Friday 30 November 2012

Satay Southern Fresh


Hidangan makan malam tadi. Sate segera jenama Southern Fresh, keluaran PPNJ (Pertubuhan Peladang Negeri Johor). Ada 20 cucuk dan dijual dengan harga RM9.50 sebungkus (cuma 48sen secucuk). Dah pernah beberapa kali beli, rasanya memang tak mengecewakan.


Sebelum tu saya dah rebus ketupat segera untuk dimakan bersama sate ni.

Boleh digoreng atau dibakar. Sebelum ni saya goreng dalam periuk kecil, sebab tak mau tergoreng lidi dia sekali. Masa goreng tu, baunya memang meyelerakan sangat. Tapi untuk malam tadi saya 'bakar' guna Microwave Oven. Baunya memang tak naik, tapi rasanya masih tetap sedap! 

Sate ni tak disertakan kuah kacang. Tapi taklah kering macam sate biasa. Ianya penuh berempah dan sedap dimakan walau tanpa kuah kacang. Kiranya kalau sesekali nak kelainan, bolehlah cuba makan sate tanpa kuah ni. 

Kat mana nak beli? Sebenarnya susah sikit nak jumpa. Yang ni suami saya beli kat MAHA di Serdang petang semalam. Selain tu boleh cari kat Tesco (Shah Alam), Jalan Banang (Batu Pahat, Johor) dan kat kedai jualan di kilangnya yang terletak di Machap, Simpang Renggam (Johor). Ni menurut kata penjual semalam, mungkin ada kat tempat lain jugak. Kalau korang terjumpa, tak rugi beli dan mencubanya sendiri.

Wednesday 28 November 2012

Sutra Beach Resort

Dua hari tak menulis diblog, kelmarin (Isnin) melalui perjalanan yang panjang dari Setiu ke Bangi. Sampai rumah hampir jam 12 tengah malam. Sebabnya saya dan suami banyak menyinggah. Semalam (Selasa) seharian kepenatan, banyak benda nak dikemas. Tanaman pasu pulak semua mati, tinggal satu je yang bertahan-Lidah Jin. 

15 hari tinggal kat resort membuatkan saya rasa lain macam bila balik rumah sendiri. Kembali buat kerja rumah, takpe lagi. Tapi nak melupakan irama ombak dan indahnya pantai, itu bahagian yang terasa berat. Ada rindu! Disebabkan dah duduk lama, haruslah saya cerita pasal resort ni pada sudut pandangan saya.

Ada 3 jenis bilik: Standard, Deluxe Garden View & Deluxe Sea View. Untuk lebih lanjut, korang boleh ke laman web Sutra Beach Resort. Sekarang ni harga turun sikit sebab musim tengkujuh. 

Pemandangan dari balkoni bilik 'Sea View'. Bilik jenis ni sangatlah sesuai untuk korang yang nak berbulan madu sebab pemandangan yang terus menghadap lautan. Sangat dekat dengan pantai, terutamanya waktu malam bila air pasang. Pulau yang ada tu-Pulau Bidong. Pulau yang pernah diduduki 'orang hanyut' Vietnam. Dah boleh dikunjungi (day trip), tapi sekarang musim tengkujuh semua pulau ditutup. Kat balkoni ni disediakan dua kerusi, bolehlah bersantai dengan selesa. Bila waktu makan tengahari, saya dan suami lebih selesa duduk bersila kat lantai kayunya. Terasa ala-ala berkelah tepi pantai gitu.

Ni pemandangan kolam renang dari pintu hadapan bilik saya. Saya suka mengintai bila waktu hujan, cantik tengok titisan air atas permukaan kolam. Cuma yang kurang best (hal kecik je), takde laluan khas untuk ke bilik-bilik di blok ni. Setiap kali tu kena lalu tepi kolam renang. Kalau tengah penuh orang tu, memang terasa segan. Yang bangunan putih tu, blok Standard Room.

[Gambar kat atas ni warnanya suram, sebab lepas hujan.]
Saya rasa selain dari dekat dengan pantai, tarikan utama resort ni adalah kolam renangnya yang luas dan berkonsepkan 'Infinity Pool'. Kalau tengok tu macam bersambung je kolam renang dengan lautan luas. Rekaan kolamnya pun menarik. Kolam paling dalam- 1.4meter. Saya sempat masuk, airnya sampai paras leher saya. Kolam renang ni sentiasa meriah sebab cuti sekolah, terutamanya Jumaat-Ahad. Untuk hari biasa, sedikit lengang terutamanya pada waktu pengunjung 'check-out'/'check-in'. Untuk korang yang ada anak-anak, kolam renang ni memang sesuai untuk bersantai sekeluarga. 

Kafe ni berkonsep terbuka, takde dinding. Menghadap kolam renang tadi dan lautan. Memang best. Tapi saya cuma makan untuk sarapan je lah sebab dah masuk dalam harga bilik. Selain dari tu memang tak sanggup, mahal tak agak. Untuk sarapan, menunya kurang menarik bagi saya. Sebab takde kuih-muih. Tiap-tiap hari saya makan nasi (nasi dhal, nasi minyak, nasi kerabu..), kalau dah bosan saya makan mee goreng pulak. Eh, bukan merungut tapi saya cerita untuk panduan korang yang nak ke sana.

Pemandangan sebahagian resort dari pantai.

Saya berangan naik kuda tepi pantai, memang tak kesampaian. 
Tiba-tiba satu pagi tu, ada pulak orang naik kuda ni...jeles sungguh!
Untuk info, dekat dengan resort ni ada Terengganu International Equestrian Park.

KESIMPULAN:
Sutra Beach Resort memang berjaya buat saya selesa walaupun kena duduk lama di sana. Bagi yang belum tau, saya ke sana ikut suami bekerja. Tak terasa bosan walau saya banyak menghabiskan masa bersendirian. Persekitarannya terjaga rapi dan staf yang mesra. Bagi korang yang nak bercuti/berehat, resort ni memang sesuai! Ini cuma pendapat saya je, seorang yang gemarkan alam semulajadi.

*tips: ada kedai makan yang tak mengecewakan, tidak jauh dari resort ni. Keluar resort, belok kanan. Kedai makan 'Restoran Desa' terletak di sebelah kiri. Kalau nak yang dekat dan boleh jalan kaki, ada kat sebelah kiri resort. 

Sunday 25 November 2012

Berlakon



Korang pernah berlakon?
Berlakon dalam drama kehidupan harian kita.
Berpura-pura sebenarnya. Palsu. Plastik. Kosmetik.
Eh, bukan semua kepura-puraan itu tak baik tau!
Ada masanya kita memang perlu berlakon.
Itu tandanya kita bijak mengawal emosi dan gejolak rasa.
Tahu mana yang perlu diekspresi dan mana yang perlu disimpan.

KISAH 1:
Kita pesan air Cappucino Three Layer, seperti dalam buku menu. Tapi bila sampai langsung takde layer, tak sama macam dalam buku menu. Ok, kita cuba minum pulak. Ya Allah, rasa dia memang buat tekak nak terluah. Pahit dan masam sangat! Tapi sebab tu tempat awam, kita pun BERLAKON. Muka kerut sikit-sikit je dek menahan pahit dan masam. Kita panggil pelayan kedai, ikut emosi memang nak marah-marah dan suruh dia minum sampai habis depan kita. Tapi sekali lagi kita BERLAKON, segaris senyuman diberi dan dengan sopan kita mintak dia tukar dengan air lain sebab Cappucino Three Layer dia rasanya sangat 'lari jauh'. Dengan muka selamba dia jawab, "Oh, harini budak baru yang buat air". Kita beri senyuman palsu, walau dalam hati geram sangat!


KISAH 2:
Dalam sebuah majlis kenduri, ada seorang makcik tua yang sibuk 'berceramah' pada kita tentang ruginya kita sebab masih takde anak. Siap mempersoalkan orang lain kawin senang je dapat anak, kenapa kita susah sangat nak ada anak. Kita jadi sedih, airmata nak menitik sebenarnya. Tapi sebab kita di tempat awam, kita BERLAKON. Kita tahan sebak didada, kita tahan airmata jangan sampai menitik. Kita tersenyum sambil berkata,"Belum rezeki saya makcik". Tapi makcik tu terus dengan ceramah umumnya.  Dan kita terus BERLAKON!
 
 
*Masa zaman remaja, saya memang tak pandai berlakon. Kalau marah, saya luahkan & buat muka marah. Kalau sedih, saya nangis depan orang tu. Bagi saya, kita mesti luahkan setiap rasa tak kira siapa dia. Itulah gejolak jiwa darah muda. Sekarang, saya bukan seperti yang dulu. Usia mematangkan kita. Berfikir sebelum bertindak. Hidup pun lebih tenang!

Friday 23 November 2012

Langit Pagi Nan Indah!

Tika hati rasa gusar, pandanglah langit nan indah.
Ada rasa ketenangan di situ...saat menikmati alam ciptaan-Nya.
Aduhai langit pagi nan indah!




Gambar diambil pagi semalam sekitar jam 6.50am - 7.10am.
Diambil guna kamera handphone Samsung, kemudian dicantikkan guna PhotoScape.


Thursday 22 November 2012

Bertindak Luar dan Dalam

Isu Palestin berkumandang lagi...
DOA kita panjatkan buat kemenangan Palestin.
DERMA kita hulurkan buat membantu saudara di sana.
BOIKOT kita lancarkan sebagai usaha melemahkan Yahudi.
Syukurlah...kita masih punya rasa peduli.
Kita bertindak!
 
Tapi masih ada yang belum lengkap...
Mari kita lihat dalam DIRI sendiri.
Andai masih ada lompang yang perlu dibaiki.
Dalam mencari redha Ilahi.
Jiwa Muslim sejati, itulah yang digeruni musuh Islam!

Jom! Kita bertindak luar dan dalam.


IRM (Islamic Relief Malaysia)
Cover Photo
Aqsa Syarif
*Masih belum menderma? Berilah seikhlas hati. Walau kecil pada nilai, namun besar pada makna. Sila KLIK pada banner untuk ke Fb mereka. Kedua-duanya adalah antara saluran yang boleh kita percayai untuk menderma.

p/s: Bertindak luar dan dalam, bukan cuma untuk rawatan penyakit je.
 


Wednesday 21 November 2012

MySolat

 
 
Aplikasi MySolat untuk pengguna Android.
Aplikasi yang sangat membantu saya kala ini.
Lokasi resort tempat saya 'berumah' ni tak memungkinkan mendengar laungan azan.
Jadinya untuk mengingatkan saya masuknya waktu solat, saya gunakan aplikasi ni.
Untuk waktu Subuh dan Maghrib, saya set kepada 'azan penuh'.
Untuk waktu solat lainnya, saya set 'takbir pendek'.
Mudah diguna, boleh pilih lokasi dan cara notifikasi.
Ia juga tak memerlukan internet, kecuali sebulan sekali untuk update waktu solat.
 
Terima kasih teknologi dan pembuat aplikasi ni!
 
p/s: Bila dengar laungan azan kat Tv, rasa rindu pulak pada laungan azan kat surau rumah. Dengar azan pun ada nikmat tersendiri tau. 
 


Tuesday 20 November 2012

Tumpang Rumah

Kata-kata seorang ADIK LELAKI (berusia 9 tahun) kepada KAKAKnya (berusia 12 tahun) dengan nada sedih:
 
 
ADIK LELAKI: Sarah, kau kan pandai. Mesti bila dah besar nanti kau kerja gaji besar. Kaya, ada rumah besar. Boleh tak nanti aku tumpang rumah kau aje?
 
KAKAK: (diam sambil tersenyum..)
 

-----------------------------------------------------------------------------------------

Ketawa besar dengar kata-kata spontan anak sedara saya ni. Dia memang seorang yang suka berfikir jauh. Jadinya bila dia sedar yang si kakak jauh lebih maju dalam pelajaran, terus terkeluar ayat kat atas. Dia dah membayangkan yang dia akan hidup susah bila dewasa sebab tak cemerlang macam kakaknya. Awal-awal lagi dah mintak nak tumpang rumah.
 
Alhamdulillah si kakak berjaya dapat 5A dalam UPSR yang diumumkan semalam. Apapun, kejayaan hari ini bukanlah kekal selamanya. Laluan hidup masih berliku untuk menentukan siapa kita suatu hari kelak.
 

Monday 19 November 2012

Tapai Goreng

 
 
Sekali tengok macam pisang goreng.
Rupa-rupanya Tapai Goreng!
Pertama kali tahu dan pertama kali mencubanya.
 
Rasanya?
Suami saya kata...ok, sedap!
Saya pulak...err, tak kena citarasa kat tekaklah.
Lebih gemar tapai yang biasa tu, terutamanya tapai pulut.
Harga?
Yang saya beli ni harganya 3=RM1.
 
 
p/s: Ni sebenarnya lunch saya semalam...mee goreng, tapai goreng, pisang goreng dan air kelapa. Semua makanan bergoreng! Sarapan pagi dah makan nasi, tengahari rasa muak pulak.


Sunday 18 November 2012

Kg. Rhu Tapai

Saya masih berada di Kg. Rhu Tapai, Merang di daerah Setiu, Terengganu. Sepatutnya balik harini, tapi perancangan kerja suami berubah pulak. Masa menikmati pantai dan lautan ditambah lagi sehingga hujung minggu akan datang. Ada yang tinggal dekat-dekat sini? Kot boleh jumpa..
 
Dah seminggu kat sini...masih belum jemu memerhatikan alam:
Sekitar jam 6.50 pagi...sang mentari pagi menjenguk.
Air laut berkilau keemasan, pemandangan yang sangat indah!
Melihat warna alam begini, membuat kita terasa lebih 'dekat' dengan Allah.
 
Sekitar jam 6.50 petang...mentari menghilang.
Ombak mula tinggi, waktu malam air pasang dan ombak menghempas kuat.
Sesekali memang terasa bergegar bilik. Sedikit cemas...'kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai'. Hakikatnya, saya gemar melihat ganasnya ombak. Mungkin sebab ia pemandangan luar biasa buat saya.

*Setiap kali lepas solat, jangan lupa mendoakan kemenangan Palestin untuk menghancurkan tentera Yahudi.*


Saturday 17 November 2012

Cerita Basi

Saya menyelak helaian sebuah akhbar berbahasa Melayu ini.
Melihat tajuk-tajuk berita yang terpampang.
"Eh, aku baca suratkhabar bila ni?"
Saya melihat tarikh akhbar tersebut.
Sah! Suratkhabar hari ini.

Tapi kenapa berita-berita yang ada masih sama?
Cerita yang saya dah baca dari minggu lepas!
Topik yang sama...cuma ulasan individu yang berbeza.
Cerita basi!!!

Okey, tak perlu saya membebel.
Letak saja akhbar yang mengutuskan cerita basi ini ke tepi!

Sambil mulut terus mengomel...
Melayu dengan Islam pun tak boleh beza!
Melayu itu bangsa, Islam itu agama.
Apa yang susah sangat???


p/s: Pesan suami...jangan tulis pasal politik, jangan sentuh sultan Melayu. Okey, saya tahan jari. Entri ni cuma pasal akhbar dan cerita basinya je. 
 

Friday 16 November 2012

Dulu Boleh, Sekarang Jadi Bida'ah?

Kadang-kadang saya terfikir...
Banyak perkara yang kita lakukan sejak mengenal dunia,
Yang mendarah daging dalam diri dan sebati dengan pemikiran,
Tiba-tiba diberitakan ia adalah sebuah rekaan cuma,
Ia bida'ah semata!

Sedari dulu tiap malam Jumaat...
Kita digesa ibu bapa untuk membaca surah Yasin,
Seakan satu perkara sunat lalu kita kuat mengamalkan.
Yang sebenarnya, ia tidak tercatat dalam mana-mana hadis sahih!
Yang tercatat...SUNAT membaca surah AL-KAHFI,
Pada malam Jumaat atau siang harinya.
Tapi janganlah keliru...tidaklah menjadi satu dosa,
Jika kita tetap baca surah Yasin di malam Jumaat,
Kerana membaca ayat-ayat al-Quran amatlah dituntut pada setiap masa,
Cuma kita perlu tahu asal hukumnya,
Bukan sekadar ikut-ikutan semata.

Menjelang tahun baru kalendar Islam...
Kita digesa pula membaca doa awal dan akhir tahun,
Lengkap dengan doa khusus, fadhilat dan cara membacanya.
Hingga terasa bersalah bila tak berkesempatan melakukannya.
Yang sebenarnya, ia tidak tercatat dalam mana-mana hadis sahih!
Yang betulnya...mohonlah doa pada bila-bila masa jua.
Juga janganlah TERIKAT dengan perkara-perkara yang tiada dalam syarak.
Berdoa tidaklah salah, yang salah cuma cara dan kepercayaan kita.
Percayalah pada hal yang betul,
Bukan sekadar ikut-ikutan semata.

Dulu boleh, sekarang jadi bida'ah...kenapa?
Dulu...mungkin kurangnya cerdik pandai agama,
Sekarang...kian ramai yang celik agama,
Penyebaran ilmu pula lebih mudah dengan teknologi maklumat.
Buku-buku agama pun lebih banyak dihasilkan.


*artikel/buku berkaitan yang patut korang baca: ubibadok, abhalimyunos., 40 Hadis Palsu.
*(maksud bida'ah - mengadakan sesuatu tanpa contoh sebelumnya / berlawanan dengan sunnah Rasululullah s.a.w.)

---------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Saya sekadar sentuh dua perkara, bersesuaian dengan harini Jumaat dan masih di awal tahun baru hijrah. Janganlah ada yg kata, "perkara kecil nak dibesar-besarkan". Walaupun kecil, tapi kefahaman yang salah harus diperbetulkan. Yang salah tetap salah. Kalau kita tahu asas, Insya Allah lebih mudah memahami perkara lain yang lebih besar.


Thursday 15 November 2012

ڤرتنديڠن ڤنتون جاوي

SALAM TAHUN BARU 1434H untuk korang semua!
Semoga hari ini kita dah mulakan sesuatu yang baru/lebih baik dari semalam.
 
Kepada korang yang minat berpantun dan nak mengasah kemahiran tulisan Jawi, bolehlah sertai pertandingan kat bawah ni. Hadiah wang tunai yang lumayan menanti!
 
Pertandingan Mengarang Pantun Jawi
 
TARIKH TUTUP DILANJUTKAN SEHINGGA 30 NOVEMBER 2012.
Keterangan lanjut, sila KLIK DI SINI.
 


p/s: Kalau nak join sempat sangat, untuk kategori TERBUKA cuma perlu 10 rangkap pantun. Saya? Sedang cuba mengarang pantun dan cari perisian tulisan jawi. Harap sempatlah..
 

Wednesday 14 November 2012

Jadi Pemerhati...

Orang datang resort nak bercuti, saya datang cuma jadi pemerhati.
Nasiblah kan...suami pergi kerja, saya duduklah sorang-sorang.
Merenung lautan luas, bertemankan irama ombak...jadi pemerhati.
 
 
Nampak orang memancing...dapat ikan Pari! Besar jugak. Saya pulak yang excited. Tapi dia cuma ambil gambar, kemudian dilepaskan semula ke lautan. Gambar ni tak jelas sebab zoom guna kamera 'canggih'.
 
Pagi lepas sarapan, jalan-jalan kat pantai sorang-sorang.
Takde hasrat pun nak main laut sebab ombak besar.
 
Buah pokok Rhu dan kayu mati...jadi penyeri pantai.
 Guna setting macro untuk gambar ni.

Dari anjung bilik, tengok orang bersuka ria mandi kat kolam renang.
Teringin jugak nak join, tapi segan la sorang-sorang je kan.
 
 
p/s: Ada orang kata, saya mesti bosan hari-hari dengar ombak & tengok lautan. Bagi saya, tak membosankan sebab saya suka merenung lautan. Suka tengok gulungan ombak menghempas pantai.


Monday 12 November 2012

Keropok Lekor 008 Kelulut & Warong Pok Nong

[AHAD, 11 Nov. 2012]
Dalam perjalanan ke Setiu, saya dan suami sempat singgah ke dua tempat makan kegemaran ramai ni. Mula-mula kami singgah makan keropok lekor di kedai 'Keropok Lekor 008 Kelulut'. Lokasinya di Kelulut, Marang, Terengganu. Terletak di sebelah kiri jalan (dari arah Kuantan) dan berhadapan dengan Semarak Aruni Inn. Kedai ni memang kerap saya kunjungi sekitar tahun 2009, masa tu selalu jugak ke Pantai Timur atas urusan kerja suami. Tau pun atas syor seorang kawan anak tempatan.
Ada papan tanda besar.

Kedai jualan. Bukan setakat keropok lekor je dijual kat sini.

Ini kawasan tempat makannya. Masa kali terakhir saya datang, tempat ni belum ada. Dulu cuma disediakan meja berpayung di luar kedai jualan tadi. Sekarang lebih selesa. Paling menarik perhatian saya, pelayan ciliknya...yang ada dalam gambar nilah. Paling dewasa yang tukang buat air, seorang remaja lelaki. Yang tengah basuh pinggan tu (berdiri sorang kiri sekali), sebelumnya saya lihat dia sibuk kopek kelapa keluarkan air dan isinya. Seorang budak lelaki yang kecik je tapi pantas dan bersemangat bekerja. Kagum!

Hidangan kami...dua gelas air kelapa muda yang segar berharga RM1.50/segelas dan sepinggan keropok lekor yang sedap lembut berharga RM3. Semua cuma RM6, Alhamdulillah...kenyang!

--------------------------------------------------------------------------

Lokasi seterusnya...Warong Pok Nong di Pantai Batu Rakit. Untuk kedai makan yang ni, saya tak cerita banyak sebab pernah buat entri berkenaan masa awal tahun ni. Boleh rujuk DI SINI. Takde apa yang berubah, semuanya masih macam sebelum ni. Cuma harga makanan laut ada yang turun, ada yang naik. Mengikut harga semasa mungkin.

Pelanggan ramai...cuma dapat udang celop tepung je, untuk sotong dan ikan kena tunggu sekejap. Untuk minuman, kami minta ABC Special dan mencuba Jagung Parut (yang kena 'parut' tu ais, lepas tu dia letak jagung dalam tin).


p/s: Line internet kat sini tak stabil, kalau tengah okey bolehlah buat entri & bw. Kalau tak, sampai tertido tunggu nak bukak satu page.

Sambil Menyelam Minum Air

Pagi yang indah...
Saat terjaga dari tidur, mendengar hempasan ombak di pantai.
Tersenyum...
 
Alhamdulillah dah selamat sampai ke Setiu, Terengganu petang semalam setelah melalui perjalanan yang panjang. Kedatangan kali ni bukan bertujuan bercuti, tapi sebab ikut suami menyelesaikan kerja-kerjanya kat sini. Berapa lama? Tak pasti lagi. Apapun ini kesempatan yang saya nantikan...suka sangat dengan keindahan alam, terutamanya pantai. Tak lupa jugak makanannya...
 
Tapi dalam sibuk berkemas buku dan laptop untuk mengisi masa kat sini, adapter charger pulak yang tertinggal. Terpaksa pinjam laptop suami, leceh sikit nak guna sebab tak biasa. Nak transfer gambar pun tak lepas-lepas. Makanya entri ni takde gambar...
 
p/s: Punya lama terkial-kial, entri pagi tadi dah nak basi masuk tengahari. :)

Friday 9 November 2012

Begitukah Cinta Seorang Suami?

Pada isteri...
Cinta itu terlalu suci,
Tidak hadir sebarangan,
Tidak diberi sewenangnya.
Tidak mungkin ada dua cinta dalam hatinya.
Cinta bererti setia pada yang satu!

Pada suami...
Ruang hatinya terlalu luas,
Untuk diisi hanya dengan satu cinta.
Lalu dibuka ruang itu untuk hadirnya cinta kedua,
Bukan kerana pudar cinta pertama...itu katanya!
Cintanya bukan bererti setia pada yang satu.

Begitukah cinta seorang suami?
Membuat isteri pedih terluka,
Sedang bibir melafazkan cinta!


********************************************************************

Ini bukan kisah saya dan suami (moga kami bahagia selalu). Tapi ditulis berdasarkan kenyataan yang berlaku disekeliling saya. Memang betul lelaki boleh berkahwin empat, tetapi dengan SYARAT YANG KETAT. Juga dengan cara yang betul. Bukan membawa perempuan lain masuk ke rumah, sedang isteri berpantang di kampung. Bukan juga asyik bermain cinta tanpa nikah. Atau bernikah senyap-senyap! Cintakah itu? Kalau tergamak menyakiti hati insan yang dicintai. 

[Maaf, emosi sikit dengan kisah begini.]

Thursday 8 November 2012

Jom 'Check' Betul-Betul..



Kalau ada yang tersilap, atau terlupa...
Sama-sama kita perbetulkan ya!
^__^


p/s: Sumber asal tak diketahui, terima kasih kepada yang menghasilkannya. Digalakkan untuk korang sebar luaskan (copy paste je gambar kat atas).

Bijak Tapi Malas


Budak yang sangat bijak dalam pelajaran,
Biasanya budak yang sangat pemalas menolong kerja-kerja di rumah.


Betul ke??? Saya ada dua orang anak saudara (bukan adik-beradik) yang sangat bijak dalam pelajaran. Kedua-duanya tak pernah gagal dapat nombor 1 dalam kelasnya. Seorang kini dalam tahun 6 dan seorang lagi dalam tingkatan 3. Kedua-duanya juga 'ulat buku', sangat asyik membaca walaupun masa balik kampung. Kalau takde buku, surat khabar lama atau apa-apa kertas pun boleh dibacanya dengan khusyuk. Selagi ada cahaya lampu, selagi tu sibuk nak membaca. Seorang agak pendiam, seorang lagi sangat-sangat lah pendiam.

Tapi...menurut mak-mak mereka, kedua-duanya sangat pemalas untuk membantu kerja-kerja di rumah. Berbanding dengan adik-beradik lain, walaupun tak sentiasa cemerlang tapi masih boleh diharapkan membantu kerja-kerja rumah. Sampai kena marah sebab asyik membaca je.


p/s: Suami saya kata budak-budak tu bukan pemalas, diorang kan banyak membaca...banyak ilmu/info baru masuk...banyaklah benda yang tengah difikirkan dalam kepalanya!

Wednesday 7 November 2012

Jom Check: Kita Makan/Minum Guna Tangan Mana?


ADAB MAKAN Yang Diajar Oleh Rasulullah s.a.w:
Maksud hadis,
"Apabila seseorang kamu makan, makanlah dengan tangan kanannya. Apabila dia minum, minumlah dengan tangan kanannya. Ini kerana syaitan makan dan minum dengan tangan kiri."
(Riwayat Muslim)

Sekalipun kita makan menggunakan sudu/garfu, adab makan menggunakan tangan kanan tetap perlu dijaga. Sama juga sewaktu kita minum, perlu menggunakan tangan kanan. Jika rasa tangan dah kotor sebab makan dan geli untuk pegang gelas, kita boleh bersihkan jari terdahulu sebelum minum air. Lagi pulak memang tak elok dari sudut kesihatan bagi orang yang makan bersulamkan air atau lepas makan terus je minum air.

Kebiasaan Yang SALAH:
Sebab tangan kanan dah kotor dengan makanan, kita pun ambil gelas minuman guna tangan kiri. Kemudian sebab nak jaga adab makan, kita pun lapik bahagian bawah gelas tadi dengan tangan kanan kita sambil minum. Kononnya itu dah dikira minum dengan tangan kanan. Hakikatnya, yang memegang gelas tetap tangan kiri. 
[Inilah kebiasaan saya yang rupa-rupanya SALAH sama sekali! Tak pasti dari mana saya belajar, tapi memang inilah yang saya lakukan bila perlu minum sewaktu makan guna tangan. Nampaknya saya kena betulkan kebiasaan salah ini.]

Adab Makan Yang Lain:
  • Mulakan makan (termasuk minum ya) dengan menyebut 'Bismillah'. Kalau sebut penuh siap doa makan itu yang terbaik.
  • Tidak menghina makanan. Contohi Rasulullah; Jika suka, baginda memakannya. Jika tak suka, maka akan ditinggalkan sahaja makanan tersebut.

Kenapa Perlu Makan Ikut Adab?
Seorang Muslim sejati pastinya sentiasa mengamalkan gaya hidup Islam dan Rasulullah s.a.w yang dicintainya. Mengikuti ajaran baginda, bermaksud mencintai baginda. Jangan sekadar lafaz dibibir atau luah dilaman sosial, zahirkan kecintaan walau dengan sekecil-kecil perbuatan ini.

(Rujukan: Solusi isu 44, drmaza.com)

"BETULKAN YANG BIASA, BIASAKAN YANG BETUL"

Tuesday 6 November 2012

Orang Malaysia Gemuk-Gemuk?

Sebenarnya dah dua kali berlaku,
Tapi baru ni saya nak tuliskan dalam blog ini.

Bagi yang belum tahu...saya ada menjual pakaian secara online.
Saya tumpukan kepada produk buatan tempatan asalnya.
Kemudian saya mula menjual blouse labuh denim dan kini kaftan buatan Indonesia.
Bukan nak menyokong produk luar, tapi sekadar pelbagaikan jualan saya.

Berbeza dengan baju buatan tempatan, baju dari sana berpotongan kecil.
Walau tertulis XL, tapi sebenarnya sesuai untuk yang bersaiz L atau mungkin M!

"Orang Malaysia ramai yang gemuk-gemuk, susah mau cari saiz"..
lebih kurang begitu kata si penjual wanita dengan bahasa Indonesianya.
Saya ambil stok di dua tempat berasingan, dan dua-dua cakap yang sama!
Terbakar hati saya tau, tapi masih mampu melemparkan senyuman palsu.
'Dia yang cakap pun gemuk! Cakap orang kita pulak.' getus hati saya.

Selepas ini...
Kalau ada yang cakap benda sama, saya bertekad nak membalasnya.
"Bukan sebab orang Malaysia ramai yang gemuk, tapi MUSLIMAH memang kena pakai baju yang longgar. Bukan pakai baju ikut bentuk badan. Inikan busana Muslimah!"


p/s: Saya terfikir..kehadiran warga asing sebagai 'sales girl' & pelayan kedai makan dengan pakaian yang muat-muat dan sendat ni pun menyumbang kepada gejala sosial di Malaysia. Sesuatu perlu dilakukan!







Monday 5 November 2012

Sambal Tempe Yang Dirindui...


Saya memang teringin sangat nak makan Sambal Tempe ni.
Dah lama saya tak masak tempe sebab berpantang makanan berasaskan soya.
Tapi sebab dah teringin sangat, harini saya langgar pantang.
Dengan semangatnya memasak,
 dan dengan berseleranya saya makan Sambal Tempe ni.
Alhamdulillah...rasa terlerai rindu kat lauk ni.
Tak berapa pedas, ada masin dan cukup manisnya! 
^___^


p/s: Tak payah bagi resepilah ya..sekadar masakan ringkas.

---------------------------------------------------------------------------------------------


Sunday 4 November 2012

Masa Untuk Kurangkan Bil Elektrik

Sekarang ni dah masuk musim hujan.
Biasanya tengahari dah mula hujan, membawa ke malam.
Sekarang ni pun tengah hujan lebat, berani buka netbook sebab takde guruh.

Bila musim hujan begini...
memang peluang terbaik bagi saya untuk kurangkan bil elektrik.
Sejak guna 'mobile aircond' untuk bilik tidur, bil elektrik terus melambung!
Daripada tak payah bayar langsung (bil saya tak lebih RM20),
kepada sekitar RM70 lebih sebulan.
Punyalah mahal kos elektrik untuk aircond je!

Asalnya memang tak mau pasang aircond...tambahan pulak cuma rumah sewa.
Tapi terpaksa sebab panas sangat sampai tak boleh nak tidur malam.
Inilah hakikat rumah dua tingkat, tingkat atas memang lebih panas dan bahang.
Tambahan pulak tinggal kat kawasan hutan batu, memang kurang sangat pokok.
Kipas berpusing laju pun tak mampu sejukkan ruangan bilik.
Tetamu pun kadang-kadang lebih suka tidur kat ruang tamu di tingkat bawah.
Lebih selesa sebab tak terasa bahang.

Sekarang ni, bila musim hujan memang tak perlu buka aircond bila tidur malam.
Sekadar kipas dengan kelajuan nombor satu pun dah cukup sejuk!
Lega...dapatlah saya kurangkan bil elektrik.

Friday 2 November 2012

Pokok Pisang Hiasan

Balik kampung (rumah mak saya) haritu...
Sempat merayau keliling rumah di awal pagi.
Rasa segar tengok dedaun yang masih dibasahi embun!

Tumbuhan yang menarik perhatian saya kali ni...
POKOK PISANG HIASAN 
(MUSA ORNATA)

Yang jenis ni saya dah biasa jumpa...


Pokok ni ada banyak, kebetulan ada yang rendah
 bolehlah amik gambar pandangan dari atas.

Saya suka yang ni!
Kelopak jantung yang gugur bersama 'bunga pisang', 
di atas daun pisang yang dibasahi embun!
Juga seekor semut yang menghidupkan lagi suasana.  

Pokok pisang hiasan atau nama saintifiknya 'Musa Ornata' ni ditanam hanya sebagai pokok hiasan. Buahnya (jika ada) tidak boleh dimakan. Biasanya jantung pisang bagi pokok pisang hiasan akan menegak ke atas. Pokok pisang hiasan ini jugak ada nama-nama lain merujuk kepada warna bunganya (iaitu jantung pisang). Tapi yang kat atas ni saya tak tau apa nama spesifiknya, secara umum ia adalah 'Musa Ornata'.

Menurut mak saya, anak pokok pisang jenis ni tumbuh agak jauh dari pokok asal. Tak seperti pokok pisang yang biasa tu. Pokok pisang ni mak tanam atas tanah, tapi kalau nak tanam dalam pasu besar pun boleh jugak. Cuma mungkin tak jadi sebesar pokok dalam gambar di atas.


p/s: Kalau nak tengok pokok pisang hiasan dengan buah warna 'purple', ada dalam entri saya yang INI. Masa tu saya tak tau pasal 'Musa Ornata' ni.