Tuesday, 31 January 2012

Terima Kasih Tihara!

Tengahari tadi hadiah kiriman TIHARA telah selamat saya terima.
Ini adalah hadiah untuk kategori 'hadiah misteri' GA anjurannya.

TERIMA KASIH DAUN KELADI!!!

Bag Drawstring

Hadiah yang comel, cantik dan ceria ni hasil kreatif tangan Tihara sendiri tau!
Jika berminat dengan hasil kraf lain, boleh layari Craft n Crochet.


p/s: ni kali kedua terima hadiah dari Tihara, walaupun baru je kenal.

Monday, 30 January 2012

Oh, Muflis Akhirat!

Muflis dunia...tiada harta tetapi ada hutang yang tak mampu dibayar.
Muflis akhirat...bagaimana???

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud,
" Orang yang muflis dalam kalangan umatku ialah seseorang yang dibangkitkan di akhirat kelak bersama-sama dengan pahala solat, puasa dan zakat yang pernah dilakukan semasa di dunia. Namun pada masa yang sama, dia juga membawa dosa memaki hamun orang lain, memfitnah, memakan harta orang, menumpahkan darah dan memukul orang. Waktu perbicaraan, diambil pahalanya (si muflis) dan dibayar kepada mangsa-mangsa tersebut. Dan sekiranya telah habis pahalanya, diambil pula dosa-dosa mangsanya, lalu dibebankan kepada si muflis. Kemudian dia dihumbankan ke neraka!"
(Riwayat Abu Hurairah, no. 2581)

Huraian ringkas:
  • PAHALA yang dimaksudkan tidaklah hanya terhad seperti yang disebut dalam hadis di atas. Tetapi meliputi segala amal soleh yang lain.
  • DOSA yang disebutkan pula semuanya berkait dengan hubungan sesama manusia.

Cara elak menjadi muflis akhirat:
  • tidak melakukan dosa terhadap manusia lain.
  • jika dah melakukan, MOHON MAAF. Jika hak orang yang kita ambil, pulangkan.
(ringkasan artikel Solusi isu 20)

p/s: Hmm..mulalah terfikir-fikir. Sangat takut muflis, sebab pahala yang ada pun sikit..tu pun kalau ada. Teman-teman blog, maafkan daku jika ada kesilapan!


Berani Jujur?

Jujur...itu bercakap benar, berterus terang, tidak berselindung.
Dalam mana-mana perhubungan kita memang perlu jujur.
Biar mudah melalui hari mendatang tanpa sebarang masalah.

Soalnya..jujurkah kita dalam perhubungan sesama teman blogger?
Kita berkomunikasi melalui ruangan komen di entri.
Kerana itu medium perhubungan kita yang paling biasa.
Lalu...jujurkah komen yang kita beri?
Pada sebuah entri yang kita memang TIDAK SETUJU atau TIDAK SUKA!

Saya?
Lebih suka sekadar membaca, kemudian berlalu tanpa komen.
Daripada berkata jujur lalu membuat teman blogger menjeruk rasa.
Saat itu kejujuran tak terpakai lagi...
Tidak rela rasa jujur akhirnya membunuh kuntuman persahabatan!
Saya belum berani...


p/s: Sebenarnya jarang sekali jumpa entri yang betul-betul saya tak setuju atau tak suka.

Thursday, 26 January 2012

Terengganu: Sotong Celup Tepung

Kali ni saya nak cerita satu tempat makan yang menarik dan sedap di Pantai Batu Rakit, Kuala Terengganu. Sebenarnya kedai ni turut menjual keropok lekor, udang & ikan celup tepung. Tapi yang paling popular ialah sotong celup tepung. 

Lokasinya terletak di tepi jalan pesisir Pantai Batu Rakit. Di situ terdapat banyak kedai-kedai yang menjual makanan begini. Atas syor, kami memilih Warong Pok Nong. Melihat ramai orang sedang menjamu selera, membuktikan 'kesedapan' hidangan kat sini. 

Di sini, kita perlu layan diri untuk memilih sendiri udang/ikan/sotong yang dah siap digoreng celup tepung. Gunting disediakan untuk kita memotong sendiri hidangan pilihan tadi. Harga? Sotong dari RM7-9 seekor mengikut saiz. Sotongnya memang besar-besar tau. Udang pulak RM2 bagi 5 ekor dan ikan RM3 seekor. Memang sedap dan rangup tepungnya! Kalau makan di sini order juga air kelapa atau ABCnya yang istimewa sebab ada aiskrim. Pakcik pemilik kedai ni pun sangat peramah, bila pelanggan dah kurang dia mendekati kami dan berbual-bual.

Lepas makan, boleh terus ke seberang jalan untuk menikmati keindahan Pantai Batu Rakit secara lebih dekat. Pasirnya memutih dan lautan yang membiru, memang mengasyikkan. Seronoknya jadi penduduk tempatan di sini..

Indah dan mendamaikan..Maha Suci Allah yang menjadikannya.

Kalau korang sampai Kuala Terengganu jangan lupa singgah makan di sini. Saya sendiri sangat berharap ada rezeki untuk kembali..


p/s: Terima kasih kepada Telor Power atas entri dengan gambar-gambar Mossy Forest!


Book Your Tour, Hotel, Flight, Car Hire HERE!

Terima Kasih Kepada...

Selama menulis blog ni, saya belum pernah buat entri khusus untuk mengucapkan terima kasih kepada teman-teman blogger yang memberi hadiah. Semalam saya baru je terima hadiah yang di pos oleh cik adik Yana Prettywrite, terus terfikir nak buat entri begini.

sumber: google

TERIMA KASIH kepada blogger-blogger berikut:
  1. ibrahzine.com - peraduan pertama yang saya join dan menang saguhati baju kaftan.
  2. Ummi - dapat hadiah saguhati juga..top-up RM5.
  3. Achie - juga kepada Eyda sebagai penganjur bersama. Sekali lagi saguhati..top-up RM10.
  4. Tihara - main teka nama tumbuhan..hadiahnya 'blog review'. Bagus sebab boleh promosi blog saya!
  5. Yana Prettywrite - main teka harga tuala pulak..hadiahnya keychain permata biru. Saya suka biru!
Semoga teman-teman yang murah hati ni akan terus berjaya dalam dunia blog! Terima kasih daun keladi...

Wednesday, 25 January 2012

Papan Iklan di Kelantan

Perkara yang UNIK di Kelantan, tetapi hampir lupa untuk saya ceritakan..mengenai papan iklan dan papan notisnya. Terima kasih kepada Munnafendy yang sebut mengenai papan iklan tulisan jawi dalam komen entri sebelum ini.

Papan Iklan Dengan Model Menutup Aurat

(sumber: blog aneroid)
Saya terlupa nak ambil gambar begini, ni mohon ambil dari blog aneroid.
Belum pernah saya temui negeri yang mewajibkan semua papan iklan mesti ada tulisan jawi dan model perempuan mesti menutup aurat. Jika ke Kelantan, kita akan dapat melihat wajah-wajah selebriti seperti Fara Fauzana dan Maya Karin ayu bertudung dengan pakaian yang sedap mata memandang. Bagaimanapun menurut blog aneroid, gambar ini diambil di Kedah. Nampaknya Kedah dan Kelantan sama ya.

Kenapa perlu model iklan menutup aurat? Kerana ia mendidik secara tak langsung agar para muslimah berpakaian menurut syarak dan masyarakat non-muslim pula lebih memahami Islam daripada perspektif cara berpakaian. Papan iklan begini juga mewujudkan suasana keislaman, sesuai dengan Malaysia sebuah negara Islam menurut perlembagaan.

 
Papan Tanda Niaga Tulisan Jawi

Maaf, yang ni tiada gambar nak ditunjukkan. Papan tanda perniagaan di setiap premis perniagaan di sini turut disertakan dalam tulisan jawi. Samada ia bank, kedai bengkel kereta milik kaum cina...semuanya tak terkecuali. Kadang-kadang ada perkataan yang agak kelakar bila ditulis dalam tulisan Jawi. Apa pun ia satu usaha murni untuk memartabatkan tulisan Jawi yang kian dilupakan.


Papan Notis Peringatan

Harap boleh baca, gambar ni diambil secara tergesa-gesa.
Papan notis ni saya temui di tepi sungai Kelantan, iaitu berhadapan hotel penginapan kami semasa di KB. Kedudukannya memang sesuai sebab kawasan ni menjadi tumpuan orang ramai berkumpul, terutamanya di sebelah petang dan malam. Adanya notis peringatan begini, sekurang-kurangnya pihak kerajaan negeri sudah ada usaha untuk mencegah perbuatan tidak sopan yang menyalahi syarak.


p/s: Berbahagialah menjadi rakyat Kelantan kerana mempunyai pemimpin yang berani buat usaha sebegini. Walau nampak kecil, tapi amat besar maknanya!

Tuesday, 24 January 2012

Kelantan: Syurga 'Shopping' & Makanan

Syurga 'shopping' dan makanan...itu pendapat saya.
Sebab harga barangan yang lebih rendah dari yang biasa ditemui.
Sebab makanannya yang sangat pelbagai..sampai tak sempat nak cuba banyak.
Yang dah cuba makan pun tak ingat namanya..banyak!

Ok, ni saya nak cerita sikit-sikit je sekadar untuk pengetahuan/panduan.

Nasi Kerabu Golok

Saya makan yang ni..nasi kerabu dengan ayam bakar.
Malam pertama di Kota Bharu, kami makan di kedai makan Nasi Kerabu Golok. Ini atas syor seorang kawan. Katanya kedai ni terkenal. Memang terkenal pun sebab boleh ada dalam carian GPS! Pendapat saya? Ayam bakarnya memang sedap! Tapi nasi kerabunya belum boleh menang lagi. Sebab saya dan suami pernah makan nasi kerabu yang lebih sedap daripada ni di KB. Malangnya kami tak dapat ingat lokasi kedai tersebut sebab dah beberapa tahun berlalu. Kalau terjumpa kedai tu Insyaallah boleh ingat lagi.


Pasar Besar Siti Khadijah

Gambar atas- kain bahan & tudung bawal yang cantik2 bagai menggamit utk dibeli!
Gambar bawah- pasar basah.

Tempat WAJIB pergi jika datang ke KB ni. Nama asal pasar ini adalah Pasar Besar Buluh Kubu. Di sini daripada barang basah sampai barang kering semuanya ada. Dengan berjalan-jalan di sini saja, kita dah boleh membeli bermacam barangan. Tapi kenalah pandai tawar-menawar tau!

Tips: Sebelum membeli sesuatu barang, cuba bertanya di beberapa buah kedai untuk membuat perbandingan harga. Sekurang-kurangnya dua kedai. Ni sebenarnya peraturan asas untuk membeli-belah.


Kompleks Bebas Cukai Rantau Panjang
Tempat ni RUGI kalau tak pergi sebab saya dapati harga barangnya lebih murah berbanding di Pasar Khadijah. Tapi mungkin juga sebab kami berkunjung ke sini pada waktu pagi dan menjadi pelanggan pertama mereka. Jadinya mudahlah mendapat harga yang memuaskan hati. Ada satu kedai tu, siap sapu duit yang kami bayar ke barang jualan di kedainya! Tanpa berlengah dan depan mata kami. Petua pembuka rezeki haritu kot..

Bagi yang ingin membeli peralatan dapur dan set pinggan yang berjenama (tefal, luminarc, vision dll.) bolehlah membeli di sebuah kedai di sini. Kedainya terletak sebaris dengan ATM Maybank. Barangan dijual dengan harga lebih rendah dan sesetengahnya ada tambahan diskaun yang menarik. Kalau tak kerana kekangan kewangan dan memikirkan muatan kereta yang terhad, memang banyaklah yang nak dibeli.

(entri lain yang berkaitan: Hentian Gua Musang dan Penginapan di KB)

p/s: Part kat Kelantan ni tak banyak gambar, sebab sibuk cuci mata tengok pelbagai barangan!

Monday, 23 January 2012

Jalanraya Hari Ini...

Cuti umum yang panjang..membuatkan jalanraya hari ini lengang.
Gambar ni diambil tengahari tadi di Balakong. Jalan menuju ke Jusco Cheras Selatan.
Susah nak dapat jalan ni kosong begini tau..syok jugak!



Petangnya dalam perjalanan balik...hujan sangat lebat, angin kuat, kilat dan petir.
Jalan-jalan di Bangi pulak yang banjir. Banjir kilat.
Sehingga ada jalan yang tak boleh dilalui sebab air memenuhi seluruh laluan.


Itulah kisah di jalanraya hari ini..hari cuti umum sempena Tahun Baru Cina.

p/s: Maaf, entri entah apa-apa. Rasa nak jadikan entri..

Saturday, 21 January 2012

Hentian Gua Musang & Penginapan Di Kota Bharu

(Dalam entri sebelum ini, saya ada sebut mengenai percutian ke Pantai Timur - Kelantan & Terengganu. Ini sambungannya..saya catatkan untuk panduan bagi yang ingin ke sana.)

Perjalanan dari Bangi ke Kota Bharu (KB) melalui laluan Lebuhraya Karak - Kuala Lipis - Gua Musang mengambil masa hampir 8 jam. Sempat singgah bersarapan Nasi Lemak di Benta, Pahang. Juga berhenti di beberapa stesen minyak untuk meregangkan badan dan ke tandas.

Hentian Gua Musang
Tiba di Gua Musang, kami singgah sebentar di Hentian Gua Musang yang baru dibuka kira-kira 3 bulan lalu. Pada mulanya kami menyangka ini adalah R&R Gua Musang. Tandasnya bersih, wangi dan siap ada iringan muzik! Keadaan lengang, selain kami berempat (saya, suami dan dua ahli keluarga) tak kelihatan pengguna lain selain pekerja di situ. Stesen minyak juga belum beroperasi.
Hentian Gua Musang

Destiny Hotel
Untuk malam pertama kami memilih tinggal di Destiny Hotel, sebuah hotel bajet yang terletak di tepi Sungai Kelantan dan bersebelahan dengan Pelangi Mall. Ini merupakan kali kedua saya menginap di sini selepas beberapa tahun lalu. Kadar harga daripada RM59.90 sehingga RM79.90 sahaja! Sesuai dengan harga, biliknya kecil tetapi bersih dan tiada sarapan pagi. Setakat untuk tidur di malam hari memang tiada masalah bagi kami. Bila tinggal di sini bolehlah menyaksikan pemandangan indah sungai di waktu senja dan menikmati ketenangan di awal pagi. Bagi yang berminat, boleh hubungi 09-743 5252.

Sebaris dengan Destiny Hotel, terdapat juga Ridel Hotel. Harganya lebih tinggi sedikit tetapi menyediakan sarapan pagi. Semasa berkunjung ke KB beberapa tahun lalu, saya pernah juga menginap di hotel ini. Tetapi agak kecewa dengan kebersihan tandas/bilik mandinya. Selepas tu saya ada membuat aduan, harap-harap mereka sudah ambil perhatian.
Kanan- Destiny Hotel & Ridel Hotel terletak di bangunan ini.
Kiri- Deretan kerusi & meja makan di hadapan bangunan..meriah di malam hari.

Semasa tiba, kami dapati di tebing sungai dipenuhi kayu dan dahan pokok. Paras air sungai juga kelihatan tinggi dan mengalir deras. Terdapat 'rumah jeti' yang rosak teruk. Maaf, saya tak tau nak sebut apa. Tapi kelihatan jet ski dan bot di situ.

Beginilah keadaannya...
Tune Hotel
Malam berikutnya kami memilih Tune Hotel sebab nak merasa hotel yang masih baru ni. Lokasinya terletak bersebelahan KB Mall. Tempahan secara online dibuat awal seminggu dari tarikh dan harga yang kami perolehi sekitar RM60 termasuk caj tambahan 'Comfort Package' (12hours air-cond + towel + toiletries kit). Sangat berbaloi sebab bilik agak luas dan mudah bergerak. Tips: Kipas siling memang tersedia, jika tak suka guna air-cond tak perlu add on air-cond. Kecuali dimusim panas, air-cond memang perlu. 
Double Room
Inilah rupa dalaman bilik penginapan kami.
(sumber: website Tune Hotel)
Ok, entri seterusnya saya akan cerita mengenai tarikan pelancongannya pulak. SELAMAT BERCUTI!                                    


Book Your Tour, Hotel, Flight, Car Hire HERE!

Friday, 20 January 2012

Perjalanan Yang Panjang...

Setelah enam hari tak membuat sebarang entri,
Terasa kaku jemari dan beku fikiran untuk menulis sesuatu.
Perjalanan yang panjang juga membuat badan rasa letih dan lesu,
Walau ada seronok dan gembira dek makan-makan dan membeli sikit-sikit.
Syukur kerana perjalanan ke Kelantan & Terengganu ni selamat pergi jua kembali.

Pada mulanya agak risau mendengar berita banjir di sana.
Tambahan pula buat pertama kalinya akan melalui laluan Gua Musang untuk ke KB. 
Tapi Alhamdulillah air banjir tu tidaklah melimpah ke laluan jalanraya.
Dan sepanjang empat hari di kedua-dua negeri tersebut juga tiada hujan lebat.
Sekadar hujan sekejap-sekejap dan gerimis sekali-sekala.
Tiada masalah langsung untuk kami berjalan-jalan di sana.

Bercuti di luar waktu puncak memang memberi banyak kelebihan.
Jalanraya tak sesak, mudah mendapat hotel mengikut bajet sendiri.
Tempat-tempat tumpuan pelancong semuanya lengang dan mudah mencari parking.
Yang penting mendapat harga yang menarik semasa membeli-belah!


p/s: Sedikit cerita sepanjang bercuti akan menyusul kemudian.

Friday, 13 January 2012

DUA WAJAH: Tahanan Tanpa Bicara


Tajuk: Dua Wajah : Tahanan Tanpa Bicara
Penulis: Syed Husin Ali
Penerbit: SIRDC (penerbit semula)
Harga: RM20
Muka surat: 176


Buku ini mencatatkan pengalaman sebenar penulis, Syed Husin Ali (SHA) selama menjadi tahanan hampir ENAM tahun di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Beliau ditahan berikutan demonstrasi pelajar yang menyokong petani-petani di Baling dan membantah kemiskinan serta kenaikan harga barang pada tahun 1974. Catatan ini hanya mewakili secebis pengalaman daripada beribu-ribu yang pernah ditahan di bawah ISA dan masing-masing dengan pengalaman yang berbeza.

SHA telah ditahan mulai tahun 1974 sehingga tahun 1980. Bagaimanapun atas alasan tertentu, catatan ini hanya diterbitkan setelah lebih 15 tahun berlalu iaitu pada tahun 1996 (cetakan pertama). Dan saya sendiri baru tadi selesai membacanya, iaitu setelah 15 tahun ia diterbitkan!

Sedikit petikan daripada buku ini...
Tui, tui, tui. Aku merasa ludahnya panas meleleh di mukaku. Aku paling ke lain. Dia ikut mukaku. Diludahnya lagi beberapa kali, bertalu-talu. Apabila aku cuba mengesat dengan baju, dimarahnya aku. "Alhamdulillah," kataku. Aku senyum. "Celaka budak ini. Semuanya tak tahu. Biarkan dia di sini. Jangan beri dia tidur." Dia pun keluar dengan muka yang marah.

Saya membaca buku ini dengan perasaan yang berbaur...SEDIH bila terpaksa berpisah lama dengan anak isteri, JIJIK bila terpaksa menggunakan tandas yang hancing berlumut, MARAH bila tiada undang-undang yang mampu membela nasib tahanan ISA, dan akhirnya KAGUM dengan ketabahan SHA serta tahanan lain yang mampu mengharungi deraan mental serta fizikal selama bertahun lamanya. Walaupun dikatakan ada yang membunuh diri dan menjadi kurang siuman, tetapi masih ramai yang bertahan.

Saya membayangkan jika saya berada di tempat para tahanan ISA ini, atau menjadi anak/isteri mereka. Tentu berat sungguh melalui detik sukar ini! Detik apabila seseorang ditahan selama bertahun lama tanpa dibicarakan kesalahannya, sungguh tidak adil dan zalim!

TERKINI...kerajaan akan menggubal akta baru bagi menggantikan ISA. Bagi saya, tak perlu ganti tetapi perlu pindaan semula terutamanya dari segi jangkamasa penahanan tanpa bicara seseorang. Juga perlu diperincikan prosedurnya supaya tidak menjurus kepada penganiyaan dan berbuat zalim.

*untuk kisah tahanan lain yang menerbitkan rasa sebak dan mengundang tangis, sila KLIK DI SINI.


p/s: Ini bukan entri hasutan atau berbaur politik, sekadar menceritakan buku yang baru saya baca dan memberi pendapat mengenainya.

Thursday, 12 January 2012

Main Lawan 'King'

Lebih kurang ginilah rupa labah-labah 'King'
(sumber: google)
Mengimbau kenangan lalu...
Main lawan 'King' semasa di sekolah rendah.
Dulu memang Pengawas..tapi tetap ganas.
Setiap hari bekal 'King' dalam kotak mancis,
Ada masa..terus berlawan dengan kawan-kawan.
'King' siapa berundur..dia kalah!

Tak kenal 'King'?
Ia labah-labah kecil warna hitam bercampur putih.
Rupanya seperti dalam gambar di atas.
Bukan sebarang labah-labah ya.
Perlu cari disebalik daunan disekeliling rumah.
Hampir tiap petang terhendap mencarinya.

Mak selalu bising..
Berdosa melagakan binatang!
Tapi budak-budak memang tak pernah peduli...

Itu kisah saya lewat tahun 80-an.
Itulah antara game kami tika itu!
Ada yang pernah main lawan 'King'?
Kalau ada, kamu tentu sudah tua seperti saya!


p/s: Minggu depan mungkin takde entri, nak berjalan melihat bumi Allah...
Nak buat auto publish, takde idea pulak. Setakat b/w guna h/p bolehlah.

Wednesday, 11 January 2012

Larangan Bertudung..Bagaimana Kita?

Ratusan Orang Islam Bantah Larangan Bertudung Di Sebuah Sekolah Di Bangkok

BANGKOK: Ratusan penduduk Islam mengadakan perhimpunan secara aman di hadapan Pejabat Perdana Menteri di sini pada Selasa bagi membantah tindakan sebuah sekolah menengah aliran Buddha melarang seorang pelajar Islam memakai tudung.
Muslim Group for Peace menyifatkan Sekolah Menengah Wat Nongjok di sini yang tidak membenarkan seorang pelajar Islam memakai hijab atau bertudung kepala sebagai satu tindakan prejudis terhadap Islam.
Mereka berkata tindakan sekolah itu bertentangan dengan peraturan pakaian seragam sekolah yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran memandangkan seorang pelajar mempunyai hak untuk memilih pakaian seragam.
"Sebenarnya, Kementerian Pelajaran telah menghantar surat yang menandakan tindakan sekolah itu sebagai salah laku," menurut satu kenyataan yang dikeluarkan kumpulan itu di tempat perhimpunan.

(Petikan berita dari mstar online)

*************************************

Walaupun larangan bertudung ni berlaku hanya di sebuah sekolah di Thailand, tetapi kesungguhan penduduk Islam di sana mempertahankan syariat menutup aurat amat dikagumi. Bagaimana dengan kita penduduk Islam di Malaysia yang tiada larangan sebegini? Sudahkah semua pelajar Islam kita memakai tudung untuk menutup aurat? Adakah mereka memakai kerana tunduk dan patuh pada perintah Allah, atau kerana ikut-ikutan? Tamat masa persekolahan...tamat sudah masa untuk menutup aurat. Itu yang harus kita fikirkan dan ambil pengajaran apabila membaca berita sebegini.

Untuk anak/adik yang baru belajar menutup aurat, perlu diterangkan bahawa ia adalah perintah yang wajib daripada Allah. Ia bukan satu pilihan samada mahu menutup aurat atau tidak, bagi insan yang mengaku dirinya Islam.

Tuesday, 10 January 2012

Jodoh Pilihan Keluarga?

sumber: google
Di suatu pagi seusai solat Subuh...
Dikejutkan dengan satu panggilan telefon.
Panggilan jauh dari desa nan tercinta.
Hati merasa curiga, seolah ada khabaran penting.
Oh, apakah itu?

"Ada kawan bapa datang merisik kamu semalam,
untuk anak lelakinya yang belajar di Mesir."
Lontaran kata yang membuat dunia seakan terhenti.
"Jika setuju, lagi beberapa bulan kamu akan bernikah."
Kali ini nafas terasa terus terhenti...

Tak penah kenal, apa lagi bersua muka...
Tiba-tiba akan menjadi suami isteri.
Terasa pelik lagi aneh di zaman moden begini.
Memang tak salah, tapi rasa serba-salah.
Hati berat menerima, tapi mulut berat untuk menolak.

Jodoh pilihan keluarga...masih sesuaikah di zaman ini?
Sedang diri masih mampu mencari pilihan sendiri!


p/s: Jangan kaitkan dengan saya...saya dah pun berkahwin dengan pilihan sendiri. ^__^


Monday, 9 January 2012

Jahil Di Zaman IT

Tahu 'Surat Berantai'? Zaman saya sekolah dulu memang pernah dapat surat begini. Isinya berkisar keagamaan, bila membacanya kita rasa surat tu sangat bagus sebab berbicara mengenai agama. Lagi-lagi kita yang membacanya ni agak jahil agama. Kemudian di hujung surat dinyatakan yang kita perlu sebarkan surat tu, dengan ancaman jika tidak kita mendapat bencana! Ramailah yang takut dan mula buat salinan (photostat) untuk edarkan pada kawan yang lain. Betul-betul bencana sebab terpaksa keluar duit buat photostat surat tu banyak-banyak. Tapi masa tu saya tak buat sebab sayang duit..

Bila tiba zaman SMS, tersebar pulak benda yang sama dalam bentuk SMS! Ada yang bagitau saya, dia sebarkannya sekadar suka-suka dan bukan sebab percaya isi SMS tu. Saya tak percaya jawapan tu!. Untuk apa buang duit jika sekadar suka-suka? Pastinya dia percaya dan takut dengan ancaman di penghujung SMS.

Dan kini bila IT kian berkembang, saya menerimanya pula di Facebook! Sungguh tak percaya...masih ada yang jahil benda begini di zaman IT. Asal ada unsur agama, terus nak sebarkan.

sedikit petikan isi 'surat berantai'

Kenapa tak boleh percaya?
  • TAK LOGIK. Bagaimana sepucuk surat boleh menjamin manfaat/bencana dalam hidup kita? Macamana dia nak tahu kita dah sebarkan atau belum? Sesungguhnya hanya Allah yang berkuasa ke atas kita hamba-Nya.
  • TAK KENAL SIAPA PENGIRIM ASAL. Memang dia ada sebut nama orang tertentu, tapi kita tak kenal siapa dia. Bagaimana kita boleh mudah percaya pada orang yang tak dikenali? Kemudian mudah saja ikut arahan dia.

Jadinya, teman-teman sila jangan sebarkan jika terima surat berantai. Jangan jadi JAHIL DI ZAMAN IT! Nasihatkan juga anak, adik dan kawan-kawan yang percaya pada perkara begini. Menjadi agen penyebar pada perkara yang salah juga turut mengheret kita ke kancah dosa.


Saturday, 7 January 2012

'Outing' Budak Asrama

Kalau hujung minggu begini memang paling dinantikan oleh budak-budak asrama. Masa ni la boleh keluar ke bandar, kami panggil 'outing'. Atau sekurang-kurang dapatlah lari dari rutin biasa...pagi sekolah - petang kelas 'prep.' - malam kelas 'prep.' lagi!. Tapi ni cerita dulu-dulu masa tahun 90-an...sebab sekarang memang tiap minggu atau dua minggu sekali budak asrama wajib balik rumah pun.

Kat sekolah saya masa 'outing' ni pun bukan boleh setiap minggu, tapi dua minggu sekali saja bergilir antara perempuan dan lelaki. Kalau minggu ni pelajar putera (lelaki), minggu depan barulah pelajar puteri (perempuan) boleh 'outing'. Masa yang dibenarkan pun selepas kelas 'prep.' pagi hari Sabtu dan selepas pemeriksaan bilik dorm pagi hari Ahad. Mesti balik selewat-lewatnya pukul 6 petang. Kalau tak kena mengadap warden asrama yang garang!

Apa buat masa 'outing'? Makan-makan, beli barang makanan seperti Maggi, coklat, biskut, barang keperluan diri dan kadang-kadang ikut balik ke rumah kawan-kawan di sekitar Seremban. Masa tu memang tak banyak pusat membeli-belah, jadinya takde la sangat nak merayau mana. Tengok wayang pun tak pernah sebab tu melanggar peraturan sekolah. Macam boring je kan?? Tapi masa tu rasa seronok je, asal dapat lepas dari kawasan sekolah pun dah kira best!

Korang yang pernah duduk asrama pun mesti ada kenangan tersendiri kan? Kalau yang lelaki biasanya lebihlah ceritanya, budak perempuan ni tak berapa berani. Paling berani pun ada yang tukar uniform batik tu ke baju biasa. Itu pun dah teruk kena marah dan mengadap Guru Disiplin!


p/s: thanks sudi baca cerita masa lalu saya yang panjang ni...

Friday, 6 January 2012

Nasihat atau Celaan?

sekadar gambar hiasan..sebab cantik!

"Barang siapa yang menasihatimu secara sembunyi-sembunyi, maka dia benar-benar menasihatimu. Dan sesiapa yang menasihatimu di depan umum, maka sebenarnya dia sedang menghinamu..."
(Imam al-Syafii)


"Seorang Mukmin menutupi kesalahan seseorang lalu menasihatinya. Tetapi seorang pembuat dosa mengisytiharkan lalu mencelanya"
(Fudhail bin 'Iyadh)


NASIHAT adalah perbuatan atau kata-kata yang bertujuan memberi kebaikan kepada orang lain. Tetapi jika kita rasa bangga ketika nasihat diterima atau rasa marah ketika nasihat ditolak, maka itu petanda ia nasihat yang tidak ikhlas. Kerana orang yang ikhlas menasihati kerana Allah tidak akan marah jika nasihatnya tak didengari, tapi boleh melahirkan rasa sedih.

ADAB memberi nasihat ialah dengan menyampaikannya secara sembunyi, bukan di hadapan orang lain atau orang ramai.

(sumber: Solusi isu 8)


p/s: Rasanya JIKA dalam entri Ustaz Azhar & Gitar saya letakkan link blogger terbabit, saya jadi berdosa kerana menyebarkan / mengisytiharkan kesilapannya. Hmmm..niat yang baik kalau tak kena cara jadi perkara tak baik pulak ya!
Nak nasihat secara umum boleh, asal jangan sebut atau kaitkan dengan individu tertentu.

Thursday, 5 January 2012

Pohon Cinta

sumber: google

Pohon cinta...
Tumbuhnya perlu disiram dibaja,
Agar tidak kering lalu layu begitu saja,
Hingga akhirnya pohon cinta itu mati jua.

Pohon cinta...
Sirami dengan senyuman mesra,
Lafazkanlah ayat-ayat cinta,
Berikan belaian tulus dari jiwa.

Pohon cinta...
Bajai dengan rasa saling percaya,
Tinggikan rasa saling menghormati,
Raikan dengan saling memberi.

Pohon cinta...
Tanamlah dengan rasa cinta kepada-Nya,
Moga cinta itu membawa kita pada Yang Maha Pencipta,
Bukan cinta yang mengheret kita ke jalan neraka!


*Rasa cinta ibarat pohon, tumbuhnya tidak menjanjikan subur selamanya!*


p/s: Entri cinta ni memang untuk suami & isteri...tapi boleh disesuaikan untuk cinta kepada ibu bapa, keluarga dan kawan-kawan juga!

Tuesday, 3 January 2012

Ustaz Azhar & Gitar

Pada malam tahun baru yang lalu, Ustaz Azhar Idrus (UAI) menyertai program Countdown 2012 di Dataran Shah Alam, Selangor. Program ini turut disertai oleh Zizan Raja Lawak, Sham Kamikaze, Imam Muda Asyraf dan Ustaz Syed Norhisham. Khabarnya juga program ini mendapat sambutan sangat menggalakkan apabila lebih kurang 70 000 orang yang hadir pada malam itu. SYABAS! kerana berjaya menganjurkan program alternatif bagi orang muda yang ingin meraikan kedatangan tahun baru. Sayang sekali, saya tidak menghadiri atau menyaksikan secara live program yang lain dari kebiasaan ini..

sumber: google
Bagaimanapun, bukan semua orang merasa senang dengan perkembangan begini. Ada blogger yang dengan mudahnya menuduh UAI sebagai SESAT dan pelbagai lagi kata-kata tidak elok, yang jika saya tulis pasti menyalakan api amarah kita.

Antara yang menjadi pertikaian adalah apabila UAI bermain gitar dalam program tersebut. Betul, menurut pengetahuan saya selama ini memang alat muzik bertali adalah dilarang dalam Islam. Tetapi jangan lupa juga bahawa untuk hal-hal begini memang terdapat perbezaan pendapat dikalangan ulama'. Bila ada perbezaan pendapat, ia membawa maksud bermain gitar boleh jadi haram atau harus mengikut keperluan semasa. Oleh kerana UAI yang kita kenali adalah seorang yang ahli (pakar) dalam agama Islam, saya yakin dan percaya beliau pastinya melakukan perkara yang tidak bercanggah dengan agama. Saya tidak akan mempertikaikan tindakannya bermain gitar kerana saya sedar setakat mana ilmu agama saya.

Jadinya saya juga berharap blogger lain tidaklah sewenang-wenangnya menuduh sesat pada perkara yang bukan kepakaran kita. Ingat itu!

Untuk mengikuti perkembangan UAI, sila ke http://ustazazhar.net/v01/ dan LIKE di sini.


p/s: Saya tak letakkan link blogger tersebut, sebab tak mau korang layan hal begini. Dan kita pun tak tau apa agenda blogger tersebut..nak glamour, trafik atau nak melagakan umat Islam?

Sunday, 1 January 2012

Misteri Hidup

sumber: google

Semalam...
Ku tinggalkan semalam 2011 yang penuh cerita,
Bauran pelbagai rasa melingkari jiwa,
Biar ada indahnya manis dan peritnya pahit,
Itulah hidupku yang tertulis.

Hari ini...
Datangnya 2012 membawa misteri hidup,
Hidup yang memang penuh rahsia dan misteri,
Tak siapa menjangka ada apa dengan hari esok,
Entah ada senyum atau tangis.

Begitu misterinya hidup,
Membuat hati bersoal...
Apakah misteri hidup seterusnya?


*Persiapkan dirimu dengan minda yang positif, berbekalkan ilmu dan iman untuk menghadapi cerita hari esok yang tak pasti...itulah MISTERI HIDUP!*


p/s: Apapun, syukur terhadap Allah atas indahnya 2011 berbanding tahun sebelumnya! 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...