Friday, 31 August 2012

Biar Rumah Buruk...



"Biar rumah buruk...Hari Merdeka tetap kena hormat, bendera mesti kena pasang."

Lebih kurang gitulah kata-kata penuh semangat seorang warga emas iaitu pemilik rumah ni, yang juga saudara dekat saya. Menurut ceritanya, bila masuk je bulan Ogos dia cepat-cepat kirim orang beli bendera ni. Terasa jugak saya, sebab tak pernah nak sibuk-sibuk pasang bendera.

Inilah cara dia menghormati dan meraikan kemerdekaan. Tak semestinya kena berkumpul di padang untuk raptai dan persembahan kemerdekaan. Bagi saya pulak, sempena Hari Kemerdekaan ni saya mendoakan kesejahteraan negara dan bermohon pada Allah agar Malaysia suatu masa nanti benar-benar merdeka di bawah sebuah kerajaan Islam. Sekarang ni kita cuma meraikan merdeka dalam konteks luaran semata.


Video Kemerdekaan oleh UAI, kredit untuk TH Filem.
p/s: Ni entri auto publish. Hari ni saya dan suami nak Perak. Salam Kemerdekaan!

Thursday, 30 August 2012

Ambil Isi, Buang Kulit

Esok rakyat Malaysia akan menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-55 tahun. Hari bersejarah yang perlu diraikan oleh kita semua atas dasar cintakan negara. Buat pertama kali juga, sambutan Hari Kemerdekaan mencatat sejarah luka apabila segala 'kosmetik' Hari Kemerdekaan (logo, lagu dan tema) menjadi kontroversi hangat. Kontroversi begini sedikit sebanyak telah melunturkan semangat untuk menyambut kemerdekaan dikalangan kita. Tambahan lagi ramai di antara kita masih dalam mood berhari raya. 

Saya cuma mahu menyentuh satu daripada 'kosmetik' sambutan kali ini, iaitu tema 'JANJI DITEPATI'. Berbanding tema tahun-tahun sebelum ini yang berjaya menerbitkan rasa patriotik kita, tema 'JANJI DITEPATI' agak kabur maksudnya. Sekali dengar, ia menggambarkan 'apa yang telah negara beri pada rakyat'. Sedangkan tema kemerdekaan sewajarnya menggambarkan 'apa yang rakyat perlu lakukan/beri untuk negara'. Paling buruk sekali bila tema ini berbaur parti politik. Memang tak menyalahi mana-mana akta, sebab ia hak kerajaan memerintah. Tapi harus disedari Malaysia bukan milik mutlak mana-mana parti dan Hari Kemerdekaan adalah penyatuan seluruh rakyat. Maka temanya juga jangan sampai memecah-belahkan rakyat.

Bagi yang bersetuju dengan segala 'kosmetik' tersebut, itu hak anda. Bagi yang sependapat dengan saya, juga ada hak untuk rasa tidak setuju. Tapi sebagai rakyat yang waras, saya memilih untuk tetap menghormati kemerdekaan dan meraikannya tanpa ambil peduli dengan logo, lagu dan tema tahun ini. Logo, lagu dan tema hanyalah kulit luaran juga bersifat kosmetik semata dan ia berubah setiap tahun. Saya ambil isi dan buang kulit!

(Untuk rujukan arkib tema, sila klik DI SINI)


p/s: Sekadar pendapat saya. Berbeza pendapat bukan bermaksud kita putus kawan ok!

Tuesday, 28 August 2012

Bukan Gambar Raya

Bila jalan beraya ke rumah saudara mara,
saya lebih tertarik memerhatikan perkara lain selain juadah yang dihidang.
Kebetulan majoriti saudara mara saya dan suami tinggal di kampung.
Saya memang suka memerhati suasana rumah kampung.
Binaan rumah, hiasan dan persekitarannya.

Kemudian, saya abadikan dalam bentuk gambar.
Mungkin tak menarik bagi orang lain, tapi ada 'sesuatu' pada pandangan saya.

Lampu minyak tanah @ lampu pam
Seorang saudara saya menjadikan lampu lama ni sebagai hiasan di rumahnya. Ada beberapa buah dengan bentuk yang berbeza. Saya tertarik sebab ni betul-betul lampu lama, bukan seperti yang kita temui di sesetengah premis makanan (lampu baru untuk hiasan). Mujur saya cuma suka melihat, bukan seorang pengumpul barangan lama. Kalau tak, lampu ni memang antara koleksi yang mesti ada.


Rumah papan yang masih teguh.
Rumah papan yang kelihatan usang dek masa tapi teguh (lantai dan dinding kelihatan elok tidak dimamah anai-anai) ini dihuni oleh seorang yang berusia emas. Melangkah ke rumahnya saja membuat saya terasa aroma zaman dulu-dulu. Sebabnya, tuan rumah membuka radio Klasik Nasional. Gabungan seni bina rumah lama dan irama lagu-lagu lama ni betul-betul mewujudkan suasana zaman dulu. Terasa macam berada dalam babak cerita lama kat tv la pulak!


Kebun sawit yang sangat bersih & kemas teratur.
Disekeliling rumah lama kat atas tadi, ditanam dengan kelapa sawit. Memang takde apa yang istimewa, kelapa sawit pemandangan biasa. Tapi kebun sawit yang ni saya suka merayau sebab sangat kemas dan bersih. Rasa gembira dan tenang memandangnya. Pastinya bukan kerja mudah nak dapatkan begini. 


p/s: Cuaca mendung dan kerap hujan...sesuai puasa enam ni. Jom!

Monday, 27 August 2012

Berperang!

Assalamualaikum dan salam ceria untuk korang semua.
Harini aktiviti blog kembali semula, selepas 10 hari bercuti.
Bunyi macam lama cuti...tapi terasa sekejap sebenarnya.

Masih dalam mood raya...
Seronok bertemu keluarga dan saudara mara.
Gembira menikmati pelbagai jenis makanan dan kuih raya.

Hampir terlupa yang diri sedang memasuki fasa 'berperang'.
'Perang' bulan Syawal yang saya rasakan cukup hebat.
Hidangan lazat dengan menu pelbagai terhidang di depan mata,
Jika tak makan...keinginan tersekat,
Jika diturutkan...perut dan badan terima bahana.

Jika makan dalam kuantiti yang banyak,
Atau makan pelbagai jenis makanan,
Akibatnya perut mula meragam.
Badan pula naik bagai dipam.

Jom kita kuatkan diri,
Makanlah sekadar untuk merasa.
Jadilah pemenang dalam perang nafsu makan!


p/s: Kali pertama saya pergi beraya penuh disiplin makan...sesekali je minum air manis, siap bawa bekal air kosong dalam kereta untuk diminum. Makan pun berhati-hati. Tuan rumah pun faham, bila tengok muka saya yang makin bulat!

Thursday, 16 August 2012

Njalok Ngapuro

Buat kawan-kawan semua...



*********************************************************

NJALOK NGAPURO = MINTA MAAF

Ni bahasa Jawa. Biasa disebut dan didengari pada hari raya sebab masa raya ni lah biasa orang mintak maaf. Dan yang mendahului minta maaf ni mestilah orang yang lebih muda pangkatnya. Dialog biasanya macam ni;

Eita: Njalok ngapuro seng akeh-akeh yo. (maksudnya: Minta maaf banyak-banyak ya)
Tihara: Podo-podo waie.. (maksudnya: Sama-sama je..)

Tapi ni versi ringkas. Biasa saya dengar orang-orang lama punya versi mintak maaf ni memang agak panjang dan sampai saya pun tak faham apa yang dituturkan. Memang tak boleh nak faham sebab mereka akan cakap secara perlahan berdua sambil tangan masih bersalaman. Bersungguh dan khusyuk, takde gelak ketawa. Itulah adat Jawa yang asal, tapi sekarang dah kian luput sebab generasi muda pun tak tau berbahasa Jawa. Apatah lagi adatnya..termasuklah saya yang tau sikit-sikit je ni. Kepada anak Jawa yang tak reti/ tak mahir bahasa Jawa, balik raya nanti jangan lupa guna dialog kat atas. Pasti tersenyum gembira orang-orang lama kita mendengarnya!


p/s: Saya balik Johor Insya allah hari Sabtu (selepas Subuh). Beraya di sana selama 7 hari. Nampaknya aktiviti blog ni akan terhenti seketika. Insya allah sampai bertemu kembali...senyum selalu!

Nak Bercuti Lama : Macamana Tanaman Kita?

Setiap kali cuti raya aidilfitri, memang biasa ada tanaman saya mati atau sekurang-kurangnya 'nazak'. Sebab setiap kali tu pokok-pokok terbiar selama 7 hari tanpa siraman air. Untuk balik cuti kali ni, saya dah jumpa cara yang mudah dan praktikal. Tak perlu keluar duit langsung, cuma guna apa yang ada untuk memastikan pokok kita dapat air.

Kaedah ni saya dapat dari buku yang saya beli - Tanaman Landskap, ditulis oleh Abu Bakar Mat Daud ( seorang hortikulturis & kolumnis). Dalam buku ni ada beberapa kaedah, tapi saya tulis kat sini satu sahaja. Iaitu 'Kaedah Serapan Air Melalui Sumbu'.

Barang diperlukan:
  1. Tali sumbu (boleh gunakan tali ikat kasut / sumbu pelita / kain perca). Saya akan guna kain tuala yang dah jadi kain buruk sebagai tali sumbu.
  2. Bekas takungan air (besen, bekas makanan pakai buang). Saiz bekas bergantung kepada berapa banyak pokok kita dan berapa lama nak tinggalkan.
Cara:
  • Letakkan hujung tali sumbu ke dalam bekas berisi takungan air, dan hujung satu lagi letak ke dalam medium tanaman kita.
  • Basahkan medium tanaman dan tali sumbu bagi memulakan proses penyerapan. Air akan meresap melalui tali tadi ke tanaman kita.
*Untuk kaedah lain, boleh KLIK DI SINI. Selamat Mencuba!


p/s: Mulai semalam saya dah sibuk kemas rumah sebelum nak tinggalkan agak lama. Harini nak pack baju pulak. Yang masih belum ada penyelesaian..anak-anak ikan gapi. Korang pun mesti tengah busy kan?

Tuesday, 14 August 2012

Pemenang KUIZ RAMADHAN 2012 (2)

Berbeza dengan Kuiz Ramadhan (1) yang agak lama untuk menemui pemenangnya, kuiz kedua ni cepat je jumpa pemenangnya. Sebelum tu kita tengok jawapannya dulu ya.

Soalan 1Apakah hukum melaksanakan solat Tarawih?
Jawapan: Sunat muakkad.
Bermaksud sunat yang dituntut untuk kita melaksanakannya.

Soalan 2: Jika gigi/gusi seseorang berdarah, sedangkan dia sedang berpuasa. Adakah puasanya sah atau batal?
Jawapan: Sah atau tidak batal.
Tapi kena berhati-hati supaya tak tertelan darah tu. Jika tak tahu ada darah dan TERTELAN bersama air liur, juga tak terbatal puasanya kerana tak sengaja. (untuk rujukan: DI SINI)

Soalan 3: Jika seseorang tinggal menetap di Selangor, bolehkah dia membayar zakat fitrah di kampungnya di Johor?
Jawapan: Boleh.
Zakat fitrah boleh dibayar di mana-mana, tapi lebih afdal di tempat tinggal kita. (untuk rujukan: DI SINI)

Pemenang yang dah berjaya jawab dengan tepat dan pantas:


TAHNIAH!!!
Sila beri nombor telefon (jika pilih top-up) atau nama penuh & no. akaun CIMB/BSN (jika pilih tunai) ke halifa02@gmail.com.


Setakat masa saya tulis entri ni, kawan-kawan lain yang jawab tepat...TIHARA dan SHAHZEE cuma terlewat sikit je.  Apa pun, terima kasih pada yang join.

KUIZ RAMADHAN 2012 (2)

Kuiz kali kedua ni adalah yang terakhir untuk Ramadhan kali ini.
Tujuannya sekadar nak memeriahkan suasana Ramadhan sambil menambah ilmu.
Syarat, hadiah & soalan adalah seperti berikut:

SYARAT:
- sesiapa pun boleh jawab.
- jawab diruangan komen ini sekali sahaja. cubaan kedua tak dikira.
- orang pertama yang beri jawapan TEPAT dikira pemenang.

HADIAH:
1 orang x top-up kredit bernilai RM10 atau tunai RM10 (CIMB/BSN sahaja)

SOALAN:
1) Apakah hukum melaksanakan solat Tarawih?
2) Jika gigi/gusi seseorang berdarah, sedangkan dia sedang berpuasa. Adakah puasanya sah atau batal?
3) Jika seseorang tinggal menetap di Selangor, bolehkah dia membayar zakat fitrah di kampungnya di Johor?

TUTUP PENYERTAAN:
Bila-bila masa sahaja, sehingga saya dapat pemenangnya.

SELAMAT MENJAWAB!

Monday, 13 August 2012

Dapat dan Jumpa


DAPAT kad raya istimewa daripada EITA.
Terkejut masa terima kad ni...terus senyum memanjang.
Siap disertakan hadiah brooch glamer lagi!
Bahagian yang gambar masjid tu pulak boleh jadi penanda buku.
Memang sesuai sangat sebab saya guna penanda buku ni bila baca buku, tak suka lipat hujung.

TERIMA KASIH Eita!!!
Yang pertama dan rasanya yang terakhir untuk Ramadhan/Syawal kali ni.

***********************************

JUMPA RAI hari Sabtu lalu, atas satu urusniaga.
Bukan jumpa sebenarnya, tapi Rai datang rumah untuk hantar order saya.
Sempatlah borak sikit...
Segan jugak sebenarnya sebab belum pernah jumpa sebelum ni.

Apapun, saya memang suka barang yang saya order tu.
Keduanya sedap...comel pulak tu.
Dan dah makin menyusut walau baru je dapat!
TERIMA KASIH Rai, sudi hantar sampai depan rumah.
^__^


p/s: Insyaallah esok nak buat Kuiz Ramadhan yang kedua (terakhir) untuk 2012 ni. Saja memeriahkan suasana Ramadhan sambil tambah ilmu.

Friday, 10 August 2012

Seluar Jeans vs. Jubah

(sumber: Fb )

Nama fesyen bukanlah penentu HALAL atau HARAM untuk kita pakai. Kalau memang seluar JEANS tu longgar dan besar, tidaklah menjadi salah di sisi agama untuk kita gayakan. Kalau memang JUBAH yang dianggap 'muslimah' tu ketat dan/atau nipis, tetaplah ia menjadi salah untuk kita gayakan.

Hati-hati dengan apa yang ingin kita gayakan! Tiada larangan dalam berfesyen, asal saja menepati syariat menutup aurat. Samada suka atau tidak, ia adalah kewajiban bagi yang mengaku dirinya Islam.


p/s: Dah lama cari seluar jeans yang jenis longgar, baru-baru ni dah jumpa. Terus beli dua helai...suka!

Thursday, 9 August 2012

10 Akhir Ramadhan : Uzur?

(sumber: google)

10 hari akhir Ramadhan...
Fasa yang kritikal bagi si pencari malam istimewa..Lailatul Qadar.

Bagi wanita yang uzur syar'ie (datang haid) pada ketika ini,
Pasti terselit rasa kecewa...ibadatku sudah terhenti!
Tanpa terawih, tadarus Al-Quran dan solat sunat lainnya,
Bagaimana mungkin mampu bertemu malam Lailatul Qadar?

Allah itu Maha Adil dan Maha Mengetahui.
Uzur bukanlah titik noktah bagi wanita untuk terus beribadat.
Masih ada ruang bagi wanita meraih hebatnya Ramadhan.
Masih boleh mendengar alunan bacaan ayat suci Al-Quran,
Masih boleh membaca dan mendalami tafsiran Al-Quran,
Masih boleh berselawat dan tenggelam dalam zikir,
Masih boleh memanjatkan segunung doa.

Lakukanlah semua itu...
Pada waktu siang dan pada waktu malam nan sepi,
Jangan biarkan Ramadhan ini berlalu pergi,
Jangan hentikan misi mencari Lailatul Qadar,
Hanya kerana UZUR!


p/s: Entri ni terhasil lepas tengok MHI awal pagi tadi, ada ustaz sebut mengenai hal ni. Satu pencerahan dan motivasi buat wanita yang datang haid. Juga untuk para lelaki, yang menjadi pembimbing keluarga.

Wednesday, 8 August 2012

Duit Baru


Semalam suami bawa balik duit kertas baru.
Memang saja tukar kat bank untuk di isi dalam sampul duit raya.
Tapi cuma dapat note RM1 je sebab yang lain dah habis stok.
Note RM5 dan RM10 kat atas tu dapatlah sekeping atas ehsan kawan.
Note RM20 warna kuning yang ceria tu langsung tak dapat.
Nak tukar duit baru ni pun ada prosedur...
Kena isi borang untuk tentukan denominasi duit yang nak ditukar.
Dan boleh tukar pada masa yang dah ditetapkan je.

Kebetulan saya memang ada game Saidina kat rumah,
Saja la keluarkan nak buat perbandingan.
Apa yang sama?
Cuma warna je lah yang sama.
Kecuali untuk note warna merah tu keduanya sama nilai...RM10.

Apa yang saya perasan...
Duit kertas baru note RM1 sama jenis material kertas dengan note RM5.
Yang RM10 berbeza dan ada benang keselamatan.
Kalau nak tau ciri-ciri duit kertas baru ni, sila klik SINI.


p/s: Ada duit baru ni semangat pulak nak isi sampul duit raya untuk anak sedara seramai 29 orang tu. Walau isinya tak banyak, cukuplah sekadar buat budak-budak happy pada hari raya. Teringat dolu-dolu...kalau dapat duit raya memang happy. Sikit pun suka, banyak lagilah suka!   

Tuesday, 7 August 2012

KR1M

Komputer riba 1Malaysia

Komputer Riba 1Malaysia (KR1M) ni merupakan satu projek penting di bawah Inisiatif Jalur Lebar Negara (NBI- National Broadband Initiative) yang telah dilancarkan pada 24 Mac 2010 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Ia bertujuan untuk mencapai sasaran penembusan jalur lebar pada kadar 50% menjelang akhir 2010. Kumpulan sasaran- 65% untuk pelajar yang kurang berkemampuan dan 35% untuk golongan berpendapatan rendah. Pendapatan isi rumah mestilah RM3,000 ke bawah. Setiap isi rumah hanya layak untuk 1 unit KR1M sahaja.


Cara memohon:
Permohonan boleh dibuat di pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) atau di pejabat kawasan DUN /Parlimen masing-masing.

*sebarang pertanyaan boleh terus tanya kat SKMM. Saya tau setakat ni je.


p/s: Balik kampung raya nanti bolehlah bagitau keluarga/sedara mara yang mana berkelayakan supaya memohon KR1M ni. Peluang dah ada, cuma kena usaha sikit.

Monday, 6 August 2012

Kalau Imam Tersilap...Ini Caranya

Situasi
Dalam satu solat tarawih, sepatutnya imam duduk untuk tahiyat akhir. Tapi imam telah bangun kerana menyangka ada satu rakaat lagi. Hampir kesemua makmum ikut perbuatan imam tersebut (walaupun pada awalnya semua dah duduk untuk tahiyat akhir). Hanya segelintir yang tetap duduk tahiyat akhir kerana yakin sudah cukup dua rakaat. 

Selepas berdiri dan mula membaca 'Bismillah..', barulah imam tersedar. Imam menyebut 'Subhanallah' sebagai isyarat berlaku kesilapan dan kembali untuk duduk tahiyat akhir. Seterusnya melakukan sujud sahwi sebelum memberi salam.

Caranya
Bagi makmum yang yakin sudah cukup rakaat tersebut, ada dua cara perlu dilakukan:
  1. Makmum sepatutnya berniat mufaraqah (berpisah) daripada mengikut imam, dan terus menyempurnakan solatnya.
  2. Atau makmum tetap duduk tahiyat akhir dan menunggu sehingga imam duduk tahiyat akhir dan menyempurnakan solat tersebut bersama imam.
----------------------------------------------------------------------------------


Perkara ni terjadi semasa saya ikut berjemaah tarawih di surau taman perumahan. Mula-mula keliru jugak, nak ikut imam atau tak (sebab jarang berlaku perkara gini). Tapi tiba-tiba teringat ceramah UAI...katanya kalau dah tau imam tu tersilap, janganlah kita ikut. Saya buat cara no. 1. Lepas tu bila buat carian di internet, barulah tau ada cara no. 2 tu.  Saya letak di blog sebagai panduan kita bersama. 


p/s: Menyelit sikit...solat tarawih tu memang lebih elok buat kat surau/masjid. Tapi kalau kita ada halangan, boleh je buat kat rumah secara bersendirian atau jemaah (lagi elok). Takde masalah.

Sunday, 5 August 2012

Shopping?

Dah separuh Ramadhan ni nampaknya ramai yang giat shopping.
Semalam di Parkson, Alamanda Putrajaya memang sesak sangat.
Singgah situ sebab nak guna baucer RM20 yang ada.
Tapi hasrat ditunda bila tengok punyalah ramai orang dalam tu.

Tujuan ke Alamanda sebab nak ke kedai buku MPH,
Ada sales discount 20% untuk semua buku dan 30% untuk buku terpilih.
Nasib baik orang tak ramai sangat, selesa nak pilih buku.
Ambil peluang diskaun, saya dan suami beli buku Doktor Umum.
Karya Tun Mahathir yang berharga RM59.90 sebelum diskaun.
Kalau korang nak pegi, promosi sampai esok (6 Ogos).

Sebelah malam keluar ke Jusco Cheras Selatan.
Nak ke bahagian electrical, survey harga mesin basuh.
Sebab mesin basuh yang ada dah tak mau bekerja lagi.
Lepas maghrib cepat-cepat keluar konon boleh cepat balik.
Sekali sampai sana memang dah sesak amat.
Cari parking je dah habis 45 minit!
Selebihnya tak payah cerita lagi...
Tak kira bangsa semua sibuk shopping
Macam satu Malaysia ni nak beraya.

Huh...moralnya, sila elakkan shopping bulan Ramadhan.
Walau saya bukan shopping keperluan raya,
Tapi tetap terkena tempias sesaknya orang shopping raya.
Hmm...tapi time ginilah banyak sales kan,
Memang godaan dan dugaan...


p/s: Dah nak abis Ramadhan patut kena giatkan aktiviti ibadat, tapi nampaknnya giat lagi aktiviti shopping! Sesuatu yang perlu saya dan kita semua ubah.

Friday, 3 August 2012

Tarawih...Secebis Kenangan Lalu

(sumber: google)

Bila tiba bulan Ramadhan, kenangan di zaman sekolah (asrama) pasti menjengah diingatan. Antaranya kenangan semasa solat tarawih. Solat tarawih berjemaah untuk semua pelajar putera (lelaki) dan pelajar puteri (perempuan) diadakan di dalam Dewan Besar sekolah. Sebab surau yang ada tak mampu menampung kesemua pelajar untuk solat bersama. 

Rutin harian, balik sekolah tengahari kemudian wajib menghadiri kelas persediaan (biasa sebut 'PREP.' iaitu 'preparation class') pada pukul 3pm hinggalah waktu Asar menjengah. Lepas solat Asar baru boleh buat aktiviti sendiri...nak tido ke, basuh baju atau lepak kat beranda asrama dengan kawan-kawan. Tu pun tak lama, pukul 6pm dah ke Dewan Makan beratur ambil makanan untuk berbuka. Rutin yang agak ketat ni membuatkan ramai yang letih, termasuk saya jugak.

Kesannya bila tiba waktu solat Tarawih, ada bermacam ragam. Solat pulak 20 rakaat, ada pulak imam yang baca surah agak panjang. Mulalah ada yang terhangguk-hangguk ke depan masa berdiri tu. Ngantuk! Kadang sampai siap melangkah ke depan masa tengah layan ngantuk tadi. Kawan kat sebelah pulak jadi tak khusyuk sebab nak tergelak tengok gelagat orang mengantuk. Tapi yang paling lawak bila ada yang sujud tak bangun-bangun! Ada yang cepat 'terjaga' sempatlah berdiri balik untuk rakaat kedua. Ada jugak yang tak sedar (masa sujud terakhir) terus sujud sampai imam bagi salam. Kenalah kawan sebelah tolong kejutkan.

Hmm...macam-macam lagi sebenarnya. Ada yang ngelat duduk saf belakang sekali, solat sikit terus cabut tidur kat belakang. Ni senior je boleh buat. Semuanya sebab NGANTUK & LETIH.

# Solat Tarawih adalah amalan sunat muakkad (sunat yang dituntut) untuk dilakukan dalam bulan Ramadhan. Memang tak wajib, tapi meninggalkannya berlalu pergi adalah satu kerugian kerana hadirnya cuma sekali dalam setahun. Mulakan sekarang, mungkin Ramadhan akan datang kita sudah tidak bernafas lagi.#

p/s: Saya pun sebahagian dari cerita di atas...tapi bukan yang sujud tak bangun-bangun tu la. ^__^

Thursday, 2 August 2012

QIAM WITH ME 1433H



Tarikh: 20 Ramadhan 1433H bersamaan 9 Ogos 2012 (Khamis malam Jumaat)
Masa: 9.30pm (untuk terawih dan pengurniaan zakat)
3.00am (untuk qiamullail)
Tempat: Dewan Jubli Perak, Istana Negeri, Kubang Kerian,
Kota Bharu, Kelantan.

Untuk melihat aturcara majlis, KLIK DI SINI.

Wednesday, 1 August 2012

Sunan Musafir

Istimewa kali ni, novel disertakan poskad.
Penanda buku tu memang biasa bagi.
Tajuk: Sunan Musafir
Penulis: Ramlee Awang Murshid
Penerbit: Alaf 21
Harga: RM22 (semenanjung)
Muka surat: 453

Novel terakhir dalam siri Laksamana Sunan ini memang sangat dinanti-nantikan oleh peminat novelis thriller Ramlee Awang Murshid (RAM). Watak fiksyen Saifudin Jalis atau Laksamana Sunan (watak utama siri novel ini) telah berjaya dicipta dengan sangat baik oleh RAM. Lima novel terdahulu bagi siri pengembaraan Laksamana Sunan ini adalah:
  • Bagaikan Puteri
  • Cinta Sang Ratu
  • Hijab Sang Pencinta
  • Cinta Sufi
  • Sutera Bidadari
Kesemuanya sudah saya baca. Kadang-kadang agak keliru juga sebab siri ini agak panjang, tapi langsung tak menjejaskan mood membaca. Untuk novel terakhir ni konsepnya lebih kepada kisah dalam cerita. 


Sinopsis
Tahun 1511 merupakan detik keindahan, cabaran serta air mata. Pengembaraan Saifudin beserta sahabat-sahabatnya ternyata bukan satu perjalanan yang mudah.

Pada tahun 1531- Saifudin yang sudah berusia memutuskan untuk bermukim di pinggir Hulu Melaka. Dia mengisi hari tuanya dengan menghambakan diri kepada Allah dan meninggalkan dunia pertarungan. Bagaimanapun, kejahatan seolah-olah mengejarnya sampai ke hujung nyawa. Berjayakah Saifudin menewaskan mereka?

Petikan Novel
Serangan anak panah pun berakhir. Kini, Indera muncul dengan kepak terkuak-kuak menginjak tanah di hadapan persembunyian dua orang halus- Origa dan Prayuga. Kemunculannya menjadi kehairanan mereka berdua. Rupa-rupanya selama ini, Origa dan Prayuga tidak menyangka bahawa Indera sebenarnya bukan manusia.


p/s: Baca novel ni laju je abis. Baca buku ilmiah tak siap-siap sampai berminggu, kadang berbulan.

Huraian Jawapan Kuiz Ramadhan 2012 (1)

Entri ni adalah huraian kepada jawapan bagi soalan KUIZ RAMADHAN 2012 (1). Kena tau asas hukum barulah mudah kita faham dan terima sesuatu itu.

SOALAN 1: 
Apakah hukum tayang makanan atau gambar makanan di hadapan orang yang berpuasa?

HURAIAN JAWAPAN: 
MAKRUH bermaksud jika dibuat tidak berdosa, tapi jika ditinggalkan mendapat pahala. Maka lebih elok ditinggalkan. 

Kenapa jadi makruh? Sebab mungkin boleh menyebabkan orang yang sedang berpuasa jadi berkeinginan untuk makan. Bukan semua orang sama, ada yang tidak tergugat puasanya bila melihat makanan atau gambar makanan. Tapi ada juga yang rasa 'terliur' bila melihat makanan atau gambar makanan. (peringatan: hukum ni terpakai kalau kita saja-saja tayang makanan atau gambar makanan depan orang puasa. Kalau kita penjual makanan atau nak tunjuk cara memasak tu lain ya...tapi tetap kena beradab. Janganlah waktu pagi dah tunjuk.) 

Semasa sedang search mengenai hal ni, terjumpa pulak entri nasihat yang tepat dan berguna oleh blogger hebat Diana Rashid. Korang patut baca INI


SOALAN 2: 
Jika ada ahli keluarga yang telah meninggal tetapi masih ada puasanya yang belum diganti, apa yang perlu kita buat?

HURAIAN JAWAPAN:
Antara orang yang dikenakan MEMBAYAR FIDYAH PUASA termasuklah orang yang ada qada (ganti) puasa tetapi meninggal dunia sebelum sempat berbuat demikian. Fidyah perlu dibuat oleh keluarga si mati atau diambil daripada harta pusaka di mati. 
(Rujukan: Indahnya Hidup Bersyariat oleh Dato' Ismail Kamus)

Nota: menurut mazhab Syafie kita, puasa orang yang telah meninggal dunia TIDAK boleh diganti oleh orang lain. Cukup diganti dengan bayar fidyah.


SOALAN 3:
Jika seseorang itu berpuasa tetapi tidak menunaikan solat, adakah sah puasa orang tersebut? 

HURAIAN JAWAPAN:
Pada zahirnya puasa orang tersebut SAH kerana memenuhi syarat sah puasa iaitu Islam, berakal & mumayyiz, suci daripada haid & nifas dan apabila nyata masuknya bulan Ramadhan. Tetapi samada Allah terima puasanya atau tidak...wallahu a'lam. 

Dan jika menurut Ustaz Azhar Idrus, puasa orang yang tidak solat TIDAK DITERIMA Allah kerana solat itu tiang (asas) agama. Tidak bersolat bermaksud telah runtuh agama seseorang itu. KLIK DI SINI untuk video oleh UAI.


p/s: Jika terdapat kekurangan/kesilapan dalam huraian di atas, sila beri teguran/penambahan. Saya juga masih belajar dan telah berusaha mendapatkan jawapan dari sumber yang boleh dipercayai.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...