Wednesday 31 October 2012

Belum Akikah Tak Boleh Buat Korban?

Begini ceritanya...
Masa balik kampung cuti Aidiladha baru-baru ni,
Ada yang bertanya 'Betul ke kalau kita belum akikah tak boleh buat korban?'.
Sebabnya seorang ustaz di kampung tersebut bagitau begitu.

Jawapan pendek...
'Tak betul. Ibadah korban masih boleh dibuat walau tak pernah buat akikah'. Akikah cuma untuk anak yang baru dilahirkan. Kalau masa kecik ibubapa takde buat akikah untuk kita, takde masalah sebab hukumnya sunat bukan wajib. Bila dah besar ni bolehlah kita buat korban. 

Jawapan panjang sikit...
Akikah dan korban adalah dua ibadah SUNAT yang dituntut ke atas umat Islam yang mampu melaksanakannya. Akikah ialah ibadat sunat yang dituntut keatas pasangan suami isteri apabila dikurniakan anak. Ia sunat dilakukan pada hari ketujuh kelahiran anak (atau selewat-lewatnya sebelum anak itu baligh) dengan menyembelih dua ekor kambing bagi anak lelaki dan seekor kambing bagi anak perempuan.

Sementara korban adalah ibadah sunat yang dituntut ke atas umat Islam yang mampu berbuat demikian pada 10,11,12 dan 13 Zulhijjah dengan tujuan untuk menghampirkan diri kepada Allah.

(rujukan: Indahnya Hidup Bersyariat, islamgrid & alhafiz.net)


p/s: Takde akikah untuk saya pun masa kecik dulu, maklum je bukan orang senang dan adik beradik pulak ramai..

Terima Kasih Cik Tom!

(sumber: Google)

Alhamdulillah...entri penyertaan saya untuk GA Kedua Cik Tom membuahkan hasil.
Walaupun bukan dapat tempat teratas, tapi tetap seronok!

Hasilnya, dapatlah saya wang tunai..
RM20!!!

Terima kasih banyak-banyak kepada CIK TOM atas hadiah ni.
 Ada rezeki buatlah GA lagi...^__^


Tuesday 30 October 2012

Jom Cabut Bulu Ayam!

Cuti raya korban kali ni agak perit bagi saya, sebab sakit tekak dan hilang suara. Kalau bercakap pun dah macam suara berbisik atau terpaksa cakap kuat bagi suara keluar. Saya ni pulak jenis banyak cakap, memang susah nak jadi pendiam. Alhamdulillah hari ni dah makin baik, tapi masih serak.

Berbalik kepada tajuk cerita, raya kali ni mertua saya sembelih 6 ekor ayam kampung untuk dijadikan menu pagi raya. Sampai je kampung haritu, sedang elok pak mertua baru je siap sembelih ayam dengan dibantu mak mertua saya. Ayam-ayam tu semua tengah menggelupur mengakhiri sisa hayat. Itu bermakna saya kenalah tolong cabut bulu ayam. Saya sebenarnya (sebelum kawin) memang tak pernah buat kerja ni, sebab kat rumah keluarga saya cuma beli ayam daging kat pasar je. Selepas kawin barulah belajar buat kerja begini di rumah mertua, dan kali ini merupakan pengalaman kedua saya (setelah sekian lama jadi menantu).




Sebelum boleh cabut bulu, kenalah masukkan ayam ni dalam air panas dulu. Tujuannya bagi memudahkan proses cabut bulu. Susah ke kerja ni? Sebab buat ramai-ramai, tak jadi susah. Tapi bagi yang tak biasa, memang susah jugak nak menahan nafas dengan bau hapak ayam ni. Disebabkan 'kelajuan' saya buat kerja, saya cuma dapat buat seekor je...tu pun yang kecik! 

Ayam-ayam ni kalau dihantar proses kat pasar, kosnya cuma RM1.50/seekor. Tapi sebab musim raya, orang pasar dah tak terima untuk proses ayam. 


p/s: Ayam-ayam ni kemudiannya dimasak 'ungkep' dan sebahagian lagi buat sup je.

Thursday 25 October 2012

Kenangan: Lembu Korban

Masa tinggal di asrama sekolah menengah, saya pernah beberapa kali tak balik menyambut Aidiladha bersama keluarga. Sebabnya cuti cuma beberapa hari, tak berbaloi pulak nak balik (dari/ke Seremban-Pontian). Ada sekali tu saya ikut kawan balik (sebab bapanya ambil/hantar) dan sekali lagi tu tinggal kat asrama dengan kawan-kawan lain yang sama-sama tak dapat balik. 

Pagi raya tu berderai jugaklah airmata bila takbir berkumandang dari surau sekolah. Entah apa-apa...asal takbir raya je nak sedih! Pagi tu menu sarapan di Dewan Makan bertukar jadi menu makanan raya, jadinya dapatlah makan ketupat dan lemang jugak. Lepas tu solat sunat hari raya ramai-ramai di surau sekolah. 

Kebetulan tahun tu ada cikgu-cikgu yang buat ibadah korban. Jadinya buat pertama kalinya dapatlah saya menyaksikan sendiri macamana nak sembelih lembu. Tapi sebelum dapat dikorbankan, lembu ni dah lari sekeliling padang! Jenuhlah budak-budak lelaki dan cikgu-cikgu mengejar lembu tu, ada jugak yang kejar dengan naik motor. Memang susah nak ditangkap semula dan ambik masa yang lama jugaklah. Bila dah dapat, bermulalah bahagian yang saya sedikit gerun. Nak tumbangkan lembu tu pun saya tengok macam kesian, tapi sebab nak ambil pengalaman saya kuatkan diri tengok semua tu. Tiba masa sembelih, darah lembu yang banyak tu sampai terpercik kat kami yang jadi tukang tengok (kedudukan agak jauh jugak). Terkejut dan ngeri sekejap. Bab darah ni memang ngeri. Tak tunggu lama cepat-cepat saya balik asrama nak cuci baju yang kena darah lembu tu.

Itu jelah kali pertama tengok lembu kena korban dan tak pernah tengok lagi sampai sekarang. Kalau korang yang lelaki mesti dah biasa tengok kan? 


**************************************************
Lagi beberapa jam nak bertolak ke Johor. Balik rumah mertua dulu lepas tu baru balik rumah mak sendiri. Insyaallah hari Sabtu ni ada rombongan dari Perak datang berkunjung, bakal dapat adik ipar yang terakhir.
SALAM AIDILADHA & SELAMAT BERPUASA BAGI YANG PUASA SUNAT HARINI!

Wednesday 24 October 2012

Soal Jawab Ibadah Korban

Sedikit soal jawab ibadah korban buat pengetahuan kita. Ni versi ringkas tanpa hujah dan dalil, sila KLIK link sumber bagi yang mahukannya.

1) Bolehkah ibadah korban dilakukan untuk orang yang telah meninggal (si mati)?

Asasnya, kita boleh melakukan korban untuk sesiapa pun tetapi PERLU MINTA IZIN tuan punya diri. Disebabkan kita tak mampu nak minta izin dengan orang yang sudah meninggal, maka kita tak boleh melakukan korban untuknya. Tetapi kita MASIH BOLEH melakukannya dalam dua situasi berikut:
  • Jika si mati ada meninggalkan PESANAN/WASIAT supaya melakukan korban untuknya, maka bolehlah waris melakukannya.
  • Jika tiada pesanan/wasiat, tapi waris nak melakukan secara sukarela: boleh dengan cara melakukan korban atas nama waris (dengan syarat waris dah pernah buat ibadah korban sebelum ini) dan kemudian daging korban tersebut NIAT DISEDEKAHKAN atas nama si mati.


2) Benarkah orang yang mahu melakukan korban diharamkan memotong kuku dan rambut pada 10hari pertama Zulhijjah?

Ada percanggahan pendapat ulamak mengenainya. Bagaimanapun menurut Ustaz Abu Hasan Din; TIADA  DALIL yang mengharamkannya. Maka boleh je potong kuku dan rambut seperti biasa. 


3) Bolehkah melakukan ibadah korban atas nama syarikat/organisasi?

TIDAK BOLEH, kerana korban mesti dilakukan atas nama individu. Jika dilakukan juga ia bukanlah dikira korban tapi sekadar hadiah atau sedekah.


(sumber: al-Kuliyyah TV3 bersama Ustaz Abu Hasan Din, zaharuddin.net & iluvislam.com)


p/s: Alhamdulillah..harini dah sihat berbanding semalam, bolehlah merayau ke blog korang. ^_^

Tuesday 23 October 2012

Dutch Lady Chocolate Drink

Sumber: Fb DutchLady

Minuman coklat yang mengandungi susu tepung ni merupakan produk terbaru keluaran Dutch Lady. Saya dapat tahu pun dari blogger Cahaya Kemuliaan. Terus mencari kat pasaraya hujung minggu lalu, sebab saya memang peminat susu keluaran Dutch Lady terutamanya 'Fresh Milk'. Saya beli pek 900gram dengan harga RM17.90. Tak pasti ni harga promosi atau harga biasa.

Yang menariknya, ia boleh diminum panas atau sejuk dan tak perlu tambah gula atau susu lagi. Mudah sangat nak sediakannya, cuma campurkan ia dengan air panas. Kalau nak yang sejuk cuma gunakan air suam dan tambahkan ais. Setakat ni saya cuma buat untuk minuman panas. Rasanya? Memang sedap! Rasa coklat berlemak dan manisnya macam minum susu tepung penuh krim tu (maksudnya tak manis sangat). Minuman coklat Dutch Lady ni memang pilihan yang baik bagi mereka yang tak suka minum susu. 

p/s: Promo macamlah dapat bayaran daripada Dutch Lady kan. Tapi benda menarik harus dikongsi!

Monday 22 October 2012

From Kampung Boy To CEO

From Kampung Boy To CEO

Tajuk: Fearless: From Kampung Boy To CEO
Penulis: Tan Sri Dato' Seri Abdul Khalid Ibrahim
Penerbit: Menteri Besar Incorporated
Harga: RM25
Muka surat: 75


Buku ini baru saja dilancarkan bulan lepas, nipis tapi padat dengan 'isi' yang cuba disampaikan. Sekali tengok terasa mahal (cuma 75 muka surat untuk RM25), tapi sebenarnya bersesuaian dengan helaian kertas berkualiti tinggi yang digunakan. 

Mulanya saya sangkakan ia sekadar sebuah buku memoir Tan Sri Abdul Khalid. Rupa-rupanya ia lebih daripada itu. Bagi saya buku ini juga adalah sebuah buku motivasi kepimpinan, iaitu bagaimana untuk membentuk diri menjadi pemimpin organisasi yang baik. Menggunakan Bahasa Inggeris yang mudah dan turut bercampur Bahasa Melayu, gaya penyampaian buku ini sangat santai dan seronok membacanya! Tak rugi membeli, tambahan lagi hasil jualan buku ini juga turut akan disumbangkan ke rumah-rumah kebajikan.

Sinopsis
Bermula dengan menjual kelapa salai dan peristiwa kebakaran rumah salai tersebut, seawal usia 12 tahun beliau mula belajar erti tanggungjawab. Akhirnya selepas 21 tahun, iaitu pada tahun 1979 beliau menjadi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di Permodalan Nasional Berhad. Dan akhirnya kini menjadi Menteri Besar Selangor ke-14.

Petikan Buku
The workers were very good at music; one even played an organ. They didn't believe in karaoke, and at that time, how could u have a karaoke set in an estate? It was live music all the way! At some stage of the night, I was asked to sing, and the workers asked me, what key was I going to sing? I tell you - I can mingle with my staff, joke with them, talk but SING? So I had no choice but to learn and the only song I sang at these parties was 'Widuri'. I practised really hard!



p/s: Tak kisahlah beliau dari parti mana, paling penting kita kutip pengalaman dan tips/motivasi yang membawa beliau menjadi seorang pemimpin korporat dan kini pemimpin kerajaan negeri.






.

Sunday 21 October 2012

Misi 'Tikar Buluh'

Semalam (Ahad), saya dan suami ke Nilai 3. Kali ni menjalankan misi nak membeli TIKAR BULUH kiriman mak saya. Sebelum ni mak dah pernah kirim 2 helai tikar buluh, dan sekarang nak mintak tambah satu helai lagi dengan saiz dan corak yang sama. Kononnya bolehlah bawak balik masa cuti raya haji nanti.

Jarak Nilai 3 dengan rumah saya ni dalam 10minit memandu je, tapi sebab berlengah-lengah terus terbabas ke tengahari baru keluar. Akibatnya, proses mencari jadi terasa sukar sebab cuaca panas terik!

Harga tikar buluh ni (kalau saiz paling besar)- RM70.
Berdasarkan pengalaman lalu, pernah beli 2 helai boleh dapat RM50/sehelai (lepas tawar menawar).

Tikar buluh jenis inilah yang dicari. Ada beberapa saiz dan corak bunga. Misi kami, nak cari corak yang sama dengan yang sebelum ni dan nak saiz yang paling besar. Malangnya lepas keluar masuk banyak kedai memang susah nak cari yang saiz paling besar tu. Kalau ada pun bukan corak yang dicari dan berwarna gelap (tak cantik la pulak). Yang banyaknya saiz sederhana. 

Rupa-rupanya, menurut cerita sorang peniaga tu...tikar buluh jenis ni dah takde stok baru. Yang ada semua ni stok lama, sebab tu tak banyak pilihan lagi. Peniaga-peniaga dah tak mau ambil tikar buluh jenis ni sebab mudah rosak masa dalam penghantaran. Kan tikar jenis ni buluhnya agak keras, mudahlah patah bila kena timpa/campak. Diorang cuma teruskan ambil tikar buluh jenis yang lembut tu untuk mengelakkan kerugian.

Kesimpulannya, MISI GAGAL. Lepas lebih sejam merayau, kami beredar dari situ. Kepala saya pun dah sakit dek panahan mentari tengahari. 

Friday 19 October 2012

Apa Itu Tegur Cara Hikmah?

Selalu kita dengar, 'tegurlah dia dengan cara berhikmah..'. Bila kita lihat ada saudara seagama kita buat perkara yang salah, memang jadi tanggungjawab sesama muslim untuk menegur (juga disebut sebagai berdakwah). Tapi, macamana nak tegur dengan cara hikmah tu?

Cara HIKMAH adalah dengan KELEMBUTAN dan KESABARAN. Semua orang suka dengar kata-kata yang lembut bukan? Contohnya; kalau kita nak tegur kawan yang tak menutup aurat, kenalah beritahu dia dengan nada LEMBUT yang menutup aurat tu wajib bagi wanita Islam. Mungkin dia tak tahu (jahil) atau terlalai. Tak payahlah kita perli dia, 'Nak masuk neraka ke? Tak reti pakai tudung!'. Ayat kasar gini lagi buat kawan kita benci dan terus tak mau terima teguran kita.

Lepas cakap lembut-lembut tu kalau kawan masih tak terima teguran, maka BERSABARLAH. Teruskan berbuat baik dengan dia, sambil tu kita kenalah konsisten menutup aurat (contoh teladan pun dakwah jugak, walau mungkin lambat kesannya). Kalau ada rezeki selalulah beri sesuatu padanya (belanja makan atau barangan). Semua orang gembira bila dapat pemberian dan ini mengeratkan hubungan serta menundukkan hati seseorang. Tapi awas! Untuk permulaan JANGAN beri/hadiahkan tudung (lepas-lepas tu takpe). Sambil tu sesekali kena ingatkan dia untuk menutup aurat. Dan jangan lupa DOAKAN dia! 

(rujukan: Hikmah Asas Dakwah)

*Jangan menjauhi atau benci bila orang tak terima teguran kita. Tugas kita cuma menyampaikan kebenaran, tapi hatinya milik Allah.*


----------------------------------------------------------
Teringat cerita seorang selebriti, mulanya cuma temankan kawan beli tudung di sebuah butik. Sambil si kawan memilih, dia pun cuba ambil dan sarung ke kepalanya. Tiba-tiba hatinya rasa semacam, dan sejak tu terus memilih untuk memakai tudung. Beruntunglah kawan tadi dah jadi penyebab selebriti ni berubah ke arah kebaikan.

Wednesday 17 October 2012

Pakaian 'Stretchable'

Korang perasan tak yang sekarang banyak pakaian jenis 'stretchable'?
Boleh memeri...mampu ikut saiz badan kita.
Berat dan sentiasa 'terletak' pada tubuh si pemakai.
Daripada blouse, baju kurung, jubah, t-shirt muslimah dan skirt,
Banyak diperbuat daripada material Lycra/Spandex.
Ada jugak material lain, tapi saya pun tak pasti namanya.
Yang pasti, lambakan pakaian sebegini memang membimbangkan!

Bagi yang bertubuh kurus dan lurus...ambil pulak saiz yang besar,
Mungkin tiada masalah AURAT bila menggayakan pakaian begini.
Tapi bagi kebanyakkan kita yang badan 'berisi' serta 'berlekuk' ni,
Memang tak sopan dan makin MEMBUKA AURAT bila menggayakannya!
Ia cuma membalut tubuh dan bukan menutup aurat MUSLIMAH.

Jadinya sebelum kita membeli apa-apa pakaian,
Pastikan ia BUKAN daripada material yang mengikut bentuk tubuh,
Biasanya material yang sejuk, lembut/lembik memang akan ikut bentuk.
Kita pegang dan rasa fabrik tu pun dah boleh agak.

Dah terbeli...takkan nak buang? Membazirlah...
Ok, korang boleh pakai di rumah dengan keluarga je ya.
Atau bagi pada mereka yang bertubuh kurus lurus,
Macam budak umur awal belasan tahun tu.

Lagi satu, material tudung 'segera' yang jenis sarung pun kena bijak pilih.
Ada jenis yang melekap kat dada, walaupun saiznya besar (XL).
Rugilah...bertudung tapi masih tak tutup aurat!


p/s: Dah lama nak tulis perkara ni, tapi tak reti pasal material kain. Harap korang boleh faham apa yang saya sampaikan ni sebab saya tak letak contoh gambar.  


***update pada 31/1/2017 : disebabkan entri ini mendapat banyak 'view', saya perlu tambah info mengenai material LYCRA. Terkini, bukan semua Lycra lembik dan mengikut tubuh. Boleh buat ujian dengan menarik sedikit (contohnya bahagian lengan baju), jika cuma memeri sedikit, Insya Allah ia jenis tak melekap. Materialnya pun lebih tebal dan harganya lebih mahal. Pastikan potongan pakaiannya longgar juga ya! Semoga tips ini membantu anda. ^_^ ***


Tuesday 16 October 2012

Kerepek Buah Bactris


Untuk percubaan pertama, saya guna sebiji buah je.

Dalam entri INI, saya ada ceritakan yang staf di booth MPOB bermurah hati beri saya setangkai buah Bactris. Tanaman spesis palma ini juga dikenali sebagai PAJIBAYA (sila rujuk SINI). Ia dah pun ditanam secara komersial di Pahang sejak beberapa tahun lalu.

Mula-mula saya rendam buah ni dalam air bercampur garam selama beberapa jam bertujuan nak hilangkan kesan racun. Sebabnya staf tadi dah berpesan yang buah ni kena bersihkan betul-betul, mungkin sebab dah banyak semburan. Lepas tu saya buangkan kulitnya yang nipis tu. Kemudian isinya dihiris nipis. Tapi agak susah sebab buah ni kecik je kan. Oh ya, isi buah ni rupa seakan keledek tapi lembut. 

Saya goreng kosong je, tak letak apa-apa. Rasanya? Lemak-lemak...macam makan kerepek sukun kegemaran saya! Lepas ni bolehlah habiskan buah yang ada ni jadi kerepek. 

*bagi yang nak tahu lebih lanjut mengenai Bactris, sila KLIK DI SINI.


Monday 15 October 2012

Pilih Bakal Menantu

Memilih bakal menantu itu perlu.
Jangan sampai anak berkahwin dengan menantu 'hantu'.

Tapi jika KEKAYAAN semata jadi ukuran,
Berpangkat tinggi bergaji besar yang diidamkan,
Konon status keluarga harus diutamakan!

Akhirnya...
Anak-anak membujang ke akhir hayat,
Bila pilihan yang ada tak menepati syarat.
Akur si anak demi sebuah taat,
Biarpun jiwa derita nan sarat.

---------------------------------------------------------------------------------------
Secebis kisah benar buat teladan kita bersama. 
Kasihan...mereka (si anak) akhirnya terpaksa melalui hari-hari tua bersendirian, kesan singkatnya pemikiran ibubapa. Ketahuilah...bahagia bukan pada status pangkat dan harta, tapi bahagia letaknya dalam hati yang merasa. 

Friday 12 October 2012

Anak Haram

Semasa kecil dahulu, saya biasa dengar orang kata yang anak hasil zina ni tak layak masuk syurga hingga tujuh keturunan. Kedengaran menakutkan! Dan kalau ada anak-anak luar nikah ni dalam masyarakat kita, mereka akan dipandang semacam. Mereka digelar 'ANAK HARAM'. Seolah-olah anak tersebut yang berdosa, sehingga ada yang tak diterima sebagai anak menantu kerana status tersebut.

Semua ni mungkin gara-gara tersebarnya hadis yang bertaraf PALSU seperti berikut yang bermaksud;
"Tidak akan masuk syurga anak zina dan begitu juga keturunannya sampai tujuh keturunan."
Hadis ini dihukumkan lemah oleh pakar hadis disebabkan terdapat dua orang pelapor yang lemah dalam hadis di atas. Tambahan lagi ia bertentangan dengan firman Allah, yang bermaksud seperti berikut;
"Dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh tiap-tiap seorang melainkan orang itulah sahaja yang menanggung dosanya; dan seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja)." 
(Surah al-An'am : 164)

Nyata di sini, anak hasil zina adalah SUCI dan TIDAK BERDOSA semasa kelahirannya. Selepas tu jika dia melakukan dosa, itu adalah dosanya sendiri dan tidak ada kaitan dengan status kelahirannya. Yang menanggung dosa zina hanyalah si pelakunya sahaja. Sesungguhnya Allah tidak bersifat zalim. Tapi kita manusia yang suka menjatuh hukum, memandang hina pada orang yang melakukan dosa sedang diri sendiri masih berpalit dosa.

(sumber rujukan: buku '40 Hadis Palsu Popular')


-Janganlah membenci si pelaku dosa, tapi bencilah dosa yang dilakukannya sahaja.-






.

Thursday 11 October 2012

Muka Cikgu

'Kerja cikgu ke?'
'Ngajo mana?'
'Awak cikgu ka?'

Itulah antara soalan atau kata-kata yang selalu jugak saya terima. Agaknya sebab penampilan saya yang tak bersolek dan kurang bergaya. Kan cikgu-cikgu tak dibenarkan bergaya lebih-lebih bila ke sekolah. Hakikatnya saya cuma pernah jadi Guru Ganti di sebuah sekolah rendah di Beranang, Selangor. Juga cuma mengajar di rumah untuk anak-anak jiran di Gemencheh, Negeri Sembilan.

Kecuali jika saya tak menolak tawaran KPLI (Kursus Perguruan Lepasan Ijazah) untuk ke maktab di Johor Bahru, saya hampir pasti sudah 3 tahun bergelar seorang Guru Kaunseling sekarang ni. Apapun pilihan yang telah dibuat, setiap jalan hidup ada cerita dan cabaran tersendiri. Teruskan melangkah!


Wednesday 10 October 2012

SYIAH: Menyingkap Pemesongan Fahaman ISLAM


Tajuk: Syiah: Menyingkap Pemesongan Fahaman Islam
Penulis: Dr. Muhammad Thalib
Penerbit: Kharisma Network Sdn. Bhd.
Harga: RM20
Muka surat: 248

Pernah dengar mengenai fahaman SYIAH? Saya pernah dengar tapi tak ambil tahu. Sehinggalah suatu malam saya menonton rancangan ISU AKIDAH di TVHijrah yang memperkatakan mengenai betapa bahayanya fahaman ini yang kian diterima pakai oleh orang-orang Islam di negara kita. Tambahan pula ada tokoh terkenal yang menjadi pengikut Syiah, maka lebih mudahlah Syiah meluaskan pengaruhnya di sini. Selepas dari itulah saya tergerak hati nak mengetahui lebih lanjut apa itu fahaman Syiah dan membeli buku di atas. Agak berat untuk dihadam oleh saya, lepas lebih sebulan baca barulah tamat! 

Sinopsis
Jika Iran memegang sepanduk mengisytiharkan yang mereka adalah anti Zionis kepada masyarakat dunia dan menyokong persatuan Syiah-Sunni, namun mengapa pula ada kenyataan dari kalangan mereka yang menghina Rasulullah s.a.w. dan para sahabat? Mungkinkah sesebuah negara yang memperjuangkan kepentingan dan kejayaan Islam namun disebaliknya tersembunyi sikap amarah, benci dan dendam kepada junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w.?

Buku ini menyingkap berkenaan kepincangan sesebuah fahaman yang diletakkan atas nama ISLAM. Ia berusaha membuka minda masyarakat Islam hari ini agar tidak terlalu tergesa-gesa untuk menerima mentah-mentah segala FAHAMAN YANG MUDAH, untuk dijadikan sebagai panduan hidup. Telitilah setiap realiti dan cubalah berfikiran jauh, apakah yang sebenarnya dipraktikkan oleh penganut Syiah.

----------------------------------------------------------------------------------------

Info ringkas:
Syiah adalah golongan yang mendakwa Saidina Ali LEBIH UTAMA daripada sahabat-sahabat lain. Mereka juga mengkafirkan semua sahabat kecuali beberapa orang. Inilah perkara pokok yang membezakan golongan Syiah dengan golongan lain. Terdapat beberapa aliran dalam Syiah itu sendiri, tetapi pada dasarnya masing-masing mempunyai konsep mengkafirkan sahabat. Syiah menjadi popular selepas tercetusnya Revolusi Iran.

Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada 5 Mei 1996 juga telah mewartakan kesesatan Syiah dan DIHARAMKAN untuk diamalkan di Malaysia. Klik DI SINI untuk keseluruhan fatwa.

PENTING: Saya amat menggalakkan korang membaca risalah INI untuk penerangan lanjut dan ringkas mengenai Syiah. Kita perlu tahu untuk mengelakkan diri dan keluarga dari terpedaya dengan fahaman ini. Andai Kristian itu sudah jelas bukan Islam, tetapi Syiah jauh lebih berbahaya kerana ia sebenarnya bukan Islam yang berdiri atas nama Islam!

Tuesday 9 October 2012

'Twin Towers' Di Malam Hari

Gambar-gambar berikut diambil oleh suami saya. 
Balik kerja dah malam, sambil berjalan menuju ke tempat parking sempat snap pemandangan yang memukau mata ni. Saya sendiri belum pernah melepak kat kawasan ni di malam hari. Tengok gambar je lah..





Yuran Keselamatan

Sejak tinggal di Selangor beberapa tahun lalu, saya dah mula kena bayar YURAN KESELAMATAN. Mula-mula masa tinggal di Klang, yuran dikenakan RM30 sebulan. AJK taman perumahan ambil syarikat swasta untuk tujuan keselamatan taman. Tugas biasa mereka, buat rondaan sekeliling taman dan jaga kat pintu masuk taman. Tapi saya kurang puas hati, pengawal keselamatan yang diupah tu bukan jaga sangat. Setakat duduk kat pondok pengawal dan angkat tangan bila ada kenderaan keluar/masuk taman. Lepas tu bila ada penduduk yang lambat bayar sebab terlupa mugkin, wakil dia datang rumah sambil terjerit-jerit 'hello..hello..'. Tuan rumah belum keluar, jiran-jiran pulak yang menjenguk sebab bising.

Sekarang saya tinggal di Bangi, yuran masih RM30 sebulan. Tapi saya senang hati nak bayar sebab pengurusan sangat baik. AJK taman tak gunakan khidmat pengawal swasta, sebaliknya cari sendiri orang yang nak bekerja sebagai pengawal keselamatan. Kalau mutu kerja tak elok, akan diberhentikan. Untuk penduduk pulak, wajib beli stiker RM2 untuk setiap kenderaan yang dimiliki. Mudah pengawal nak check bila ada kenderaan masuk kawasan taman waktu lewat malam. Beberapa bulan sekali AJK akan hantar penyata bayaran pada kita, sekaligus jadi peringatan bagi yang masih ada tunggakan. Bila tiba Hari Raya, jumlah pengawal akan ditingkatkan sebab taman ni dihuni sepenuhnya oleh Melayu Muslim. Pendek kata, saya nak puji AJK taman ni yang proaktif!

Bila dikenang...sayang sekali saya cuma menyewa kat sini. Suatu masa nanti saya akan berpindah ke rumah sendiri yang belum pasti suasananya. Hmmm... :(


p/s: Saya pun tolong berkawal gak siang-siang ni. Sebab saya je yang ada kat rumah, rumah lain semua sunyi suami/isteri keluar bekerja dan anak-anak kat nursery/sekolah.

Monday 8 October 2012

Hari Ladang ARB 2012

Semalam saya ikut suami ke Kluang, Johor untuk ke Hari Ladang ARB.
Untuk info, ARB tu singkatan untuk 'Advanced Reproductive Biotechnology'. Ia sebuah projek oleh MARDI yang bertujuan untuk mengeluarkan BAKA ternakan lembu dan kambing berkualiti.


Kambing yang ada ni untuk dijual. 
Tapi bukan oleh pihak ARB, ni jualan syarikat ternakan tempatan.
Kambing no. 7 tu pakai tali bertulis 'POLICE' dan lepas bebas.


Ni pulak pameran di booth MPOB (Malaysian Palm Oil Board).
Gambar #1- Jenis-jenis sawit. Ada 6 jenis yang dipamerkan. Tapi sejenis je yang ditanam untuk komersial.
Gambar #2- Jenis ni biasanya digunakan untuk tujuan perubatan. Ditanam untuk penyelidikan.
Gambar #2- Jenis ni seakan buah kurma. Boleh digunakan untuk masakan seperti kerepek dan kuih. Isinya macam keledek. 
Rajin staf perempuan kat sini menerangkan pada saya. Banyak jugak info baru yang saya dapat.


Sawit jenis Bactris dalam gambar 3.
Staf yang baik hati tu bagi setangkai bawak balik.
Warna sebenar tengok gambar kat atas. Yang ni tak cukup cahaya.
Saya nak cuba buat kerepek macam yang dah diterangkan.
Kalau jadi, saya buat entri ya.


Sunday 7 October 2012

Cari Rezeki



Keluar cari makanan malam tadi...
Dapatlah rezeki SATE ni...rasa sate dan kuah kacang yang sedap!
Tapi kena tunggu lama sebab ramai pelanggan lain yang menunggu.
Bakar pun cara tradisional...guna kipas tangan.
Harga? 60sen secucuk.



Inilah pakcik yang jual sate...
Kemas orangnya. Nak beli makanan daripada dia pun rasa yakin je.
Segala peralatan (termasuk tong gas) dibawa dengan motorsikal ni.
Kagum dengan kegigihan pakcik ni cari rezeki.
Harap kekal lamalah pakcik ni berniaga, sebab dekat dengan rumah saya.
Senang nak beli bila-bila teringin sate.
^__^


p/s: Saling memerlukan...saya cari rezeki makanan dan pakcik ni cari rezeki wang.

Friday 5 October 2012

Sabarlah Duhai Hati

Pandanglah indahnya alam...pasti terlerai kusut jiwamu.
(sumber: sabah.net)

Graf kehidupan kita adakalanya merundum,
Kita ditimpa musibah yang menekan jiwa melemahkan rasa,
Lalu pujuklah diri...sabarlah duhai hati!

Kerana janji Allah itu benar...
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud;
"Dan sesungguhnya akan Kami berikan cubaan kepadamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berilah berita gembira kepada orang yang sabar, yakni orang yang apabila ditimpa musibah mereka mengucapkan 'Innalillah wa inna ilaihi raji'un'."
(Surah al-Baqarah: 155-156)

Sesungguhnya...
Kita milik Allah dan kepada-Nyalah kita akan dikembalikan.
Segala nikmat hidup adalah milik Allah yang kita pinjam.
Janganlah marah atau terlampau sedih andai pinjaman diambil kembali.

Kata Imam al-Ghazali;
Jangan sekali-kali kita mengubah kebiasaan hidup apabila ditimpa musibah seperti tidak makan, tidak menjaga kebersihan diri, tidak mandi, tidak tidur, tidak menyisir rambut, merapikan misai dan janggut, apabila ditimpa musibah. Kononnya terlalu susah hati, tapi sebenarnya itu satu PROTES terhadap Allah yang menurunkan musibah itu.


p/s: Ingatan untuk diri sendiri jua. Buat sahabat blogger Lyd yang baru kehilangan bonda tercinta, moga terus sabar dan tabah.

Thursday 4 October 2012

Biar Gambar Bercerita #11




p/s: Jumpa belakang rumah makcik, kelam kabut snap...jadi tak elok gambar ni.
Nostalgia sungguh mesin ni kan...

Wednesday 3 October 2012

Fb : Tempat Lucutnya Pakaian 'MALU'

Ya...itulah laman Facebook (Fb),
Tempat ramai insan melucutkan pakaian MALU,
Walau mengaku diri seorang Muslim berbangsa Melayu.

Malu itu perlu pada situasi tertentu,
Adat Melayu menerapkan sifat malu,
Didikan Islam juga memberatkan perlunya malu.

Mana MALU kamu jika mendedahkan segala...
Luahan rindu pada kekasih yang belum halal,
Ayat-ayat marah pada suami sendiri,
Hinggalah cebisan kisah dalam kamar suami isteri!

Sungguh...
Bukan salah Fb tapi salah diri sendiri.
Ayuh, pakailah pakaian MALU kamu!


Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud;
"Malu dan amanah adalah perkara yang mula-mula sekali hilang dari dunia ini, sebab itu mintalah dengan Allah untuk kedua-duanya".
(Riwayat Bukhari)

Tuesday 2 October 2012

Air Johor : Air Selangor

Ini kisah masa hari raya lalu...

Bila dah berkumpul ramai-ramai dengan sanak-saudara, biasanya ada je topik yang dibincangkan. Antaranya isu AIR. Bagi yang tak tahu, air di Johor lebih mahal berbanding di Negeri Sembilan dan Selangor. Kedua negeri ni saya tau sebab dah menetap di Negeri Sembilan selama lebih 4 tahun dan sekarang pulak di Selangor. Negeri lain saya tak tau ya.

Untuk perbandingan, penggunaan air bagi isi rumah seramai DUA orang di Negeri Sembilan biasanya saya cuma dikenakan bayaran minima tak melebihi RM6/sebulan (kadar beberapa tahun lalu). Manakala di Selangor (sejak Pakatan Rakyat mentadbir), tiada bayaran perlu dibuat sebab penggunaan 20 meter padu pertama adalah percuma. Sejak duduk di Selangor ni, memang belum pernah saya bayar bil air! Manakala mak saya yang tinggal berdua dengan anak sedara di Johor perlu membayar lebih RM10 (biasanya sekitar RM15) sebulan! Beza sangatkan? 

Maka, keluarlah dialog berikut:

Makcik A: Kau tak pernah langsung bayar bil air?
Saya: Tak pernah!
Makcik A: Kalau gitu...tak reti-reti lagi nak pangkah apa nanti?
Saya: Memanglah!   Eh, undi tu rahsialah! (spontan terjawab sambil kena ketawa) :)

Makcik A bercakap pulak dengan Makcik B:
Makcik A: Air tempat kita ni mahal (merujuk negeri Johor). Tak reti-reti lagi nak pangkah apa undi nanti Mak B?
Makcik B: Elehh....(sambil mencebik mulut) :(
Makcik A: Waah...Mak B setia betul! Tak tergugat langsung.

Kesimpulan daripada pemerhatian:
Kebiasaannya orang-orang lama amat sukar menerima sesuatu yang baru biarpun mulut sering mengeluh dengan prestasi yang lama. Sifat SETIA yang tertanam dalam diri Melayu orang-orang lama memang sukar digugah!


p/s: Dapat bonus daripada kerajaan, bukan bererti wajib sokong kerajaan. Tak dapat apa-apa pulak bukan bererti wajib tukar kerajaan. Terpulang pada cara kita berfikir dan kehendak dalam hidup masing-masing. Hargai perbezaan, raikan persamaan!

Monday 1 October 2012

Rimas!

Asal terjumpa je sibuk promote join MLM.
Asal terjumpa je tanya nak join tak?
Takde perkara lain ke nak dibualkan sebagai kawan.
Kita ni KAWAN tau!

Saya dah lama tau awak join MLM tu,
Awak dah selalu bagitau panjang lebar...
Awak perlukan downline.
Saya tau!

Lama-lama kita dah tak jadi macam kawan.
Kawan akan bertanya kabar,
Kawan akan bercerita perkembangan terkini diri,
Kita akan saling bertukar cerita.

Tolonglah..jangan jadi kawan yang merimaskan.
Kalau boleh saya nak elak terjumpa awak lagi.
Sebab saya dah cukup lemas dan rimas!

***************************************************

Nak ajak kawan join MLM (multi level marketing) tak salah. Kalau tak ajak mana kawan tu tau kan? Tapi jagalah ADAB dan PERASAAN seorang kawan. Borak je macam biasa sebagai kawan, sesekali tu selitkan pasal bisnes kita. Bagi brochure sekali, senang kawan nak fikir kat rumah. Tak perlulah tiap kali jumpa, dari awal sampai akhir cerita bisnes MLM semata. Kalau hubungan dah mesra dan rasa selesa, biasanya kawan dengan mudah sudi tolong jadi downline.


**Kalau sudi, jenguk-jenguk blogshop saya & Tihara. KLIK pada banner kat sebelah ya!**