Tuesday, 13 October 2015

Pekanbaru, Riau : Jom Jalan-Jalan!

Lama sungguh nak menyambung catatan ke Pekanbaru ni, maklumlah menulis blog ni kena ikut mood. Kalau takde mood, lamalah termenung depan skrin.

5 - 7 September 2015
Rancangan asal nak meneroka dan bermalam di Kampar terpaksa dibatalkan atas faktor jerebu dan kadar tambang teksi yang tak berbaloi untuk kami berdua. Akhirnya, sepanjang beberapa hari kami cuma menjelajah sekitar Pekanbaru sahaja. Misi kami...pelancongan bajet rendah! Kami memilih teksi bermeter dengan caj minima Rp20,000 untuk bergerak dari satu destinasi ke destinasi lain. Berjalan kaki juga menjadi pilihan kami! Kata bajet rendah kan...hahahaa.


1. Lokasi penginapan kami - Hotel I-Shine di Jalan Jenderal Sudirman memang sangat strategik. Betul-betul di tengah bandar dan bila melangkah keluar hotel je, semua ada di sekeliling. Dengan berjalan kaki kita boleh ke pusat membeli-belah sekitarnya - Mal Pekanbaru, Plaza Senapelan dan Plaza Sukaramai (Ramayana). Sesuai untuk yang suka shopping, memang rambang mata tengok telekung/pakaian/kain pasang. Saya suka tengok je..  


2. Inilah Pasar Bawah. Lokasinya jauh dari hotel, kami naik teksi. Pasar Bawah ni macam Pasar Payang, Kuala Terengganu. Kalau nak cari cenderamata (t-shirt bertulis Pekanbaru), elok cari sini. Sebab tak nampak pulak kat tempat lain. Key-chain saya tak jumpa. Nak cari aneka kerepek, ada kat tingkat bawah pasar ni. Kat sini, kami beli dua set telekung sebagai cenderamata untuk mak-mak kami. Harga? Tak murah sangat. Tapi rendah berbanding kat Malaysia. Orang kata kalau nak betul murah, kena ke Bandung.


3. Masjid Agung An-Nur, dibina pada tahun 60-an. Antara masjid yang terkenal di Indonesia. Sebuah masjid yang besar dengan senibina yang menarik! Lebih menarik, ada kaunter untuk kita simpan kasut yang dijaga oleh dua remaja lelaki. Tiada bayaran dikenakan. Suami saya hulur juga duit, penjaga tu terus masukkan ke dalam tabung masjid yang ada di situ. 


4. Alhamdulillah...berpeluang solat di sini. Cuma sedikit terkejut, masa berwudhuk ada lelaki yang masuk. Penjaga masjid mungkin, sebab dia tanya air ada atau tidak (memang takde air, terpaksa wudhuk di tandas). Masa nak solat di ruangan wanita ni pun, tiba-tiba dia masuk menyapu. Agak kesal, sebab dia tak ambil peduli aurat kami. Begitulah..lain tempat, lain budayanya mungkin.


5. Gedung buku yang terkenal dan terbesar di sini - GRAMEDIA. Dari tempat makan durian (akan diceritakan nanti), kami berjalan kaki ke Gramedia. Walaupun peniaga durian memberitahu lokasi ni agak jauh untuk berjalan kaki! Memang agak jauh, tapi seronok dapat memerhati persekitaran dengan lebih dekat. Sepanjang berjalan, kami kerap di sapa oleh Angkot/Oplet (van pengangkutan awam). 

Gramedia memang tempat yang menarik bagi saya! Kami cuma menjelajah 2 daripada 3 tingkat bangunan ini. Itu pun dah kepenatan sebab ia memang besar dan membuat kita leka membelek buku dari satu bahagian ke bahagian lain. Istimewanya Indonesia, terdapat banyak buku daripada pelbagai disiplin ilmu dihasilkan oleh rakyatnya sendiri. Di Gramedia, saya membeli cenderamata untuk diri sendiri - tiga buah buku karya Andrea Hirata. Termasuk karya terkini beliau - Ayah. Seronok sangat dapat memiliki karya beliau yang asli (dalam bahasa Indonesia). 


6. Yang kuning tulah Angkot (di Pekanbaru disebut Oplet). Sebuah van pengangkutan awam yang banyak di sini. Suami nak cuba naik, saya pulak takut-takut. Rugi pulak tak cuba. Oh ya, kenderaan awam beroda tiga pun ada tapi tak banyak (tak berkesempatan ambil gambarnya).


7. Kami berjalan-jalan di deretan blok-blok kedai, melihat-lihat kehidupan setempat dan perniagaan mereka. Lokasinya tak jauh dari hotel penginapan. Memang berpeluh-peluh, tapi seronok!


8. Kedai yang menarik perhatian saya, kedai lukisan dan membuat bingkai. Jumpa pulak lukisan yang saya idamkan (gambar air terjun di tengah hutan yang nampak hidup), harga dalam RM sekitar RM90 tanpa bingkai. Memang murah sangat sebab saiz besar. Tapi sayang, dah ada yang punya! Menurut penjual, lukisan yang halus dan nampak hidup itu adalah karya pelukis dari Bali. Dia menunjukkan kedai lukisan yang lain. Rupa-rupanya memang banyak kedai begini, tapi saya gagal menemukan lukisan idaman. Eh, nak kena pergi Bali ke? ^_~


Keseluruhannya, mungkin benar Pekanbaru kurang daya tarikan pelancongan. Tiada pemandangan alam yang indah, tiada pusat membeli-belah dengan harga super murah. Tapi disebabkan itu, Pekanbaru jadi tempat yang aman untuk kami berjalan-jalan. Tiada peminta sedekah mengejar (seperti yang selalu orang cerita bila ke Indonesia). Tiada penjual yang mengejar dan memaksa kita membeli. Kiranya, sangat sesuai untuk kami yang baru pertama kali berjalan-jalan di tempat asing tanpa bantuan orang tempatan/pemandu pelancong.

....catatan seterusnya, makan-makan di Pekanbaru...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...