Tuesday 30 September 2014

Nakhoda Yang Pincang!

"Sebutkan rukun Iman?" pinta penemuduga.

Diam. Lelaki itu gagal menjawab. Mungkin jua terkejut, lalu gagal mengingati.

"Baca surah al-Fatihah." arah penemuduga lagi.

Tergagap-gagap lelaki itu cuba melafazkan kalimah suci.

"Berapa lama kamu tak solat?" tanya penemuduga, pabila lelaki itu gagal membaca surah al-Fatihah (surah yang wajib dibaca dalam solat).

Lelaki itu menjawab "Sudah lama...". Ada yang mengaku sudah berbulan, ada yang mengaku sudah bertahun. Ya, lelaki itu dan lelaki-lelaki itu sudah sekian lama tidak bertuhan!


Lelaki-lelaki itu adalah suami kepada keluarga Islam. Punya isteri dan anak-anak. Mereka adalah NAKHODA kepada sebuah pelayaran bahtera rumahtangga. Hidup mereka tidak seindah impian, terperangkap dalam belenggu kemiskinan. Tapi yang lebih malang, hidup mereka jauh dari Allah yang telah menciptakan mereka (juga kita). Mereka benar-benar miskin! Miskin harta dan iman.

-----------------------------------------------------------------------------------

Sedih, kasihan, risau....itu yang saya rasa. Entah apa yang mereka lalui, entah bagaimana didikan penjaga mereka, hingga akhirnya menjadi 'nakhoda yang pincang'. Risau mengenangkan generasi zuriat yang terhasil. Moga usaha membawa mereka keluar dari belenggu kemiskinan ini bakal membawa mereka kepada hidup bertuhan.

Insaf, syukur...itu jua yang saya rasa. Terima kasih Allah atas segala nikmat hidup dan kemanisan rasa bertuhan yang Kau kurniakan!

Rasa bertanggungjawab...itu yang perlu saya dan kita semua rasa. Jom sama-sama kita ambil peduli pada insan sekeliling kita. Lakukan usaha semampu mungkin. Yang miskin harta, kita berikan bantuan harta. Yang miskin iman, kita tunjukkan jalan kebenaran-Nya. Ya, semampu kita kerana kita sendiri masih terumbang-ambing dalam usaha meningkatkan tahap ekonomi dan tahap keimanan.





Friday 26 September 2014

Langkawi : Hole In The Wall

...catatan Langkawi lagi...
Kat Langkawi ni ada 3 tempat yang diwartakan sebagai 'Geoforest Park' :
  1. Gunung Machinchang
  2. Dayang Bunting
  3. Kilim
Kali ni kami ke KILIM. Disebabkan kesuntukan masa dan dah petang, kami tak ambil pakej untuk menerokai KILIM GEOPARK. Untuk info, pakej paling rendah adalah berharga RM200/bot untuk aktiviti penerokaan selama 1jam. Harga boleh dirunding kalau kita datang di luar waktu sibuk. Telan air liur jugak tengok papan tanda harga pakej kat Jeti Kilim tu. Tapi takpe, misi kali ni kita makan-makan je kat restoran terapung 'Hole In The Wall'.
1. Pemandangan di sekitar Jeti Kilim. Untuk ke restoran, kita kena telefon terlebih dahulu. Tak lama kemudian, ada bot datang ambil kami. Tiada caj dikenakan sebab caj nanti termasuk dalam harga makanan jugak kan.

2. Pemandangan yang sangat menakjubkan bagi saya. Masya Allah...Subhanallah! Bot dipandu laju melalui landskap batu kapur (karst) yang unik. Tak sangka Langkawi ada khazanah alam seindah ini!

3. Dari jauh kelihatan banyak kapal layar yang berlabuh. Bot mula dipandu perlahan. Kapal-kapal layar ni kepunyaan warga asing, mereka letak di sini (berbayar) dan akan datang kembali selepas beberapa bulan. Kalaulah aku ada kapal layar...

4. Selamat tiba...tak ramai pengunjung. Ada sepasang warga Arab je. Dan memang lagi tadi asik nampak pasangan warga Arab je dalam bot-bot yang lalu-lalang.

5. Hole In The Wall merupakan salah satu daripada 3 buah restoran terapung di Pengkalan Sungai Kilim ini. Dapat tau dari seorang kawan, terus cari info dan dapat jugak sampai.

6. Sementara menanti makanan yang kami pesan dimasak, kami dibawa ke bahagian sangkar ikan untuk 'Fish Show'. Tu dia...manja jugak ikan Pari ni, makan pun kena suap masuk mulut. Kalau berani, kita pun boleh cuba. Kami berani tengok je.

7. Tiga ekor ikan besar. Ntah apa namanya. Agak ganas bila dicampak makanan. Dua jenis ikan ni je kot yang menarik, sebab besar dan agresif. Sangkar lain menempatkan ikan-ikan yang bakal dipesan oleh pelanggan. Kira ikan segarlah kat sini.

8. Dah puas rayau kat fish farm tadi, tak lama kemudian makanan pun dihidangkan. Kami pesan 3 jenis ni, cukuplah untuk berdua. Rasa? Alhamdulillah sedap, licin semua. Tambah pulak makan atas air, dikelilingi landskap batu kapur, bakau dan kapal-kapal layar. Harga? RM139.70. Kalau tengok menu, rasa mahal. Tapi kalau kira bot, lokasi dan pemandangan yang tersaji di depan mata, kira okey la harga tu. Sekali seumur hidup!

9. Pemandangan sekitar...airnya jernih, boleh nampak ikan-ikan berenang. Geram je!

Kami berada di sini kira-kira 2 jam. Kalau boleh nak berlama-lama lagi, tapi dah lewat petang. Ok, untuk korang yang berminat nak ke restoran ni bolehlah ambil info kat bawah :

HOLE IN THE WALL
Pengkalan Sungai Kilim,
Mk. Air Hangat, Langkawi.
012-5620015

Layari website mereka untuk lebih info, ada macam-macam pakej. Tapi kami tak ambil apa-apa pakej pun, semata-mata datang makan.

TIPS :
1. Atur jadual percutian dengan baik, sebab kebanyakkan aktiviti luar (cth : Island Hopping, Pulau Payar) memakan masa lama dan bermula pada awal pagi.

2. Langkawi sememangnya banyak khazanah alam untuk diterokai, setakat sehari dua memang tak cukup. Jadinya, pilihlah aktiviti yang betul-betul korang teringin nak buat.

3. Masa nak pilih tarikh, elok semak ramalan cuaca. Elakkan musim hujan. Macam kami, terkena setengah hari tu hujan lebat je. Aktiviti yang sesuai...shopping!





Thursday 25 September 2014

Larangan Potong Kuku & Rambut Bagi Yang Berniat Korban

Hari esok (Jumaat) adalah 1 Zulhijjah. Antara yang perlu diambil perhatian kepada korang yang dah berniat untuk melakukan ibadat KORBAN adalah larangan memotong kuku dan rambut sehingga penyembelihan korban selesai dijalankan. Rambut di sini merujuk kepada mana-mana bulu pada anggota badan kita. Tujuan kita mematuhi larangan ini adalah untuk menggandakan pahala ibadat korban.
 
Larangan ini berdasarkan hadis sahih berikut :
 
من أراد أن يضحي فدخل العشر فلا يأخذ من شعره ولا من أظفاره شيئاً حتى يضحي
Ertinya : Barangsiapa yang ingin menyembelih ( berkurban ), dan telah masuk SEPULUH AWAL Zulhijjah), maka janganlah dia memotong apa-apa rambut atau kukunya  SEHINGGALAH sampai korban dilaksanakan" ( Muslim, 3/39 )
 
Ulama' berbeza pendapat mengenai hukum larangan ini. Bagaimanapun, majoriti ulama dari mazhab Maliki, Syafie dan sebahagian Hanbali menyatakan MAKRUH hukumnya bagi melanggarnya.
 
Bagaimanapun ia tidaklah termasuk dalam kategori HARAM kerana Aisyah r.a pernah meriwayatkan bahawa beliau pernah menempah (menandakan dan membeli binatang) dan diniatkan untuk dilakukan Qurban, dan Aisyah r.a menyebutkan, tiadalah Nabi SAW mengharamkan apa-apa (semasa menunggu masa untuk menyembelih) sehinggalah sampai waktu sembelihan. Hadis tersebut adalah sohih riwayat al-Bukhari dan Muslim.
 
 
Kesimpulannya :
Sebaik-baiknya kita buat persediaan awal (hari ini!) dan elakkan melanggar larangan di atas. Tetapi jika terpaksa melanggar larangan, tidaklah haram kita potong kuku/rambut jika ia mengganggu kesempurnaan wudhuk dan kewajiban lain. Wallahu a'lam.


Tuesday 23 September 2014

Langkawi : SkyCab

...catatan awal September lalu...
 
SKYCAB atau biasa sebut cable car, terletak dalam Oriental Village, Langkawi. Ada bermacam-macam aktiviti kat sini selain naik cable car. Yang penting korang ada masa dan sanggup bayar. Untuk yang bakal pergi, bolehlah ambil info dari catatan saya ni. Untuk yang tak berkesempatan pergi, jom ikut catatan bergambar ni:
 
1. Pintu masuk Oriental Village. Jauh jugak berjalan nak ke kaunter SkyCab. Tiada tanda arah yang kelihatan (atau mata rabunku tak nampak?). Merayau-rayau gak mencari.
 
2. Dari jauh kelihatan sayup je cable car tu. Berlatarkan Gunung Machinchang yang memukau pandangan mata saya. Tak nampak jelas keseluruhan gunung sebab masa ni hujan renyai. Kubah putih kanan tu tarikan terkini - SkyDome.

3. Masa operasi dan harga tiket. Sebagai warganegara, saya menikmati harga 1Malaysia RM20. Sebelum ni RM15, tapi dah naik sejajar dengan pertambahan aktiviti - SkyDome yang baru je dirasmikan oleh Tun Mahathir pada 1 September 2014.
 
4. Dari kaunter masuk, kita terus dibawa ke SKYDOME yang bernilai RM1.53juta! Apa ada dalam ni? Kita boleh menonton animasi pada sudut 360 darjah. Ada kerusi yang sedikit menyandar dan ada layar gergasi. Saya tak ambil gambar dalam ni. Bagi saya seronok jugak, sebab kita rasa macam dalam animasi tersebut...dalam hutan cantik, naik roller coaster. Bila roller coaster tu naik tinggi dan kemudian menjunam ke bawah...masing-masing menjerit.
 
5. Lepas dari SkyDome, kita naik SkyCab. Subhanallah! Memang bumi Allah sangat menakjubkan! Ini sebenarnya gambar masa turun. Masa naik penuh kabus sebab hujan renyai. Tapi masih boleh nampak air terjun kat bawah dan formasi Gunung Machinchang yang buat saya terpukau. Kami naik dengan pasangan Arab dan seorang anak kecilnya. Tak putus-putus dia menyebut Subhanallah..MasyaAllah. 
 
6. Berhenti di stesen tengah. Tapi sayang tak nampak pemandangan Langkawi sebab kabus tebal. Walau berkabus dan sedikit hujan, kerja-kerja pembinaan (dalam gambar) masih berjalan. Macam bekerja atas awan!
 
7. Dari stesen tengah (Middle Station), kita akan naik atas lagi ke Top Station. Ni tengah beratur masuk cable car. Muat untuk 6 orang. Cable car takkan berhenti tapi bergerak perlahan, bila dia lalu je cepat-cepat kena masuk.

8. Stesen terakhir...jom nikmati pemandangan berkabus! Walau berkabus tetap ada indahnya tau. Sejuk nyaman. Kalau cerah mesti panas terik sekarang ni.
 
Masa turun memang best sebab kami berdua je dalam cable car tu. Barulah bebas bergambar! Yang ada memang bergerak kosong je tanpa penumpang. Inilah kelebihan bila pergi di luar waktu puncak, tak sesak dan rasa lebih tenang.
 
Kesimpulannya, tak rugi dan sangat berbaloi kita bayar RM20 untuk SkyCab ni. Tak perlu susah-susah mendaki gunung, dah boleh sampai atas dan menikmati aroma hutan. Tak gayat pun masa dalam cable car tu. Malah sangat seronok dapat tengok pemandangan luas dari atas.
 
 
Tips :
1) Sila rujuk laman web PanoramaLangkawi sebelum pergi. Sebab ada masa-masa tertentu SkyCab ditutup untuk penyelenggaraan. Macam sekarang ni tengah tutup sehingga 28 September 2014. Nanti gigit jari pulak.
 
2) Bawaklah sikit makanan/minuman, kot terasa lapar bila dah kat atas senanglah. Memang ada jual makanan/minuman kat atas nun, tapi macam biasalah harga tinggi sikit.
 
3) Dari mula je kita masuk cable car, akan ada staf datang untuk ambil gambar kita. Dah siap, kita boleh beli. Kalau korang tak mau beli dan tak mau muka korang ada dalam simpanan diorang, bolehlah menolak secara baik.
 



Monday 22 September 2014

Nak Tingkatkan Trafik Ke Blog Korang?

Kita tangguhkan dulu catatan ke Langkawi, saya ada sesuatu nak dikongsi dengan korang sahabat blogger. Bagi yang suka dan berkeinginan nak tingkatkan trafik ke blog korang secara mudah dan halal, boleh terus baca. Sebab ada jugak yang buat blog tapi tak kisah trafik ada ke tidak. Tak kisahlah, itu masing-masing punya matlamat. Secara peribadi, saya memang suka trafik banyak. Barulah ada semangat nak menulis! Kenyataannya sekarang, trafik blog saya ni sikit je. Sampai malu nak bagitau.
 
Makanya bila saya terbaca status dari SweetMuslimah.com di Fb yang menawarkan kerjasama dengan blogger, cepat je saya respon. Saya terima e-mail, fahamkan kerjasama yang berlaku dan mulakan langkah. Alhamdulillah semalam satu entri saya sudah dikongsi di Fb page SweetMuslimah :
 


Entri blog yang terpilih...

Sebenarnya ini satu kerjasama yang menguntungkan kedua-dua pihak. Saya dapat trafik ke blog, pihak SweetMuslimah dapat letakkan iklannya di entri saya. Jadinya, kepada korang yang teringin nak tingkatkan trafik bolehlah klik SINI. Kiranya ini salah satu usaha yang mudah bagi saya selaku pemilik blog yang tak glamer dan kadar trafik rendah. Sedikit peningkatan pun dah menggembirakan.
 
Selamat mencuba!
 



Friday 19 September 2014

Panggilan Pulau...setelah 12tahun!

(ini cerita minggu lalu...)

Setelah 12tahun berlalu, saya dan suami kembali menjejakkan kaki ke PULAU LANGKAWI. Tanpa sebarang perancangan rapi, kami buat keputusan ke sana. Rancangan asal sebenarnya nak ke Taman Negara Kuala Tahan (masih tak serik dengan pacat!). Tapi atas masalah tertentu, kami ubah destinasi ke Langkawi (setelah mendapati harga tiket kapal terbang yang agak berbaloi). Tiket dibeli cuma sehari sebelum tarikh berlepas. Untuk kami berdua harganya tak sampai RM200. Pergi naik Air Asia dan balik naik MAS (sebab AA lagi mahal untuk baliknya).
 
KERETA SEWA
Perkara pertama dibuat sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, cari kereta sewa. Kat situ memang ada deretan kaunter pelbagai syarikat untuk kita pilih. Kami sewa kereta Viva (M) dengan kadar RM100 untuk 48jam, juga bayaran deposit RM50 (dikembalikan masa pulang kereta). Kalau nak paling murah boleh sewa Kancil dengan kadar RM40 untuk 24jam. Harus diingat ini adalah kadar harga di luar musim sibuk.
 
Kat sini ada cerita tak seronok. Bila je kami dapat kereta Viva tu, pekerja lelaki yang membawa kereta tersebut minta kami RM10. Alasannya minyak dia dah isi ada 2 takuk. Dalam keadaan serba salah (sebab masa kat kaunter tak sebut pasal ni), suami bayar jugak lepas tengok memang ada lagi 2 takuk. Tapi apa yang jadi...
 
Baru jalan 8.7km penanda minyak tu dah pun berkelip-kelip minta diisi. Punyalah geram! Terus berhenti tepi jalan untuk ambil gambar bukti ni. Dipendekkan cerita, masa pulang kereta kami dapat balik duit RM10 tadi dan kami pulangkan 2 takuk minyak seperti asal.
 
TROPICAL RESORT
Asalnya kami dah buat tempahan bilik di The Village, Pantai Cenang tanpa bayaran deposit melalui Booking.Com. Tapi bila dah sampai, rasa tak berkenan pulak dan tak berbaloi dengan harga. Kami cancel booking dan teruskan pemanduan. Akhirnya sampai ke Pantai Tengah yang lebih tenang dan terjumpalah Tropical Resort ni. Harga bilik RM150 termasuk sarapan yang sangat ringkas.
 
Sebuah resort yang dijaga dengan baik. Kemas, bersih dan cantik landskapnya. Kedudukan bilik kami berhadapan dengan pantai, tapi taklah terlalu dekat.
 
Saya puashati dengan biliknya, terutamanya tahap kebersihan. Bilik mandi/tandas pun sangat bersih. Staf kat sini pun layanannya mesra dan sopan. Kalau ada yang berminat, boleh hubungi TROPICAL RESORT di 04-9554075. Tapi harganya dijangka naik berikutan kolam renang yang bakal siap.
 
TIPS :
1. Kalau ada yang minta bayaran untuk minyak kereta sewa, macam kami kena tu...jangan bagi. Sebaiknya bagitau dia yang kita akan pulangkan macam mana asal kita dapat. Ni bukan kedekut, tapi untuk elak rasa tertipu.
 
2. Untuk penginapan, memang paling banyak di Pantai Cenang. Tapi kat situ sangat sibuk, sesak dan kebanyakkan penginapan tidak menyediakan tempat parking. Untuk saya yang suka tempat tenang aman, Pantai Tengah memang jadi pilihan. Dari Pantai Cenang korang terus je, jumpalah papan tanda ke Pantai Tengah.
 
3. Tips penting dan utama sebenarnya...elakkan ke sini pada musim cuti sekolah atau cuti umum bagi yang mampu (kalau dah memang ada anak sekolah nak buat camne kan..). Sebab harga kereta sewa dan penginapan jadi lebih tinggi. Kawasan tumpuan pelancongan pun jauh lebih sesak.
 
...catatan di Langkawi bersambung...
 
Kata hati : 12tahun lalu...saya menginap di Pantai Cenang yang aman. Kini landskap Cenang sudah jauh berubah. Kadang-kala tak rasa seperti berada di bumi Malaysia. Kemajuan memungkinkan segalanya!



Monday 15 September 2014

Jual Barang Terpakai di CARI.COM dan MUDAH.MY

Semoga sahabat blog sihat bahagia semuanya. Lama saya tak menulis, maka cerita-cerita dalam entri ini dan seterusnya adalah cerita lalu. Saya tetap cuba nak tulis di blog untuk tujuan rekod sendiri dan perkongsian info buat yang memerlukan.
Untuk entri ni, nak cerita pasal saya berjaya jual barang terpakai melalui CARI.COM dan MUDAH.MY. Ada dua barang iaitu 'kepala patung' dan 'Portable Air-Conditioner'.
Iklan saya di portal cari.com. Saya jual RM19.

Iklan saya di mudah.my. Untuk item ni saya iklankan di dua tempat, satu lagi di cari.com.

Alhamdulillah keduanya berjaya dijual dalam masa tak sampai satu bulan selepas diiklankan. Untuk kedua-dua barang, ada beberapa bakal pembeli yang berminat. Saya bagi kepada orang pertama dan siapa yang setuju dengan harga tertera (untuk air-cond, harga turun sedikit selepas rundingan). Kedua-duanya saya jual secara COD (Cash On Delivery), jumpa-tengok-bayar!

Jadinya, kalau korang ada barang yang masih elok tapi tak digunakan lagi bolehlah mula menjual sekarang. Iklan percuma di kedua-dua portal ni. Ambil gambar yang jelas, tulis keterangan item dengan betul dan lengkap, letak harga bersesuaian dan letak nombor telefon untuk dihubungi. Siap semua, iklankan!

----> klik SINI untuk iklan di portal forum CARI.COM. Kena daftar ahli baru boleh iklan ya.
----> klik SINI untuk iklan di portal MUDAH.MY.

Nak jual barang baru (bisnes) pun boleh. Saya mula-mula bisnes t-shirt labuh melalui portal-portal beginilah. Masa tu saya takde pun Fb page. Alhamdulillah, ada pembelinya. Melalui cari.com jugak, saya pernah jual novel terpakai. Entrinya kat SINI.