Thursday 17 November 2016

Nasi Lemak TANPA Santan?

Kisah suatu pagi di Miri, Sarawak...
Saya masuk sebuah restoran untuk bersarapan.

"Ada Nasi Lemak?"
"Ada."
"Ok, ada lauk apa ya?"
"Macam biasalah, set nasi lemak"
"Ok, nasi lemak dengan ayam goreng ya."

Menunggu.
Akhirnya sampai jugak Nasi Lemak...nampak sedap!


Memang sedap...nasi lembut je.
Ayam goreng comel tu pun masih panas-panas...sedap!
Tapi kan...nasi tu langsung tak rasa nasi lemak tau.
Rasa nasi biasa.

Siap makan, kita pun bayar kat kaunter....

"Nasi Lemak tu memang tak letak santan ke?"
"Tak..."
"Ooo..."

😂😂😂

Monday 14 November 2016

WARDA?

Kisah minggu lepas...
Seorang pelanggan saya yang selesai membeli Inner Dagu, 
lalu bertanyakan pulak tudung Warda...

Pelanggan : Ada jual tudung WARDA tak? 
Saya : Takde kak, tudung apa tu ya? 
Pelanggan : Alaa...WARDA Surihati Mr Pilot...
Saya : Ohh... (walau masih tak paham pun! Hahaha)

Sebab apa saya tak boleh nak paham?
Sebab saya tak pernah menonton walau sekali pun cerita tu...
Tajuk tu tau pun sebab orang 'sekeliling' (di FB & grup WhatsApp) asik menyebut.

Beberapa hari selepas kejadian di atas,
Kawan grup WA bersembang lagi pasal cerita tu dan ada sebut 'WARDA'...

'Siapa WARDA? Watak dalam cerita tu ya?' tanya saya.
'Ya, tu nama watak yang dilakonkan Neelofa dan 
sekarang jadi nama tudung dia' jawab seorang kawan.
'Ohhhh...' terus ketawa sorang diri!

Sekarang baru faham maksud pelanggan aritu.
Inilah kesan tak menonton rancangan kegemaran ramai!
Dan rumah saya takde Astro Ria pun sebenarnya!
Sebab pasang Njoi je kan...
😂😂😂

Thursday 10 November 2016

MIRI | Hari Terakhir : Ronda-Ronda Sekitar Miri...Lagi!

Catatan terdahulu :


20/10/2016 Khamis

Hari terakhir di Miri. Bangun pagi terasa sakit-sakit badan dek penangan masuk Taman Negara Niah semalam. Faktor umur yang dah nak menjelang angka 40 mungkin! Namun tetap bersyukur sebab tak mengalami bisa kaki macam masa ke Taman Negara Kuala Tahan, 3 tahun lalu. Mungkin jugak kesan Ammeltz Yoko-Yoko yang saya sapu di kaki sebelum memulakan eksplorasi dan selepasnya. 

Jika ikut perancangan, pagi hari terakhir ni sepatutnya kami akan ke Taman Negara Lambir yang terletak cuma kira-kira 31km perjalanan. Lambir terkenal dengan air terjun. Juga terletak di laluan yang sama menghala ke Niah, semalam tak singgah sebab dah petang. Disebabkan masing-masing badan masih terasa sakit dan cuaca mendung serta kadang-kala hujan renyai...memang sangat tak sesuai untuk ke taman negara. Kita ronda-ronda sekitar Miri...lagi! Ke tempat-tempat yang belum sempat pergi... 


KAK YAM CAFE, PIASAU
Hasil carian Google, kami mencuba sarapan pagi di Kak Yam Cafe. Lokasinya di belakang masjid Piasau. Guna Google Maps untuk ke masjid, lepas tu baru cari kedai makan ni. 

Pertama kali menikmati Laksa Sarawak di bumi Sarawak. Sebenarnya sebelum ni saya selalu makan, tapi buat sendiri kat rumah dengan menggunakan pes Hj. Manan tu. Nampaknya saya lebih suka yang buat sendiri, lebih pekat dan lebih banyak aksesorinya (telur dadar & carikkan daging ayam). Total sarapan kami RM17 - dua mangkuk laksa dan dua gelas teh tarik. Agak mahal bagi saya.


TAMU MUHIBBAH & TAMU KHAS

Antara tempat yang saya rasa wajib dikunjungi bila ke satu-satu tempat - pasar. 'Tamu' bermaksud pasar terbuka/tempat membeli-belah. Tamu Muhibbah & Tamu Khas ni terletak di Jalan Padang, Miri. 

Ada 3 bangunan di sini, yang ni Tamu Kedayan. Mungkin baru buat, sebab tak tulis pun pada papan tanda masuk tadi.


Dalam ni kebanyakkan orang menjual hasil kampung. Bangunan ni memanjang, tempat jualan berada di kanan dan kiri laluan. Mudah kita nak tengok. Sangat tersusun dan sangatlah bersih. Kagum tau!


Bangunan seterusnya - Tamu Khas. Jualan dalam ni nampak lebih meriah. Semuanya barangan kering sahaja.


Kami beli beras tanah tinggi Bario di sini. Ada macam-macam jenis. Kami beli beras putih 1kg dan beras perang/merah 1kg, total RM26. Nak mencuba punya pasal, kita pejam mata jelah dengan harganya ya.


Saya seronok cuci mata kat Tamu Khas ni, macam-macam barangan hasil tangan ada. Ada satu tu..macam span panjang (dalam gambar ni kat bahagian atas, kiri gambar). Rupa-rupanya dihasilkan dari petola yang dikeringkan, jadi macam span. Kegunaannya untuk gosok badan semasa mandi atau untuk basuh pinggan.


Bangunan ke-3 dan yang paling panjang/besar kat sini. Tak nampak nama, tapi tentulah ini Tamu Muhibbah. Dalam tamu ni lebih kepada barangan basah, ada jugak jual pokok dan makanan.

Selepas tu, kami balik ke bilik penginapan di Blueberry Inn, Permyjaya untuk solat/mandi/check-out dan sempat mendobi (dobi percuma je). Balik rumah nanti senanglah, tak perlu uruskan pakaian kotor yang banyak. 


RESTORAN SAJIAN WARISAN, PERMYJAYA

Lepas check-out, kami makan tengahari (dah pukul 2 petang pun..) di restoran yang terletak tidak jauh dari Blueberry Inn. Hiasan dalaman Restoran Sajian Warisan ni menarik dan kemas je. Dah beberapa kali kami makan di sini sebab layanan yang baik dan makanan yang sedap.


PASAR RIA SABERKAS

Pasar Ria Saberkas ni terletak di Jalan Saberkas Utama. Dibuka pada hari Khamis, Jumaat dan Sabtu bermula jam 3 petang. Info ni saya dapat daripada tuan punya kereta sewa kami. Mujur Khamis buka, sempatlah kami ke sini.


Masa ni baru baru jam 3 lebih sikit, pasar baru bermula. Orang belum ramai, mudah dapat parking. Pasar ni ada tapak kekal (lantai simen dan berbumbungkan kanopi).


Keadaan di Pasar Ria Saberkas. Saya ambil sudut yang tak ramai orang sebab segan nak ambil gambar..hehee. Sebenarnya agak meriah juga dengan pelbagai jualan makanan. Kami cuma beli kek lapis Sarawak dan pau. 


Masa masih berbaki, kami meronda sampai ke sini. Tak taulah apa nama tempatnya. Pukul 4 lebih barulah kami menuju ke airport. Masih dalam hujan renyai...

-TAMAT-

*****************************************************

Kos perbelanjaan untuk kami berdua ke Miri (4H 3M) :
Tiket MAS pergi/balik (KLIA-Miri) - RM275.60
Caj parking kereta di stesen ERL Salak Tinggi - RM8
Tiket ERL pergi/balik (SalakTinggi-KLIA) - RM19.60
Sewa kereta Axia (A) - RM420
Penginapan Blueberry Inn. Permyjaya - RM249.33
Tol di Brunei - RM18.30
Petrol - RM75.80* 
Tiket T.N.Niah - RM20
Tambang bot T.N.Niah - RM4
TOTAL : RM1,090.63 **

*petrol ada lebih banyak (3 bar kot), sebab tak jadi ke T.N.Lambir yang terletak di Jalan Miri-Bintulu.
** amaun ni TIDAK termasuk kos makanan.


Nota hati : Kalau ada rezeki, saya berhajat nak ke Miri lagi. Sebab hajat nak ke T.N.Mulu belum tercapai. Untuk ke sana, saya perlukan bajet yang lebih besar dan lebih stamina.  


Monday 7 November 2016

MIRI | Hari Ketiga : Meneroka Taman Negara NIAH

Catatan terdahulu : 


19/10/2016 Rabu
Hari yang ditunggu-tunggu, juga tujuan UTAMA saya berada di Miri - TAMAN NEGARA NIAH. Sengaja saya aturkan aktiviti yang bakal mencabar tahap kecergasan fizikal saya ini pada hari ketiga. Kalau esok pagi sakit badan pun tak kisah, sebab esoknya dah nak balik Semenanjung. 

Alhamdulillah cuaca sangat sesuai untuk aktiviti hari ini. Cerah namun tidak panas terik. Selepas menikmati sarapan Nasi Lemak Tanpa Santan (akan saya cerita dalam catatan lain), kami memulakan perjalanan ke Taman Negara Niah, Batu Niah.  

Perjalanan dari Miri ke Taman Negara Niah adalah kira-kira 96km, kami mengambil masa sekitar 2jam pemanduan dengan kereta Axia. Selain pemandangan hijau begini, kami juga melewati penempatan estet dan rumah-rumah panjang moden. 

[info] Taman Negara Niah terletak 3km dari pekan Batu Niah. Gua Niah diwartakan sebagai Monumen Sejarah Kebangsaan pada tahun 1958. Pada tahun 1974, kawasan hutan dan bukit batu kapur dengan keluasan kira-kira 3,100 hektar disekitarnya diwartakan sebagai Taman Negara Niah. Merupakan taman negara yang ke-3 tertua di Sarawak. 

Gua Niah terkenal sebagai tapak arkeologi dan penempatan awal manusia prasejarah di Asia Tenggara. Ia juga merupakan antara gua batu kapur yang terbesar di dunia

Eksplorasi ke Taman Negara Niah, Sarawak
Excited! Kami tiba di Taman Negara Niah pada jam 11pagi. Sebelum masuk kita pergi beli tiket dulu ya. Kaunternya terletak di sebuah bangunan baru. Harga tiket RM10/dewasa Warganegara. Jika warga asing RM20/dewasa. Nampaknya kami kumpulan kedua masuk untuk hari ini. Kumpulan pertama - dua orang warga asing. 

Kami diberi peta laluan Gua Niah serta penerangan ringkas mengenai laluan yang bakal kami tempuhi. Menurut staf tersebut, tempoh perjalanan pergi dan balik sekitar 3jam 1/2 sehingga 4jam. Bagi yang tak bawa lampu suluh, boleh sewa di sini. Lampu suluh penting sebab kita akan melalui suatu kawasan dalam gua yang gelap gelita. 

Eksplorasi ke Taman Negara Niah, Sarawak
Perjalanan dimulakan dengan menyeberangi Sungai Niah. Bayaran RM1/sehala. Jika selepas pukul 5.30petang, bayaran dikenakan RM1.50/sehala. Nampak tenang je sungai ni kan, tapi rasa seram jugak bila terpandang papan tanda amaran mengenai kewujudan buaya di sini.

Sebelum meneruskan perjalanan, bolehlah singgah di Muzium Arkeologi Niah ni. Percuma je. Cuma kena bukak kasut dan dilarang ambil gambar.

Eksplorasi ke Taman Negara Niah, Sarawak
Maka bermulalah perjalanan kami untuk meneroka Taman Negara Niah, khususnya Gua Niah. Kalau tengok kilometer tu semua memang tak jauh. Painting Cave iaitu gua paling akhir cuma 4.1km. Pergi dan balik jadilah 8.2km! Semoga Allah beri izin untuk saya meneroka.

Laluan pejalan kaki dah disediakan, kita cuma perlu ikut je. Insya Allah tak sesat. Ni antara laluan yang disediakan - laluan konkrit. Walaupun tak hujan malam tadi, laluan ni LICIN dek lumut. Memang kena jalan hati-hati terutamanya bila ada laluan sedikit mendaki atau menurun, saya sendiri dah beberapa kali nak tergelincir. 

Eksplorasi ke Taman Negara Niah, Sarawak
SubhanAllah...rasa tenang jiwa saya menyaksikan keindahan hutan. Juntaian akar kayu, pokok kayu yang berbelit, rama-rama cantik yang berterbangan...semuanya membuat saya tersenyum gembira! Sedari dulu memang saya suka berada dalam hutan...happy lain macam! Dalam pada tu, masih kena melangkah dengan hati-hati. Laluan kayu ni juga LICIN! Nak pijak kena pilih yang kurang lumut. 

Makhluk yang paling kerap saya jumpa. Saiz besar dari biasa. Kadang-kadang hampir terpijak, kadang-kadang hampir terpegang! Sebab tu saya dah tak berani nak pegang bahagian tepi laluan kayu ni...banyak bangsa dia merayap.

Eksplorasi ke Taman Negara Niah, Sarawak
Setelah 40minit berjalan dengan agak mudah (padahal mencungap jugak!) sebab takde mendaki, mula dari sini kita akan banyak kena mendaki anak-anak tangga begini. Terutamanya semasa berada dalam gua nanti. Jom naik...kita ke gua yang pertama!

Eksplorasi ke Taman Negara Niah, Sarawak
Gua pertama - TRADER CAVE. Tiada tinggalan arkeologi di sini. Struktur kayu ni merupakan tinggalan pondok tidak beratap daripada kayu Belian yang digunakan oleh para pemungut sarang burung pada musim menjolok sarang. Digunakan kali terakhir pada akhir 1970-an.

Kesan luluhawa pada dinding dan siling gua yang menarik!

Perjalanan diteruskan memasuki perut gua yang seterusnya, di sinilah tempat yang paling mencabar bagi saya. Tapi ia juga laluan paling menarik! Semakin hampir dengan pintu masuk gua, bau najis kelawar/burung menusuk hidung. Saya sapu minyak angin FreshCare kat hidung.

Eksplorasi ke Taman Negara Niah, Sarawak
Kami memasuki GREAT CAVE (West Mouth of Great Cave). Mula-mula sekali, kita akan nampak TAPAK ARKEOLOGI ni. Iaitu tapak penemuan tengkorak manusia prasejarah yang dianggarkan berusia 40,000 tahun! Kawasan tapak ni tak boleh masuk. 

Great Cave, Taman Negara Niah, Sarawak
Inilah GREAT CAVE. Pemandangan yang memukau. Luas, cantik macam satu lukisan! SubhanAllah...masa ni saya macam terharu ala-ala sebak, dengan izin Allah saya mampu menjejakkan kaki ke sini. Semoga saya mampu jugak panjat tangga yang banyak tu.

Great Cave, Taman Negara Niah, Sarawak
Ini bukan tinggalan arkeologi, tapi rumah milik pihak pengurusan yang kutip sarang burung layang-layang. Kat sini banyak burung layang-layang, meriah dengan bunyi burung yang sibuk terbang keluar masuk gua ni. Cantik stalaktit kat atas rumah ni!

Pemandangan yang menyakitkan mata...vandalisme! 

Great Cave, Taman Negara Niah, Sarawak
Di Great Cave ni banyak kayu-kayu begini tergantung. Jadi satu pemandangan yang menarik pulak. Kayu-kayu ni sebenarnya milik pihak yang mengutip sarang burung. Siling gua yang ada bentuk lubang, biasanya banyak burung duduk. Masa kami datang ni tak nampak sarang burung, tapi nampak kesan/bekas sarang yang dah diambil.

Great Cave, Taman Negara Niah, Sarawak
Penat meniti laluan dan anak-anak tangga, bolehlah berehat kat bangku yang disediakan ni. Siap beratap, untuk elak dari kena najis burung yang bertebaran kat atas. Selepas dari sini, laluan semakin gelap, bantuan lampu suluh diperlukan. Masih kena jalan hati-hati, sebab najis burung banyak dan laluan jadi licin.

Gua Niah, Sarawak
Tiba di ruangan yang dikenali sebagai PADANG. Kat sini ada lubang, ada la cahaya matahari. Teranglah sikit laluan kami. Kalau kena masanya dan ada rezeki, kita akan dapat menyaksikan jaluran cahaya matahari yang cantik kat sini. Selepas ni, kami melalui kawasan gua yang gelap gelita. Ia dikenali sebagai Moon Cave atau Gan Kira.

Gua Niah, Sarawak
Selepas melewati Moon Cave @ Gan Kira yang gelap gelita, tibalah kami di mulut gua ni. Dalam Moon Cave memang takde gambar sebab sangat gelap. Ruang dalam gua tadi agak luas. Selepas dari sini, kita akan menuju ke gua terakhir - Painting Cave. Akan melalui laluan kayu dan anak-anak tangga lagi...penat, tapi tetap bersemangat!

Gua Niah, Sarawak
Alhamdulillah...setelah hampir 2jam penjelajahan melalui hutan dan gua-gua lain, akhirnya kami tiba di gua terakhir - PAINTING CAVE. Kat sini barulah kami bertemu dengan pengunjung lain, iaitu kumpulan pertama yang masuk sebelum kami - dua orang perempuan muda warga asing.

Gua Niah, Sarawak
PAINTING CAVE mendapat nama disebabkan di sinilah terdapat lukisan purba dan juga keranda berbentuk perahu di lantai gua. Sayangnya, mata saya sukar nak menangkap objek yang terlukis pada dinding gua ni. Nampak samar-samar. Nak ambil gambar lagilah tak jelas.

Setengah jam kemudian...setelah berehat sambil minum air mineral dan makan coklat Cadbury, kami pun memulakan perjalanan balik. Kena lalu semula semua laluan pergi tadi ya. Memang rasa letih dek terbayang anak-anak tangga dan gua gelap yang perlu dilalui semula. Takde pilihan...

Dalam perjalanan turun, di Trader Cave barulah kami bertemu dengan sekumpulan pengunjung tempatan. Perjalanan balik lebih cepat sebab dah tak tengok sekeliling sangat. Kaki pun dah letih, kepala fokus nak cepat-cepat sampai. Kami selamat tiba di titik awal di mana kami bermula pagi tadi, sekitar jam 3.30 petang. Catatan masa : 4jam. Alhamdulillah!

----------------------------------------------------------------------

Tips jika nak ke sini :
1. Sebaiknya mulakan penjelajahan di sebelah pagi, sebab perjalanan pergi/balik akan memakan masa sekurang-kurangnya 3jam 1/2 (bergantung kepada stamina / kerap ambil gambar / suka memerhati alam - akan ambil masa lebih lama).
2. Bawa lampu suluh yang cukup terang (sesuai untuk masuk ruang luas yang gelap).
3. Bawa kain tuala kecil (untuk lap peluh dan tutup hidung jika tak tahan bau najis burung/kelawar).
4. Bawa air mineral botol besar dan coklat untuk tenaga.
5. Tiada tandas disepanjang laluan, tandas cuma ada di jeti sebelum menyeberangi sungai. Selesaikan apa-apa di sini dahulu ya.  
6. Bawa beg - untuk isi sisa minuman/makanan kita. Geram bila ternampak sisa minuman bersepah. 

...fuh, catatan terpanjang rasanya ni! Maaf ya, saya catatkan secara lengkap untuk rujukan peribadi dan mereka yang memerlukan. 


Catatan seterusnya :
MIRI | Hari Terakhir : Ronda-Ronda Sekitar Miri...Lagi!