Monday 31 October 2016

MIRI | Hari Kedua : Lawatan Singkat Ke Brunei

Catatan sebelum ini : 

18/10/2016 Selasa

Hari Ke-2...seperti yang telah dirancang, kami akan ke Bandar Seri Begawan, Brunei. Seawal jam 7.25 pagi kami bergerak dari penginapan. Menurut Google Maps, perjalanan kami adalah sejauh kira-kira 145 km dan akan mengambil masa sekitar 2 jam dengan melalui Lebuhraya Muara - Tutong.

Pagi ini mendung dengan disertai hujan renyai. Kesinambungan hujan yang agak lebat malam tadi. Kami tidak bersarapan di kedai, sekadar mengalas perut dengan roti sebelum bergerak keluar tadi. Cadangnya nak makan di Brunei sebab perjalanan tak berapa jauh (tapi plan tak menjadi, maka pangajarannya - wajib sarapan yang berat sebelum nak ke mana-mana ya!).


PERJALANAN KE BANDAR SERI BEGAWAN (BSB)

SELAMAT DATANG KE KUALA BELAIT! Kami kini berada di Brunei setelah melewati Kompleks Imigresen Malaysia, Sungai Tujuh, Miri dan Sungai Tujoh Control Post, Kuala Belait, Brunei. Sebenarnya ada kekeliruan semasa kami nak melewati imigresen Malaysia dan Brunei ni, disebabkan keadaan jalan dan bangunan yang mengelirukan. Tambahan pulak masa tu takde kenderaan lain untuk kami ikuti pergerakkan mereka. 

Tol Jambatan Rasau. Kat sini kami kena bayar tol sebanyak B$3.00 (sekitar RM9.15 duit Malaysia). 

Resit tol tadi. Kita lalu dua kali (pergi dan balik), jadinya total B$6 untuk bayaran tol ke BSB. Borang tulisan merah tu pulak, adalah borang Masuk Sementara Bagi Kenderaan yang perlu diisi semasa melalui pemeriksaan kastam Brunei. Lalu kaunter, minta borang, parking tepi, isi borang (maklumat kenderaan) dan kembalikan. Takde pemeriksaan apa pun, pegawai tu cuma cop borang yang dah diisi. 

Lebuhraya yang kami lalui untuk menuju ke BSB. Tengok tu, siap ada had laju bila hujan - 70km/j. Tak banyak kenderaan kat lebuhraya ni. Sesekali je ada. Agak bosan dan mengantuk jugak sepanjang perjalanan ni, banyak pemandangan hutan/belukar. Yelah, lebuhraya. Suami bawa Axia ni slow je sebab hujan. Memang lagi mengantuklah...

Tak pasti dah sampai mana, kami berhenti sekejap. Tengoklah harga minyak kat sini...RON 97 - B$0.53, RON 92 - B$0.519 dan Diesel - B$0.31. Murah! Tapi menurut catatan blogger lain, harga begini cuma untuk kenderaan Brunei sahaja. Kenderaan luar macam kami akan dikenakan harga yang lebih tinggi. 


BANDAR SERI BEGAWAN (BSB)
Alhamdulillah...kami selamat tiba di BSB sekitar jam 10.40 pagi. Maksudnya kami ambil masa sekitar 3 jam dari Permyjaya, Miri ke sini. Masih dalam hujan renyai. 

Satu masalah kami, takde peta jalan di BSB. Nak guna Google Maps, dah off data sebab berada di luar negara. Sebenarnya, saya jangkakan boleh bergerak di sini berpandukan signboard jalan. Rupa-rupanya kat sini sangat sikit signboard. Takde tulis pun arah mana masjid dan lain-lain tu. Disebabkan itu, maka kami bawak jelah kereta sesuka hati. Yang pernah ke sini, korang berpandukan apa ya untuk bergerak?

Jalan raya di sini agak lengang. Mudah nak memandu. Seperkara lagi, kat sini tulisan jawi 'hidup'. Bolehlah menguji tahap lancar baca Jawi kita kan? Hehe…

BSB memang tak besar mana. Dalam pada kami tak tau arah mana nak tuju, dan main jalan je...terjumpa masjid ni. Antara mercu tanda Brunei dan merupakan tarikan pelancongan. Memang sangat gah dan cantik bila tengok depan mata! Siap ada bahtera yang sangat cantik di sisi masjid ni. Dalam gambar saya ni kurang menarik, sebab cuaca mendung dan sudut yang diambil tak sesuai. Kami tak masuk pun, sebab perut masing-masing lapar nak kena cari makanan dulu (akibat tak sarapan berat pagi tadi!).

[info] MASJID SULTAN OMAR ALI SAIFUDDIN siap dibina pada tahun 1958. Dinamakan sempena nama Sultan Brunei ke-28. Merupakan masjid paling unik di Asia Pasifik.

Kami teruskan memandu tanpa arah, nampak masjid ni. Terus masuk, parking dan menuju ke dalam masjid. Lupa seketika pasal perut. Masjid ni memang sangat memukau pandangan saya. Sekali lagi, saya tak ambil gambar pada sudut yang betul. Perut lapar, apa pun malas...huhuu. 

[info] MASJID JAME'ASR HASSANIL BOLKIAH merupakan masjid terbesar di Brunei. Siap dibina pada tahun 1994 bagi memperingati hari ulangtahun ke-25 pemerintahan sultan.

Nak melangkah di tangga masjid, nampak notis larangan mengambil gambar di dalam masjid. Maka, takde gambar dalam ni ya. Disebabkan kami tiba sini kira-kira jam 11.30 pagi dan waktu Zohor di sini sekitar jam 12.06 tengahari, kami ambil keputusan nak tunggu waktu Zohor dan solat jemaah di sini saja. Alhamdulillah...sempat solat sunat, solat fardhu Zohor berjemaah dan meninjau sekitar kawasan masjid. 

Ruang solat Muslimah terletak berasingan dari ruang solat utama, tapi saya sempat jugak meninjau ruang solat utama yang sangat gah di dalamnya. Tak reti saya nak tulis di sini, tapi memang sangat kagum dengan seni binanya. Masya Allah...SubhanAllah! Memang patutlah ramai pelancong berkunjung (masa kami tiba tadi, sedang ada lawatan oleh sekumpulan pelancong luar...bukan Islam menurut pandangan saya).

Masa di sini jugak, saya sempat bertanya dengan seorang muslimah tentang tempat makan terdekat. Menurutnya, kat sini memang kurang signboard. Tapi tak susah mencari (mungkin sebab BSB tak besar).

Berpandukan maklumat daripada muslimah tadi, kami tiba di sini. Ada beberapa kedai makan, tapi kami tertarik untuk mencuba NASI KATOK (seperti yang tertulis pada kain putih tu). Tiba di kedai tersebut, rupanya untuk bungkus saja. Kami beli jugaklah...saya tunjuk pada menu yang tertulis 'Nasi Katok' sebab tak reti nak sebut 'katok' tu macamana. Pelayan (rupa dan gaya seperti orang Indonesia) memberitahu Nasi Katok dah kehabisan sambalnya, tapi boleh ganti dengan lauk sayur lain. 

Inilah NASI KATOK yang cuma berharga B$1 sahaja! Kira RM3.05 duit Malaysia. Nasi Katok ni ada nasi putih, ayam goreng dan sambal. Kira murahlah ni! Kami punya ganti sayur sebab sambal dah habis. Semuanya masih panas-panas...memang berselera kami makan! Makan kat mana? Dalam kereta je lah! Hehehe..memang jimat habis dah ni. Untuk basuh tangan dan air minum memang ada bekal dalam kereta ni, takde masalah. Licin masing-masing makan.

Sebenarnya, sejak dari Kuala Belait lagi saya dah terpandang kedai/warung  tulis 'Nasi Katok'. Maksudnya, kat Brunei memang terkenal dengan nasi ni. Jadi agak rugi kalau tak mencuba. Cuma sayang sekali, tak dapat rasa sambalnya sebab dah habis. Bukan rezeki kami.

Balai Bomba Bandar Seri Begawan. Tak besar, sesuai dengan tempat ni yang tak besar dan tak ramai penduduk. Gambar ni saya ambil semasa kami sedang cuba cari jalan balik ke Miri. Masuk je mana-mana jalan.

Tiba-tiba...lalu pulak istana. Memang nampak gah walau sekali lalu je nampak. Tak sempat nak berhenti sebab kenderaan kat belakang banyak. Bahaya pulak nak berhenti tiba-tiba. Nak patah balik memang tak tau jalan. Ini pun main agak-agak je jalan ikut signboard tulis Seria (mujur sebelum ke Miri saya dah printscreen tempat-tempat yang perlu dilalui untuk ke BSB dan dah hafal turutan nama tempat). Untuk balik ke Miri, kami cari signboard tertulis Seria atau Kuala Belait.

[info] ISTANA NURUL IMAN merupakan kediaman rasmi sultan Brunei. Tercatat sebagai kediaman istana paling besar di dunia oleGuinness World Records. Istana ini mempunyai 1,788 bilik, 257 bilik mandi serta sebuah dewan jamuan yang boleh menampung seramai 5,000 orang.


KEMBALI KE MIRI 
Perjalanan diteruskan, dan akhirnya kami selamat melepasi sempadan di Miri sebelum jam 4 petang. Memang singkat sungguh masa kami di Brunei. Tempat dalam senarai yang tak jumpa - Tamu Kianggeh (rasanya memang dah lalu kat tepi sungai tu, tapi bila nak patah balik tak jumpa jalan pulak). Tapi tidaklah terkilan, sebab tujuan asal kami ke Brunei sekadar nak melihat-lihat bagaimana rupa Brunei. Lebih tepat lagi rupa BSB. 

Pada pemerhatian saya, BSB bukanlah seperti bandar besar di negara kita yang sesak dengan bangunan dan sarat dengan manusia. Bandarnya agak ringkas, nampak kurang landskap hiasan dan sangat kurang papan iklan (kalau ada pun, nampak usang). Juga kurang signboard sebagai panduan ke tempat-tempat tumpuan pelancong (mungkin kerana industri pelancongan bukan sesuatu yang penting bagi Brunei). Dari segi penduduknya, setakat yang saya temui agak ramah dan sudi menjawab pertanyaan saya dengan baik. Berjumpa di tangga masjid pun mereka memberi salam kepada saya. 


* Nota : Kadar tukaran wang masa saya pergi ni adalah B$1 = RM3.05. Saya tukar di Semenanjung.


....bersambung hari ketiga - Taman Negara Niah yang wow!...

Tuesday 25 October 2016

MIRI | Hari Pertama : Canada Hill & Makan-Makan

17/10/2016 Isnin

Alhamdulillah...saya dan suami selamat tiba di Lapangan Terbang Miri, Sarawak sekitar jam 11pagi, setelah kira-kira 2jam penerbangan dari KLIA. Kembara kali ini kami berpeluang menaiki pesawat MAS, sebab dapat tiket dengan harga menarik - RM275.60 pergi balik untuk dua orang. Dapat harga ni sebab tebus mata ganjaran kad Enrich, promosi sempena Hari Malaysia yang lalu. Boleh pilih tempat duduk, dapat makanan dan dapat 30kg check-in bagasi. Oklah tu kannn!

INFO RINGKAS MIRI
sumber gambar : Wikipedia

Miri terletak di bahagian utara Sarawak, ia merupakan bandar kedua terbesar di Sarawak. Mendapat status Bandaraya pada tahun 2005. Bandaraya Miri maju kerana kaya dengan sumber asli, terutamanya Petroleum. Miri juga terletak disempadan Brunei, jadinya kalau kita ke Miri jangan lepaskan peluang melawat Brunei. 


KERETA SEWA
Untuk memudahkan pergerakkan, kami sewa kereta. Kononnya untuk berjimat kami nak naik pengangkutan awam je, tapi kajian saya mendapati ianya agak sukar dan kosnya mungkin lebih tinggi berbanding menyewa kereta. Tambahan pulak, kami bercadang nak ke luar Miri - Taman Negara Niah, yang terletak agak jauh dari Bandaraya Miri. 

Saya hubungi beberapa penyedia servis sewa kereta, dan akhirnya memilih Grenax Car Rental Miri 017-855 6488. Kami sewa kereta Axia (A) dengan bayaran RM410 (ambil jam 11pagi 17hb. dan pulang jam 5petang 20hb.).  Harga tersebut sudah termasuk caj outbound sebanyak RM50, sebab kereta akan dibawa ke Brunei. Sebenarnya, saya rasa agak mahal caj yang dikenakan. Tapi memang itulah harga terbaik yang saya boleh dapat, berbanding harga yang ditawarkan oleh penyedia servis sewa kereta lain. (info tambahan, selain Grenax korang boleh jugak dapatkan kereta sewa dari Arol 014-895 5628).

Sebenarnya agak pelik sedikit bagi saya, bila nak sewa kereta kat Miri ni diorang tanya kita nak ke mana. Ada caj berbeza jika kereta di bawa ke luar Bandaraya Miri, dan cara caj tak sama bagi setiap penyedia servis.


NASI LALAPAN, RESTORAN MUARA
Dari lapangan terbang, kami menuju ke Restoran Muara yang terkenal dengan Nasi Lalapan. Mana saya tahu terkenal? Ni semua hasil carian di internet. Dan dengan bantuan Google Maps memang mudah je nak ke mana-mana. Restoran ni ada di dua lokasi, kami pergi ni di Waterfront Miri.


Lalapan Tenggiri kepunyaan saya, dan suami pulak order Lalapan Tongkol. Dihidangkan bersama sepiring nasi dan semangkuk kecil sup kosong. Menurut tekak saya, ia sedap sebab nasi lembut, tauhu/tempe/ikan masih panas dan garing! Sambal pun sedap dan banyak. Tapi...harganya agak mahal. RM12.70 untuk Lalapan Tenggiri dan RM10.60 untuk Lalapan Tongkol. Sesekali merasa...

[info] Lalapan berasal daripada Indonesia. Lalap merupakan sayur-sayuran yang disajikan bersama nasi dan lauk-pauk lain (ayam, ikan).


BLUEBERRY INN, PERMYJAYA
Lepas makan, kami ke penginapan bajet - Blueberry Inn di Permyjaya yang dah ditempah awal menerusi Agoda. Permyjaya ni terletak kira-kira 12km dari Bandaraya Miri.


Kena naik tangga kat tepi kedai Avon tu ya. Seronoknya menginap kat sini, sebab dapat mendobi percuma kat kedai MyDobi tu (sekali dobi untuk satu hari menginap). Kat sebelah Avon tu ada kedai serbaneka, kot nak beli air mineral pun senang. Kat deretan ni jugak ada beberapa penginapan bajet lain. Yang tak nampak, kedai makan Muslim. 


Alhamdulillah...dapat bilik yang memuaskan hati. Bersih dan tak sempit walau bertaraf penginapan bajet. Kami bayar RM249.33 untuk menginap selama 3 malam (RM83.11/malam). Staf kat sini pun beri layanan yang mesra dan baik.

Satu-satunya perkara yang tak menyenangkan - bunyi bising dari pusat hiburan berhampiran. Selepas pukul 10malam sehinggalah melewati jam 6pagi masih bising. Malam pertama, saya asyik terjaga sebab bising. Malam-malam berikutnya, tahap bising berkurangan dan badan pun penat. Memang tak sedarlah. Sebenarnya boleh je kami mintak tukar bilik, tapi malas pulak sebab dah serasi dengan bilik tu. Jadinya kalau korang nak menginap di sini, kenalah mintak bilik bahagian belakang untuk elak bunyi bising ni.


THE GRAND OLD LADY & MUZIUM PETROLEUM
Selepas berehat/solat di bilik, pukul 3 lebih kami keluar dan menuju ke Canada Hill (12km dari Blueberry Inn). Bukit ni tak tinggi, boleh naik kereta macam biasa.

Nampak bangunan ni kat sebelah kanan jalan, maka sampailah kita.... Inilah Muzium Petroleum. Masuk sini percuma je. Tapi kami tak masuk pun dalam muzium ni.

the Grand Old Lady iaitu telaga minyak pertama di Miri, terletak berhampiran bangunan muzium tadi. 

Telaga Minyak Miri No.1 / Miri Well No.1 yang lebih dikenali sebagai The Grand Old Lady. Saya masih tak faham kenapa panggil 'grand old lady'. Ada yang tau?


[info] Tempat ini juga merupakan telaga minyak yang pertama di Malaysia digerudi dengan cara alat kawat. Digerudi pada tahun 1910. Wow...106 tahun yang lalu?


Kat batu-batu tu semua ada info sejarah. Kalau rajin, bolehlah menatap satu persatu ya.

Dari atas bukit ni kita boleh melihat pemandangan Bandaraya Miri. Tapi saya tak merayau sekitar kawasan ni, sebab sana sini pekerja tengah potong rumput. Tak kena masa. Siap ada yang tanya, 'Dah siap dik? Kalau dah, nak potong rumput ni'. Adehh..potong mood saya nak posing tau! Hahahaa..


MADLI SATAY CORNER
Turun dari Canada Hill, kami menuju ke Luak Esplanade (pantai). Konon nak minum petang dan melepak situ sambil tengok matahari terbenam. Bila sampai, cuma ada beberapa peniaga dan pengunjung. Anjing pulak banyak berkeliaran. Mungkin sebab kami datang masa orang bekerja. Tak jadi melepak situ.

Kami tukar plan, menuju ke Bandaraya Miri dan cari Madli Satay Corner. Lokasinya di Jalan Merpati. Ni pun antara lokasi makan-makan (halal) yang terkenal di Miri. 

Mee Jawa dia memang sedap! Harga RM7.

Sate Ayam...suami kata sedap, tapi tekak saya tak berapa suka. Macam lebih rasa ketumbar. Harganya RM1.30/secucuk. Agaknya, memang mahal-mahal makanan kat Miri ni kan...huhuu.

Ni kira makan malam kami. Masa ni pun dah dekat waktu Maghrib, hampir pukul 6 petang (waktu Maghrib di sini sekitar jam 6.10 petang). Lepas makan, singgah beli sedikit keperluan di Giant, Permy Mall yang terletak berhampiran hotel kami menginap. Lepas tu balik bilik dan tak keluar lagi. Rehat-rehat je. Esok awal pagi kami nak bertolak ke Bandar Seri Begawan pulak.

Thursday 13 October 2016

Tertipu Dengan Penjual Online?

Buat pertama kalinya saya tertipu sewaktu berurusniaga secara online. Dalam pada berhati-hati, terkena juga akhirnya! 

Kisah ni bermula sebelum bulan Ramadhan lalu. Saya sibuk mencari sesuatu sebagai free gift untuk pelanggan bisnes online saya. Sehinggalah terjumpa satu kedai di Instagram ni, buat pin cushion dengan harga murah. Cuma RM2 satu dengan belian minima 30 pin cushion, siap free delivery! 

Murah ni, boleh percaya ke? Saya terfikir juga hal ni. Tambahan pulak, tengok Instagram dah berbulan tiada update. Saya tinggalkan komen di situ, dan segera dibalas. Terus rasa yakin untuk meneruskan urusniaga...sambil berfikir - kalau kena tipu pun tak banyak amaunnya. Bolehlah cuba...


25 Mei 2016 saya buat bayaran (mujur bayar separuh). Menurut penjual tu, pin cushion akan siap dalam masa DUA minggu. Saya pun menunggu....

Cukup masa, masih belum siap lagi 6 biji. Saya menunggu lagi. Tapi rupa-rupanya...itulah kali terakhir dia membalas WhatsApp saya! 

Saya mencuba segala cara - semua panggilan telefon, mesej dan panggilan WhatsApp, SMS, komen di Instagram...tiada berbalas! Mesej di WhatsApp siap double tick blue, namun masih tiada respon. Baru-baru ni pun saya cuba telefon dia, pun tak berjawab. 

Pada mulanya saya bersangka baik, telefon dia rosak atau dia sakit teruk. Tapi setelah berbulan-bulan lamanya dia menyepi (dalam tempoh masa tersebut saya masih cuba telefon dan WhatsApp), terpaksalah saya catatkan hal ini di blog untuk kita semua ambil pengajaran dan peringatan. Bukan kerana duit RM30 yang saya nak kecohkan, tapi saya nak pembeli lain berwaspada dengan penjual tersebut. Semoga saya adalah yang terakhir terkena begini oleh penjual tersebut.


APA TINDAKAN YANG BOLEH DIAMBIL JIKA TERTIPU BEGINI?
Kita boleh buat aduan Polis, untuk tujuan rekod bertulis dan sebagai dokumen sokongan untuk urusan aduan ke agensi berkaitan. 

Atau/dan boleh terus buat aduan ke Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) dengan bayaran serendah RM5 untuk memfailkan tuntutan. Info lanjut berkenaan TTPM boleh klik DI SINI. 


Jadinya kenapa saya tak failkan tuntutan? Sebab nilai kerugian saya cuma RM30, tak berbaloi rasanya untuk saya buka fail dan perlu pulak menghadiri pendengaran tuntuan. Bagi korang yang mengalami kerugian yang lebih besar, sangatlah digalakkan untuk buat tuntutan. 


Nota : 
Pendedahan begini tidak termasuk dalam larangan membuka aib orang lain tau. 
Ia dibenarkan untuk tujuan orang lain berwaspada dengan orang tersebut.

Monday 10 October 2016

'Remove Background' Gambar dengan PowerPoint

Gambar yang jelas dan menarik memang sangat penting untuk pemasaran 'bisnes online'. 
Nak gambar cantik, mestilah kena pandai 'edit' kan...

Gambar ni saya ambil sendiri di dalam rumah, berlatarkan dinding rumah. Gelap, tak menarik. 
Setakat guna PhotoScape, memang tak boleh nak 'remove background' gambar di bawah ni.


Nak 'remove background', biasanya orang guna Photoshop. Tapi malangnya saya 'buta' Photoshop. Sebelum ni memang ada yang bagitau kita boleh 'remove background' guna PowerPoint je. Pun saya tak reti nak godek, sebab orang bagitau secara bertulis je. Susah nak paham.

Sehinggalah baru-baru ni ada kawan kongsikan di Facebook, tutorial 'edit' hanya menggunakan PowerPoint. Saya terus cuba buat, ikut je langkah demi langkah yang ditunjukkan pada gambar. 
Hasilnya....

Alhamdulillah...suka sangat! Mudah je! 
Lepas jadi begini, barulah saya sambung 'edit' guna PhotoScape. 
Terima kasih banyak-banyak untuk saudara Ahmad Syamim yang sudi buat tutorial bergambar dan kongsikan untuk umum. Insya Allah banyak pahala mengalir untuk beliau atas asbab memberikan ilmu ni. 

<<< Yang nak belajar, boleh terus klik DI SINI. >>>

* untuk makluman, fungsi 'remove background' ni hanya ada PowerPoint 2010 dan ke atas sahaja. *



Nota : Entah kenapa, tiba-tiba je bloglist 'hilang' di kedua-dua blog saya (blog ini dan blog bisnes). Nampaknya ambil masa jugaklah untuk saya 'add' satu persatu semula. Huhuhu..