Friday, 24 January 2014

Selamat Tinggal Rambut Gugur!

Selama ni saya menghadapi masalah rambut gugur. Kalau tak vacuum lantai tu walau sehari, memang banyak sangat rambut bersepah-sepah. Sakit mata tengok. Dan ianya memalukan kalau ada tetamu yang datang mengejut, sebab tak sempat vacuum.
 
Macam-macam syampu yang ada kat pasaran saya cuba. Tapi keadaan tetap sama. Ada baca kat blog seseorang yang dia guna rumpai laut dan berkesan, tapi saya pulak malas nak buat. Ada jugak yang jual supplement berkaitan, pun saya tak mau sebab rasa dah banyak jenis supplement nak kena makan setiap hari. Akhirnya, saya jumpa yang ni...
 
PANTENE Hair Fall Control Intensive Hair Mask
Hasilnya? Selepas beberapa kali penggunaan, saya dah nampak kesannya. Siap buat eksperimen, tak vacuum lantai beberapa hari sebab nak tengok kadar rambut yang bersepah. Alhamdulillah...memang kurang rambut sepah! Rambut pun jadi lebih lembut. Suka dan syukur sangat!
 
Kalau korang berminat nak cuba, harganya dalam RM15 gitu. Cara pakai pun mudah, pakai selepas guna syampu dan conditioner (kalau pakailah...). Dah basuh rambut tu, ratakan masker ni dan biar 3 minit sebelum dibilas. Saya guna 2-3 kali seminggu.
Selamat mencuba!
 
 

Tuesday, 21 January 2014

Warkah Daripada Anak Murid

Akhir-akhir ni saya agak sibuk...
Mengemas segala barang untuk berpindah.
Insya Allah saya dan suami akan masuk rumah baru pada 1 Februari ni.
 
Terkadang kerja mengemas jadi lebih lama...
Bila terjumpa gambar-gambar lama dan surat-surat lama.
Tersenyum sendirian bila mengimbau detik-detik yang ditinggalkan.
 
Antara surat yang masih ada dalam simpanan saya...
 
Daripada seorang anak murid saya, diserahkan pada hari-hari terakhir saya menjadi Guru Ganti di sebuah sekolah rendah di Lenggeng, N. Sembilan. Surat ni siap masa, hari dan tarikh (7.30 malam, Rabu, 13.8.2003). Lebih 10 tahun saya menyimpannya!
 
Antara isi surat, ada lagi di bahagian muka belakang. Juga hadiah yang kecil pada saiz, tapi besar nilainya di hati saya. Cuma saya sedikit sebak, pada ayat-ayat terakhir yang menyebut 'cahaya mata'. Sesuatu yang saya masih belum dikurnia. Opss..ni bukan catatan sedih. Tapi catatan kenangan lalu yang memang indah untuk dikenang. Sengaja saya abadikan di blog, sebab agak sukar untuk saya menyimpan semua surat/kad untuk selama-lamanya.
 
Nota hati : Kalau diikutkan hati, semua gambar/surat/kad ingin disimpan selama mungkin. Tapi lebih praktikal kalau cuma memilih mana yang perlu untuk dikekalkan.
 


Thursday, 16 January 2014

Akaun Tabung Haji Untuk Anak

Tabung Haji (TH) menyarankan anda agar membuka Akaun Simpanan TH bagi anak anda seawal kelahiran dan seterusnya mendaftarkan haji untuk mereka setelah jumlah simpanan tersebut mencapai RM1,300 (*jumlah minimum syarat pendaftaran haji)
 
[fb TH : Official TH]
 
--------------------------------------------------------------------------------------
 
Saranan di atas membawa ingatan saya kepada allahyarham Bapak. Walaupun Bapak cuma bekerja sendiri (mengusahakan kedai makan kecil di tepi laut Bandar Pontian), tapi Bapak tak lupa membuatkan akaun TH untuk kami 9 beradik dan membuat simpanan untuk kami. Setiap bulan Bapak akan mengagihkan simpanan sekurang-kurangnya RM10 untuk anak-anak yang kecil dan RM20 untuk anak-anak yang lain-lainnya. Kenapa berbeza? Sebab masa bukak akaun untuk semua tu umur dah berbeza. Bapak saya buatkan simpanan untuk yang masih belajar je. Sebab tu anak-anak yang lebih besar dapat simpanan lebih. Pada penghujungnya, tiap-tiap orang akan dapat RM1,000 lebih hingga RM2,000.
 
Walaupun bukan sejak lahir dan dengan nilai yang tidak banyak, tapi sekurang-kurangnya Bapak dah berusaha memulakan simpanan menunaikan haji buat kami adik-beradik. Sekarang ni kalau tengok duit TH, mesti teringat Bapak yang memulakan simpanan buat saya.
 
Bila dikenang semula, bukanlah suatu yang mudah nak buat simpanan untuk anak seramai 9 orang ni. Sebab banyak lagi keperluan persekolahan kami yang perlu Bapak penuhi. Ada suatu ketika tu, Bapak perlu biayai 3 orang kakak yang berpeluang masuk ke asrama dalam masa yang sama. Alhamdulillah Bapak mampu melakukannya dan berpeluang menunaikan umrah, seterusnya haji bersama-sama Mak semasa hayatnya.
 
Insya Allah kalau saya berpeluang ada zuriat sendiri, saya pun berazam nak membuka akaun sebaik je mereka lahir. Dan setiap bulan mesti ada simpanan, walaupun RM10. Sikit-sikit lama-lama jadi bukit!  
 
Nota hati : Nampak kecil pada nilai, namun besar impaknya. Ia juga bagai tanda kasih berpanjangan. Terima kasih Bapak!
 


Wednesday, 15 January 2014

Umur

Cerita umur....
 
Umur mengikut tahun lahir.
Jaja : Berapa umur awak?
Jiji : Saya lahir tahun 1978. Jadinya tahun ni umur saya 36 tahun.
 
Umur mengikut psikologi.
"Aku rasa masih muda...macam umur 30. Aku lupa yang aku dah tua...dah dekat 50 tahun pun." kata Makcik Didi kepada kawannya sambil membetulkan kebaya ketatnya. Mereka kemudiannya sama-sama tertawa.
 
Umur mengikut kematangan fikiran.
Fahri, baru berumur 13 tahun. Sudah bijak berkata-kata dengan buah fikiran yang bernas. Bila berbicara dengannya seolah-olah kita berbicara dengan seorang lelaki dewasa.
 
 
Begitulah cerita umur. Umur mengikut tahun, hanyalah angka yang berubah setiap kali menjelangnya tahun baru. Umur mengikut psikologi akan memberi kesan kepada perasaan, keyakinan dan mungkin penampilah diri. Umur mengikut kematangan fikiran, ini yang perlu dijaga. Pemikiran harus sekurang-kurangnya seiring dengan umur sebenar. Pemikiran kita dapat 'dibaca' oleh orang lain menerusi perbualan, penulisan atau perbuatan kita.
 
 
Nota hati : kadang-kadang ada mereka yang sudah berusia, berpendidikan tinggi dan berjawatan tinggi, tapi bila berkata-kata sekadar sesedap rasa. Buah fikirannya setaraf budak muda yang tak punya apa-apa.
 

Monday, 13 January 2014

Hood & Hob

Semalam merayau cari 'cooker hood & built-in hob'. Punyalah penat...keluar masuk kedai elektrik sekitar Bandar Baru Bangi. Saya kira-kira ada 7 buah kedai saya dan suami masuk. Ada satu kedai tu offer promosi RM1500 untuk pakej hood & hob jenama ELBA. Tambahan percuma pilihan yogurt maker atau popcorn maker. Menarik! Memang saya dah tertarik dan setuju je. Sesuai untuk kami yang bajet tak besar mana. Kepala pun dah fikir...aku nak pilih popcorn ke yogurt ek?
 
Lebih kurang macam ni rupa hood ELBA tu. Suction power: 1000 m3/hr.
Cukuplah 1000 tu kan?
 
Pun lebih kurang macam ni hob yang ditawarkan. Ada 3 burners.
Apasal nak 3? Entah, macam best je.
 
Tapi, ketua keluarga tak setuju pulak. Tak taulah tak setuju dengan harga atau dengan ELBA tu. Sambung rayau kedai lain. Lepas tu saya dah diam dek keletihan. Penat badan keluar masuk kedai dan letih otak terima banyak info. Antaranya, hood kat atas tu tak mesti kena pasang hose/ buat ducting (untuk buang asap dan bau ke luar rumah). Bahagian atas tu boleh je tutup dengan filter. Kecuali kalau suction power lebih 1000, tu mesti kena buat ducting.

Kepada korang yang ada guna hood & hob ni mohon kongsi pengalaman dan cadangan. Maklumlah, rumah saya selama ni takde benda-benda gini.
 


Wednesday, 8 January 2014

Daun Bidara Untuk Rawatan Gangguan Jin

Catatan pertama saya untuk tahun 2014, nak cerita mengenai DAUN BIDARA. Biasa dengar dalam pantun...nasi lemak, buah bidara tu. Tapi langsung tak tahu rupa dan khasiatnya. Sehinggalah mak saya mengalami sakit selama lebih 2 minggu. Asalnya demam, tapi dah baik. Walau dah baik demam tapi masih rasa tak sihat (kadang sampai tak mampu bangun) dan perasaan jadi gelisah. Juga kerap didatangi mimpi buruk.
 
Dah jumpa doktor, tapi takde bagi ubat sangat sebab memang tak demam. Cuma belum sampai tahap buat pemeriksaan lebih terperincilah. Melihat kepada simptom yang ada, saya dan kakak berpendapat kemungkinan adanya gangguan jin pada mak kami (pandai-pandai je kan!). Saya buat carian internet untuk herba rawatan berkaitan dan hasilnya menemukan info daun bidara ni.
  • digunakan untuk merawat penyakit bersifat rohani - gangguan emosi, susah tidur, gangguan makhluk halus / sihir.
  • bersumberkan amalan para ulama' terdahulu.
Bacaan lebih terperinci DI SINI.
 
Terus saya minta seorang kakak saya carikan daun bidara. Kena cari cepat sebab lusanya saya nak bawa balik kampung di Johor. Hasilnya...
 
 Nama umum : Pokok Bidara atau 'Indian Plum'
Nama dalam al-Quran : Sidr
Nama saintifik : Ziziphus mauritiana
Surah dan ayat al-Quran berkaitan : (34,16), (56,28)
(sumber : darussyifa.org)
 
Kakak saya mintak daun ni dari sebuah rumah yang dia tak kenal pun tuannya. Tapi demi mak kami, dia tebalkan jugak muka tanya pasal pokok bidara. Pokoknya besar macam pokok rambutan, rupa daun macam daun sireh tapi kecil. Menurut tuan rumah tu, dengan izin Allah dia pun dah pulih dari gangguan jin lepas buat rawatan dengan daun bidara ni. Dan dia sengaja biar pokok tu tak bertebang untuk tolong orang lain yang memerlukan daun ni. Alhamdulillah senang cari!
 
Macam mana cara rawatannya? Perlu 21 helai daun bidara. Gunakan 7 helai setiap hari selama 3 hari. Dilakukan waktu petang, lepas Asar.
Ambil  7 helai tadi dan tumbuk guna lesung. Kemudian campurkan daun yang dah ditumbuk ke dalam segelas air kosong yang telah dibacakan dengan *ayat-ayat doa. Minum sedikit atau 3 teguk. Selebihnya campurkan dalam baldi berisi air untuk dibuat bilasan mandi. Lepas mandi dengan air ni, jangan terus lap. Biarkan seketika.
 
*ayat-ayat doa : seperti Ayatul Kursi dan 3 Qul.
 
------------------------------------------------------------------------------
 
Alhamdulillah...sekarang mak saya dah kembali sihat. Suara yang dulu lemah dah kembali ceria. Tapi bukanlah semata buat rawatan daun bidara ni. Kenalah jugak rajin baca/dengar ayat suci atau sekurang-kurangnya sentiasa berzikir. Bagi yang mencari pokok bidara ni, khabarnya ada ditanam di masjid UPM dan Darul Syifa' Bangi. Ni berdasarkan carian internet ya, saya tak pasti kebenarannya.
 
 
p/s: Rasa macam jadi tok bomoh pulak aritu, dok menumbuk daun herba pastu suruh mak minum & mandi. Padahal yang baca ayat doanya orang lain. :D


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...