Tuesday 30 December 2014

Tatapan Untuk Generasi Akan Datang


Curahan hujan lebat, leka saya menikmati alam hijau yang disimbahi hujan. 
Sambil dilatari dengan bunyi jatuhan hujan di atas atap zink, memang bising. 
Tapi terasa ia bagai irama indah di pendengaran saya. 

Sesudah hujan...tiada panahan mentari terik. 
Korang jangan pening tengok gambar macam terbalik ni. 
Sebenarnya saya ambil gambar air dalam bekas takungan di bawah. 
Hasil refleksi yang menarik bagi saya.

Bekas takungan air yang telah lama berkhidmat. 
Setiap kali hujan, curahannya terus dialirkan melalui sekeping zink tu. 
Air dalam ni jernih, sejuk pastinya. Tapi takde jentik-jentik tau. Kerap diletak garam.
Nampaknya berkesan juga tips letak garam tu.

Hasil kreativiti...saya suka basuh kaki kat paip ni sebab airnya sejuk. 
Air dalam dua bekas takungan di atas memang selalu digunakan untuk kerja-kerja kebun sawit, yang terletak hanya di belakang rumah.

Semua pemandangan di atas, lokasinya di rumah mertua di Batu Pahat. Di rumah mak saya, takde semua ni. Rumah batu sepenuhnya, tak sempat merasa bisingnya irama hujan menimpa atap zink. Sampai nak berbual pun tak boleh. 

Saya abadikan semua ni dalam blog untuk kenangan sendiri dan tatapan generasi akan datang. 






.

Wednesday 24 December 2014

Bersinarlah Duhai Mentari!

Musim hujan dah tiba. Khabarnya, situasi di Pantai Timur pun kian memburuk. Kelmarin, penerbangan suami saya ke Terengganu pun terpaksa berpatah balik ke KLIA. Gara-gara kapal terbang gagal untuk mendarat di sana. Selepas menunggu beberapa ketika, barulah terbang semula ke Terengganu.

Saya yang kat rumah ni pun risau, sebab ada bahagian rumah yang bocor. Bukan setakat menitik, tapi mengalir dan bertakung di lantai. Mula-mula satu tempat, lepas tu merebak ke beberapa tempat lain. Cepat-cepat hubungi pihak pemaju, mintak baiki. Mujurlah rumah masih dalam warranty. Geram jugak sebenarnya, rumah baru tapi boleh bocor pulak! Dugaan...sabar jelah.

Ya Allah, berikanlah mentari Mu...surutkanlah banjir.


~ sewaktu saya menulis ni, cahaya mentari mula kelihatan setelah beberapa hari hujan/mendung. Alhamdulillah! Moga terus bersinar. ~

Tuesday 23 December 2014

Brownies Cheese versi Kukus

Cubaan pertama buat Brownies Cheese Kukus. Ada rakan Fb share, dah lama saya print screen dan sekarang baru cuba buat sebab teringin nak makan.


Resepi asal tak tau dari siapa, takde tulis sumber. Terima kasih kepada yang share resepi ni. Saya tulis semula (ada ubah ayat sikit bagi mudah) untuk rujukan saya dan korang yang nak mencuba.

BROWNIES CHEESE versi KUKUS

Bahan-bahan Brownies :
(Bahan A)
2 biji telur
1/2 cawan susu cair (cawan metrik, 1 cawan = 250ml)
1/2 cawan susu pekat manis
100ml minyak
1/2 cawan gula kastor

(Bahan B : perlu diayak bersama)
1/3 cawan serbuk koko (boleh tambah kepada 1/2 cawan jika suka lebih koko)
1/2 cawan tepung gandum
1/2 sudu teh baking powder
1/4 sudu teh baking soda

Bahan-bahan Cheese :
500g cream cheese
4 biji telur
140g gula halus
sedikit esen vanilla

CARA MASAK :
Untuk Brownies, satukan Bahan A dan masukkan dalam blender. Kisar sehingga sebati. Kemudian masukkan Bahan B, kisar lagi hingga sebati. Griskan loyang dan alas dengan kertas minyak, tuang adunan tadi. Baki adunan jangan terus dibersihkan, simpan untuk buat corak atas lapisan cheese. Kukus adunan selama 25-35 minit, sehingga masak. 

Sementara menunggu Brownies masak, siapkan adunan Cheese. Pukul cream cheese hingga gebu. Masukkan gula halus dan pukul hingga sebati. Masukkan pula telur dan vanilla. Pukul lagi hingga rata. Bila Brownies dah masak, barulah tuangkan adunan Cheese ni. Titiskan baki adunan Brownies ke atas adunan Cheese. Lorekkan dengan hujung pisau atau lidi. Kukus semula selama lebih kurang 20 minit dengan api sederhana sehingga masak.

Sejukkan sebelum boleh dihidang. Untuk menghidang, potong bentuk empat segi.

-------------------------------------------------------------------------------------------------

Untuk corak atas Cheese, kalau korang ikut resepi (titis dan lorek) rupa dia lain. Yang saya buat ni terus je buat bentuk garis-garis. Suka hatilah ya. Kalau nak lebih sedap, makan selepas masuk peti sejuk semalaman. Maksudnya, lebih lama disejukkan lebih sedap rasa Cheese tu (kalau citarasa sayalah). 

Apa beza Brownies dengan kek coklat? Tengok bahan sama je macam nak buat kek coklat. Ok, bezanya adalah pada sukatan bahan. Dan hasil selepas masak pun berbeza, Brownies lebih padat. Dibezakan jugak dengan cara potong, Brownies dipotong bentuk empat segi. Ni saya ambil info dari kakak saya dan blog orang. 

Rasanya? Sedap! Tapi memang muak kalau sekali makan banyak-banyak. Korang cubalah ya. Sukatan guna cawan, senang sikit. Boleh guna blender pulak tu, sesuai untuk yang takde mixer. Selamat mencuba!

Monday 22 December 2014

Segmen: Ini Entry terbaik 2014

Sebenarnya, tahun ni tahun yang merundum untuk entri blog saya sebab tak sampai 100 pun jumlah entri yang terhasil. Berbanding tahun-tahun sudah, saya masih mampu hasilkan 281 entri pada tahun 2012. 

Tahun ni walaupun tak banyak entri, saya masih nak senaraikan DUA catatan yang saya rasa terbaik (saya suka, sebenarnya) untuk join segmen anjuran Diana Rashid ni. Iaitu :

  1. Suatu Senja Di Kuala Terengganu... Saya pilih catatan ni sebab ia antara pengalaman/memori terbaik saya, dapat tengok UAI depan mata secara tak sengaja! Yang lawaknya, saya siap kata UAI ni 'orang tua yang gigih kayuh basikal'! Klik je link kalau nak tau cerita lanjut.
  2. Daun Bidara Untuk Rawatan Gangguan Jin Catatan ni pulak saya pilih sebab ia berdasarkan pengalaman sendiri dan pertama kali menggunakan daun bidara untuk rawatan mak saya. Ia jugak antara lima entri yang sering dicari di blog saya.

Kalau korang nak join, boleh klik banner kat atas ya. Ni cuma segmen, bukan peraduan. Tapi seronok join, bolehlah kita imbau kembali apa yang kita tulis. Memang bukan yang terbaik di mata orang lain, tapi mungkin itulah yang terbaik di hati kita. Jom join! Tarikh tutup 25hb.


Friday 19 December 2014

Syukur dan Sabar



Kita meraikan kegembiraan, tapi lupa berSYUKUR.
Kita meratapi kedukaan, tapi lupa berSABAR.
Jadilah kita orang-orang yang rugi,
Sedangkan Allah sudah berjanji,
Dengan janji yang PASTI!


Wednesday 17 December 2014

Belajar Memandu Semula

Isnin lalu, saya belajar memandu semula. Setelah lebih 10 tahun tak memandu! Sepanjang tempoh tu, lesen memandu saya memang sentiasa suami renew. Kali terakhir memandu, 10 tahun lalu di Gemencheh, N. Sembilan. Paling kerap saya memandu (sebelum pindah Gemencheh) iaitu semasa tinggal di Broga, Semenyih. Masa tu jadi guru ganti di Beranang, selain tu kerap pergi perpustakaan Semenyih sorang-sorang masa suami bekerja. Yelah, masa tu penggunaan internet tak meluas sangat. Masa yang terluang banyak baca buku-buku yang dipinjam dari perpustakaan. Berbalik kepada cerita pemanduan, bagi yang kenal Jalan Broga 10 tahun lalu jalannya memang tak mesra pemandu. Banyak selekoh tajam, jalan macam ular kena palu. Tapi Alhamdulillah sebab dah biasa, berani je dan takde masalah.

Kenapa sekian lama tak memandu? Ceritanya, awal kawin dulu pakai kereta Kancil Manual. Kereta kecik sama macam masa ambik lesen, beranilah saya. Lepas tu kami pindah ke pedalaman sikit (hidup dikelilingi ladang sawit, ladang getah dan cuma ada jalan tanah merah/batu kasar sebagai penghubung). Pihak syarikat beri Hilux (kenderaan pacuan empat roda), maka kami 'lepaskan' kereta Kancil yang ada. Jadinya, sejak tulah saya tak memandu. Bila tukar kerja, dan beli kereta sedan pun saya masih tak berani sebab dah lama tak memandu. 

Kelmarin berani pun sebab bawak kereta kecik, adik beradik Kancil. Baru dapat hasil trade-in kereta Proton yang lama. Pertama kali bawa kereta auto, memang syok. Tak susah macam bawa manual. Suami duduk sebelah, saya pandu. Pusing-pusing kawasan perumahan saya je, penduduk belum ramai senang sikit. Nak bawak ke jalan besar Pajam yang banyak lori angkut pasir tu? Hahaaa...belum berani!

~nak tulis pendek tapi jadi panjang daa..~

*****************************************************

Koleksi terkini...klik DI SINI jika berminat. 

Friday 12 December 2014

Cinta Pertama, Payah Dilupa?


Apa perasaan kita, bila isteri bermain cinta...
Lelaki itu cinta pertama....katanya.
Apa perasaan kita, bila suami bermain cinta...
Wanita itu cinta pertama...katanya.
Benarkah cinta pertama, payah dilupa?

Tidak cukup bermain cinta terlarang,
Ditambah pula dengan keterlanjuran,
Bukan! Bukan keterlanjuran, tapi sengaja melakukan.
Suami orang dan isteri orang berzina!
Benarkah cinta pertama, begitu payah dilupa?

Cinta pertama yang kecundang di tengah jalan,
Bukan untuk dikenang dirindui sepanjang hayat,
Bukan jua untuk terus ditagih walau dengan jalan salah.
Cinta pertama adalah satu pengalaman hidup,
Untuk kita lebih bersedia menerima cinta kedua..atau ketiga.

Cinta pertama, mungkin benar payah dilupa,
Kerana ia kemanisan pertama yang kita rasa.
Tapi ingatlah, di saat kita menerima akad nikah,
Itu bermakna kita bersedia melepaskan masa lalu,
Dan membina cinta pertama yang halal di sisi Allah.

Cinta pertama, payah dilupa?
Lupakanlah demi suami/isteri dan anak tersayang!
Kita bukan lagi budak remaja yang asyik mencari cinta!



~ Sebuah kisah benar yang menyentap rasa. Bertabahlah suami/isteri yang dicurangi. Pasti ada hikmah disebalik yang berlaku. Dan semoga rumahtangga kita semua aman bahagia. ~






Thursday 11 December 2014

Chestnut/Buah Berangan : Cubaan Memasak Sendiri

Biasanya makan buah berangan yang orang jual tu je kan...
Tapi kali ni, saya cuba masak sendiri di rumah.

Jumpa buah berangan di pasaraya Jaya Grocer. Harga sekilo RM13.90. Yang ni dalam setengah kilo, harga RM7.01. Sebenarnya saya memang tak tau macamana nak masak buah ni. Buat carian kat internet, ada yang kata dia rebus pakai pressure cooker, pastu baru goreng tanpa minyak (saya biasa sebut SANGAN). Ada pulak yang sebut sangan dengan biji kopi, kalau nak aroma sedap.

Buah ni asalnya memang keras tau. Disebabkan takde pressure cooker, maka saya pun rebus selama 1jam. Lepas 1jam tu, saya cuba potong dengan pisau (hati-hati) dan cuba makan. Nampaknya memang tak berapa lembut. Gambar kat atas ni buah berangan selepas direbus.

Agak-agak dah tos, saya sangan ia bersama biji kopi. Mana dapat biji kopi besar-besar tu? Kebetulan memang ada simpan biji kopi Starbucks, orang bagi. Tapi sebab ia biji kopi mahal (kot), saya tak guna banyak untuk sangan buah berangan ni. Saya sangan sehingga kulit keras buah ni merekah. Tapi bukanlah setiap biji tu akan merekah, agak-agak dah banyak merekah tu kita berhentilah sangan. Pastikan pada biji yang merekah tu, kadar merekahnya agak-agak separuh biji, barulah isinya betul-betul lembut dan sedap dimakan. 

Kalau korang tau cara yang lebih tepat, bolehlah kongsikan. Saya cuma cuba berdasarkan info internet, Alhamdulillah memang sedap. Dapur pulak jadi wangi dengan aroma biji kopi sangan. Lain kali nak cuba sangan terus, boleh tak buah ni masak?

----------------------------------------------------------
Buah berangan dikatakan berasal dari negara China. Harganya mahal mungkin sebab proses nak dapatkan buah ni yang agak susah. Kulit luarnya (buah utama) tu sangat tajam. 

(sumber gambar : malaysiaria.com)

Monday 8 December 2014

Puding Raja

Pertama kali merasa PUDING RAJA. Dibawa khas dari Pahang.

Ni rupa sebelum dicurah kuah puding. Khabarnya harga Puding Raja ni agak mahal. Untuk bekas saiz di atas, harganya berpuluh ringgit. Tak pastilah berapa harga sebenarnya ya, sebab saya cuma merasa pemberian orang.

Rasanya? Lemak manis (pisang & kuah puding) dan masam (prune). Mula-mula makan saya rasa ok, sedaplah jugak. Tapi bila makan selepas disejukkan dari peti ais, barulah terasa lebih nikmat.

Antara bahan-bahan untuk menghasilkan puding ni - jala emas, pisang lemak manis, biji gajus, buah prune dan buah ceri. Bagi yang nak mencuba sendiri, boleh dapatkan resepi DI SINI



Thursday 4 December 2014

GIVEAWAY BY KAMEQ DEANNA


Jom join GA oleh blogger Deanna Morni!
Hadiahnya buku dan wang tunai / top up.
Tu yang saya suka. ^__~

Tarikh tutup : 19/12/2014 jam 10 malam

>>> Cuma KLIK BANNER di atas untuk join ya!

Fabric Starch / Easy Ironing


Korang ada guna benda ni? Kot ada yang belum tau, inilah produk yang membantu dalam kerja-kerja menggosok pakaian supaya mudah hilang kedutan dan hasil gosokan lebih kemas. Benda ni memang tak asing lagi bagi penggemar tudung Turki jenama Akel dan sesetangah tudung bawal. Tudung material Polyester agak lembik dan bila dipakai agak susah nak dibentuk kat bahagian muka. Jadinya bila kita sembur starch masa kita iron, hasilnya tudung dah boleh terbentuk elok. Kalau tak memang lama menghadap cermin sebab tudung susah nak bentuk. 

Selamanya ni saya guna KIWI Fabric Starch tu, memang banyak membantu untuk iron kemeja kerja suami. Tapi masih ada masalah bagi sesetengah kemeja yang materialnya susah sangat nak hilang kedut. Sehinggalah saya terjumpa NOOR ARFA Easy Ironing masa pergi Terengganu. Masa saya beli ni ada harga promosi, tak sampai RM10 sebotol (250ml). Dia tulis situ untuk batik, tapi saya bukan guna untuk batik pun. Yang saya suka, produk Noor Arfa ni mampu hilangkan kedut pada kemeja kerja suami yang sebelum ni betul-betul susah nak hilang kedut. Lagi satu, produk ni berbau harum. Kira dua dalam satu - mengharumkan dan menghilangkan kedut

Mana nak beli? Saya beli kat kedai Noor Arfa di airport Kuala Terengganu. Atau boleh cari di kedai Pasar Payang. Kalau di luar Terengganu, maaf saya tak tahu ya. Kalau produk KIWI, dulu saya beli kat pasaraya besar (Tesco/Giant). Tapi sekarang macam dah takde pulak. Selain dua jenama ni, korang boleh cari jenama lain jugak.

Tuesday 2 December 2014

Ustaz Ekspres, Ustazah Jadian...katanya!

Asal cakap pasal agama je...
Orang panggil ustaz, ustazah. 
Siap gelar ustaz ekspres, ustazah jadian.
Pelakon, penyanyi tak boleh cakap hukum agama.
Tiada wibawa katanya!

Yang betul...
Memang tanggungjawab setiap diri Muslim,
Untuk mengajak saudara kita ke arah kebaikan,
Dan mencegah mereka dari melakukan mungkar.
Itulah 'Amar Ma'ruf Nahi Mungkar'!

Sekalipun kita cuma tahu satu kebaikan,
Kita tetap dituntut Islam agar menyebarkannya.
Sekalipun kita tak punya kelayakan bidang agama,
Tuntutan berdakwah ke atas kita tak pernah gugur.
Tak perlu sempurna untuk berdakwah!

*********************************************************

Suatu hari, al-Hasan al-Basri berjumpa dengan seorang pemuda daripada Bani al-Shikhir. Al-Hasan berkata kepadanya, "Nasihatilah kami, wahai pemuda"Pemuda itu menjawab, "Aku belum layak memberi nasihat, wahai Abu Sa'id". Al-Hasan berkata, "Siapakah yang benar-benar layak memberi nasihat? Syaitan sangat suka dengan kata-kata ini. Dan ia berharap agar manusia mengambilnya sehingga tidak ada lagi yang mengajak kepada kebaikan dan melarang keburukan"

Kisah ini diceritakan oleh Imam Ahmad bin Hanbal dalam kitab az-Zuhd dan juga Abu Muhammad al-Ramahurmuzi dalam al-Muhaddith al-Fasil. (sumber : Solusi isu 38)

*bacaan tambahan, artikel 'Amar Makruf Nahi Mungkar' di SINI.

  • Berdakwahlah sesuai dengan ilmu yang kita miliki. Disamping terus berusaha memperbaiki kekurangan diri.
  • Tak perlulah kita pandang masa silam seseorang, pandanglah siapa dia hari ini.
  • Jika kita tak mampu lakukan dakwah, janganlah kita menjadi orang yang menghalang usaha dakwah (dengan memperlekeh dan memandang rendah usaha orang lain).

Monday 1 December 2014

Memulakan Disember di Muadzam Shah, Pahang

Memulakan Disember 2014 di Muadzam Shah, Pahang. Bergerak dari Pajam, N. Sembilan selepas Asar semalam. Sepanjang perjalanan hujan renyai. Alhamdulillah takde kesesakan, cuma tak boleh laju sebab hujan.

Sampai Muadzam Shah dah pun dekat jam 8 malam. Kita cari tempat makan dulu, perut dah lapar sangat. Saya dapati bandar ni memang tak sesak langsung. Cuma 'sesak' dengan burung di atas bangunan dan najis burung yang bersepah di tangga-tangga depan premis. Hati-hati bila melangkah!

NAK MAKAN KAT MANA?


Ternampak restoran yang menarik dari luar ni...JENTAYU KOPITIAM. Siap ada papan tanda tulisan Jawi, tapi tak sempat ambil gambarnya. Deko dalam restoran ni kira menarik. Persekitaran pun bersih dan layanan pantas. Rata-rata pelanggan adalah perempuan muda remaja (budak UNITEN kot). Lelaki macam takde pulak. Pelik gak, budak lelaki makan kat mana ek?

Saya dan suami masing-masing order Mee Goreng Mamak, minuman panas Hazelnut dan Latte. Harga berpatutan bagi saya, cuma rasa Latte tu tak berapa ok kat tekak saya. Mee Goreng Mamak dia sedap, cuma terlalu banyak. Lain kali kena beli satu pinggan je, pastu mintak satu pinggan kosong. kita kongsi dua orang. Hehee..

Jadinya, kalau korang nak cari tempat makan kat Muadzam Shah ni bolehlah ke Jentayu Kopitiam. Lokasinya sebaris dengan premis Avon. Tak berapa jauh dari Tong Villion Hotel dan Masjid Jamek.

NAK MENGINAP KAT MANA?


Bandar Muadzam Shah ni tak besar mana pun, jadi pilihan penginapan juga terhad. Kalau nak selesa, boleh menginap kat TONG VILLION HOTEL ni. Sebuah hotel baru yang terletak berhampiran Masjid Jamek dan bersebelahan dengan pasaraya Tunas Manja (senang kita nak cari barang/makanan).

Rekaan dalaman bilik penginapan ni memang moden. Menarik! Kat bilik air ada bathtub dan rain shower. Bolehlah berangan main air hujan macam masa kecik-kecik dulu kan. Gambar rain shower yang best tu takde ya. Boleh buat carian kat Internet, pastu pasang kat rumah sendiri. Lagi yang best..WIFI dia lajuuuu. Jimat kuota porta-wifi saya!

Apa yang tak best? Bilik ni takde peti sejuk. Untuk saya yang nak menginap dua hari, agak perlu jugak peti sejuk. Tapi tu hal kecik je. Lagi yang tak best? Sarapan dia sangatlah ringkas. Macam pagi tadi makanan beratnya nasi goreng dan spaghetti je. Jadinya, kami sambung makan roti canai cicah kari kambing kat kedai lain pulak.

Keseluruhannya, okey je menginap sini. Sebelum ni suami dah beberapa kali menginap di Wawa Inn (sebab Tong Villion belum wujud), sayangnya keadaan bilik & bilik air kotor. Tapi tak taulah kalau sekarang dah elok. Untuk yang nak menginap di Tong Villion Hotel, boleh hubungi 09-4521001. 

PAGI YANG BERKABUS


Bandar Muadzam Shah ni penuh kabus, mungkin sebab masih banyak hutan/pokok. Suka saya tengok kabusnya yang banyak, bergerak di sebalik bukit. Tenang! Macam gambar di atas, diambil dari tingkap bilik penginapan kami. 

Pagi tadi jugak, sempat lagi pergi pos bungkusan-bungkusan pelanggan. Inilah kelebihan bisnes online, boleh berjual dari mana-mana dan boleh pos dari mana-mana. Yang penting bawak barang jualan dan flyer poslaju. Mana yang tak bawak, kita pos bila dah balik rumah nanti. Yang penting kena bagitau awal kat pelanggan.

~ ni bukan saja jalan-jalan tau, cuma ikut suami bertugas. Macam biasa...orang pergi kerja, saya duduk sorang dalam bilik. ~

Friday 28 November 2014

FREE MARKET @ Bukit Mahkota



PENGENALAN :
Free Market merupakan program CHARITY yg julung kali diadakan di Bkt Mahkota. Wajahnya seakan-akan pasar lambak / pasar malam / pasar siti khadijah.. cuma bezanya semua di sini adalah PERCUMA. Segala urusan hanya menggunakan senyuman dan ucapan terima kasih. Urusniaga menggunakan wang atau sistem barter adalah dilarang sama sekali.

TARIKH & TEMPAT :
Seperti yg tertera

ANJURAN:
Dgn Kerjasama Persatuan Penduduk

SASARAN:
Terbuka kepada seluruh penduduk setempat dan masyarakat luar tanpa mengira kaum, bangsa dan agama.

OBJEKTIF:
1. Memperkenalkan konsep FreeMarket kpd khalayak ramai.
2. Memupuk semangat dan sifat memberi atau bersedekah.
3. Mengeratkan hubungan sesama penduduk setempat.
4. Membantu dan meringankan beban golongan yg memerlukan.
5. Mengurangkan pembuangan barangan terpakai ke tapak pelupusan.

WAKTU OPERASI :
Kehadiran penyumbang sblm jam 8.00 pg
Kehadiran VIP (anak yatim, warga tua, OKU) jam 8.30 pg.
Kehadiran orang awam bermula jam 9.00 pg

PELAKSANAAN:
Segala barang-barang yg dibawa akan disusun kemas di atas alas / tikar.
Pada jam 8.30 pagi, FreeMarket hanya dibuka utk golongan VIP (spt yang tertera di atas). Kemudian bermula jam 9.00 pg barulah orang awam dibenarkan masuk ke kawasan FreeMarket.
Sekiranya pengunjung berminat terhadap sesuatu barang, pengunjung tersebut hanya perlu meminta izin utk mengambilnya. Diikuti dengan senyuman dan ucapan terima kasih. Ambil barang mengikut keperluan shj dan tidak berebut-rebut.
Para pengunjung dikehendaki MEMBAWA SHOPPING BAG sendiri kerana beg plastik tidak akan dibekalkan dlm FreeMarket ini.

KATEGORI SUMBANGAN - PERCUMA:
1. Barang2 baru / terpakai seperti pakaian, aksesori, dekorasi hiasan rumah, permainan kanak-kanak, alat elektronik, alatulis, bahan bacaan dll
2. Perkhidmatan & kemahiran seperti menggunting rambut, DJ, pemeriksaan kesihatan, bekam, inai, persembahan nasyid, clown n balloons, dll
3. Bahan mentah seperti beras, roti, gula, tepung, sayur2an, minyak dll
4. Makanan dan minuman utk dijamu kpd para pengunjung.

BARANG YG DILARANG:
CD atau DVD cetak rompak, brg2 haram dan seumpama dgnnya.

PENUTUP:
Semoga segala yg dirancang dpt dilaksanakan dgn jayanya. Jutaan terima kasih kpd semua yg memberi sokongan.Moga segala usaha ini sentiasa diberkati Jangan takut untuk memberi. Yakinlah "The More You Give.. The More You'll Get." Insya Allah ~
 
-------------------------------------------------------------------------------------
 
Program yang sangat-sangat baik! Pernah dengar ada program gini di tempat lain, tapi untuk kawasan berhampiran saya inilah kali pertama. Teringin nak pergi, cari pengalaman pastu lain kali boleh join jadi penyumbang. Tapi suami kerja pulak Ahad ni. Korang yang ada kelapangan dan tinggal berhampiran bolehlah datang ya. Kali ni datang tengok/ambil barang, lain kali kita jadi penyumbang. Insya Allah!
 
~ jom ke arah masyarakat yang suka memberi/bersedekah ~
 
 
 

Wednesday 26 November 2014

Weather Consultant

Dulu digelar 'bomoh hujan',
Sekarang zaman moden tukar jadi 'weather consultant'.
Nama berubah tapi peranan masih sama konon boleh ramal/tolak hujan!
Nama berubah tapi hukum Islam tetap sama - haram lagi berdosa!
 
Eh, ini pun salah satu usaha apa? Sekarang kan musim hujan.
Allah kan suruh kita berusaha?
Ya, Allah suruh kita berusaha tapi dengan cara halal.
Matlamat yang baik tidak menghalalkan cara yang haram.
 
Apa yang berdosanya guna bomoh hujan?
Berdosa kerana percaya bomoh tu boleh ramal/tolak hujan.
Bila kita percaya ada kuasa lain selain Allah, itulah syirik.
Syirik tu dosa besar, menghancurkan seluruh amal baik kita.
 
Kalau gitu, apa usaha yang boleh dibuat? Ni majlis besar.
Mohon terus kepada Allah...DOA, DOA dan DOA!
Doa sendiri, ramai-ramai dan minta doa dari orang soleh.
Usaha buat di tempat berbumbung, contohnya dalam dewan.
Usaha dapatkan ramalan cuaca di Jabatan Meteorologi.
Dah buat semua usaha, pasrahlah.
Setiap yang Allah beri tu ada hikmah, walau kita tak suka.
 
 
Rasulullah s.a.w. bersabda dengan maksudnya :

مَنَ أَتَى كَاهِنًا فَصَدَّقَهُ بِمَا يَقُوْلُ فَقَدْ كَفَرَ بِمَا أُنْزِلَ عَلَى مُحَمَّدٍ (صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ )
Barangsiapa yang mendatangi bomoh lalu ia mempercayai apa yang bomoh itu katakan maka kafirlah ia terhadap apa yang Allah turunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. ( HR Abu Daud )
 
 
~ Caj 'weather consultant' mahal gak tau, main ribu...keluar kos banyak hanya untuk dapat dosa besar! ~ 
 


Friday 21 November 2014

Jom Ke MAHA 2014!

MAHA muncul lagi...dua tahun sekali.
Kali ini dengan tema 'Agroteknologi - Pemangkin Transformasi'.
 
 
Pameran kali ini menjurus kepada 8 kluster di atas.
 
Dah 2 kali saya pergi MAHA, jumpa 'Hang Tuah' ni. Agak-agak kali ni ada lagi tak? :)
Untuk korang yang nak pergi, eloklah baca lampiran Panduan Pengunjung kat SINI dan brosur kat SINI. Saya sarankan kalau nak pergi, datang awal untuk elakkan kesesakan teruk. Nak masuk kawasan MAEPS tu pun dah sesak, nak cari parking lagi. Kalau datang awal, bolehlah dapat parking yang dekat dengan tapak pameran. Lagi satu, tempat ni sangatlah luas (trem/bas disediakan percuma). Sebaiknya kita kenalpasti pameran apa yang kita nak pergi. Kalau nak jelajah semua memang tak laratlah.
 
 
~ saya tak suka pergi tempat sesak, tapi MAHA antara tempat sesak yang saya suka pergi. Banyak yang menarik...makanan, bunga-bunga, haiwan. Insya Allah kali ni nak pergi, itu pun kalau saya pulih dari batuk tanpa kahak yang menyeksakan sekarang ni. ~
 


Thursday 20 November 2014

Buat DOSA Dengan 'WhatsApp'

Korang yang ada aplikasi chat 'WhatsApp' tentu ada banyak grup. Saya sendiri ada 10 grup. Ada yang perempuan je, dan ada yang bercampur lelaki dan perempuan. Ada grup memang seronok, jauh di mata tapi dekat di hati. Boleh kongsi gambar dan borak macam-macam hal. Saya yang duduk dalam rumah pun, boleh borak dengan kawan-kawan/jiran-jiran/adik-beradik yang duduk diserata Malaysia (malah ada yang di luar negara). Maklumat pun lebih mudah disebar/diterima. Tapi disebalik kebaikan aplikasi ini, pasti terselit keburukan yang membawa kita kepada DOSA. Antaranya :
 
1- Sebarkan khabar yang kita tak pasti kebenarannya, dan membuat orang lain panik. Kecuali kita share untuk tanya kepastian dari kawan-kawan tu lain kes. Cth : Menurut Jabatan Meteorologi, dalam masa tiga hari akan datang, kawasan Lembah Klang akan dilanda hujan ribut yang boleh menyebabkan puting beliung. Rupa-rupanya Jabatan Meteorologi takde pun bagi notis begitu.
 
2- Sebarkan mesej berantai yang tidak selari dengan Islam. Cth: Jika anda sebarkan mesej ini kepada 10 orang rakan, anda akan terima kebaikan dalam tempoh 2 jam. Jangan kata saya penipu, jika anda belum cuba. Siapalah kita untuk mengatasi kuasa Allah, sampai boleh beri janji yang orang lain akan dapat kebaikan dalam tempoh 2 jam?
 
3- Sebarkan gambar-gambar tidak sopan/membuka aurat. Cth: gambar lelaki beraksi gedik seperti perempuan, gambar perempuan berpakaian mendedahkan aurat. Walaupun tujuan untuk suka-suka, ingatlah bahawa ada Allah yang memerhatikan kita. Tiap mata yang memandang, kita dapat saham dosa selaku orang yang sebarkan.
 
4- Sebarkan keburukan orang lain, dengan tujuan untuk menjatuhkan reputasi seseorang. Kalau tujuan beri amaran supaya orang lain berhati-hati jangan sampai tertipu dengan orang tertentu, itu bolehlah. Tapi hati-hati jangan sampai terlebih mengata.
 
5- Kita yang masih beristeri/bersuami, memanggil isteri/suami orang dengan panggilan manja & mesra. Cth: sayang, honey. Walaupun niat bergurau, tapi ia membuka kepada jalan maksiat hati. Ia juga pasti melukakan hati pasangan kita jika diketahui.
 
6- Kita yang masih beristeri, memuji-muji kecantikan isteri orang. Cth: makin mengancam la Meah sekarang ni!, Piah ni dari zaman sekolah sampai sekarang masih tetap cantik! Alasan sama macam kes no. 5  di atas.
 
7. Leka chat sehingga mengabaikan tugasan hakiki di tempat kerja dan di rumah. Cth: pekerjaan belum selesai, tapi sibuk chat di waktu kerja.  Balik rumah pun sibuk chat, sampai tak sempat bermesra dengan anak isteri/suami. Selain berdosa kerana mengabaikan tanggungjawab, hal ni boleh membuatkan rumahtangga hilang bahagia.
 
Ada lagi? Korang boleh tambah. Sama-sama kita fikir, renung dan nilai diri sendiri. Kadang tu memang kita terlupa, leka dengan keseronokan teknologi. Kita taubat, beringat. Yang penting, nak buat apa pun fikirkan pandangan Allah yang tak pernah tidur dan sentiasa memerhatikan kita.
 

Wednesday 19 November 2014

Hari Tandas Sedunia

Jangan terkejut, TANDAS pun ada hari khas tau! Hari ini merupakan Hari Tandas Sedunia, yang diadakan pada setiap 19 November. Ia mula disambut pada tahun 2001 setelah diisytiharkan oleh Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Tujuannya adalah untuk memberi kesedaran tentang masalah kebersihan diri (berikutan masih ramai penduduk dunia yang membuang air besar di tempat terbuka) dan kebersihan tandas di seluruh dunia. (info lanjut kat SINI)
 
Contoh...tandas bersih dan cantik kat The Zenith Hotel, Kuantan.
Saya snap pic tandas ni sebab kagum tengok cantik!

Untuk tahun 2014, Hari Tandas Sedunia peringkat kebangsaan akan diadakan pada 22 November 2014 di Dataran Sri Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan. Kalau nak tahu apa pengisian program, silalah datang sendiri ya.
 
 
 
~ berapa kerap kita bersihkan tandas rumah kita? Kita berus lubang tandas, sinki, dinding? Orang kata...nak tau tahap pembersih seseorang, kita tengok tandas rumah dia. Erk... ~
 


Monday 17 November 2014

Hati-Hati Jika Terima Mesej Fb Ini

 
Baru-baru ni ramai kawan-kawan niaga yang terima mesej seperti di atas. Ini sebenarnya satu penipuan. Bila kita klik link diberi, dia akan minta maklumat lanjut akaun Facebook dan maklumat akaun bank/kad kredit.
 
Ada sorang rakan niaga yang dah terkena. Dia kehilangan RM800, tapi entah macam mana transaksi RM800 tu gagal. Alhamdulillah selamat duitnya.
 
Jadinya, kalau ada yang dapat mesej begini sila abaikan. Laporkan kepada pihak Facebook dengan klik 'Report as Spam or Abuse'.

-----------------------------------------------------------------------
 
...untuk peminat tudung Turki cotton...
http://almaribajuaisyah.blogspot.com/2014/11/promosi-november-2014-tudung-bidang-50.html
KLIK untuk lebih lanjut ^_^


Sunday 16 November 2014

Kemalangan...

Petang tadi saya terima khabar yang mengejutkan.
Anak saudara saya, dua beradik lelaki terlibat dalam kemalangan.
Kereta yang dipandu si abang hilang kawalan dan terbabas ke kebun sawit.

Melalui kiriman gambar WhatsApp, jelas keadaan kereta remuk agak teruk.
Termasuklah remuk pada bahagian atas kereta.
Hampir boleh dikatakan...'total damage'.

Namun Allah Maha Berkuasa...
Alhamdulillah si abang, pemandu kereta selamat tanpa kecederaan.
Cuma...si adik cedera agak teruk. Melibatkan bahagian kepala dan mata.

Risau sangat-sangat...
Tak putus saya dan ahli keluarga lain mendoakan si adik.
Agar kecederaannya taklah terlalu parah.
Tambahan pula dia masih perlu menghabiskan kertas peperiksaan SPM.
Ya Allah! Semoga Hafiz segera pulih dan mampu menghabiskan kertas peperiksaannya.

------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Disebalik khabar duka ini, ada dua perkara lain dikesalkan. Pertama, handphone si abang (pemandu kereta) hilang. Entah siapa yang mengambil kesempatan dalam kekalutan yang berlaku. Kedua, Hospital Besar Pontian tidak mempunyai kemudahan secukupnya. Maka terpaksalah si adik tadi di bawa menaiki ambulans ke Hospital Besar di Johor Bahru. Saya faham, ia berkait rapat dengan kos. Tapi masih terselit rasa kesal kerana zaman sudah semakin canggih, tapi banyak lagi Hospital Besar yang serba kekurangan. 
 
Juga masih bersyukur, kerana sejurus kemalangan ada insan prihatin yang datang menolong dan membawa mereka ke hospital. Allah jua yang mampu membalas jasa mereka.
 
~ mohon doa kawan-kawan untuk anak saudara saya ni ya. Sedih dan kesian tengok gambarnya dengan kepala dan bahagian mata berbalut. ~
 


Friday 14 November 2014

Quran Di Hatiku

 Sebuah video yang sangat menarik. Peringatan dan panduan yang sangat bagus!
 
 
Seringkali kita mendengar ramai orientalis barat yang memeluk Islam disebabkan mengkaji al-Quran dalam bahasa mereka.

Kita lihat bagaimana Umar R.A. yang dilembutkan hatinya hanya dengan mendengar 5 ayat dari surah Taha. Itulah kekuatan hidayah yang terkandung dalam al-Quran yang hanya dapat dirasai oleh mereka yang memahaminya.

Memandangkan kita tidak pandai bahasa arab, marilah kita berusaha untuk menceduk hidayah yang ada di dalam al-Quran dengan berusaha memahami maknanya. Mentelaah kandungannya dan mentadabbur isinya. Apabila kita membaca al-Quran, gunakan al-Quran beserta terjemahan agar kita mendapat manfaat yang lebih besar, mengejar hidayahNya bukan sekadar pahala membaca al-Quran.

Moga kita diberi kekuatan untuk memahami surat agung dari Allah pencipta segalanya.
 
 
~ kan bagus kalau video camni selalu ada kat tv. Terkenang jugak kisah seorang artis yang mula menutup aurat setelah membaca terjemahan al-Quran mengenai syariat menutup aurat dan seksaan api neraka. ~



Monday 10 November 2014

Selepas Hujan...

Hujan sepanjang malam...
Dan paginya mata begitu segar...
Memandang bunga dan pelbagai tumbuhan...
Disekitar laman kampungku.
 
 
 
 
Lokasi : Rimba Terjun, Pontian, Johor.
 
~ sempat snap sikit, tujuan sebenar rayau keliling rumah mak nak ambik cili padi, serai, daun kari dll. ~
 

Friday 7 November 2014

Kuasa Pemerintah

KOTA BHARU - The Chamers iaitu penganjur pertunjukan 'gadis ular' yang sedang berlangsung di Muzium Kelantan memohon maaf kerana gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan kerajaan negeri.

Wakilnya, Mohd Amir Hasan berkata, pihaknya akan mematuhi semua peraturan yang ditetapkan termasuk memastikan wanita berkenaan menutup aurat.

"Kami ingin memohon maaf kepada kerajaan negeri dan juga pihak Muzium Kelantan di atas perkara ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Semalam Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata pihaknya tidak teragak-agak untuk menutup pertunjukan itu sekiranya wanita berkenaan gagal menutup aurat.

Pameran dan pertunjukan Ular itu yang bermula Isnin lepas bakal berlangsung selama sebulan.

Dalam pertunjukan itu, wanita berkenaan Rahiza Abdul Rahim, 28, atau dikenali dengan gelaran 'Baby Andryanna' berada di dalam sebuah bilik kaca bersama 60 ekor ular.

Rahiza berkata, dia tetap bersemangat untuk mengadakan pertunjukkan sekalipun menerima kritikan kerana tidak menutup auratnya.

"Saya akan mematuhi peraturan yang ditetapkan kerajaan negeri," katanya.
  - Bernama
--------------------------------------------------------------------------------------
 
 Pemerintah mempunyai kuasa.
Gunakanlah kuasa yang diperuntukan.
Bertegas. Pasti tiada yang mampu menolak.
Inilah kuasa pemerintah!

 
~ tahniah kerajaan Kelantan! Kerana berani menguatkuasakan peraturan menutup aurat untuk persembahan umum begini. Jangan kata, 'Eleh, ramai je orang Kelantan tak tutup aurat!'. Perlu kita faham, bahawa pemerintah Kelantan memang berusaha ke arah itu. Apa usaha pemerintah negara? Dan apa usaha kita untuk diri sendiri dan keluarga? ~
 


Thursday 6 November 2014

Akhirnya! Merasa Jugak Hasil Affiliate

Kalau blogger lain mungkin dah biasa merasa duit daripada hasil iklan/affiliate. Paling biasa tentunya hasil dari iklan Nuffnang. Atas sebab tertentu, saya pilih untuk letak satu ruangan je iklan Nuffnang di blog ni dan di tempat yang tak strategik. Memang sah la tak menjana hasil yang memuaskan.
 
Berbalik kepada cerita affiliate (kalau ada jualan, barulah ada komisen untuk kita), affiliate pertama yang saya sertai adalah affiliate pelancongan HZ Tours. Tapi malangnya, affiliate ni 'tutup kedai' tanpa notis. Membawa bersama hasil saya yang tak seberapa. Lepas tu saya sertai pulak affiliate Lazada, lama tunggu takde hasil. Punyalah tak sabar, saya buang iklan Lazada tu.
 
Dan pada 22 September 2014, saya cuba rezeki dengan affiliate pakaian muslimah Sweet Muslimah. Alhamdulillah tujuh hari kemudian, mula dapat notis komisen yang pertama melalui e-mail. Yang seronoknya, Sweet Muslimah (SM) akan terus masukkan komisen ke dalam akaun kita pada setiap 7hb. Dengan syarat nilai bayaran minima RM10. Dapatlah saya hasil yang pertama pada 7 Oktober lalu dengan nilai RM33.80. Tak payah tunggu RM50 baru boleh merasa dan tak perlu buat apa-apa duit dah masuk dalam akaun! Insya Allah untuk 7hb nanti pun ada lagi. Sikit tapi puas hati. (Terima kasih kepada mereka yang membeli melalui link saya!)
 
Sebab affiliate ni nampak telus dan mudah berurusan, saya galakkan korang join. Kalau blog yang ramai peminat tu, Insya Allah lagi lebat hasilnya. Saya blog tenggelam timbul memang sikitlah hasil. Kalau nak join boleh ke link INI. Kalau takmo join, tapi nak membeli boleh klik banner kat sebelah kanan blog saya. Atau terus klik gambar-gambar kat bawah:
 
 
<a href="http://www.sweetmuslimah.com/affiliate/idevaffiliate.php?id=340_5_1_11" target="_blank"><img style="border:0px" src="http://www.sweetmuslimah.com/affiliate/media/banners/MultiItemProduk_MT83.jpg" width="1200" height="627" alt="Baju Muslimah"></a>
 
Koleksi Jubah Cotton
 
Baju Muslimah
 
 ~ sebenarnya malu nak bagitau hasil yang ciput tu, lagi-lagi lepas baca entri Diana Rashid malam tadi (besar mata tengok hasil iklan Diana). Tapi sebab nak share kat korang affiliate yang agak best ni dan untuk tujuan rekod sendiri, saya tulis jugaklah. ~
 


Wednesday 5 November 2014

SUNAN - Nanggroe Sang Kembara

Tajuk : Sunan - Nanggroe Sang Kembara
Penulis : Ramlee Awang Murshid (RAM)
Penerbit : Alaf 21
Harga : RM35/SM (kulit keras)
Muka surat : 521
 
Karya ke -23 RAM ini, masih mengekalkan watak Saifudin atau Laksamana Sunan. Setelah enam buah novel legasi Sunan, novel ke-tujuh ini bukanlah kesinambungan tetapi sebuah permulaan bagi siri Sunan. Bunyinya pelik, tapi memang menarik bila dibaca.
 
Sinopsis
Novel ini menceritakan bagaimana seorang anak remaja bernama Saifudin difitnah di kampung kelahirannya - Punggor, Tanah Melayu. Kerana tertekan, dia mengembara membawa diri. Sehinggalah dia menjadi anak asuhan kepada Wali Sufi di Aceh, setelah dibebaskan dari menjadi hamba oleh Juragan Semarang. Di Tanah Aceh inilah pembentukan diri Saifudin bermula. Dan di sinilah bermulanya pertemuan Saifudin dengan Ratna - Sang Ratu Sulaman, anak asuhan Maharani Pulau Utara.
 
Petikan Novel
Namun hasrat jahat Gimbaran tidak kesampaian apabila anak-anak panah berterjahan dari ruang udara. Beberapa anak panah mengenai batang tubuhnya sehingga membuatkannya menjerit kesakitan. Pembunuhan ke atas Saifudin tidak menjadi seperti dirancangkan. Gimbaran bingkas melangoi. Tidak kelihatan siapa atau makhluk apa yang melakukan serangan dari udara ketika ini. Serangan anak panah berlaku dari arah yang berbeza-beza. Gimbaran dapat mendengar bunyi kibaran sayap menguak-nguak membelah angin. Anak-anak panah itu juga membunuh bala tenteranya.
 
 
~ tak sabar nak menunggu sambungan novel ni. Suka baca siri Sunan, banyak nilai-nilai diri Muslim sejati diterapkan selain jalan cerita yang tak bosan. Novel terkini RAM - Raudhah, sudah berada dipasaran. Tapi bukanlah sambungan novel kat atas ni ya. ~
 


Giveaway Contest RM700 Jualan Hebat Lazada Malaysia 11/11 by Emas Putih



Berita baik untuk semua kaki shopping online kerana Lazada Malaysia akan menganjurkan 1 jualan besar-besaran selama 1 hari pada 11th November 2014 dengan potongan harga sehingga 94%.



Terdapat Flash Sale selama 1 jam untuk setiap satu kategori (12 Kategori) bermula 11 pagi hingga 11 malam! Harga rendah ditawarkan untuk semua kategori di Lazada Malaysia sepanjang Flash Sale.

Mark your calendar and Jom Gegarkan Jualan Hebat ini dengan klik link ni : Jualan Hebat

Any update tentang jualan besar-besaran ini sila ke Lazada Malaysia !!

Ini adalah Blogger Giveaway Contest anjuran Lazada Malaysia dengan kerjasama Kisah Emas Putih. 11 Pemenang bertuah akan dipilih untuk memenangi hadiah berjumlah RM 700! Untuk sertai contest ini, sila ke blog Kisah Emas Putih dengan ke link ini : LINK CONTEST .

Jom join! GA ini berlangsung sehingga 11 November 2014.
 

Tuesday 4 November 2014

Tips Bisnes : JANGAN Bagi HUTANG!


(ini kes sekitar dua minggu lalu..)
Ini luahan seorang penjual online di salah satu grup fb saya. Simpati dengan masalah yang dialaminya. Saya pun seorang penjual online, saya faham sangat nilai RM200 untuk seorang peniaga kecil-kecilan. Nilainya agak besar dan boleh beri kesan kepada pusingan modal bisnes. Tanpa wang pusingan, bisnes mungkin akan terhenti!

Dari awal saya memulakan bisnes online, PRINSIP BISNES yang saya pegang antaranya JANGAN BERI HUTANG! Saya pernah menjadi agen jualan kepada satu produk yang 'boleh jual', tetapi akhirnya syarikat terbabit gulung tikar. Pemiliknya memberitahu yang dia sudah kehabisan modal pusing. Ramai agen yang mengambil produk secara hutang, dan akhirnya menyepi diri.

Pengalaman saya sendiri, memang ada pelanggan yang meminta barang di pos dahulu dan berjanji akan bayar esok pagi. Alasan, tudung nak pakai cepat tapi harini tak sempat keluar ke bank untuk bayar. Secara baik, saya menolak permintaan sebegini. Saya katakan ini polisi bisnes saya - bayaran sudah diterima, barulah barang boleh dipos.

Untuk penjual di atas, saya doakan dia sudah mendapat haknya. Semoga kes ini menjadi pengajaran buatnya. Sebenarnya, bukanlah tak boleh bagi hutang terus. Tapi mesti ada syarat - beri hutang hanya kepada orang yang kita percaya dia boleh bayar, dan orang itu mestilah yang selalu kita jumpa. Saya sendiri ada menjual barang secara hutang, tetapi dengan dua syarat tadi Alhamdulillah belum ada masalah.

Thursday 9 October 2014

'Door gift' Unik - Kicap JALEN Mini

Sabtu lalu, pergi jemputan kahwin seorang saudara di Kluang, Johor. Nak balik, dia hulur beg kecil. Bila tengok dalamnya ada kicap JALEN mini dan sebiji telur rebus. Telur tu biasalah, tapi bila dapat kicap ni memang rasa unik sangat dan bagus! Tak membazir, memang pasti orang makan/gunakan kicap dalam masakan. Saya yang dapat pun rasa seronok.


 
Kicap mini bersaiz 150ml ni memang dibuat khas sebagai hadiah. Tengoklah pada label botol kicap tu. Harganya pun murah, cuma RM1 je. Memang jimat dan berbaloi untuk korang yang nak buat majlis kahwin. Untuk info lanjut, korang tengok kat Fb kicap Jalen di DI SINI. Sekarang tengah ada promosi percuma custom label untuk kicap mini ni. Memang menarik!
 


Tuesday 30 September 2014

Nakhoda Yang Pincang!

"Sebutkan rukun Iman?" pinta penemuduga.

Diam. Lelaki itu gagal menjawab. Mungkin jua terkejut, lalu gagal mengingati.

"Baca surah al-Fatihah." arah penemuduga lagi.

Tergagap-gagap lelaki itu cuba melafazkan kalimah suci.

"Berapa lama kamu tak solat?" tanya penemuduga, pabila lelaki itu gagal membaca surah al-Fatihah (surah yang wajib dibaca dalam solat).

Lelaki itu menjawab "Sudah lama...". Ada yang mengaku sudah berbulan, ada yang mengaku sudah bertahun. Ya, lelaki itu dan lelaki-lelaki itu sudah sekian lama tidak bertuhan!


Lelaki-lelaki itu adalah suami kepada keluarga Islam. Punya isteri dan anak-anak. Mereka adalah NAKHODA kepada sebuah pelayaran bahtera rumahtangga. Hidup mereka tidak seindah impian, terperangkap dalam belenggu kemiskinan. Tapi yang lebih malang, hidup mereka jauh dari Allah yang telah menciptakan mereka (juga kita). Mereka benar-benar miskin! Miskin harta dan iman.

-----------------------------------------------------------------------------------

Sedih, kasihan, risau....itu yang saya rasa. Entah apa yang mereka lalui, entah bagaimana didikan penjaga mereka, hingga akhirnya menjadi 'nakhoda yang pincang'. Risau mengenangkan generasi zuriat yang terhasil. Moga usaha membawa mereka keluar dari belenggu kemiskinan ini bakal membawa mereka kepada hidup bertuhan.

Insaf, syukur...itu jua yang saya rasa. Terima kasih Allah atas segala nikmat hidup dan kemanisan rasa bertuhan yang Kau kurniakan!

Rasa bertanggungjawab...itu yang perlu saya dan kita semua rasa. Jom sama-sama kita ambil peduli pada insan sekeliling kita. Lakukan usaha semampu mungkin. Yang miskin harta, kita berikan bantuan harta. Yang miskin iman, kita tunjukkan jalan kebenaran-Nya. Ya, semampu kita kerana kita sendiri masih terumbang-ambing dalam usaha meningkatkan tahap ekonomi dan tahap keimanan.





Friday 26 September 2014

Langkawi : Hole In The Wall

...catatan Langkawi lagi...
Kat Langkawi ni ada 3 tempat yang diwartakan sebagai 'Geoforest Park' :
  1. Gunung Machinchang
  2. Dayang Bunting
  3. Kilim
Kali ni kami ke KILIM. Disebabkan kesuntukan masa dan dah petang, kami tak ambil pakej untuk menerokai KILIM GEOPARK. Untuk info, pakej paling rendah adalah berharga RM200/bot untuk aktiviti penerokaan selama 1jam. Harga boleh dirunding kalau kita datang di luar waktu sibuk. Telan air liur jugak tengok papan tanda harga pakej kat Jeti Kilim tu. Tapi takpe, misi kali ni kita makan-makan je kat restoran terapung 'Hole In The Wall'.
1. Pemandangan di sekitar Jeti Kilim. Untuk ke restoran, kita kena telefon terlebih dahulu. Tak lama kemudian, ada bot datang ambil kami. Tiada caj dikenakan sebab caj nanti termasuk dalam harga makanan jugak kan.

2. Pemandangan yang sangat menakjubkan bagi saya. Masya Allah...Subhanallah! Bot dipandu laju melalui landskap batu kapur (karst) yang unik. Tak sangka Langkawi ada khazanah alam seindah ini!

3. Dari jauh kelihatan banyak kapal layar yang berlabuh. Bot mula dipandu perlahan. Kapal-kapal layar ni kepunyaan warga asing, mereka letak di sini (berbayar) dan akan datang kembali selepas beberapa bulan. Kalaulah aku ada kapal layar...

4. Selamat tiba...tak ramai pengunjung. Ada sepasang warga Arab je. Dan memang lagi tadi asik nampak pasangan warga Arab je dalam bot-bot yang lalu-lalang.

5. Hole In The Wall merupakan salah satu daripada 3 buah restoran terapung di Pengkalan Sungai Kilim ini. Dapat tau dari seorang kawan, terus cari info dan dapat jugak sampai.

6. Sementara menanti makanan yang kami pesan dimasak, kami dibawa ke bahagian sangkar ikan untuk 'Fish Show'. Tu dia...manja jugak ikan Pari ni, makan pun kena suap masuk mulut. Kalau berani, kita pun boleh cuba. Kami berani tengok je.

7. Tiga ekor ikan besar. Ntah apa namanya. Agak ganas bila dicampak makanan. Dua jenis ikan ni je kot yang menarik, sebab besar dan agresif. Sangkar lain menempatkan ikan-ikan yang bakal dipesan oleh pelanggan. Kira ikan segarlah kat sini.

8. Dah puas rayau kat fish farm tadi, tak lama kemudian makanan pun dihidangkan. Kami pesan 3 jenis ni, cukuplah untuk berdua. Rasa? Alhamdulillah sedap, licin semua. Tambah pulak makan atas air, dikelilingi landskap batu kapur, bakau dan kapal-kapal layar. Harga? RM139.70. Kalau tengok menu, rasa mahal. Tapi kalau kira bot, lokasi dan pemandangan yang tersaji di depan mata, kira okey la harga tu. Sekali seumur hidup!

9. Pemandangan sekitar...airnya jernih, boleh nampak ikan-ikan berenang. Geram je!

Kami berada di sini kira-kira 2 jam. Kalau boleh nak berlama-lama lagi, tapi dah lewat petang. Ok, untuk korang yang berminat nak ke restoran ni bolehlah ambil info kat bawah :

HOLE IN THE WALL
Pengkalan Sungai Kilim,
Mk. Air Hangat, Langkawi.
012-5620015

Layari website mereka untuk lebih info, ada macam-macam pakej. Tapi kami tak ambil apa-apa pakej pun, semata-mata datang makan.

TIPS :
1. Atur jadual percutian dengan baik, sebab kebanyakkan aktiviti luar (cth : Island Hopping, Pulau Payar) memakan masa lama dan bermula pada awal pagi.

2. Langkawi sememangnya banyak khazanah alam untuk diterokai, setakat sehari dua memang tak cukup. Jadinya, pilihlah aktiviti yang betul-betul korang teringin nak buat.

3. Masa nak pilih tarikh, elok semak ramalan cuaca. Elakkan musim hujan. Macam kami, terkena setengah hari tu hujan lebat je. Aktiviti yang sesuai...shopping!