Wednesday, 29 February 2012

Apa Istimewanya Hari Ini?

sumber: google

29 FEBRUARI 2012...
Sama seperti hari-hari yang lain...
Cuma ia tarikh unik kerana bukan setiap tahun akan ada.

Apapun tarikh hari ni pastinya istimewa buat  mereka yang menyambut hari lahir.
Seperti anak saudara saya, Sarah Nur Rusyda yang berusia 12 tahun kini.
Ini kali ketiga dia menyambut ulangtahun pada tarikh 29 Februari.
Memang istimewa..walau ramai yang berkata 'KESIANNYA..'.

Setakat tak jumpa tarikh pada setiap tahun tak perlu kesian,
Sebab masih boleh sambut pada 28 Februari atau 1 Mac..kalau sambutlah.
Yang betul-betul kesian adalah kalau ada apa-apa keistimewaan ikut tarikh lahir.
Macam Maxis prepaid yang bagi free call pada hari lahir pemilik nombor...
Macam mana ya...empat tahun sekali je ke dapatnya??? Entah.

Kenyataannya, hari ni tarikh yang UNIK tapi orang TAK SUKA.
Tak macam tarikh unik lain yang orang berebut nak bertunang, berkawin atau bersalin.
Apapun, tarikh hanyalah sekadar untuk memudahkan penentuan hari.
Tak perlu mengejar atau mengelak sesuatu tarikh itu.
Setiap tarikh pastinya istimewa jika ada peristiwa manis!


Tuesday, 28 February 2012

Aku Tak Layak...

sumber: google

Ini kisah seorang ulama terkenal, al-Hasan bin Abi al-Hasan al-Basri yang mengandungi pengajaran buat kita umat Islam.

Suatu hari, al-Hasan al-Basri berjumpa dengan seorang pemuda daripada Bani al-Shikhir. Al-Hasan berkata kepadanya, "Nasihatilah kami, wahai pemuda". Pemuda itu menjawab, "Aku belum layak memberi nasihat, wahai Abu Sa'id". Al-Hasan berkata, "Siapakah yang benar-benar layak memberi nasihat? Syaitan sangat suka dengan kata-kata ini. Dan ia berharap agar manusia mengambilnya sehingga tidak ada lagi yang mengajak kepada kebaikan dan melarang keburukan"

Kisah ini diceritakan oleh Imam Ahmad bin Hanbal dalam kitab a--Zuhd dan juga Abu Muhammad al-Ramahurmuzi dalam al-Muhaddith al-Fasil.

(sumber diambil dari Solusi  Isu 38)

Pengajaran:
  • Syaitan memang benci aktiviti DAKWAH, iaitu ajakan untuk kembali kepada Allah dan agama-Nya.
  • Lalu sering dibisikkan rasa TIDAK LAYAK dalam hati orang yang ingin berdakwah, sehingga terhenti rasa ingin berdakwah tersebut.
  • Berdakwah bukan hanya untuk orang yang SEMPURNA, kerana sebagai manusia biasa kita pastinya ada dosa dan kekurangan.
  • Berdakwah itu tugas kita semua, bersesuaian dengan banyak mana ilmu yang kita miliki. Pada masa yang sama, berusahalah untuk perbaiki kekurangan diri. 
  • Jika rasa KEKURANGAN membuat kita berhenti menyebarkan kebaikan, itu tandanya kita sudah jatuh ke perangkap bisikan syaitan.
  • Mari kita GAGALKAN misi syaitan untuk menghentikan dakwah!

p/s: Lepas ni bila kita rasa ragu-ragu nak nasihat orang lain kerana kekurangan diri, ingatlah yang itu hasil bisikan syaitan. Teruskan nasihat-menasihati, sambil perbaiki kualiti diri!

Monday, 27 February 2012

KLIA

Dah 2 hari tanpa entri dan tak 'merayau' ke blog korang. Hujung minggu jarang-jarang boleh menaip, sibuk dengan aktiviti keluarga. Sabtu lalu saya menghantar mak, mak saudara & sepupu untuk menunaikan umrah. Mereka dan rombongan menaiki bas dari Pontian, Johor ke KLIA (Kuala Lumpur International Airport). Jadinya saya dan adik-beradik yang tinggal di sekitar Selangor/KL ni cuma perlu ke KLIA untuk berjumpa mak kami. 

Saya dan adik-beradik lain tiba waktu petang, sambil menunggu waktu maghrib kami dan mak makan-makan di Mc Donald dulu. Pukul 8pm semua ahli rombongan perlu ke kaunter untuk daftar masuk (check-in). Bila semua dah beratur panjang, dapat tau orang yang membawa passport ahli rombongan belum tiba. Pulak! Tak dapatlah daftar masuk. Disebabkan ahli rombongan kebanyakkannya warga emas, ramailah anak-anak yang menghantar. Jadi sesaklah kawasan tu dengan ahli rombongan dan keluarga yang menghantar. 

Akhirnya lepas menunggu di situ selama 1 1/2 jam, barulah siap urusan daftar masuk. Memang letih jugak sebab dah lewat malam. Lepas hantar mak, mak saudara & sepupu di pintu balai berlepas, barulah kami pulang.


Beg hijau kuning tu semua satu rombongan. 


1) Lama menunggu..masing-masing dah buat macam rumah sendiri.
2) Pukul 10pm baru nak ke balai berlepas. Dlm. gambar- sepupu lelaki, mak saudara & mak saya.
3) Sampai sini je dapat tengok mereka. Sedih jugak tau!

p/s: Pakej umrah yang mak, mak saudara & sepupu saya ikut ni murah. Kosnya tak sampai RM3,000 dengan syarat tertentu. Saya ragu-ragu jugak sebab murah, apapun tunggu mereka balik lepas 2 minggu...

Friday, 24 February 2012

Khadam

(Amaran: ada unsur SERAM sikit, kurang sesuai untuk bacaan malam.)

Pernah dengar orang ada khadam (hamba)?
Bukan khadam yang boleh dilihat dengan mata kasar tau.
Tapi khadam dikalangan makhluk halus...JIN.

Pertama kali saya tahu dan berdepan dengan orang yang ada khadam...
Semasa menetap di asrama sekolah menengah.
Semua orang tahu dia ada khadam...bukan rahsia.
Dia mampu tahu apa yang bakal berlaku...dengan bantuan khadamnya.
"minggu depan asrama puteri akan diserang dengan makhluk halus.."
Lebih kurang begitu amarannya, yang diterima melalui khadamnya.
Betul...minggu depannya asrama puteri jadi tak tenang.
Ada yang ternampak lembaga, tak kurang juga yang menjerit-jerit dirasuk.
Hingga terpaksa buat 'pagar bilik' pada setiap malam sebelum tidur.
Malam hari adalah saat yang mendebarkan...tidur dengan rasa takut!
hiasan semata ya..
sumber: google

Berbalik kepada dia yang mempunyai khadam tadi...
Rumahnya juga tak mampu diceroboh pencuri...
Yang ketakutan melihat dirinya ada di setiap tingkap rumah.
Yang sebenarnya...itu kerja khadam belaannya.

Ketika itu jahilnya saya dan yang lain-lain...
Boleh percaya dan menerima dia dan khadamnya.
Kerana merasakan khadam itu baik dan membantu kami.
Juga diberitahu pula khadam itu adalah JIN ISLAM.

Hakikatnya...
Khadam...yang biasanya diperolehi melalui saka atau amalan tertentu itu,
SYIRIK hukumnya...dan BERDOSA percaya apatah lagi memilikinya.
Kerana manusia hanya boleh memohon pertolongan daripada Allah yang Maha Kuasa.
Jangan lupa bahawa jin dan yang sejenisnya telah bersumpah untuk menyesatkan manusia.
Tentunya makhluk ini ada banyak tipu muslihat untuk memperdayakan kita.
Sebab itu walau dia mengaku jin Islam, kita tetap dilarang berdampingan dengan makhluk ini.


*entri yang berkaitan...SAKA: Warisan Yang Menyusahkan.

Thursday, 23 February 2012

Hutang Budi

(Secebis coretan peribadi....)

Sebut pasal hutang budi...memang ramai yang begitu baik budi.
Syukur kepada Allah yang telah menemukan saya dengan insan-insan ini.
Tak terbalas rasanya budi mereka terhadap saya.
Hanya doa yang boleh saya panjatkan sebagai rasa terima kasih.

Selain ibu bapa, adik-beradik dan suami...
Ada DUA insan yang tak dapat saya lupakan budi baik mereka.
Jasa-jasa mereka..sebenarnya!

Insan pertama...seorang senior semasa saya di tingkatan empat.
Kami satu dorm asrama..saya di katil tingkat atas dan dia di katil bawah.
Hampir saban malam sebelum tidur dia sibuk mengajar Matematik kepada saya.
Ya..saya lemah Matematik dan pernah gagal.
Saya malas belajar..tapi dia kerap memaksa saya untuk belajar dengannya.
Dia juga membasuhkan baju-baju saya...bila saya sakit dan tak berdaya.
Turut menyuapkan nasi...bila saya sakit dan hilang selera makan.
Dia melakukan segala yang tak pernah dilakukan teman lain!
Dan kini saya gembira...kerana dia sudah berjaya.
Punya tiga putera, bergelar pensyarah UUM dan miliki ijazah PhD.

Insan kedua...seorang pakcik pemandu teksi.
Membantu saat saya baru diragut oleh empat lelaki dengan dua motor.
Dia mengorbankan masa mencari penumpang teksi kerana membantu saya.
Membawa saya ke Balai Polis Sentral dan membayarkan harga surat report.
Menghabiskan masa beberapa jam menunggu di balai bersama saya.
Dan seterusnya menghantar saya pulang ke rumah sewa yang agak jauh.
Paling terharu bila saya didesak untuk menerima wangnya...untuk hari esok.
Selepas kejadian, saya mencarinya untuk membayar semula...bersungguh dia menolak.
Sangat terharu, masih ada insan berhati mulia begitu!

Pastinya korang pun ada kisah-kisah begini...
Kisah insan yang membuat kita bersyukur kerana dipertemukan!

Wednesday, 22 February 2012

Sistem Sampul Surat

sumber: google

Sistem sampul surat untuk menguruskan duit gaji bulanan. Korang buat? Tak kisahlah korang buat macamana, sebab tiap orang ada cara masing-masing untuk mengawal perbelanjaan. Bagi saya dan suami, kami memang buat sistem sampul surat ni untuk setiap bulan gaji. Kecuali masa bekerja sendiri, agak sukar nak teruskan sistem ni sebab pendapatan tak menentu.

CARA:
  1. Buat belanjawan (bajet) bagi keperluan bulan tersebut. 
  2. Sediakan beberapa sampul surat dan tuliskan kategori perbelanjaan tersebut di luar sampul tadi. Cth: ada sampul untuk belanja dapur, petrol dan belanja lain-lain.
  3. Bila dapat gaji, masukkan duit mengikut bajet ke dalam sampul masing-masing.
  4. Lepas tu berbelanjalah ikut sampul tadi. Jika belum separuh bulan, contohnya duit belanja dapur tinggal sikit..kenalah kita 'ikat perut' supaya peruntukan tadi mencukupi sampai cukup bulan.
KELEBIHAN:
  • kita tahu berapa banyak sahaja yang BOLEH dibelanjakan.
  • mengelakkan masalah tak cukup duit sebab semua duit sudah siap diagihkan mengikut bajet.
  • membantu disiplin diri untuk berbelanja mengikut keperluan dan kemampuan.
  • bagi suami isteri, cara ni menampakkan ketelusan ke mana perginya duit gaji pasangan. Juga masing-masing tahu setakat mana kekukuhan ekonomi keluarga. Takde la kes isteri merajuk kerana suami tak belikan iPhone 4 S, sebab dah faham kedudukan kewangan.

*Pada akhirnya, kejujuran pada diri dan disiplin masih diperlukan. Sistem ni sekadar membantu tapi bukan menyelesaikan masalah tak cukup duit sebelum tiba gaji baru.*


p/s: sorry ya, malam-malam buat cerita berat..ngantuk mata baca!

Ekspo Buku Islam 2

sumber: sinergi ilmu

"SUBURKAN JIWA DENGAN ILMU,
SIRAMI IBADAT DENGAN AMAL"


p/s: Kepada korang yang tinggal berdekatan Putrajaya, bolehlah datang ke ekspo ni ya! Bermula Jumaat ni (lusa).

Tuesday, 21 February 2012

Kabare?

Kali ni saya nak ajar bahasa Jawa. Iaitu bahasa keturunan saya. 
Yang ni paling asas dan mudah. Mungkin ramai dah tahu...


KABARE = APA KHABAR
WARAS = SIHAT / BAIK


Digunakan untuk bertanya kabar sewaktu memulakan perbualan atau baru berjumpa.
Contoh penggunaan:

Azlan : Kabare?
Achie : Waras..


p/s: Senang je kan? Praktikkan.
 Ni Azlan & Achie versi yang pandai cakap Jawa..^__^

Monday, 20 February 2012

Alkohol Dalam Makanan, Minuman, Pewangi & Ubatan

Berdasarkan taklimat, pembentangan dan penjelasan yang disampaikan oleh pakar-pakar daripada Institut Penyelidikan Produk Halal, Universiti Putra Malaysia serta dengan mengambilkira keputusan-keputusan yang telah diputuskan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia terdahulu, Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang membincangkan isu alkohol dalam makanan, minuman, pewangi dan ubat-ubatan pada 14 hingga 16 Julai 2011 telah bersetuju memutuskan seperti berikut:

-Setiap minuman arak adalah mengandungi alkohol. Walaubagaimanapun bukan semua alkohol itu adalah arak. Alkohol yang diperolehi dari PROSES PEMBUATAN ARAK, hukumnya haram dan najis.

-Manakala alkohol yang diperolehi bukan melalui proses pembuatan arak hukumnya tidak najis, tetapi haram (tidak boleh) diminum dalam bentuk aslinya kerana ia adalah racun dan boleh membunuh.

-Minuman ringan yang diproses/dibuat bukan dengan tujuan untuk menghasilkan arak dan mempunyai alkohol di bawah aras 1%v/v adalah harus (boleh) diminum.

-Manakala minuman ringan yang dibuat dengan niat dan cara yang sama seperti proses membuat arak, sama ada mengandungi banyak atau sedikit alkohol atau alkoholnya disuling adalah haram diminum.

-Makanan atau minuman yang mengandungi alkohol secara semulajadi seperti buah-buahan, kekacang atau bijirin serta perahannya, atau alkohol yang terkandung itu terjadi secara sampingan semasa proses pembuatan makanan atau minuman adalah tidak najis dan harus (boleh ) dimakan/diminum.

-Makanan atau minuman yang mengandungi bahan perisa atau pewarna yang mengandungi alkohol untuk tujuan penstabilan adalah harus (boleh) digunakan sekiranya alkohol itu bukan dihasilkan dari proses pembuatan arak dan kuantiti alkohol dalam produk akhir itu adalah tidak memabukkan dan kadar alkohol tidak melebihi 0.5%.

-Ubat-ubatan dan pewangi yang mengandungi alkohol sebagai bahan pelarut adalah tidak najis dan diharuskan sekiranya alkohol tersebut bukan diambil melalui proses pembuatan arak.

(Sumber: Sahabat Halal Jakim)


*saya syorkan korang LIKE page Sahabat Halal Jakim.*


p/s: Sila baca dengan teliti dan fahamkan tau. Sebarang kemusykilan boleh berhubung dengan Sahabat Halal Jakim.

Sunday, 19 February 2012

Aura Negatif

Memang boleh stress gini..
sumber: google

IBU YANG SELALU 'STRESS'...
ANAKNYA AKAN SELALU SAKIT.
KERANA ADA AURA NEGATIF!



p/s: Kata-kata ni diberikan oleh seorang penceramah motivasi.
Betul ke? Saya tak tau sebab belum jadi ibu. Apapun, cuba elakkan rasa stress ya ibu-ibu!


Saturday, 18 February 2012

"Dia Ada Jin Ni.."

"Dia ada JIN ni.."

Pernah jumpa orang yang taksub mengenai JIN?
Asal ada yang tak kena pada seseorang je, pasti jin yang disyaki.
Susah dapat jodoh..ada jin menumpang.
Asyik ditimpa masalah..ada orang hantar jin.
Anak kerap menangis..ada jin yang mengacau.
Kerap sakit kepala..pun kerja jin!

Betul...ada kes-kes di atas memang kerja makhluk jin.
Sebab dia memang wujud di alam ini.
Tapi percaya yang melampau mampu merosakkan iman.
Bagaimana???
Bila segala masalah kita terus kaitkan dengan hasil kerja jin,
itu bermakna kita yakin jin itu makhluk yang sangat berkuasa.
Sehingga mampu melakukan apa saja pada makhluk manusia!

Kalau ada masalah..fikir penyelesaian yang logik.
Kalau ada penyakit..jumpa doktor untuk rawatan.
Setelah segala usaha menemui jalan buntu..barulah boleh dikaitkan dengan JIN.
Bolehlah jumpa pengamal perubatan Islam...
Yang cuma memerlukan bacaan ayat suci sebagai cara penyembuhan.
Bukan jumpa dukun atau bomoh...
Yang memerlukan kambing putih atau sepinggan pulut kuning!

Jin amat suka jika manusia mudah percaya dia penyebab sesuatu.
Kerana itu bermakna manusia mengakui kuasa jin.
Dan jin lagi suka mengganggu manusia jenis ini!
Itu antara pesanan seorang pengamal perubatan Islam.

Friday, 17 February 2012

Thursday, 16 February 2012

Tudung Empat Segi

Masih ada yang setia dengan tudung empat segi? Dah tentu soalan ni untuk perempuan ya! Saya salah seorang yang masih setia dan enggan akur dengan fesyen semasa. Setia atau sukar terima perubahan? Saya ada alasan tersendiri. Sebenarnya saya pakai juga tudung jenis 'sarung' tu, tapi untuk keadaan dan aktiviti tertentu. Ia lebih kepada tudung 'basahan'.

Berbalik kepada tujuan asal entri, sebenarnya nak bagitau di mana kita boleh beli tudung empat segi ni. Maklum saja, tudung jenis ni semacam hampir 'pupus' dan amat sukar ditemui. Kalau berjalan di pasar malam tempat saya, rata-rata menjual tudung fesyen terkini. Ada juga tudung empat segi, tapi dengan pilihan yang sangat terhad dan tak menarik.

Bagi yang tinggal berhampiran Bangi, boleh ke Kompleks Warta di Bandar Baru Bangi. Di Ground Floor saja sudah terdapat banyak pilihan. Di Second Floor (kalau tak silap) ada dua buah kedai yang saling berhadapan. Satu kedai tu menjual segala jenis tudung bawal. Manakala satu kedai lagi menjual tudung empat segi jenis Akel dan sedikit dari jenis Pramit dan lain-lain.

Untuk belian secara online, berikut ada 3 laman web yang boleh dipercayai untuk membeli. KLIK pada gambar untuk ke laman web mereka ya.


Pramit Yellow 001
Dengan yang ni, saya dah beberapa kali membuat pembelian.

tudung itali bidang 50



p/s: Ni bukan nak promosi kedai online mereka, tapi nak bagi penyelesaian kepada penggemar tudung empat segi.


UPDATE:
Bagi yang mencari tudung EMPAT SEGI COTTON bidang 50 & 60,
boleh dapatkannya di SINI.


Wednesday, 15 February 2012

Tutup Aurat Supaya Selamat



Sekadar nak promosikan...

 Majalah Solusi Isu 41: TUTUP AURAT SUPAYA SELAMAT
Harga: RM10

Insyaallah akan terbit hujung minggu ini. RM10 mahal? Oh, tak...sebab kualiti kertasnya baik. Ilmu di dalamnya juga sangat berharga dan boleh dijadikan rujukan/panduan. Bila sebut aurat, ia bukan saja untuk perempuan tau. Sebab lelaki juga perlu ada ilmu ni untuk membimbing anak isteri nantinya.

Kalau tempat korang susah nak dapatkan  majalah ni, boleh beli secara online di SINI.

Tuesday, 14 February 2012

Qiblat

Sijil Perakuan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor

Sijil Perakuan arah qiblat ni saya temui di surau AEON Bandar Mahkota, Cheras, Selangor. Satu usaha yang bagus, sebab saya pernah mendengar ada surau-surau yang telah lama digunakan tapi tersalah qiblatnya. Kenapa arah qiblat yang betul itu sangat penting? Kerana salah satu syarat sah solat adalah menghadap ke arah qiblat. Bermakna, jika qiblat kita salah maka solat kita tak sah!

CARA PENENTUAN ARAH QIBLAT
Antaranya menggunakan bayang matahari, kompas dan buruj/bintang. Tetapi yang paling tepat adalah menggunakan kaedah bayang matahari searah qiblat. Saya tak akan terangkan di sini sebab belum faham sepenuhnya. Rujukan boleh didapati daripada link di bawah entri.

Sebagai alternatif, kita juga boleh menggunakan 'kompas qiblat'. Ianya sangat berguna sewaktu bermusafir di tempat yang tiada penanda arah qiblat atau arah qiblatnya meragukan. Bagi pengguna Android, antara software yang boleh digunakan adalah 'Qibla Compass'.  


RUJUKAN
Sebagai rujukan mengenai arah qiblat, korang boleh KLIK link berikut:


p/s: Nak puji lagi, surau kat AEON Bandar Mahkota ni bagus sebab luas, disediakan sabun & tisu serta ada garisan untuk beberapa saf di hadapan. Berbeza dengan surau di Alamanda, Putrajaya yang jauh lebih kecil dan berbau kurang enak..mungkin sebab terlalu sesak. Fikir-fikirkan!

Monday, 13 February 2012

Kisah Dia...

Dia...
Sahabat akrab suatu masa dulu.
Terpisah membawa haluan diri.
Kini bertemu di laman 'muka buku'.
Berbelas tahun tanpa khabar berita.
Rupanya dia menyimpan cerita duka!

Sebak...
Sewaktu membaca coretan hidupnya.
Ternyata lembaran deritanya amat pedih.
Berbanding diri ini yang tidak diuji begitu.
Bagai tak percaya ini terjadi pada dia.
Sahabat yang selalu ceria!

Dia...
Kehilangan ibu ketika diri di menara gading...
Saat diri masih memerlukan sokongan seorang ibu.
Ujian lagi, kini tunangan pula dipanggil mengadap-Nya...
Selang beberapa tahun setelah kehilangan yang pertama.
Kemudian, nyawa dirinya pula hampir melayang...
Kereta yang dipandu remuk di sebuah gaung.
Dirinya koma beberapa bulan...kesan tragedi ngeri.

Alhamdulillah...
Allah memberinya kesempatan untuk terus melihat dunia.
Dia kini terus tabah dan ceria melalui ranjau hidup!
Syukur...kami masih sempat bertemu.
Melihat ketabahan seorang sahabat seperti dia...
Membuat diri terasa kecil lalu menginsafi nikmat yang diberi-Nya!


p/s: Bila diri merasa terbeban dengan ujian hidup, ingatlah betapa ramai lagi insan lain yang sedang bergelumang dengan ujian yang jauh hebat. Cuma kita tak mengenali mereka.


Saturday, 11 February 2012

Lampu Minyak Tanah

Ada yang pernah merasa hidup di zaman takde bekalan elektrik? Bukan sebab ada gangguan tau, tapi memang belum ada bekalan lagi masa tu. Saya sempat merasa bila balik ke rumah nenek atau ke rumah makcik-makcik yang tinggal di kampung. Masa saya kecik sekitar awal tahun 80-an, bekalan elektrik masih belum sampai ke kampung-kampung di Pontian, Johor. Kebetulan semasa saya dilahirkan, keluarga kami dah pun pindah ke bandar Pontian. Jadinya memang takde masalah dengan bekalan elektrik ni.

Tiap kali balik kampung nenek, bila malam menjelma..inilah lampu-lampu yang digunakan:

LAMPU MINYAK
(sumber: google)
Yang jenis ni biasanya guna untuk dalam bilik atau ruangan yang kecik. Kelakar..sebab ada gambar perempuan cina. Macam dalam gambar kat atas tu.


LAMPU PAM
(sumber: ahmanz)
Yang ni dipanggil Lampu Pam sebab perlu dipam untuk menyalakannya. Lampu ni guna minyak tanah jugak. Sebab lampu ni lebih terang, jadinya ia digunakan pada ruangan utama seperti ruang tamu dan dapur. Saya takde pengalaman menyalakannya, sebab masa tu masih kanak-kanak lagi. Bila tengok orang dewasa pam, macam susah jugaklah.

Selain tu, ada lampu tambahan..KELIP-KELIP! Zaman dulu memang mudah jumpa kelip-kelip ni. Kalau zaman sekarang dah sangat susah nak jumpa. Mungkin habitatnya dah musnah dek pembangunan. Itulah kenangan...terasa manis bila dikenang!

Friday, 10 February 2012

Kamu Percaya Hari Akhirat?

Gambar hiasan: Senja di Kuala Terengganu.

Hari akhirat...
Hari di mana segala perbuatan BAIK dan JAHAT diberi PEMBALASAN.
Kamu percaya hari pembalasan? Jika ragu, ini penegasan Allah s.w.t.:

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud,
"Sesiapa yang melakukan kebaikan sebesar zarah akan mendapat balasan dan sesiapa yang melakukan kejahatan sebesar zarah pun akan dapat balasan."
(Surah al-Zalzalah 99 : 7-8)

Jika kamu percaya adanya hari akhirat...
Terus dan tetaplah berbuat kebaikan...sekalipun tidak mendapat pujian sesiapa.
Ikhlaslah dalam tiap pekerjaan...sekalipun tidak mendapat penghargaan sepatutnya.
Sabarlah pada ujian yang disangka musibah...sekalipun tidak terlihat hikmahnya di dunia.
dan
Takutlah untuk melakukan sebarang kejahatan...sekalipun balasannya tidak terjadi di dunia.


*Jika rasa sedih dengan kesusahan, rasa teraniaya lalu ingin membalas kejahatan orang lain...eloklah mengingati kembali janji Allah dalam ayat di atas ya. Sungguh! Di akhirat nanti, tiap perbuatan akan diadili lalu diberi pembalasan.*


p/s: Semoga entri ni memberi motivasi buat saya dan korang yang membaca, untuk terus berusaha buat baik. Percaya pada hari akhirat..itu motivasi kita!

Program Raikan Cinta!

Raikan Cinta
sumber: demascus
p/s: Korang yang tinggal berhampiran bolehlah hadir program ni ya..malam esok (sabtu).
Oh ya..dalam entri Pokok Apa?, pokok tersebut adalah 'Mengkuang Laut'. Thanks kepada Eita!

Thursday, 9 February 2012

Pokok Apa?


Gambar tak jelas..zoom dari dalam kereta je.



Gambar keseluruhan pokok.

p/s: Pokok ni banyak kat tepi pantai Terengganu. Buahnya tu seakan buah nenas.
Apa nama pokok ni ya? Teringin nak tahu..

Wednesday, 8 February 2012

Belum Daftar?

sumber: google
Korang tahu bukan, pilihanraya bakal diadakan..
Masanya untuk kita memilih siapa bakal menjadi pemimpin kita.

Ada yang tak mahu mengundi sebab merasakan politik itu kotor.
Ada juga yang merasakan undinya tak penting..tak mampu mengubah apa-apa.

Eh, mengundi itu penting tahu?
Sebab itu satu-satunya KUASA yang kita miliki..
Untuk menaikkan pemimpin yang dirasakan baik kepimpinannya.
Yang bakal mencorakkan warna Malaysia di masa hadapan.

BELUM DAFTAR?
Pendaftaran boleh dibuat di Pejabat Pilihan Raya Negeri atau Pejabat Pos Berkomputer.
Untuk info lanjut, korang boleh layari laman web SPR.
Kalau tak silap, tarikh akhir mendaftar pada 31 Mac 2012.
JOM DAFTAR!!!


p/s: Sejak layak mengundi, saya dah 2 kali membuang undi di tempat kelahiran saya..Pontian, Johor. Dua-dua kali tu parti pilihan saya kecundang. Tapi takpe, sekurang-kurangnya saya dah menyumbang undi untuk parti pilihan.


Segmen Review Blog Kami


Kali ni saya join segmen anjuran Tihara.
Cara dan syaratnya pun cukup mudah!
Untuk join, cuma perlu klik banner di atas ya.


JOM JOIN..TAMBAH KENALAN, ERATKAN PERSAHABATAN!

Tuesday, 7 February 2012

Jom 'Check': Kain Jarang!

Entri ini khusus untuk perempuan.
Sila 'CHECK' kain-kain yang kamu gayakan!
Juga untuk lelaki...ayah, suami, abang, adik & anak.
Peringatkan anak, isteri, adik perempuan, kakak & ibu kamu...

Kerana ada yang ayu berbaju kurung...
Juga ada yang santai dengan skirt labuh...
Yang sekali pandang menutup aurat lagi sopan...
Sayang kainnya jarang menampakkan bayangan dua kaki!

Eh, tahukah kamu itu tidak menutup aurat?
Ya..nampak bayangan kaki itu tidak menutup aurat.
Aurat itu...tidak nampak kaki, bentuk kaki atau bayang kaki.
Jika di dalam rumah mungkin tak kelihatan jarang.
Tapi bila di bawah panahan mentari..semuanya jelas!

Jadi...sila 'check' ya adik-adikku, kakak-kakakku.
Pakailah 'KAIN DALAM'..biar tak selesa namun aurat terjaga!
Perkara ni memang remeh..tapi jangan diremehkan.


p/s: Ingatan untuk diri sendiri juga, terkadang mengambil mudah perkara sebegini. Bersama kita perbaiki kualiti pemakaian seorang muslimah.

Bicara Si Air Mata

sumber: google
Tumpahnya air mata seorang ibu...
Tika mendengar tangisan si anak saat dilahirkan.
Itulah bicara si air mata...syukur gembira!

Tumpahnya air mata seorang ayah...
Tika lancangnya bicara si anak permata hati.
Itulah bicara si air mata...menahan kecewa!

Tumpahnya air mata seorang anak...
Tika mengiringi pemergian abadi ayah tersayang.
Itulah bicara si air mata...sedih hiba!

Tumpahnya air mata seorang umat...
Tika mendengar sirah perjuangan Rasulullah.
Itulah bicara si air mata...terlalu rindu!

Tumpahnya air mata seorang hamba...
Tika gerunnya hati mengenang dosa lalu.
Itulah bicara si air mata...insaf ketakutan!

Itulah dia si air mata...
Bahasa jiwa penuh jujur...
Luahan rasa tanpa perlu kata-kata,
Titisannya sama biar bicaranya berbeza!

*Tumpahkanlah air matamu...jika itu mampu meluah rasa di lubuk jiwa*


p/s: Kadangkala kita tak pasti tangisan kita kerana apa..ada bauran sedih, marah  juga kecewa.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...