Thursday, 30 May 2013

Kuala Kurau, Perak.

Kuala Kurau, Perak...lokasi majlis kahwin adik saya hujung minggu lalu. Kami sempat merayau-rayau dengan kereta untuk melihat kawasan sekitar. Kami dapati pekerjaan utama penduduk di sini adalah nelayan dan pesawah. Kaum Cina jadi nelayan dan Melayu mengerjakan sawah. Ini berdasarkan pemerhatian sendiri je ya, takde interview sesiapa. Dah macam buat kajian tempatan zaman sekolah pulak!

Disebabkan saya ni suka melihat alam hijau dan kehidupan nelayan, makanya saya jatuh suka pada tempat ini. Cuma tak banyak dapat dirakam dengan kamera sebab semuanya dilihat secara sekali lalu je.

(1) Waktu malamnya cantik, nampak lampu-lampu sangkar ikan (kot). 

(2) Kuala Gula Bird Sanctuary - aktiviti yang ada, naik bot menyusuri sungai. RM180/bot.
Chalet pun ada kalau nak menginap tepi sungai. Kami cuma singgah lalu je.
Walau sekejap, sempat nampak beberapa spesis burung terbang di udara.
Macam dalam gambar ni, spesis bangau yang sedang bersantai.

(3) Kat kawasan rumah keluarga pengantin lelaki (adik ipar).
Ada sawah. Ni pertama kali saya berada di tengah sawah tau...biasa tengok gitu je.

(4) Gambar ni suami yang ambik. Tak edit, warna memang cerah gini.
Pemandangan yang cukup buat saya tenang.

(5) Juga suami yang ambik. Saya sibuk jadi jurugambar untuk pengantin.
Warna alam yang menyegarkan mata.

*Semakin jauh kita berjalan, semakin banyak yang kita tahu dan pelajari. Maha Suci Allah yang menjadikan kepelbagaian rupa alam dan kehidupan.*

Wednesday, 29 May 2013

Terima Kasih Hidayah Yusni!



Alhamdulillah...dapat tempat kedua dalam satu segmen anjuran Norhidayah Yusni.
Juga pemilik blog anakenyusni. Hadiah ni dah terima hari Khamis lalu.
Tapi harini baru sempat update kat blog.
Terima kasih buat Hidayah!
Moga dimurahkan rezeki.


p/s: saya memang target nak tshirt tu, Alhamdulillah dapat pulak. Sukaa..

Tuesday, 28 May 2013

14 Jam

Jumaat, 24 Mei 2013

Hari yang terasa sangat panjang. Letih...stress.
Perjalanan dari Selatan ke Utara yang dijangka 8-9 jam...
Rupa-rupanya menjadi 14 JAM!

Kami bertolak sebelum jam 7 pagi dari Pontian, Johor.
Perjalanan dari sebelah Selatan masih lancar walau kenderaan banyak.
Masih boleh masuk tandas dan makan di R&R.

Tapi dari kawasan Tengah ke Utara memang sesak teruk.
Kenderaan bergerak merangkak-rangkak. Kadang tak bergerak langsung.
Semua R&R pun turut sesak melampau. Nak masuk pun seksa...sesak.
Sampaikan banyak kenderaan yang berhenti kat tepi highway je.
Dah masuk, nak ke tandas pun kena beratur sampai ke luar tandas.
Memang tak pernah jadik sepanjang saya singgah di R&R!

Akhirnya...tiba jugak tempat dituju (Kuala Kurau) kira-kira jam 9.30 malam.
Letih tak terkata! 

Faktor kesesakan...cuti umum yang bersambung dengan cuti sekolah.
Kalau setakat cuti sekolah saja mungkin tak seteruk ini.


P/s: Sorry, lambat sikit saya jenjalan blog korang. Malam tadi baru selesai perjalanan, banyak nak dikerjakan.

Thursday, 23 May 2013

Cerita Rojak (Bukan Makanan)

Ini entri kedua untuk minggu ini. Minggu yang tidak produktif untuk blog saya. Sebabnya saya perlu menyelesaikan beberapa hal peribadi, keluarga dan bisnes online. Semuanya datang serentak, emosi pun bercampur-campur dengan reaksi yang diterima dalam proses menguruskan hal-hal terbabit. Lagi ramai orang kita berurusan, lagi banyak karenah yang menguji kesabaran. Saya ni selalu hilang sabar jugak. Ya, saya kena lebih berusaha tingkatkan tahap kesabaran!

Sabtu (lusa) nanti ada majlis kahwin adik saya, sebelah pihak lelaki pulak. Lokasinya di Perak, yang bersempadan dengan P.Pinang/Kedah. Memang jauh untuk kami yang bertolak dari Johor. Kalau ikut Google Maps tu perjalanan kira-kira 8 jam (rasanya lebih lagi). Dan sebenarnya ahli keluarga saya tak biasa jalan jauh, masing-masing kahwin pun dengan orang Johor jugak (seorang Melaka). Yang bongsu nilah yang paling jauh, dapat orang Perak. 

Dah alang-alang jalan jauh, eloklah berjalan-jalan sekitar Perak. Sibuklah saya buat carian kat internet....tempat menarik, bayaran, lokasi, penginapan. Rombongan ramai, banyak benda kena fikir. Antara yang masuk senarai...Kellie's Castle, Kuala Woh, Zoo Taiping. Tapi ada satu kerisauan, virus KENCING TIKUS! Tempat-tempat macam sungai dan zoo memang terdedah dengan virus ni (berdasarkan pembacaan). Tapi tempat ginilah sesuai untuk aktiviti keluarga. Serba salah...

Gambar dari entri terdahulu - Kuala Woh.

Malam ni lepas suami balik kerja, kami bertolak ke Johor. Nak ambil beberapa ahli keluarga lain. Esok lepas Subuh dah mula perjalanan ke destinasi. Semoga kami semua selamat dalam perjalanan dan dipermudahkan oleh-Nya. Begitu juga dengan korang yang nak ke mana-mana, moga selamat dan jangan lupa baca Ayat Kursi untuk memulakan perjalanan. Jangan baca laju-laju tau, nanti 'jampinya' tak menjadik! :)

Tuesday, 21 May 2013

Berita Tanpa Sensitiviti

Sensitiviti...
Bermaksud peka, mudah merasai sesuatu.
Sensitiviti....itulah yang 'hilang' dalam laporan berita sekarang.

Kalau kemalangan...
Siap letak gambar mangsa dalam keadaan ngeri.
Siap bagitau terperinci otak terkeluar,  badan terputus dua.
Kalau kes rogol...
Kadang siap letak gambar mangsa (selepas atau sebelum kes).
Lepas tu siap bagitau terperinci pulak ada kesan koyakan.

Apa perasaan kita kalau mangsa-mangsa tadi keluarga kita?
Kita yang sedang bersedih bertambah tertekan.
Orang sekeliling bercerita...bertanya...mungkin juga salah menilai.
Hakikatnya bukan semua manusia memahami kesedihan orang lain.

Alangkah bagusnya kalau pihak media melaporkan yang sekadarnya saja.
Tak perlu terlalu terperinci...ini bukan laporan siasatan.
Tambahan pula yang membaca akhbar atau menonton berita,
Bukanlah golongan dewasa semata.
Berita biarlah yang bersifat umum dan sesuai untuk semua.

Juga untuk kita-kita yang bukan orang media,
Janganlah ghairah memuatnaik gambar/video yang sebegini.
Tidaklah kita menjadi hero hanya kerana ada gambar/video ngeri.
Jadilah insan yang masih punya sensitiviti.
Caranya? Bayangkan mangsa adalah keluarga kita.

------------------------------------------------------------------------

Semasa saya bersekolah rendah dalam darjah 2 atau 3, ada berlaku kes cubaan merogol seorang pelajar oleh seorang guru. Masih saya ingat berita yang terpapar di akhbar....'harapkan pagar, pagar makan padi' (yang sepatutnya 'pegar' bukan 'pagar'). Tanpa menyebut nama guru, nama pelajar atau nama sekolah saya, berita itu tetap mampu disampaikan. Tiada yang menanggung malu. Saya yang membacanya cuma bertanya maksud peribahasa tadi. 




Thursday, 16 May 2013

HARI NAKBAH (1948 - 2013)

Apa itu hari NAKBAH?
Ia adalah hari pengisytiharan negara haram Israel pada 15 Mei 1948. Disambut sebagai 'Hari Kemerdekaan' Israel setelah mereka memenangi peperangan yang didakwa sebagai 'The War of Independence'.

Hakikatnya mereka telah merampas negara Palestin dengan mengusir keluar penduduk. Rakyat Palestin terpaksa menyelamatkan diri dengan meninggalkan kampung halaman dan berlindung di Syria, Lubnan, Tebing Barat, Jordan & Semenanjung Gaza.

Kini setelah 65 tahun peristiwa berlalu, dianggarkan 6 juta pelarian (sebahagian besar merupakan generasi kedua, ketiga) tidak pernah menjejakkan kaki di tanah air mereka. 

(sumber fakta: fb Aqsa Syarif)


Jes Ebrahim - Keamanan

Doakan untuk rakyat Palestin di sana, moga beroleh kemenangan suatu hari nanti. 
Dan kita di sini teruskan perjuangan menegakkan Islam dalam diri, keluarga dan masyarakat. 


p/s: Sepatutnya saya buat posting ni semalam, tapi harini pun masih belum terlewat. Yang penting kita sedar dan ambil tahu apa yang berlaku di Palestin sana. Untuk rakan-rakan guru...Selamat Hari Guru!

Wednesday, 15 May 2013

Kertas Foto : Glossy atau Matte?

Semalam banyak habiskan masa untuk siapkan photobook.
Sebenarnya dah lama buat sikit-sikit, semalam kira final touch.
Photobook pertama saya ni dibeli dari PIXAJOY.
Ada promosi RM10 untuk photobook berharga RM55.
Saja nak mencuba...RM10 bolehlah kan.

Masa nak order kena pilih nak guna GLOSSY atau MATTE untuk kertas foto tu.
Sebab tak tahu apa-apa pasal kertas foto ni, saya pun buat carian...

KERTAS GLOSSY

  • nampak lebih berkilau.
  • pantul cahaya, kadangkala sukar dilihat di bawah cahaya terang.
  • kaya dengan warna, contrast dan lebih sharp.
  • mudah terganggu dengan cap jari dan kotoran.
  • standard hari ini untuk cetakan.
  • cantik pada pandangan mata.

KERTAS MATTE

  • lebih dull, tidak pantul cahaya.
  • sesuai untuk black & white atau monochrome, juga gambar klasik.
  • mudah dilihat dalam apa jua bentuk cahaya.
  • tidak mudah terganggu dengan cap jari atau kotoran.
(kredit: adhadi.com)

Lepas berfikir dan baca pendapat jurugambar lain, saya memilih kertas MATTE. Sebab nak yang lebih lasak dan tak terjejas dengan cap jari bila buku tu kerap diselak. Tapi kalau hasilnya tak memuaskan, saya akan tukar kepada kertas GLOSSY untuk projek photobook yang kedua. Juga dengan promosi RM10.


Update: sorry korang, promo RM10 dah tamat 30 April lalu. :(

Tuesday, 14 May 2013

Sombong

(dipetik dari Solusi isu 50)

Ada yang berbangga dengan keturunannya,
Ada yang berbangga dengan jawatan (kuasa) yang diberi,
Ada yang berbangga dengan kecantikan diri,
Ada yang berbangga dengan harta kemewahan yang dimiliki,
Ada yang berbangga dengan tingginya ilmu di dada,
Ada yang berbangga dengan amal ibadahnya,
Dan ada yang berbangga kerana punyai pengikut yang ramai.

Bangga yang akhirnya menjadi punca penyakit bernama SOMBONG!
Tidaklah salah kita memiliki perkara-perkara di atas,
Asal mampu mengawal diri dari menjadi manusia SOMBONG.


p/s: kadang-kadang kita terdetik rasa bangga, cepat-cepatlah beristighfar.
Apa yang ada pada kita semuanya pinjaman Allah yang tak bersifat kekal.


Sunday, 12 May 2013

Ikan Berenang di Ais?


Hehe...kreatif sungguh orang yang menyusun ikan-ikan ni kan.
Jadi nampak macam ikan tengah berenang...menarik!
Gambar ni saya ambil masa nak beli ikan kat Tesco semalam.
Tapi sebenarnya ikan kat sini tak banyak, bila susun gini jadi nampak banyaklah.

Jumpa jugak Ikan Ayam yang rupa pelik tu, tapi tak ambil gambar.
Pernah makan, tapi tak pernah masak dan tengok rupa asalnya.

Friday, 10 May 2013

Aku dan Kau : Kita Berbeza


Aku : Kau sokong parti apa PRU nanti?
Kau : BN lah...buat apa nak sokong DAP, komunis!
Aku : Komunis? Komunis pun berjuang nak bebaskan Tanah Melayu. Cuma wadah perjuangan je berbeza. Kau jangan baca buku teks sejarah tu je, tak cukup.
Kau : Tak kisahlah, aku tak mau Karpal jadi PM kalau PR menang. 
Aku : Ish...tak mungkinla si Karpal tu jadi PM. 
Kau : Baik aku sokong BN, melayu.
Aku : Yang MCA tu dalam BN tu apa? Bukan Cina jugak?
Kau : MCA lain, tak macam DAP...
Aku : Lain mendanya, MCA sah-sah parti orang Cina. DAP campur-campur bangsa.
Eh, dahlah. Daripada kita berdebat pasal parti politik, jadi gaduh. Baik kita borak pasal benda lain.
Kau : Ha'ah kan...buat gaduh je. Jom kita cakap pasal Rumpai Laut...excited jugak nak try ni.
Aku dan Kau : (riuh berborak pasal Rumpai Laut...tiada lagi suasana tegang)

***********************************

Aku dan Kau...
Kita memang berbeza.
Apa yang Aku suka, belum tentu Kau suka.
Apa yang Kau faham, tak sama dengan apa yang Aku faham.

Daripada kita bertegang urat kerana perbezaan,
Lebih baik kita cari persamaan.

Aku dan Kau
Berbeza...tapi bahagia!

Wednesday, 8 May 2013

Antik


Lokasi : SK Seri Medan, Batu Pahat, Johor.
Ni loceng kat sekolah rendah suami.
Memang dah ada sejak dia sekolah rendah di situ.
Sambil mengundi, sempat ambik gambar barang antik ni.

Monday, 6 May 2013

Warna-Warni PRU 13

Hari ini terasa lesu, tapi masih bersyukur. Kepala pun berat sebab berjaga malam tadi dek menunggu keputusan yang tak siap-siap. Sambil tu sempat jugak 'berborak' dengan rakan blogger Niza Romli & Yana Prettywrite kat Fb. Hilang sikit rasa bosan menunggu.

Okey, saya tak mau ulas apa-apa pasal keputusan PRU 13. Cuma nak letak gambar-gambar PRU 13 sebagai kenangan masa akan datang. Ia adalah sejarah...

Kemeriahan bahan kempen di sekitar kawasan tempat tinggal saya.
[Lokasi - Bangi, Selangor.]


Suasana di daerah kelahiran saya, juga tempat saya membuang undi.
Kali ni sangat berbeza, saya menyaksikan kebangkitan remaja/belia bangsa Cina. 
Penuh bersemangat menjalankan kempen kepada pengguna jalanraya. Meriah.
Saya juga melihat kerjasama yang baik di antara dua bangsa, Melayu dan Cina dalam berkempen.
[Lokasi - Pontian, Johor.]


 Sekitar jam 10 pagi. Ini saluran 4 (saluran orang muda). 
Saluran paling panjang orang beratur. Paling pendek dan cepat Saluran 1.
Saya sendiri menunggu kira-kira 40 minit, peluh mencurah-curah.
Dah 2 kali saya buang undi, baru pertama kali kena beratur panjang.
PRU kali ni memang berbeza!
Dan saya melihat ramai pengundi Cina, tak seperti PRU terdahulu.
Sepanjang beratur tu, saya berborak dengan perempuan Melayu di depan saya dan perempuan Cina di belakang saya. Nyata semua bersemangat sekali.


Dah semakin hampir...tapi ada satu insiden. Ada sorang pakcik menjerit-jerit marah.
Pakcik tu bawa anaknya yang kurang upaya untuk mengundi. Ada silap faham, suasana jadi kecoh jap.


---------------------------------------------------------------------
Saya tak puas hati dengan petugas PRU kali ni. Tak membantu orang ramai. Saya sempat menegur seorang petugas lelaki. Bila borak dengan pengundi-pengundi lain, rupa-rupanya ramai yang tak puas hati jugak. Bukan saya sorang je yang tegur petugas yang tak bertugas ni.

Calit dakwat...saya bukan kena calit tapi dah macam pakai inai, hampir seluruh hujung jari kena warnakan. Ahli keluarga lain kena calit atas jari tu je. Lepas basuh guna sabun dah hilang. Mungkin takde prosedur nak calit macamana, maklumlah pertama kali dikuatkuasakan. 

Sunday, 5 May 2013

Oh, Hari Ini...

Pagi - mengundi di Pontian, Johor.
Tak seperti PRU sebelumnya, kali ni lebih ramai...meriah.


Menjelang tengahari - bergerak ke Batu Pahat pulak.
Ke tempat mengundi suami. Tapi hujan lebat sangat hampir disepanjang jalan.
Siap berhenti di satu R&R sebab nak tunggu hujan reda...nak teruskan bahaya sebab hampir tak nampak jalan/kenderaan lain.


Petang - balik Selangor. Ada kemalangan ngeri kat Ayer Keroh.
Saya kira-kira lebih 10 kenderaan terlibat. Kebanyakkan remuk teruk.
Yang dalam gambar ni kira tak berapa teruk. Memang seram..
Akibatnya jalan jam, dekat sejam jugaklah kereta bergerak merangkak-rangkak.


p/s: cerita mengundi dalam entri esok. Ada yang saya tak puas hati...

Friday, 3 May 2013

PRU 13: Kenapa Saya Pilih DIA

Lusa 5 Mei 2013, ada lakaran sejarah bakal tercipta lagi. Ada yang tak ambil peduli, 'siapa pun yang memerintah, aku tetap begini'. Ada yang terlalu bersemangat, lagaknya bagai ini perjuangan hidup mati. 

Dan saya sendiri, memilih untuk ambil peduli. Keliru? Memang keliru untuk memilih, Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) masing-masing punya kelemahan dan kekuatan. Sebagai pengundi yang tidak menganggotai mana-mana parti, saya bebas memilih dan bertukar pilihan pada bila-bila masa saja. Saya mahu memilih berdasarkan situasi semasa, bukan bersandarkan sejarah lalu. Kerana semalam adalah kenangan, hari ini adalah kenyataan dan esok adalah harapan!

Untuk PRU 13 ini, saya memilih blok Pakatan Rakyat (PR). Kenapa saya pilih dia (PR)? Ini sebab-sebabnya;
  1. Saya suka perjuangan PAS. Perjuangan menegakkan agama, bukan perjuangan kaum. Saya melihat pemimpin utamanya MAMPU memimpin keluarga menurut syariat Islam. Maka saya yakin orang yang mampu memimpin keluarga berkebolehan memimpin masyarakat. Dan PAS berada dalam PR, maka saya sokong PR. Saya yakin PAS telah 'berfikir' semasaknya untuk berada dalam PR.
  2. Tokoh-tokoh yang saya hormati kerana ketinggian ilmu dan pemikiran mereka, ketika ini menyokong blok PR. Mereka tidak terlibat secara langsung dengan dunia politik, tapi hanya menyokong. Maka saya percaya apa yang mereka sokong itu adalah yang terbaik.
  3. Prinsip yang saya setuju dan sematkan dalam diri - "Jika tidak arif memilih mana yang benar, tolak sahaja mana yang nyata batil. Jika bertembung dua yang mudarat, pilih sahaja yang kurang mudarat." (Ustaz Pahrol Mohamad Juoi).
Ini adalah pendapat saya sendiri, hanya terpakai pada PRU 13 sahaja. Pendapat dan sokongan saya boleh saja berubah pada PRU seterusnya. Tidak wujud istilah SETIA dalam memilih pucuk pimpinan. Setia hanya pada Allah Maha Esa, setia pada pemimpin yang tidak berkualiti adalah suatu kesilapan.

*untuk membaca perutusan IKRAM, sila klik SINI.

'SELAMAT MENJALANKAN TANGGUNGJAWAB MENGUNDI!'


p/s: Mohon maaf jika sokongan dan pendapat kita berbeza. Takde masalah dengan perbezaan ini, cuma untuk PRU 13 je.

Thursday, 2 May 2013

Menjejak Laluan Bukit Putus Lama

[amaran: catatan panjang berjela..]

Cuti Hari Pekerja semalam, saya dan suami menuju ke Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Pergi ikut laluan baru Bukit Putus (lebuhraya) yang biasa dilalui orang ramai. Dan baliknya suami tanya "Nak try ikut jalan lama tak?". Saya cepat je setuju, memang dah lama teringin nak lalu tapi macam tak berani dan menyusahkan suami yang memandu pulak. Lebuhraya lurus ada, susah-susah nak lalu jalan bengkang bengkok dan turun naik tu.

Tujuan kami cuma nak merasai kembali jalan yang biasa kami lalu suatu ketika dahulu. Masa tu kami tinggal di Kuala Pilah. Kira menjejak kenanganlah ni. Untuk info: laluan baru telah dibuka pada 19 Oktober 2009. Dan sejak itu laluan lama ini bukan lagi pilihan bagi para pemandu.

Gambar-gambar berikut saya ambil dari dalam kereta je, tak berani berhenti dan memang takde ruang sesuai untuk berhenti pun. Jadinya ada bayang-bayang sikit kat gambar. Kereta kami bergerak perlahan dan tingkap di buka untuk menikmati 'aroma' dan nyanyian hutan. Itu yang paling saya suka dan rindu!


1- Melepasi signboard 'Bukit Putus' je, kami disambut dengan pokok tumbang ni.
Tiada kenderaan lain yang kelihatan. Masa ni kira-kira jam 3.30 ptg. Langit suram.


2- Kelihatan beberapa buah motor kat kawasan 'Hutan Simpan Kekal'.
Cari apalah agaknya...kalau ikutkan tak boleh masuk tanpa izin.


3- Antara selekoh tajam dan berbahaya di laluan ni. Dikatakan ada lebih 30 selekoh!
Sebelum tu ada nampak sekumpulan lelaki berjalan kaki, nampak macam orang Orang Asli.


4- Banyak dedaun kering yang hampir menutupi laluan. 
Nampaknya dah lama tak diselenggara jalan ni.


5- Dari sini dah boleh nampak lebuhraya, laluan Bukit Putus yang baru.


6- Selepas lebih 10 minit, kami sampai ke penghujung jalan. 
Masuk laluan baru. Masa ni baru jumpa kereta lain kat depan.

Selain sunyi tanpa pengguna jalan raya, laluan lama ni juga sunyi tanpa kehadiran kumpulan monyet. Dulu, setiap kali lalu jalan ni mesti ada kumpulan monyet kat tepi-tepi jalan dan yang sibuk bergayut kat pokok. Mungkin mereka dah 'lari' masa pembinaan laluan baru dijalankan. 

Bukit Putus juga sering dikaitkan dengan perkara mistik, tapi sepanjang saya guna jalan ni dulu belum pernah alami apa-apa. Cuma memang rasa takut kalau lalu lewat malam, sebab bentuk muka buminya yang berbahaya untuk pemanduan dan tanpa lampu jalan. Apapun, jalan Bukit Putus lama ini telah berkhidmat selama lebih 40 tahun!


Wednesday, 1 May 2013

Rilek Brader

Korang mungkin ada yang dah pernah dengar lagu ni.
Tapi saya baru je dengar/tau.
Lagu yang buat kita rasa tak jadi nak marah...rilek!




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...