Sunday 30 June 2013

Si Tinggi Lampai



Lokasi : Bangunan PKNS, Bdr. Baru Bangi.

Ni bukan tinggi semulajadi ya...tinggi buatan. Tapi tetap stabil berjalan ke sana sini sambil membuat belon.


Friday 28 June 2013

Floria 2013 : Magic of The Night

[Amaran: banyak gambar..]

Malam semalam berkesempatan ke Floria 2013 pada waktu malam. Bukan nak tengok dekorasi bunga, tapi tujuan datang malam sebab nak menyaksikan acara "Magic of The Night". Kalau ada yang nak datang, acara ni berlangsung setiap malam kira-kira jam 9 malam dan bakal berakhir pada hari Sabtu (esok). Kalau tak sempat, tahun depan pun ada lagi sebab Floria ni dah jadi acara tahunan.

Ini kali pertama buat saya, dan saya kongsikan gambar berikut untuk tatapan korang yang tak berkesempatan. 

1. Sampai dah 9.30 malam. Ingatkan tak ramai orang sebab hari bekerja, rupanya tetap meriah sampai susah jugak nak cari parking yang dekat.


2. Ngam-ngam sampai kat tepi tasik, acara baru nak bermula. Sempatlah...
Ni satu-satunya penyertaan dari luar negara...dari Suzhou, China. Cantik!


3. Perbadanan Putrajaya


4. Pahang


5. Terengganu...kalau tak silap.


6. Tourism Malaysia


7. Habis je perarakan bot tadi, kami segera beredar sebab esok suami nak bekerja.
Tetiba ada percikan bunga api pulak...stop jap. Bunyi memang kuat dan percikan bunga api pelbagai warna yang memang memukau pandangan.


8. Satu-satunya gambar percikan bunga api yang agak menjadik.


9. Yang lain...berterabur macam ni.


10. Ermm...asapnya macam menambah jerebu yang ada je..

Untuk perarakan bot tadi, tak semua negeri hantar penyertaan. Yang saya letak sini pun bukan semua. Pilih gambar yang boleh nampak je. Memang susah nak dapat gambar elok bila waktu malam ni. Bagi yang nak pemandangan dari sudut lain, boleh tengok acara ni dari atas Jambatan Seri Wawasan.

*entri FLORIA 2013 (siang), boleh tengok kat SINI.


p/s: Alhamdulillah...hari ni langit biru lebih cerah dari semalam. Tiada lagi jerebu menyelubungi.

Thursday 27 June 2013

Laa..Dah DUA Tahun!

Baru perasan, hari ni 27 Jun 2013 dah DUA tahun saya menulis di blog. Alhamdulillah...masih diberi kesempatan oleh-Nya. Walaupun blog ni belum pernah menjana pendapatan (tapi dah menjana hadiah), ia tetap mampu memberi kepuasan peribadi kepada saya. Sempena dah dua tahun ni, ada beberapa perkara nak saya abadikan di sini sebagai rujukan dan kenangan di masa akan datang...

Print screen : Statistik All Time

Print Screen : Antara sahabat blogger yang mewarnai hari-hari saya.
*jumlah komen yang tertera berdasarkan 2000 komen terbaru.

Dan untuk sahabat yang namanya bergaris (top 3) - EITA, TIHARA & JAY AR mohon beri nama, alamat & nombor telefon kat ruangan "contact me". Ada sedikit cenderahati sebagai tanda penghargaan. 

Kali ni mampu bagi kepada tiga orang je, Insya Allah lain kali boleh bertambah lagi. Yang pasti kehadiran komen-komen korang di blog ni sangat-sangat saya hargai. Komen tu sebagai medium komunikasi dan tanda ukhuwah yang terjalin. 

TERIMA KASIH ATAS RASA PERSAHABATAN INI. 


Nikmat Yang Dilupakan



Datangnya jerebu bagai musibah,
Rupanya terkandung hikmah,
Agar kita mensyukuri sebuah nikmat,
 Itulah langit nan biru dan awan memutih!


*Terkadang kita lupa mensyukuri nikmat di depan mata, tetapi merindui dan mengharap hadirnya bila ia hilang dari pandangan. Lalu, bersyukurlah atas sekecil-kecil nikmat yang kita rasa.*


p/s: Cuaca berubah-ubah harini, sekejap cerah...sekejap mendung. 
Macam hidup manusia jugak.

Tuesday 25 June 2013

Cara Mengenali Seseorang



Zaman teknologi ni, tak perlu jumpa depan mata pun kita dah boleh 'kenal' seseorang tu. Iaitu melalui apa yang ditulisnya. Lagi-lagi kalau kat facebook tu...buat status maki hamun orang, beri komen penuh emosi dan berbalas komen dengan ayat kasar. Semua tu melambangkan peribadi seseorang.


p/s: Peringatan untuk diri sendiri jua, yang selalu kalah dengan emosi sendiri.

Monday 24 June 2013

Sekitar FLORIA 2013

[Amaran: Banyak gambar...]

Sabtu pagi lalu saya dan suami sempat pergi ke Floria 2013, Putrajaya. Cuaca kat kawasan rumah saya okey je hari tu, tak berapa jerebu. Tak sangka pulak bila tiba Putrajaya, sana berjerebu agak teruk. Lengkap dengan bau asap. Dah sampai, kita teruskan jugaklah. 

Saya letak gambar untuk perkongsian bagi yang tak berkesempatan ke Floria kali ni. Banyak yang mencuri perhatian sebenarnya, ni sebahagian je...

1. Pemandangan dari pintu masuk.


2. Replika rama-rama daripada barangan terbuang..botol plastik..


3. Perahu naga dipenuhi bunga. 
Kalau tak silap ni sebahagian deko milik Majlis Perbandaran Pulau Pinang.


4. Suasana jerebu di Putrajaya. 
Bila tengok bunga cantik-cantik, terus lupa jerebu.


5. Orkid ni diletak terbalik. Idea yang menarik..


6. Cerah mata tengok bunga warna-warni.


7. Penggemar fotografi- ramai yang usung kamera besar kat sini.
Kami buat tak malu je, sibuk jugak nak ambik gambar dengan kamera kecik.


8. Antara spesis bunga yang tak pernah saya jumpa.


9. Dari jauh macam orang betul tau.


10. Lapar? Boleh makan kat food court ni. Banyak pilihan makanan dan tempat luas.
Saya beli kue teaw kerang tu...mahal tau RM5. Nasib sedap.

TIPS: 
- bawa air masak, haus tekak nak merayau tempat yang agak luas ni. 
- untuk ruang parking yang tak ramai orang, pilih kawasan yang dekat dengan menara macam pensil tu. Tapi kita akan masuk dari hujung tapak pesta ya. 
- datang awal supaya tak sesak dan mudahlah korang nak ambil gambar.
- disebabkan Putrajaya jerebu, seeloknya pakai mask.

Pada pendapat saya, FLORIA kali ni lebih best dari yang saya pergi dua tahun lepas (walaupun saya tak habis jelajah semua). Dekorasi pihak-pihak yang mengambil bahagian lebih kreatif. Contohnya: ada aliran sungai mini, ada yang sertakan audio bunyi gajah dan ada yang buat gua. Menarik bagi yang gemarkan alam semulajadi. Bagi yang nak pergi, pesta ni berakhir pada 30 Jun 2013. Malam pun bukak, tapi susahlah nak ambik gambar kan..

Thursday 20 June 2013

Andai Semalam Mu Kelam

Andai semalam mu kelam...berpalit dosa dan noda, janganlah kecewa! Sungguh...luasnya pengampunan Allah buat kita hamba-Nya. Sesuai dengan hadis berikut ;

Daripada Anas bin Malik r.a. berkata, bahawa dia mendengar Rasulullah salallahu alayhi wassalam bersabda, bahawa Allah subhanahu wa ta'ala berfirman yang bermaksud:

"Wahai anak Adam, selagi engkau meminta dan berharap kepada-Ku maka Aku mengampuni segala dosamu yang telah lalu, dan Aku tidak akan mempedulikannya. Wahai anak Adam, jika dosamu sampai setinggi langit lalu engkau minta ampun kepada-Ku nescaya Ku ampuni. Wahai anak Adam, jika engkau datang kepada-Ku dengan kesalahan seluas permukaan bumi lalu engkau menemui-Ku tanpa menyekutukan sesuatu pun dengan-Ku, nescaya Aku datang padamu dengan ampunan seluas bumi pula."
[Riwayat al-Tirmizi no: 3534 dan al-Baghawi dalam Syarhus Sunnah]
 
  • Hadis ini mengandungi khabar gembira, belas kasihan, dan gambaran sifat pemurah Allah yang amat besar kepada hamba-Nya yang melakukan dosa.
  • Mintalah ampun dengan bersungguh walau sebesar mana dosa yang telah kita lakukan.
  • Segeralah berhenti (taubat) daripada melakukan perkara yang berdosa itu tadi.
  • Walaupun pengampunan Allah itu luas, kita janganlah leka dengan terus-terusan melakukan dosa serupa. Takut-takut jika kita akhirnya rasa biasa melakukan dosa tersebut dan terhalang untuk bertaubat.

* Janganlah kita menilai seseorang dari masa silamnya yang kelam, tapi pandanglah siapa dia pada hari ini. Kerana pintu keampunan dan peluang untuk berubah sentiasa terbuka luas buat setiap anak Adam. *




Wednesday 19 June 2013

FLORIA


Teratai di Zoo Taiping, Perak.

FLORIA 2013 kembali lagi!!!
TEMA : ORKID - KHAZANAH TROPIKA

Tarikh : 22 - 30 Jun 2013
Masa : 9 pagi - 10 mlm (Isnin - Khamis)
9 pagi - 12 mlm (Jumaat - Ahad)
Lokasi : Presint 2, Pesisiran Putrajaya


p/s: Tahun lepas tak pergi, Insya Allah hujung minggu ni nak pergi. Untuk elak sesak, kenalah datang awal.

Tuesday 18 June 2013

Pertandingan Kepenggunaan 2013

Ada macam-macam pertandingan yang dijalankan.
Juga untuk pelbagai peringkat umur.
Berminat? Sila KLIK banner kat bawah ni ya.
Tarikh tutup : 16 Julai 2013




Monday 17 June 2013

Jambatan Seri Wawasan

Lama dah tak update blog ni, yang terakhir Isnin minggu lepas. Saya diduga dengan demam berpanjangan. Paling lama rasanya dalam sejarah hidup saya, demam dekat seminggu. Hilang berat badan sebanyak 4kg. Alhamdulillah, kelmarin demam dah baik, tinggal penyakit serangkai dengan demam yang masih bersisa - sakit kepala, batuk dan selsema. 

Malam tadi lepas Maghrib, ajak suami jalan-jalan melihat kehidupan malam di Putrajaya. Kononnya boleh lupakan sakit kepala saya ni. Memang cantik Putrajaya sebab kaya dengan limpahan lampu berwarna-warni. Tapi tempat yang saya rasa betul-betul cantik, kat Jambatan Seri Wawasan ni. Rekabentuk memang dah siap cantik. Lagi menarik bila warnanya bertukar-tukar, ikut warna lampu yang dipancarkan. 

Banyak kenderaan berhenti kat jambatan ni.
Ada yang duduk saja, ada yang sibuk ambil gambar.

Warnanya sentiasa bertukar dan memang cantik.
Tapi dalam gambar saya ni tak berapa cantik, faktor kemampuan kamera.

Pemandangan dari atas jambatan ni memang cantik. Yelah, bangunan kat Putrajaya ni banyak dan semua berlampu. Cuma tak mampu kamera saya nak merakamnya. Angin pun sepoi-sepoi bahasa, memang rileks je lepak kat sini. Rasa muda sekejap... 

Jambatan ni dah macam produk pelancongan pulak, sebab meriah dengan gelagat orang ramai. Tapi perlu diingat, sebenarnya ada papan notis larangan parking atas jambatan ni atas faktor keselamatan. 


p/s: Terima kasih kepada blogger Eita, membuat kejutan disaat terjaga dari tidur dengan SMS ucapan dan doa buat saya. Hari ini usia saya di dunia kian berkurang...


Monday 10 June 2013

Gua Tempurung, Perak

[entri tertangguh...]

Destinasi terakhir saya dan keluarga...GUA TEMPURUNG. Lokasinya di Gopeng, Perak. Saya dan suami dah pernah ke sini beberapa tahun lalu, dan kali ni nak bawak ahli keluarga yang lain pulak. CARA KE SANA? Jika dari lebuhraya PLUS, masuk ke susur keluar Plaza Tol Gopeng. Kemudian belok ke kiri, teruskan memandu kira-kira 2km sehingga jumpa laluan ke Gua Tempurung di sebelah kiri jalan. Lepas tu teruskan pemanduan sampailah jumpa Gua Tempurung. Jangan risau, tak jauh pun dari susur keluar tadi.



BAYARAN? Ada 4 jenis lawatan, baca kat gambar atas ni. Harga, jangkamasa dan waktu terakhir lawatan juga berbeza. Kami sekeluarga pilih No. 1 je atas faktor ni pengalaman pertama caving untuk ahli keluarga lain. Lagi pulak masa tak cukup, masa untuk lawatan terakhir adalah jam 4.30 petang dan kami tiba dah pukul 4 lebih pun. Nasib sempat masuk lagi...rezeki. Peringatan: kanak-kanak bawah 6 tahun tak dibenarkan masuk atas faktor keselamatan. 

Bagi yang nak lebih mencabar, sila pilih No. 3 & 4. Tapi kenalah plan awal sebab lawatan mengambil masa yang lebih lama. Juga perlu bawak persalinan baju sebab memang akan basah (ada sungai dalam gua ni). Untuk lebih info dan pertanyaan, korang boleh KLIK SINI.


Ni baru masuk pintu gua. Memulakan lawatan.
Ada laluan disediakan. Kat bawah tu aliran sungai ya.
Ada jurupandu yang akan bawa kita dan beri penerangan. Antaranya dia akan cerita pasal bentuk stalaktit/stalakmit, juga sedikit tentang komunis yang mendiami gua ni. 

Ni laluan awal - Golden Flowstone.
Semakin mendaki...kena hati-hati sebab curam dan tak semua tempat ada lampu.
Lubang dari bahagian atas gua yang memberi cahaya semulajadi ke dalam gua.

Zaman dulu, ada aktiviti perlombongan bijih timah. Dan inilah kesan tinggalannya.

Nampak anak tangga tu? Jauh jugak nak mendaki dan curam. Bila dah kat atas tu tak berapa berani pandang bawah, gayat!

Jurupandu ada tunjukkan dinding gua yang mengandungi bijih timah. Warnanya sedikit berkilauan. Bila saya sentuh/gosok, macam sentuh batu biasa je. Untuk jenis lawatan NO. 1 ni, kita akan berhenti kat satu check point dan berpatah balik. Masa yang diambil adalah lebih kurang 45 minit. Kalau No.4 (Grand Tour) akan pergi jauh lagi dan baliknya melalui sungai kat bawah. Insya Allah nak cuba satu hari nanti. Sekarang ni takde geng, berdua je tak syok pulak. Info: Kalau datang masa musim hujan, Insya Allah dapat tengok mini air terjun kat dalam gua ni. Cantik pastinya!

Thursday 6 June 2013

Homestay

Dua hari tak update blog, sebab sangat sibuk.
Sekarang pun sibuk, tapi ambil masa sikit untuk minat berblog.
Nak cerita sikit pasal homestay...

Haritu masa ke Perak, kami sempat tinggal di dua homestay berlainan.
Yang di Kuala Kurau...memang lengkap dan agak puas hati.
Kira memang macam kita duduk kat rumah sendirilah.
Yang di Taiping...tak puas hati sebab banyak kemudahan tiada.
Rumah tu macam tempat letak barang/perabot yang tak diperlukan je.

Bila tengok kedua-dua rumah ni, rasa teringin nak ada homestay sendiri.
Nak urus yang terbaik bagi penyewa rasa selesa dan berbaloi bayar.
Cukup kemudahan asas dan yang penting jaga kebersihan rumah.
Bilik air janganlah berlumut, nak guna pun kena pejam mata.
Cadar janganlah bertompok sana sini, nak tidur pun kena alas kain sendiri.
Kalau menumpang free memang takde hal.
Tapi bila dah bayar ni kita jadi agak berkiralah kan.

Sekarang ni saya belum mampu nak ada homestay sendiri.
Tapi tiap cuti sekolah, rumah saya ni jadi macam homestay jugak.
Bersilih ganti adik-beradik saya dan suami datang singgah/menginap.
Minggu lepas terima dua keluarga...penuh dua bilik dan ruang tamu.
Semalam baru balik satu keluarga, dah menginap dua malam.
Malam esok bakal terima lagi dua keluarga.
Sebab tulah saya sibuk...nak mengemas dan bersihkan apa yang patut.
Tak maulah tetamu rasa tak selesa bila tidur rumah kita.
Saya cuba lengkapkan ikut mampu dan yang penting semua mesti bersih.
Harap mentari bersinar harini...banyak nak dibasuh dan jemur.


P/s: konon nak tulis ringkas sebab banyak kerja, terpanjang jugak daaa...


Monday 3 June 2013

Taiping : Bandar Warisan

Lepas dari majlis kahwin kat Kuala Kurau haritu, malamnya kami tidur di Taiping. Tujuannya sebab nak ke Zoo Taiping. Maaflah cerita dah nak basi, yang penting nak sampaikan info bagi yang nak jalan-jalan ke Taiping.

Di simpang empat, jika terus menuju ke Zoo Taiping dan kiri ke homestay kami.

Tembok penjara ni jadi mercu tanda Taiping. Penjara Taiping atau "Taiping Gaol" telah dibina pada tahun 1879. Ia merupakan penjara tertua di Malaysia.

Sampai je homestay petang tu, kami terus ke Air Terjun Taman Suria. Kena jalan kaki 5 minit dari rumah. Ramai jugak orang, tapi tak sesak sebab dah petang kot.

Yang lain main air kat bawah, anak-anak sedara lelaki ni sibuk naik atas lagi. Saya ikut naik jugak...memang syok! Tapi batunya licin, kena hati-hati. Risau jadi apa-apa, saya tak bagi budak-budak ni berlama-lama kat sini. Semua kena turun main kat bahagian bawah je.

Untuk sarapan esok paginya, kami makan di kedai makan berhadapan Stesen Keretapi Taiping ni. Ia  dibina pada tahun 1882, dan merupakan stesen keretapi yang pertama di Malaysia. Yang tertua jugaklah maksudnya kan.

Perut dah kenyang, kami menuju ke Zoo TaipingLebih 2 jam kami habiskan masa kat sini. Walau penat berjalan, tapi seronok.

Taman Mergastua Sultan Idris Shah atau lebih dikenali sebagai Zoo Taiping ni telah dirasmikan pada tahun 1964Juga diiktiraf sebagai zoo tertua di Malaysia. Lokasi zoo ni terletak di dalam kawasan semulajadi Taman Tasik Taiping yang luas dan cantik. Juga berhampiran dengan Bukit Larut (Maxwell Hill) - kawasan paling lembab di Malaysia.

Bayaran masuk :
Dewasa- RM12, Warga Emas- RM10 & Kanak-kanak- RM8

 [Kalau nak baucer diskaun 20% untuk Zoo Taiping & Night Safari, sila klik SINI. Sah hingga hujung tahun ni je]

(sumber gambar: sini)
Dari zoo kami ke Muzium Perak pulak. Sebenarnya saya malas nak pergi muzium. Tapi layankan jugak sebab nak bawak anak-anak sedara yang tak pernah masuk muzium.

Muzium Perak ni jugak merupakan muzium tertua di Malaysia. Bangunan ini telah mula dibina pada tahun 1883.

Bayaran masuk (warganegara):
Dewasa - RM2, Warga emas - RM1 & Kanak-kanak - Percuma


-------------------------------------------------------------

Dengan masa yang singkat dan rombongan yang ramai (20 orang), ni jelah tempat yang sempat dijelajah. Taiping...tempat bagi mereka yang minat dengan sejarah. Juga tempat yang cantik untuk fotografi. Tempat-tempat menariknya pun dekat antara satu sama lain. Tak susah nak berjalan.

Lepas ni...kami ke Gua Tempurung pulak.






.

Sunday 2 June 2013

Telur Ni Dah Basuh Ke Belum?


Pernah tak korang tanya, telur ayam yang peniaga guna tu dah basuh ke belum?
Korang nak order nasi goreng pattaya ke, roti canai telur ke..ada tanya tak?
Saya? Tak pernah dan tak berani tanya. Belum ada kekuatan.
Cuma bila nak order roti canai telur tu, perhatikan telurnya dalam bekas apa.
Kalau masih dalam tray kertas tu, rasanya memang tak basuh. Cancel.
Kenapa kena basuh? Sebab bimbang ada najis ayam kat kulit telur tu.
Kalau termakan...haram sebab najis dan pastinya ada kemudaratan.

Tapi...haritu masa makan sarapan dengan mak saya di Taiping,
Berani je mak saya tanya terus dengan pembuat roti canai tu.
Sebabnya mak saya teringin nak makan roti canai telur, tapi was-was.
Alhamdulillah...orang tu jawab, 'Dah basuh, kalau tak syubhah'.
Tersenyum saya...lega. Kalau jawapannya lain, abislah!

--------------------------------------------------------------------------

Jemput ke blogshop saya...sila klik banner ya. :)



Saturday 1 June 2013

Daftar Perniagaan di SSM Putrajaya

Semalam (hari Jumaat), saya dah selesai mendaftarkan perniagaan kecil saya di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Putrajaya. Memang sengaja pilih ke Putrajaya sebab biasanya orang tak ramai berurusan di sana, selain lebih dekat dengan rumah saya. Lokasinya di Aras G, Kementerian Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK). Tapi bukan semua perkhidmatan ada kat situ tau. Ia cuma kaunter perkhidmatan pendaftaran perniagaan je. Untuk kepastian korang yang nak buat urusan kat situ, eloklah call dulu nombor ni - 03-8882 6509/6480

Yang best, urusan pendaftaran sehinggalah dapat Borang D (Perakuan Pendaftaran) cuma memakan masa tak sampai 30 minit! Cuma agak kelam kabut isi borang sebab masa saya sampai tu lagi 10 minit ke pukul 11.30 pagi. Rupa-rupanya kalau hari Jumaat dia boleh terima permohonan sampai pukul 11.30 pagi je. Lepas dari tu kena datang sebelah petang. Nasib baiklah perniagaan saya berstatus 'Pemilikan Tunggal', mudah nak isi borang. Dan yang penting jangan lupa bawa sekeping salinan kad pengenalan. Bayaran? Nak murah, saya guna nama sendiri sebagai nama perniagaan. Bayarannya RM30/setahun. Kalau guna 'trade name' kena bayar RM60. 

Untuk info lanjut, korang boleh layari laman web SSM kat SINI.