Thursday, 18 February 2016

Cendawan dan Bunga Pokok Kari

Hasil Cendawan Sendiri 

Buat pertama kali, dapatlah merasa tuaian cendawan sendiri. Seronok bercampur terkejut. Sebabnya dah lama jugak saya 'membela' pek cendawan ni. Mula-mula letak dalam stor, langsung tak jadi apa. 

Lepas tu saya tutup balik penutup pek cendawan ni, dan gunting plastik di bahagian belakang. Tukar lokasi, letak bawah sinki dapur (dalam kabinet dapur). Ada beberapa kali jenguk, takde apa-apa. Semalam...bukak je kabinet, terus terjerit! Terkejut tengok putih2 sebenarnya, sebab dah lupa pasal cendawan. Alhamdulillah...saiz besar dan banyak, putih bersih cantik. Bakal jadi bahan masakan dalam menu Tom Yam nanti. Oh ya, pek cendawan ni kakak yang bagi. Harganya beberapa ringgit je.

Pokok Kari Berbunga!

Close-up...yang tak nampak dengan mata masa belek pokok, masa nilah baru jelas. SubhanAllah, unik sungguh ciptaan-Nya.


Gambar ni diambil kelmarin, sewaktu pertama kali bunga-bunga ni berkembang. Harum baunya tau, bukan bau daun kari. Pertama kali tengok pokok kari berbuah, semasa berkunjung ke Herba Nasuha. Alhamdulillah, kali ni dapat tengok pokok kari sendiri pulak berbunga. Mungkin jadi buah lepas ni.

Pokok kari saya ni kecik je sebenarnya. Tanam dalam pasu je, sebab rumah teres jenis takde tanah. Saya ambil anak pokok dari rumah mak, kiranya dah bela lebih setahun. Walaupun duduk dalam pasu yang tak besar mana pun, tapi dia ni rajin tumbuh anak. Mungkin pokok ni subur dan cepat matang sebab saya baja 2 minggu sekali (tapi kadang lupa!), selain cukup keperluan tanah hitam / air / matahari.


Nota : Dulu ku fikir tangan aku panas. Tanaman semuanya hidup segan mati tak mau. Rupanya, sendiri yang tak reti cara membela dan takde minat yang tulus sebenarnya. Terima kasih grup Kebun Bandar yang mencetuskan semangat dan tempat menimba ilmu. ^_^

Monday, 15 February 2016

Bila Pelanggan Tak Mahu Wang Baki...


Sepanjang saya menjalankan bisnes online, dah banyak kali jugak pelanggan saya tak mahu terima wang baki. Kebiasaannya, wang baki saya sertakan dalam bungkusan Pos Laju. Tapi ada masanya, saya terlepas pandang dan terlupa selitkan dalam bungkusan. Ada kalanya jugak, pengeposan diuruskan secara langsung dari pembekal. Makanya, cara yang ada adalah dengan membuat pindahan wang ke akaun bank pelanggan. Tak susah pun, cuma klik je menggunakan perbankan internet.

Saya : Boleh bagi nombor akaun untuk pulangkan baki?

Pelanggan : Tak pelah..tak payah pulangkan. Akak halalkan je..

Saya : Eh, tak bolehlah gitu. Takpe, saya transfer je tak susah.

Pelanggan : Tak pe..kalau rasa tak selesa, masukkan je kat mana-mana tabung derma. Jangan susah hati.

Begitulah...ada jugak yang kata untuk belanja saya minum kopi! Belanja jarak jauh gitu..hehee. Memang saya rasa tak selesa, juga segan sebenarnya. Dan menjadi polisi bisnes saya untuk tak membawa baki pelanggan bagi pembelian seterusnya. Mestilah saya ada alasan kenapa buat gitu kan.

Bila berjumpa dengan kes-kes begini, saya tersenyum sendiri. Mereka membuatkan saya rasa bahagia (bercampur hairan sebenarnya), dek keluhuran hati mereka. Bukan setakat seringgit dua, kadang kala sehingga berbelas ringgit yang mereka halalkan. Saya doakan mereka murah rezeki, dan Insya Allah akan saya panjangkan rezeki yang ada kepada insan lain pula.


Nota : Jangan salah faham pulak ya, bukan nak suruh korang jangan ambil wang baki sendiri. Sekadar bercerita tentang sikap sesetengah sahabat pelanggan saya je. ^_^ 

Friday, 12 February 2016

Cameron Valley, Jagung Susu dan Bunga Kering

Cameron Valley @ Bharat Tea Plantation
Antara tempat wajib pergi setiap kali menjenguk Cameron Highlands, terletak di sebelah kanan jalan dari Tanah Rata menuju ke Tapah. 

1. SubhanAllah...pemandangan yang tak pernah jemu dilihat! Nampak aliran sungai di bawah tu? Jom kita ke sana!  

2. Cara nak ke bawah sana? Jalan kaki ya, takde pengangkutan disediakan. Boleh turun ikut lereng bukit (macam para pengunjung tu), bolehlah kurangkan sikit jarak perjalanan. Atau ikut jalan yang disediakan. Yang pasti, dua-dua pun menguji kemampuan fizikal.   

3. Dalam perjalanan...nampak karung guni berisi daun-daun teh yang telah dipetik. Perjalanan agak jauh dan memenatkan, tapi seronok sebab berada di tengah ladang teh yang menyegarkan. Memang asyik angkat monopod je...

4. Alhamdulillah...berjaya tiba buat kali ke-2 di sini. Tempat ni makin menarik berbanding kunjungan pertama saya dahulu. Walaupun matahari menyinar garang, tapi udara masih terasa nyaman. Air sungainya jernih dan kelihatan bersih. Kami duduk santai di sini menikmati indahnya alam ciptaan Allah. 

Jagung Susu dan Bunga Kering

Kat tajuk tak sebut pasal Strawberi pun kan, tapi saya catatkan juga di sini untuk rujukan akan datang. Bila pergi di luar musim cuti begini, bolehlah dapat Strawberi saiz besar dengan harga RM20 untuk 4 pek. Sangat puas hati, sebab puas makan dengan celupan coklat (celupan coklat saya buat sendiri dan bawak dari rumah, gara-gara tak yakin nak makan yang di jual kat Kea Farm tu. Cerewet tahap 7. Hahaa...)

Inilah Jagung Susu. Berbeza dengan Jagung Mutiara (yang terkenal di CH), Jagung Susu berwarna putih pada keseluruhannya. Kalau Jagung Mutiara, isinya warna kuning bercampur putih. 

Saya tau pasal jagung ni pun dari blogger Tihara. Agak susah cari, sebab tak ramai yang jual. Akhirnya, dapatlah beli di kedai pakcik Velu. Harganya? RM5 setongkol. Mahalkan? Kalau yang saiz kecik RM3 setongkol. Nak merasa punya pasal, belilah 2 tongkol ni. Jagung ni tak perlu direbus tau, boleh makan macam tu je pun dah sedap atau kukus sekejap. Saya kukus sekitar 5 minit je, memang dah cukup sedap!

Ada cerita sikit, menurut pakcik Velu...Jagung Susu ni varieti baru yang memang ditanam di CH. Berbeza dengan Jagung Mutiara, ada yang dibawa naik dari Ipoh. Jika yang ditanam di CH, rasanya lemak manis. 

"Bunga kering tahan 2 tahun!", kata si penjual di Kea Farm. Disebabkan teringin nak cuba bunga kering yang kekal segar ni, belilah jugak. Beli 2 bungkusan, dapat RM20. Katanya, jangan kena air dan boleh terus letak dalam pasu hiasan. Boleh tahan 2 tahun atau lebih.

Esoknya sampai rumah, bunga memang segar macam dalam gambar ni. Tapi batangnya dah tak segar dan melentok je bila diletak dalam pasu. Aduhai! Kena fikirkan kreativiti la pulak, memang tak buang sebab bunga elok cantik. Makanya...kalau korang ke CH dan nak beli, silalah pertimbangkan dulu ya. 


Wednesday, 10 February 2016

Hutan Lipur Parit Fall, CH : 10 MINIT Je...

Aktiviti minggu lepas, sebelum tibanya cuti Tahun Baru Cina...saya dan suami ke Cameron Highlands. Konon nak ke Mossy Forest @ Gunung Brinchang, nak daki setakat mampu. Sayangnya, ditutup sehingga April 2016 untuk kerja-kerja baik pulih/pembersihan. Rancangan pun bertukar...

1. Seawal jam 7.35 pagi, kami berjalan kaki dari penginapan bajet Sun Birds Hotel di Tanah Rata untuk menuju ke Parit Fall di Kg. Taman Sedia. Suhu sekitar 18 darjah, sejuk dan menyegarkan! Semalam dah tanya pakcik jaga kaunter hotel, katanya dekat je jalan kaki - 10 MINIT. Dalam hati...hmm, memang dekat sangat tu! Tapi...baru jalan kaki kat sini pun makcik Ujie dah mencungap!

2. Jalan sampailah nampak gerbang Kg. Taman Sedia kat sebelah kanan. Masuk kampung tu, jalan sikit lagi sampai jumpa binaan penanda kat atas ni - HUTAN LIPUR PARIT FALL. Tak taulah camne boleh lulus, Bahasa Melayu campur Bahasa Inggeris! Ok, teruskan berjalan...

3. Sampailah kat kawasan ni...dari luar memang tak nampak, sebab jalan berbukit (turun naik). Luas dan nampak ok. Boleh sampai sini dengan menaiki kenderaan jugak ya. Bolehlah nak beriadah, berehat atau makan-makan sebab ada banyak kerusi dan meja disediakan. 

Dan memang betul kata pakcik tadi, memang 10 MINIT JE! Tapi mencungap macam jauh sangat. Tu pun ada hati nak ke Mossy Forest. Alahai...dasar tak sedar diri betul!

4. Jom tengok papan info dulu. Dari sini, boleh ke Hutan Lipur Sungai Pauh dan dibenarkan berkhemah di situ. Boleh jimat duit penginapan kan?

5. Dari papan info tadi, ikut kanan (lalu jambatan gantung ni) akan membawa kita ke HUTAN LIPUR SUNGAI PAUH. 

6. Dah lalu jambatan gantung kat atas tadi, kena lalu jalan ni pulak. Tapi kami tak teruskan. Macam takut pulak nak lalu berdua di pagi yang sunyi ni. Maka, tak dapatlah tengok rupa Hutan Lipur Sungai Pauh.

7. Kita menuju ke Parit Fall pulak. Dari papan info tadi, ambil jalan kat sebelah kiri. Tak jauh berjalan pun...

8. Inilah rupa PARIT FALL. Nampak cantik, tapi tak luas mana untuk main-main air. Tambahan pulak, tak berapa bersih (sampah sarap berkumpul). Kita tengok jelah ya...

Seterusnya, kami merayau di sekitar Kg. Taman Sedia sambil cari kedai nak sarapan. Sempatlah ambil gambar chalet/homestay yang ada (catatan akan datang, kalau rajin!). Memang tercungap-cungap layan bentuk muka bumi kat situ. Ok, cukup sekali je buat aktiviti macam ni! Tak sesuai untuk makcik seperti saya. ^__^


Nota hati: 
Pembangunan di CH kian rancak. Baru tak menjenguk setahun dua, sudah berubah rupa. Paling sedih bila melihat bukit/hutan gondol. Persoalannya, adakah semua itu berlaku seiring perancangan pihak berkuasa, atau hanya mengikut kerakusan tangan kapitalis?

Friday, 5 February 2016

TPPA, MB Kedah dan Bonus Tabung Haji

Catatan Sejarah Semalam - Khamis, 4 Februari 2016

TPPA (Trans-Pacific Partnership Agreement)


Malaysia dan 11 negara lain (Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Vietnam dan Amerika Syarikat) sudah pun memeterai TPPA di Auckland, New Zealand. 

Bagus ke tak bagus untuk kita? Ada pro dan kontra, boleh klik dan baca di kedua-dua link berikut :


MB (Menteri Besar) Kedah


Perlantikan MB Kedah yang baru, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah sebagai MB Kedah ke -12. Ia dianggap sebagai pengakhiran kemelut politik Kedah (UMNO khususnya). Tetapi hakikatnya, ia adalah kesinambungan kemelut pentadbiran di Malaysia yang seakan tidak berpenghujung. 

MB Kedah 'kaki tidur'? Bagi pendapat saya, adalah tidak wajar kita mengaibkan dan mengutuk beliau tanpa tahu kedudukan sebenar. Biarpun kita membenci perbuatannya 'merampas' pentadbiran Kedah dari MB terdahulu, itu bukanlah lesen untuk kita mengutuk/maki beliau. Islam melarang, ingat! 


Bonus Tabung Haji

5% Bonus Tahunan + 3% Bonus Haji

Memang tidak setinggi tahun sebelumnya, sehinggakan ramai yang mengeluh! Ada pulak yang membeza-bezakan dengan ASB. Mari kita fahami, TH bukanlah instrumen PELABURAN untuk duit kita. Jadinya ia tidak menjanjikan sebarang pulangan, yang dijanjikan adalah simpanan kita selamat

Jika benar ingin menggandakan duit kita, perlulah melabur pada saham-saham patuh syariah (boleh rujuk kepada mereka yang arif), atau melabur pada perniagaan (jalankan sendiri atau melabur pada bisnes orang lain). Tapi harus diingat, mana-mana pelaburan yang menjanjikan keuntungan yang pasti adalah termasuk dalam ciri-ciri tidak patuh syariah. Pelaburan bermaksud, mungkin untung dan mungkin rugi!

Ok, bukan tujuan saya 'membela' TH. Cuma ingin kita faham beza simpanan dan pelaburan. Itu je. Kalau nak pertikai dari sudut lain, maaf....memang saya tak arif ya. 


Nota : Nampak macam semalam adalah hari yang penuh luka, penuh kontroversi dan penuh tanda tanya. Semoga Allah melindungi dan menyelamatkan kita dari pemerintah yang zalim, serta ditunjukkan mana yang benar dan mana yang palsu. 

Monday, 1 February 2016

PHILIPS Pressure Cooker : Sup Ekor ala Thai

Setelah beberapa lama (saya beli tahun lepas - 2015) menggunakan PHILIPS Pressure Cooker (PPC) ni, barulah sekarang berani nak tulis resepi/cara menggunakannya di blog. Itu pun setelah banyak menimba ilmu dengan geng grup PPC di Fb.

Tak macam periuk Noxxa, ramai orang kongsikan resepi/cara menggunakannya. PPC ni macam susah sikit jumpa, kecuali kita join grup di Fb. Tapi disebabkan tak mampu nak beli Noxxa, saya beli PPC ni jelah. Harga masa beli RM399, boleh dapat murah lagi jika kena tempat dan masanya. 

Ok, berbalik kepada tujuan asal saya untuk kongsikan cara masak Sup Ekor ala Thai menggunakan PPC. Mudahlah jugak untuk saya nak buat rujukan semula kan..

==================
SUP EKOR ALA THAI
==================
*resepi asal (menggunakan periuk biasa) saya ambil dari perkongsian rakan Fb, tetapi kemudiannya disesuaikan mengikut bahan yang ada di dapur dan selera tekak sendiri. Berikut adalah bahan-bahan dan cara yang saya gunakan untuk memasak menggunakan PPC :

Bahan-bahan :
1. Ekor lembu (sekitar 500gram)
2. Bawang besar - 2 biji (hiris halus)
3. Bawang putih - 1 ulas (hiris halus)
4. Halia sedikit (hiris halus)
5. Serai - 1 batang
6. Tomato (jika besar 1biji, potong 4. Saya guna 8 biji tomato ceri)
7. Beberapa helai daun limau purut
8. Cili padi - belah dua (saya letak 3 biji, nak pedas sila letak banyak lagi)
9. Jus lemon (saya guna 1/2biji, ikut resepi asal guna jus limau nipis).
10. Rempah tumis - 1 sudu besar (saya kisar perencah dalam sup bunjut).
11. Air secukupnya.
12. Garam secukupnya.
13. Sedikit minyak untuk menumis.


1) Bahan-bahan yang diperlukan.

2) Biarkan periuk tak bertutup, sebab kita nak menumis dulu. 
On BAKE mode (saya guna Bake - Fish). 

3) Masukkan sedikit minyak, dah panas tumiskan bawang besar dan serai. Bila bawang dah layu, masukkan rempah tumis, bawang putih dan halia. Tumis hingga naik bau. 


4) Lepas tu masukkan ekor lembu, tumis sekejap. Akhir sekali masukkan air secukupnya. Jangan banyak sangat sebab kita guna PPC, air tak berkurangan macam masak atas api. OFF BAKE mode.

5) Tutup periuk, pastikan tombol pada SEAL. ON pulak BEEF/MUTTON mode. 
Tambah KPT (keep pressure time) kepada 45 minit. START.

6) Bila dah siap, lepaskan tekanan dengan berhati-hati (saya guna kain untuk tutup bahagian tekanan keluar dan sudip kayu yg panjang, tolak tombol sedikit demi sedikit). Kemudian buka tutup periuk dan ON BAKE mode - Fish sekali lagi. Masukkan bahan akhir - jus lemon, cili padi, tomato, daun limau purut dan garam secukup rasa. Kacau seketika. Siap dan OFF.


Tadaaa...Sup Ekor ala Thai yang pertama kali saya masak! Rasa supnya, pedasnya, masamnya, ditambah aroma daun limau purut dan daging yang lembut...memang cukup memuaskan selera saya dan suami! Selera orang lain tak taulah ya...hehee. Bolehlah taburkan hirisan daun sup dan bawang goreng. Saya tak letak sebab daun sup tak ada dan sebenarnya kurang minat pun.


Nota PPC : untuk menumis (BAKE mode), boleh pilih selain FISH. Yang penting, cukup masa untuk menumis. Dah siap tumis, kita tekan je OFF.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...