 5 kaki, dan mampu memuatkan tempat tidur, setor dan lain-lain ruang untuk memberikan perlindungan kepada gerila-gerila komunis disitu. Berdasarkan kepada maklumat dari buku "The Malaysian Army's Battle Against Communism - Insurgency In Peninsular Malaysia 1968-1989", nyatalah bahawa Rejimen ke-12 bertanggungjawab membina terowong Piyamit ini kerana mereka berpengkalan di Betong. (sumber : konflikdanmiliter)
*saya buat pembetulan pada tahun, merujuk kepada info yang tertera di Piyamit Tunnel.

Perjalanan Ke Piyamit Tunnel
Berpandukan Google Maps, kami bergerak menuju ke Piyamit Tunnel dengan jarak sekitar 15 km dari lokasi kami makan tadi. Hujan yang turun tidak mematahkan keinginan saya. Cuma berdoa supaya perjalanan selamat dan dipermudahkan Allah.

Antara jalan yang dilalui...kawasan kampung. Jalanraya di sini elok je, jarang jumpa yang rosak. Memudahkan pemanduan. Kereta kami bergerak perlahan atas faktor hujan dan jalan yang banyak selekoh serta semakin mendaki. Pemandangan pun semakin cantik! Cantik sebab nampak hutan/bukit je pun, saya suka!

Piyamit Tunnel - Untuk Peminat Sejarah dan Pencinta Alam!
Lebih kurang 30 minit pemanduan, kami selamat tiba ke destinasi. Piyamit Tunnel terletak di kawasan perbukitan. Di tengah hutan yang begitu mendamaikan! Perasaan teruja saya untuk melihat terowong telah bertukar kepada teruja nak menikmati suasana hutan di selatan Thailand ini. 😍

BETONG, Thailand : Piyamit Tunnel
Cantik tempat ni! Dengan berpayung, kami memulakan langkah di sini. Kenderaan kena parking kat tepi-tepi jalan ni je ya. Tak boleh naik atas tu. Sebelum masuk pintu gerbang tu ada tempat makan, penuh dan meriah dengan pengunjung.

BETONG, Thailand : Piyamit Tunnel
Ternampak peta ringkas ni. Walaupun tak faham bahasa Thai, kita boleh faham bahawa kawasan ni macam satu pusingan yang ada tempat-tempat menarik untuk dikunjungi. Sebelum tiba di Piyamit Tunnel, tadi kami dah pun lalu Betong Hot Spring (tapi tak singgah). Kalau tahu peta ni lebih awal sebelum ke sini lebih bagus. Membantu dalam merancang perjalanan.

BETONG, Thailand : Piyamit Tunnel
Beli tiket di sini. Tertera bayaran untuk warga asing RM8 atau 60 Baht. Kami bayar guna Baht. Harga dalam RM ni berubah ikut kadar tukaran wang semasa.

BETONG, Thailand : Piyamit Tunnel
Walaupun hujan, kami masih boleh meneruskan perjalanan sebab laluannya siap berbumbung. Laluan bertangga merentasi hutan ni agak jauh. Tapi tak terasa sangat sebab saya leka memerhati tumbuhan disekeliling.

BETONG, Thailand : Piyamit Tunnel
Antara yang menarik perhatian dan sempat saya ambil gambar. Gambar pokok tu, bahagian atasnya ada cendawan besar. Pertama kali juga saya jumpa pokok kantan yang sangat besar dan tinggi, bunga kantannya pun besar. Terjumpa juga bunga halia hutan yang besar dan panjang (pernah nampak di Cameron Highland saiz tak sebesar ni ). Tapi tak dapat ambil gambar sebab berada agak jauh dari laluan berbumbung. Keadaan hujan agak membataskan. Kiranya banyak tumbuhan sekeliling yang membuat saya leka dan bergerak perlahan! 😃

BETONG, Thailand : Piyamit Tunnel
Coal tunnel kiln - tempat menghasilkan arang. Terowong tu tak dalam pun, boleh jenguk je dari muka pintu. Bukan terowong pun, macam ruangan dapur untuk proses pembakaran kayu menjadi arang.

BETONG, Thailand : Piyamit Tunnel
Guard Post -  terletak di kedudukan yang lebih tinggi.

BETONG, Thailand : Piyamit Tunnel
Smokeless stove - ruang memasak. Agak kurang paham sebab takde penerangan bertulis dalam bahasa Inggeris. Ada petugas yang bagi penerangan tapi dalam bahasa Cina. Pengunjung pun ramai Cina. Masa ni cuma kami berdua dan satu keluarga ibu & anak-anak je orang Melayu. Sebenarnya saya nak bertanya lanjut (saya dapati petugas ni boleh berbahasa Melayu), tapi saya sendiri mengejar masa. 

BETONG, Thailand : Piyamit Tunnel
Piyamit Tunnel - pintu masuk ke terowong bermula di sini. Patung sepasang komunis menyambut di pintu masuk. Yang ni komunis lelaki.

BETONG, Thailand : Piyamit Tunnel
Rupa dalam terowong. Siap ada gantung gambar. 

BETONG, Thailand : Piyamit Tunnel
Antara barang yang dipamerkan.

BETONG, Thailand : Piyamit Tunnel
Dipersimpangan...masa tak cukup, nak kena fikir exit mana pulak. Kami ambil Exit 1, terus tak sempat nak melihat-lihat bahagian lain. Lebih kurang jelah kot semua. Hahaa...

Perjalanan seterusnya, perlu merentas hutan sekali lagi. Sepanjang perjalanan dari awal tadi sehinggalah ke penghujung, kita juga akan berjumpa beberapa tempat ibadat agama Buddha. 


The Trees of Siam
BETONG, Thailand : Piyamit Tunnel
Thousand Tree - inilah bahagian paling menarik bagi saya!😍  Pertama kali saya melihat pokok sebegini besar dan unik! Maha Suci Allah yang menjadikannya. Jom kita pergi kat bahagian tengah pokok ni...

[INFO] Pokok Ara Beringin (nama saintifik : Ficus benjamina) merupakan pokok rasmi Siam. Info lanjut berkenaan pokok ini boleh lihat di DI SINI

BETONG, Thailand : Piyamit Tunnel
Saya berdiri di ruangan tengah pokok dan melihat ke atas. Unik! Nampak seolah-olah beberapa pokok besar yang bercantum di bahagian atas, lalu membentuk sepohon pokok yang sangat besar!

BETONG, Thailand : Piyamit Tunnel
Ini rupa bahagian atas (dari luar). Di suatu sudut pokok, ada binaan patung monyet. Boleh lihat dalam video yang saya sertakan kat bawah nanti.

Ini pula kesan tembakan meriam (tempat yang bertanda kat tanah). Menurut info, ia berlaku sekitar tahun 1977. Serangan terhadap Komunis Malaya telah dilakukan oleh pasukan tentera Malaysia dan Thailand. (Gambar kecil) Model yang lahir tahun 1977 disamping peluru meriam 😁. Nak tunjuk saiz peluru sebenarnya. Tak pasti ni yang asal atau sekadar replika.

Bila dah jumpa tempat ni, hampir tamatlah penjelajahan. Teruskan merentas hutan untuk keluar. Untuk keluar tiada laluan berbumbung. Kami jalan laju-laju sebab hujan. Kami menghabiskan masa sekitar 50 minit je di sini (sebab ada laluan terowong yang kami tak pergi). Petugas di kaunter bagitau, biasanya perlu 1 jam untuk menjelajah semua tempat. Dan pastinya lebih lama kalau suka memerhati dan ambil gambar macam saya...hehe!

--------------------------------------------------------------------------------------

Tips jika nak datang sini :
1. Kurang sesuai untuk anak kecil dan orang tua, sebab perlu lalu banyak tangga.
2. Pakai pakaian dan kasut yang sesuai untuk mendaki anak tangga dan merentas hutan.
3. Bawa air dan makanan sendiri untuk kita Muslim, sebab tak pasti status Halal kafe di sini. 
4. Sediakan payung/baju hujan, mudah jika tiba-tiba hujan turun kita masih boleh teruskan perjalanan.
5. Datang sebelah pagi supaya ada lebih banyak masa untuk meneroka kawasan ni dan lebih redup.

Untuk anda peminat sejarah dan pencinta alam, Piyamit Tunnel sangat sesuai dan menarik!