Tuesday, 31 July 2012

Sedih, Letih dan Gembira

Sebenarnya sepanjang tiga hari lalu, Sabtu, Ahad dan Isnin saya bersama suami balik ke kampung kami di Johor. Satu malam di Pontian dan satu malam lagi di Batu Pahat. Jadi tak dapatlah berblog seperti biasa. Dalam tiga hari tersebut, ada tiga rasa yang berbeza. 

Sedih
Sewaktu nak bersahur awal pagi Sabtu lalu, saya menerima SMS dari seorang kakak saya yang menetap di Melaka. Dia menyampaikan khabar duka bahawa adik iparnya yang juga kawan se-universiti saya mengalami kemalangan jalan raya malam tadi (Jumaat malam Sabtu). A bersama suami dan bayi lelakinya dalam perjalanan pulang ke rumah ibubapa A di Merlimau, terlibat dalam kemalangan di highway PLUS arah Selatan berhampiran Simpang Ampat. A dan suami selamat walau cedera, tapi bayi lelakinya meninggal sewaktu dalam perjalanan menaiki ambulans. Bayi berusia sekitar 6 bulan itulah yang membuat saya rasa sedih sangat-sangat. Sebabnya, mereka dikurniakan bayi itu hanya setelah beberapa tahun berkahwin. Dan kini bayi itu 'pergi'. Semoga A dan suami tabah melalui ujian hidup ini. Pasti Allah lebih tahu apa yang terbaik untuk kita hamba-Nya.

Letih
Hari Isnin saya dan suami berurusan di Pejabat Tanah Batu Pahat. Bertujuan untuk memohon tanah yang belum bertuan (sebenarnya milik arwah datuk suami saya, tapi langsung tiada geran). Terasa sangat letih berurusan waktu puasa ni, ke hulu ke hilir memenuhi prosedur yang perlu. Insya allah jika semua selesai (tapi memang lama lagi) saya akan buat satu entri prosedur memohon tanah tak bertuan ni. Korang pun bolehlah risik mana-mana tanah yang belum berpunya, lepas tu buat permohonan. Ada rezeki dapatlah tanah!

Gembira
Gembira dapat berbuka puasa bersama ibubapa. Juga gembira melihat mereka gembira dengan kepulangan kami. Dapat pula sama-sama bertarawih di masjid berdekatan. Maklum saja, mak saya hanya tinggal berdua dengan seorang anak saudara perempuan. Begitu juga di sebelah suami, hanya mak dan bapa mertua bersama nyai (nenek) tinggal di rumah tersebut. Semoga kami berkesempatan (masa, kesihatan & kewangan) untuk selalu pulang ke kampung pada Ramadhan akan datang...Insya allah.
  

Sunday, 29 July 2012

JAWAPAN & PEMENANG KUIZ RAMADHAN 2012 (1)

Terima kasih kepada yang sudi mencuba. Maaf terlewat sikit mengumumkan pemenangnya. 
Jawapan yang tepat untuk soalan berikut adalah:

1) Apakah hukum tayang makanan atau gambar makanan di hadapan orang yang berpuasa?
Jawapan: MAKRUH
2) Jika ada ahli keluarga yang telah meninggal tetapi masih ada puasanya yang belum diganti, apa yang perlu kita buat?
Jawapan: BAYAR FIDYAH SAHAJA
3) Jika seseorang itu berpuasa tetapi tidak menunaikan solat, adakah sah puasa orang tersebut? 
Jawapan: SAH pada zahirnya.

PEMENANGNYA...

Kepada Ira, sila beri no. h/p (jika pilih top-up kredit) atau beri nombor akaun CIMB/BSN (jika pilih tunai) ke email akak... halifa02@gmail.com.

PERHATIAN: Huraian lanjut bagi jawapan di atas akan dibuat dalam entri akan datang. Insya allah.

Friday, 27 July 2012

KUIZ RAMADHAN 2012 (1)

Kuiz ni bertujuan untuk meningkatkan kefahaman agama kita, sebab bila kita cari jawapan maka kita dapat tambah ilmu. Syarat, hadiah dan soalan seperti berikut:

SYARAT:
- sesiapa pun boleh jawab.
- jawab diruangan komen ini sekali sahaja. cubaan kedua tak dikira.
- orang pertama yang beri jawapan tepat dikira pemenang.

HADIAH:
1 orang x top-up kredit bernilai RM10 atau tunai RM10 (CIMB/BSN sahaja)

SOALAN:
1) Apakah hukum tayang makanan atau gambar makanan di hadapan orang yang berpuasa?
2) Jika ada ahli keluarga yang telah meninggal tetapi masih ada puasanya yang belum diganti, apa yang perlu kita buat?
3) Jika seseorang itu berpuasa tetapi tidak menunaikan solat, adakah sah puasa orang tersebut? 

TUTUP PENYERTAAN:
Bila-bila masa sahaja sebab ni hanya kuiz.

SELAMAT MENJAWAB!

Biar Gambar Bercerita #9


PUASA = RAYA = KAMPUNG

Wednesday, 25 July 2012

Eh, Cik Tom Nak Bagi Hadiahlah!

Tersebut kisah disuatu hari,
Sebelum blog menjadi sebahagian diri,
Ingin menyelesaikan satu permasalahan dihadapi,
Internet dibuka search engine dicari,
Blog Cik Tom saya temui,
Detik itulah 'gadis tomato' saya kenali!

Malunya rasa nak mengangkat diri,
Mengaku hebat artikel sendiri,
Kalau memang sudah syarat perlu dituruti,
Artikel terhebat saya - 'KENAPA DIA YANG KAMU CINTAI'.
Hebatnya dek kerana luahan hati sendiri,
Jua hasil inspirasi kasih dari suami,
Buat panduan dalam mencari cinta insani.

Lengkap sudah syarat penyertaan GA ini,
Harapkan tuah datang mendekati.

----------------------------------------------------------------------------------------------------
 “Artikel ini penyertaan bagi giveaway Cik Tom ditaja oleh JebengOtaiPapa MifzAmnaKak MahhDania Eryati,OnlajerNazriHatiputeraEielaRina AvailAkhiyy,HafizulPuanbee dan KeretaHitam.”

cik tom punye banner

Tarikh tutup: 31 Ogos 2012
Tapi ada kemungkinan ditutup awal tau. Kalau nak tau syarat & hadiahnya sila KLIK banner kat atas ni ya.

Tuesday, 24 July 2012

Bertemu Di Alam Mimpi

Semalam salah seorang kakak saya (saya ada 5 orang kakak) bagitau yang malamnya dia bermimpi bertemu dengan arwah bapa saya. Bapa saya dah meninggal lebih 3 tahun lalu, iaitu pada 12 Mac 2009. Sukar untuk kakak saya ingat apa yang dimimpikannya. Cuma yang pasti arwah bapa ada memegang tangan kakak saya dan bila terjaga ia seolah-olah benar.

Saya sendiri belum pernah alami mimpi bertemu dengan insan-insan yang telah berada di alam lain ni. Walaupun semasa beberapa bulan di awal 'pemergian' bapa saya, saya merasa sedih dan kerap menitiskan air mata tapi arwah bapa tak pernah hadir dalam mimpi saya. 

Berbalik kisah mimpi tadi, berdasarkan pandangan para ustaz bahawa secara UMUMNYA semua bentuk mimpi adalah mainan tidur. Ia mungkin hadir disebabkan keadaan emosi kita sebelum tidur, syaitan yang ingin mengganggu atau sekadar lintasan mimpi biasa. Memang ada mimpi yang mempunyai maksud, tetapi jika kita tersilap mentafsir atau meminta tafsiran dari orang yang bukan sepatutnya ia dibimbangi membawa mudarat. Sebaiknya kita anggap ia mainan tidur sahaja.

Bagi mimpi bertemu dengan orang yang telah meninggal, para ustaz menyarankan kita supaya mengirimkan doa kepada arwah atau bersedekah bagi pihak arwah. Anggaplah mimpi itu sebagai ingatan kepada kita yang masih hidup untuk memberi 'sumbangan' kepada arwah. Wallahu a'lam.


p/s: Mari kita doakan kesejahteraan kawan-kawan dan ahli keluarga kita yang telah 'pergi'. Walau terpisah alam, tapi kita masih boleh memberi 'hadiah' buat mereka. Itulah tanda kasih sayang abadi.

Monday, 23 July 2012

Empat Halangan

Tazkirah pendek yang disampaikan oleh ustaz di surau taman perumahan saya malam tadi berkisar mengenai EMPAT PERKARA YANG MENGHALANG MANUSIA DARIPADA BERIBADAT. Sebelum tu kita kena tahu bahawa tujuan kita hidup di dunia adalah untuk beribadat kepada Allah. Tapi kenapa kita selalu leka dan lalai untuk melakukan ibadat? Imam Ghazali menyatakan empat halangan tersebut, iaitu:

1) Kesibukan urusan dunia.
- cth: sibuk bekerja demi mengumpul harta sehingga lewat/meninggalkan solat.
- cara atasi: belajarlah untuk zuhud (maksudnya hati yang tak mencintai dunia). Harta memang perlu, tapi jangan sampai melupakan akhirat. Dunia hanya sementara, akhirat itu kehidupan yang abadi.

2) Makhluk manusia.
- manusia disekeliling kita seperti pasangan kita, anak dan kawan-kawan kadangkala menjadi penghalang untuk kita beribadat.
- cth: kawan ajak sembang sedangkan tu dah masuk waktu solat.
- cara atasi: belajarlah mengasingkan diri dari manusia apabila tiba masanya. Bijak atur masa untuk keluarga, kawan dan ibadat.

3) Bisikan Syaitan.
- syaitan memang sentiasa membisikan kejahatan supaya kita jauh dari Allah.
- cara atasi: banyakkan berzikir untuk melawan godaan syaitan. 

4) Nafsu
- cth: nafsu makan menuntut kita makan berlebihan masa buka puasa, sehingga kita tak larat nak melakukan solat sunat tarawih.
- cara atasi: diri kita perlu berlawan dan mendidik nafsu. Kita yang menguasai nafsu, bukan nafsu menguasai kita.


Jom kita renung kembali kehidupan seharian kita, kenal pasti mana satu perkara yang jadi penghalang kita untuk beribadat dan mendekati Allah. Mungkin satu, atau kombinasi diantaranya. Dah kenal pasti? Sekarang masa untuk mengatasinya!

Saturday, 21 July 2012

OSM Ramadhan Booklet

Sempena bulan Ramadhan kali ni, syarikat tempat suami saya bekerja ada memberi booklet yang comel dan menarik sekali kepada semua pekerja.

Buku ini disertakan dengan empat penanda buku. Ia mengandungi 30 amalan baik yang perlu dilakukan sepanjang Ramadhan. Apa tu OSM? Saya pun tertanya-tanya gak. Sebenarnya ia singkatan bagi nama pengeluar buku ini, iaitu OwhSoMuslim.


Gambar atas: Kandungan buku dengan ilustrasi menarik.
Gambar bawah: Pengeluar buku ini, boleh dihubungi melalui laman web dan Fb. Produk mereka...booklet, badge dan pagemarker berunsurkan dakwah. Harganya saya tak tau ya, kalau korang berminat nak tempah boleh ke laman web / Fb mereka. Sesuai dijadikan cenderahati majlis tertentu.


p/s: Camne sahur hari pertama...ada yang tak sempat bersahur? Harap kita semua mampu bangun bersahur untuk menghidupkan amalan sunat ini. Ada pahala dan ada berkatnya.

Friday, 20 July 2012

Ibarat Kekasih Yang Lama Menghilang

Sumber: Google

Esok...
Ramadhan datang lagi,
Mengubat rindu bagi yang menanti.

Ramadhan...
Ibarat kekasih yang lama menghilang,
Hadirnya melerai segunung rindu.

Bersyukurlah...
Andai masih sempat bertemu.
Luahkanlah segala rasa jiwa,
Kerana mungkin ini pertemuan terakhir!

-------------------------------------------------------------------------------------
Firman Allah, maksudnya:
"Pada bulan Ramadhan, diturunkan al-Quran yang menjadi petunjuk bagi manusia dan penjelasan daripada hidayah serta pembeza antara yang hak dan yang batil, maka sesiapa yang melihat bulan Ramadhan hendaklah ia berpuasa.
(Surah al-Baqarah : ayat 185)


Buat teman-teman,
SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN!
Semoga kita kuat mental dan sihat fizikal untuk melakukan amalan di bulan Ramadhan.
Mohon maaf andai ada penulisan dan komen saya yang tak serasi di hati, tak sesuai/tersilap.

Thursday, 19 July 2012

Buat Kek...

Dah lama nak buat kek ni, tapi asyik bertangguh.
Akhirnya hari Selasa petang yang lalu saya rajinkan diri buat jugak.
Sebabnya...bulan puasa dah terlalu dekat. Tak maulah teringat-ingat kek ni masa puasa nanti kan..


Resepinya mudah...sukatan ikut cawan. 
Resepi ni saya dapat daripada kakak saya. Dia dapat dari mana entah...
Kalau korang nak buat, berikut resepinya:

KEK COKLAT KUKUS
BAHAN:
3 biji telur -di pukul/putar rata
2 cawan gula kastor -di pukul/putar rata
1 cawan susu cair
1 cawan minyak sayuran (tapi saya guna butter yg. dicairkan)
2 cawan tepung gandum- diayak (saya guna tepung Blue Key, tak perlu bikarbonat & baking powder lagi)
1 sudu teh bikarbonat -diayak
1 sudu teh baking powder -diayak
1 cawan serbuk koko (saya guna serbuk koko Van Hauten)
1 cawan air -serbuk koko + air kacau atas api guna teknik 'double boil'

CARA:
Campur semua (masukkan satu persatu bahan di atas) dan putar sehingga rata/sebati. Masuk dalam loyang dan tutup dengan aluminium foil. Kukus selama 50 minit. Tapi saya biasa buat 1jam atau lebih sikit kalau yang tengah masih belum masak.

HIASAN 'TOPPING':
Serbuk koko + sedikit butter + susu pekat + susu cair/susu fresh - campur semua dan masak secara 'double boil'. Berapa banyak? Agak-agak sendiri ya. Kemudian ratakan atas kek. Hiaskan ikut suka hati. Masuk peti ais dulu sebelum dihidangkan. Masa nak makan pulak, saya suka biarkan seketika dahulu (lepas dari peti ais).


Buat kek coklat ni ada banyak versi resepi, tapi sejak dulu memang saya guna resepi ni. Alhamdulillah rasanya sama tiap kali buat, cuma bahagian tengah kek kadang-kadang merekah. Nasib diselamatkan dengan letak topping coklat tu.


p/s: Cik Lia kata entri saya sekarang dah agak berat, jadi hari ni saya kasi entri ringan-ringan. Belum puasa takpe buat entri makanan kan? ^__^

Wednesday, 18 July 2012

Ibarat Sebuah Kapal...

(Sekadar hiasan. Sumber: Google)

Daripada al-Nu'man bin Bashir, Baginda  صلى الله عليه و سلم bersabda, maksudnya:

"Perumpamaan orang yang melaksanakan ajaran-ajaran Allah dan orang yang melanggarnya adalah seperti kaum yang menaiki kapal dan belayar di lautan. Sebahagian daripada mereka memperoleh tempat di atas dan sebahagian yang lain memperoleh tempat di bawah. Orang yang berada di bawah naik ke atas untuk mengambil air, mereka mengganggu orang yang tinggal di atas. Kemudian orang yang berada di atas berkata: 'Kami tidak akan membenarkan kamu naik menyakiti kami'. Lalu orang yang berada di bawah berkata: 'Sesungguhnya kami menebuk lubang pada kapal di bahagian bawah untuk mengambil air.' Kalau mereka menahan 'tangan' mereka dan mencegah perbuatan mereka yang berada di bawah itu, maka selamatlah semuanya. Tetapi sekiranya mereka membiarkan sahaja, maka mereka akan tenggelam kesemuanya." (Riwayat al-Tirmizi)

*********************************************************

Dalam analogi mudah ini, orang yang duduk di bahagian bawah kapal ibarat ahli maksiat yang suka melakukan kerosakan. Di bahagian atas pula golongan yang melihat kemungkaran tetapi berdiam diri daripada mencegahnya. Jika orang yang berada di bahagian bawah kapal membuat lubang untuk mengambil air, ia berisiko menenggelamkan seluruh kapal.

Andai kita berada di bahagian atas, wajarkah kita membiarkan sahaja perbuatan yang berisiko besar itu? Adakah kita selesa menikmati sinaran mentari dan bayu laut dengan tidak memperdulikan keperluan dan perbuatan mereka di bahagian bawah?

Jika maksiat berleluasa, impak buruknya akan turut terkena tempias kepada orang soleh. Jika bencana melanda dek kemurkaan Allah, orang soleh juga tidak akan terkecuali. Jadi, pilihan yang ada ialah samada BERDIAM DIRI atau BERTINDAK. Buatlah pilihan anda...

(Sumber: Solusi isu 44)


p/s: Bagaimana nak bertindak? Insya allah akan diberikan dalam entri akan datang...'Seni Berdakwah'. Ketahuilah...setiap dari kita adalah da'ie (pendakwah). 

Dapatkan kupasan- 'Amar Makruf Nahi Mungkar' dalam majalah Solusi isu 44. Atau boleh beli online di SINI.

Tuesday, 17 July 2012

Politik Dan Agama...Tidak Terpisah

Mereka beranggapan...
Bila berbicara soal politik, ia terpisah daripada agama.
Bila berbicara soal agama, ia terpisah daripada politik.
Politik...kotor.
Agama...suci.

Bila pentas politik mengaitkan agama,
Ia dianggap menggunakan agama demi politik.
Bila bicara ustaz menyelitkan unsur politik,
Ia dianggap salah dan dipandang serong.
Kata mereka...jangan campurkan politik dengan agama!

Dangkal ilmu...
Sesungguhnya tiap cabang kehidupan itu terikat dengan agama.
Dangkal pemikiran...
Politik itu perlu untuk mendapatkan kuasa memerintah,
Kuasa itu perlu untuk menegakkan syiar agama (Islam).
Tanpa politik, tiada kuasa...Islam tak mampu ditegakkan!

Andai agama menjadi kotor dek politik,
Salahkan diri pelakunya...
Jangan disalahkan politik atau agamanya!

*Politik adalah alat, menegakkan Islam adalah tujuan kita*


p/s: Tulisan saya ni tak merujuk kepada mana-mana individu atau parti, sekadar bersifat umum.

Monday, 16 July 2012

PIKOM PC Fair 2012

Petang semalam berkesempatan ke PC Fair 2012 yang bertempat di KL Convention Centre (KLCC). Malas sebenarnya nak bersesak ke tempat begini, tapi gagahkan juga sebab nak temankan suami mencari barangnya. Kelebihan beli gajet di PC Fair ni, biasanya harga ditawarkan lebih rendah sedikit dan ada free gift untuk belian kita. Lagi satu bolehlah update diri sendiri tentang gajet yang ada dipasaran. 


(1) Melukis guna Galaxy Note...menarik dan cantik! Sama macam melukis potret biasa, kena ada model duduk depan pelukis. Rasanya servis ni free, sebab ada di booth Samsung.
(2) Beli laptop skin untuk netbook saya..RM16. Pendrive water proof 8G..RM22. Eneloop mobile booster (portable battery) 5000mAh...RM190. Tujuan saya nyatakan harga adalah untuk memudahkan korang atau sesiapa yang nak buat perbandingan harga sebelum membuat belian.


Keluar dari bangunan dah lewat senja. Tersangatlah ramai orang dari pelbagai bangsa. Yang paling tak best bila tengok remaja kita (lelaki/perempuan) masih duduk berkumpul...ada yang menari-nari, ada yang sedang bertepuk tangan sambil menyanyi. Senja...waktu untuk pulang ke rumah bagi remaja yang kelihatan masih sangat muda ni.


Menara Berkembar...di waktu senja. Menyaksikan pelbagai ragam manusia.

Sunday, 15 July 2012

Jaga ADAB Muslim Kita...

(sumber: IKRAM MALAYSIA)


Tambahan: 
Begitu juga sebelum kita klik 'LIKE', pastikan perkara-perkara di atas dulu ya.
Anda 'LIKE'...bermakna anda menyokong/bersetuju dengan perkara tersebut.

Nota:
*sikap Mahmudah- sikap baik
*amar makruf nahi mungkar- menegakkan (makruf) kebaikan/kebajikan dan mencegah (mungkar) kejahatan/keburukan.

p/s: Peringatan ini buat saya juga. Semoga Allah mengampuni dosa lalu, mari kita buka lembaran baru.

Saturday, 14 July 2012

Giveaway Craft n Crochet 2 By Tihara

KLIK banner untuk join!

Cantik sungguh si mawar merah,
Mekar harum mewangi taman,
Cantik sungguh tawaran hadiah,
Membuat hati jadi tertawan.

Harumnya mawar penghilang lara,
Menghibur hati dikala sendiri,
GA anjuran blogger Tihara,
Jika berminat mari sertai!


p/s: Dulu dah menang beg comel dari Craft n Crochet ni...harap kali ni ada rezeki lagi! ^__^

Thursday, 12 July 2012

Sijil HALAL Bagi Hotel/Resort

TAHUKAH ANDA?
  • Persijilan Halal bagi hotel/resort diberikan kepada bahagian DAPUR/PREMIS MAKANAN sahaja. 
  • Sebagai muslim, menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan tiap hidangan yang kita nikmati adalah halal (suci & bersih). Salah satu caranya dengan mengenalpasti sijil halal dipremis tersebut.
  • Semakan senarai hotel/resort yang mempunyai sijil halal diiktiraf boleh dibuat di Portal Rasmi Halal Malaysia

BAGAIMANA?


2. Pilih carian mengikut negeri atau pilih semua negeri.


3. Kemudian buat carian nama hotel mengikut abjad.



*Ramadhan kian menghampir, banyak hotel menganjurkan buffet berbuka puasa. Pastikan korang menikmati hidangan di hotel yang ada pengiktirafan HALAL sahaja. (tapi sebaiknya elakkan berbuka secara mewah, sebab kita berpuasa bukan untuk berpesta makan)

*Juga bagi kita yang bercuti & menginap di hotel yang menyediakan pakej sarapan pagi/makan malam, pastikan ia dari dapur HALAL.

-------------------------------------------------------------------------------

Nota
Di sebelah kanan blog ada banner Ramadhan Relief, kalau korang nak menderma boleh klik untuk ke pautan laman IRM (sebuah badan kebajikan). Sumbangan diterima sehingga minggu ketiga bulan Ramadhan. Lagi cepat lagi elok, mudah IRM nak agihkan kepada mereka yang memerlukan. Sesiapa nak tolong iklankan pun boleh, cuma letak banner & buat pautan ke IRM. Ni iklan khidmat sosial, tiada bayaran ya.

Wednesday, 11 July 2012

Cerita LISTERINE

Ni produk terbaru dari Listerine

Catatan ni bukanlah bertujuan nak promosi Listerine,
Tapi sekadar nak berkongsi cerita tentang gigi saya dan Listerine.
Mungkin ada manfaat untuk korang bila menghadapi masalah yang sama.

Pertama, cerita gigi bongsu...gigi yang hujung sekali tu.
Masa ia nak tumbuh, memang sangat sakit dan kadang-kadang berdenyut.
Kesannya bukan hanya pada bahagian tersebut saja, 
Tapi satu badan jadi lemah dek menahan kesakitan tu. 
Doktor gigi pulak syorkan buat pembedahan kecil untuk buang gigi tu.
Sebab kedudukannya tak membolehkan gigi tu untuk membesar,
Jika terus membesar...saya akan menanggung sakit berpanjangan.
Tapi sebab penakut, saya sanggup tahan sakit kira-kira dua minggu.
Sambil tu saya bergantung pada Listerine dan pil tahan sakit.
Kerap berkumur...rasa mint membuat bahagian yang sakit tu macam kebas.
Lama-lama rasa sakit berkurangan dan terus hilang!
Alhamdulillah sampai sekarang dah beberapa tahun berlalu, 
gigi bongsu tu tak buat hal.

Kedua, cerita sakit gigi.
Gigi masa tu dah bergoyang tanda perlu dicabut.
Tapi saya berusaha nak selamatkan gigi dengan cara kumur Listerine.
Saya buat dengan kerap...
Akhirnya gigi tu tak sakit dan tak bergoyang lagi.
Selamat gigi!

p/s: Sejak tu saya jadi jurucakap tak rasmi, sebab selalu promote Listerine pada ahli keluarga lain yang ada masalah sama. Hasilnya, memang puas hati!

Tak Perlu Sempurna...




Tercatat sebuah kisah berkaitan kata-kata di atas dalam entri AKU TAK LAYAK....
Moga ia memberi motivasi buat kita untuk terus saling memberi peringatan, sambil memperbaiki diri.

Tuesday, 10 July 2012

Budak Kecil Berwarna Hijau

(secebis kisah lalu saya di asrama sekolah menengah...)

Jin TOYOL atau jin budak...
Kecil, telanjang dan berwarna hijau.
Pernah menghantui kehidupan di asrama saya.
Khususnya di dorm saya sendiri.

Ada yang mula mengadu kehilangan wang,
Bukan semua diambil tapi sebahagian yang ada dalam dompet.
Ramai juga yang kehilangan makanan...
Mee segera, coklat dan lain-lain.
Hilang wang...tidaklah terlalu asing bunyinya.
Tapi hilang makanan...memang tak pernah berlaku.

Mengejutkan...
Bila peket-peket mee segera yang kosong ditemui dalam tong sampah.
Ada yang marah-marah...bila pek coklat bersemut ditemui bawah bantalnya.
Juga kecoh...bila makanan yang hilang ditemui di tempat lain.
Mujur tidak saling berprasangka atau menuduh.
Kerana sudah saling mengenali.

Misteri terbongkar...
Bila ada penghuni dorm yang terjaga malam,
Terlihat susuk si kecil...
Sedang asyik menyelongkar almari makanan kami!

Aduan dibuat...
Operasi menangkap si kecil dilakukan oleh para ustaz.
Cerita hilang makanan dan kelibat si kecil pun tiada lagi!

******************************************************

Info:
Jin Toyol juga dikenali sebagai jin budak. Mereka kecil, bertelanjang dan berwarna hijau. Inilah cerapan kebanyakan perawat (pengamal perubatan Islam). Bagi jin toyol yang dibeli manusia, ia diajar untuk mencuri wang dalam kuantiti yang sedikit. Bagi jin toyol yang tidak bertuan, ia suka berkawan dengan kanak-kanak. Apabila ia merasuk manusia, pesakit akan berperangai kebudak-budakan.
(sumber: Misteri Alam Jin, Majalah Q&A Bil. 5)


p/s: Selepas peristiwa di atas, baru saya tau yang toyol bukan sekadar mencuri duit. Mungkinkah dia betul-betul makan, atau mungkin sekadar nak menggugat keharmonian penghuni asrama?

Friday, 6 July 2012

Keropok Lekor BTB 2209...Pek Mudah Bawa

Kedai Keropok Lekor Bukit Tok Beng (BTB) 2209 ni pernah saya sebut kisahnya hampir setahun lalu dalam entri DI SINI. Sebabnya pelanggan perlu ambil nombor giliran untuk membuat belian! Sejak tu, bila sempat memang kedai ni jadi persinggahan suami saya jika ada kerja di Kuala Terengganu. Dan memang timbul sedikit masalah untuk bawa keropok lekor yang masih segar (panas-panas) menaiki kapal terbang. Ada bau! 

Tapi yang terbaru ni, dah ada pek yang mudah dibawa. Keropok lekor dah disejukkan (tapi tak beku) dan dibungkus dengan pek vakum. Tiada masalah bau, lebih kemas, mudah dibawa dan tetap sedap bila digoreng.

RM10/pek
Dua jenis- keropok goreng yang macam jejari dan yang lagi satu tu keropok rebus.
Penjual tu bagitau..tapi keduanya memang boleh goreng macam biasa.
Apsal ntah sebelum ni tak perasan ada keropok rebus tu...pertama kali cuba.

Goreng dan sedia dimakan...
Keropok rebus (kiri) tu memang dah siap potong kecik masa kita beli.
Rasanya lebih lembut daripada keropok goreng...saya suka! 

Bagi sesiapa yang nak ke sana, kedai ni terletak di selekoh jalan ke lapangan terbang di Kuala Terengganu. Kira-kira 3km jika dari lapangan terbang. 

Thursday, 5 July 2012

Anggerik/Orkid Harimau


Yang macam buah ni..pada bahagian atas tulah letaknya bunga orkid harimau.
Masa ni bunga dah pun habis gugur.

Nama pokok: Anggerik/Orkid Harimau, Anggerik/Orkid Hutan
Spesis: Grammatophyllum
Habitat asal: Hutan tanah-rendah di Indochina, Thailand, Malaysia, Indonesia, New Guinea dan Kepulauan Filipina. 

(sumber info: wannuraorkid)


Gambar orkid harimau ni sebenarnya dah beberapa bulan dalam simpanan. Pokok ni ditanam oleh mak mertua saya sejak sekian lama. Ia merupakan pemberian seorang saudara yang mengambilnya sendiri dari dalam hutan. Saiz Orkid Harimau yang besar ni memang menarik perhatian saya. Unik dan eksotik! Ia pernah berbunga, tapi saya tak sempat melihat bunganya yang dikatakan sangat cantik tu. Ia juga disebut sebagai 'Raja Segala Orkid', mungkin sebab saiznya.


p/s: Teringin nak tanam, tapi kalau dalam pasu memang tak dapatla besar macam ni. Hilang keunikannya.

Tips Memastikan Produk Adalah Halal

Rentetan Cerita Logo HALAL dalam entri sebelum ini,
adakalanya produk (makanan, minuman, kosmetik, barangan penjagaan diri) yang kita ingin beli/guna tiada sebarang logo HALAL. Atau logo HALAL yang tidak dapat dikenalpasti kesahihannya.
Berikut ada 5 langkah untuk memastikan produk tersebut adalah halal:

1. KENAL PASTI
Teliti logo HALAL pada label produk. Jika ada logo HALAL yang diiktiraf, boleh terus membeli/guna. Jika logo HALAL tidak dapat dikenal pasti, terus ke langkah kedua.

2. TELITI RAMUAN
Baca & perhatikan ramuan pada label produk. Cuba kenal pasti statusnya. 
*untuk ini kita perlu ada/cari ilmu, terutamanya untuk 'ramuan kritikal'.
Ramuan dianggap kritikal sekiranya melibatkan unsur-unsur haiwan seperti minyak dan lelemak serta arak. Klik DI SINI untuk ilmu.

3. HARAM
Jika produk ternyata ada ramuan haram, wajib tinggalkan.

4. HALAL
Jika ramuan produk adalah halal, teruskan beli/guna.

5. SYUBHAH
Jika ada ramuan yang syubhah (meragukan atau tidak jelas hukumnya), produk tersebut wajar dihindari.

(sumber: Majalah Q&A Bil. 5, halal.govhalaltoyyibah-hpa)


p/s: Jom sama-sama kita fahamkan 5 langkah ni, ia membantu dalam membuat pilihan produk. Sebab bukan semua produk ada logo HALAL. 
Ada ilmu, lebih mudah. Tanpa ilmu, memang susah.

Wednesday, 4 July 2012

Kerajaan Diri

Kita adalah raja...

Kita adalah raja,
Yang memerintah sebuah kerajaan diri,
Mata, mulut, kaki, tangan, hati...
Dan seluruh anggota tubuh,
Adalah rakyat jelata.

Jadilah kita raja yang bertanggungjawab,
Membawa rakyat ke arah kebaikan,
Memandu rakyat mentaati Allah,
Kerana tiap perbuatan rakyat nantinya,
Kita jua yang bakal disoal di akhirat sana.

Jika kita gagal memimpin,
Bermakna kita gagal menjalankan amanah.
Kerana rakyat adalah amanah buat rajanya.

Duhai raja kepada diri,
Lawanlah syaitan dan nafsu...
Yang menjadi musuh kerajaan diri!

Tuesday, 3 July 2012

Cerita Logo HALAL

Sebelum ke topik sebenar, saya nak bagitau kepada korang yang masih belum tahu...bahawa rakan blogger kita Lieynanilaz telah 'pergi' buat selamanya semalam (Isnin, 2 Julai 2012). Mohon semua memanjatkan doa buatnya. Untuk berita lanjut DI SINI. 

*****************************************************************
Logo HALAL
ialah logo yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa yang diiktiraf di bawah Akta Perihal Dagangan 2011, iaitu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan jabatan/majlis agama islam negeri-negeri seperti JAIS dan MAIPP.

Kenali Logo HALAL Yang Diiktiraf

  • bintang berbucu lapan di tengah-tengah bulatan;
  • perkataan Arab – “حلآل” di tengah bintang;
  • diikuti tulisan rumi “HALAL”;
  • bulatan logo tertulis perkataan “Malaysia” dalam tulisan Rumi dan ماليزيا   dalam perkataan Arab;
  • dua bintang kecil berbucu lima diletakkan bagi memisahkan tulisan rumi dan perkataan Arab tersebut.
Logo HALAL Dari Luar Negara
Antara logo oleh badan Islam yang diiktiraf JAKIM adalah seperti berikut:
 
Untuk mengetahui logo lain, sila KLIK DI SINI. 


Ikuti Fb Halal Malaysia DI SINI.
Untuk mengetahui pelbagai info halal, layari INI.
Entri akan datang..ketahui 5 langkah memeriksa produk yang ingin dibeli. Bagaimana jika tiada logo Halal?

p/s: Jangan lupa...halal bukan saja berkenaan bahan yang digunakan, tapi melibatkan keseluruhan proses pembuatan dan premis yang terlibat.

Monday, 2 July 2012

Kisah Dari Penjara


Tajuk: Sengsara Kem Kamunting
Penulis: Saari Sungib
Penerbit: SIRD
Harga: RM38 (semenanjung)
Muka surat: 362

Lama dah tak buat entri pasal buku. Atas alasan tertentu, saya tak buat review mengenai buku kali ini. Cukup sekadar info asas seperti di atas. Buku ni merupakan buku kedua kisah dari penjara Kem Kamunting yang telah saya baca. Buku pertama merupakan Dua Wajah: Tahanan Tanpa Bicara ditulis oleh Syed Husin Ali. Keduanya dari zaman yang berbeza. Jika berminat, boleh dapatkannya di MPH (saya beli di situ).


*Pengalaman hidup kita adalah berbeza. Membaca kisah pengalaman orang lain adalah perlu untuk kita merasai sisi hidup yang lain tanpa perlu melaluinya sendiri.*


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...