Friday 30 December 2011

Fiksyen 302


Tajuk: Fiksyen 302
Penulis: Ramlee Awang Murshid
Penerbit: Alaf 21
Harga: RM21
Muka surat: 492


Buku yang baru saja selesai dibaca. Karya terbaru novelis thriller Ramlee Awang Murshid (RAM) ini memang tak mengecewakan saya. Dengan konsep novel psikologi thriller, ia benar-benar membuat otak saya ligat berfikir! Pengakhiran ceritanya juga mengejutkan dan sukar untuk saya jangka. Bagi yang gemarkan penyiasatan dan suka bermain dengan psikologi, novel ini memang untuk anda. Dan ini memang kegemaran saya!

Sedikit ringkasan novel ini...
Lan Lani, Jimmy Yeoh, Prakash Kumar dan Farid Ja'ah membunuh mangsa-mangsa mereka dengan kejam. Masing-masing melakukannya dengan cara yang hampir serupa. Angka 302 dilakar di dahi mangsa. Sejurus itu, mereka menghubungi polis dan melaporkan bahawa hukuman mati telah dilaksanakan. Ketika diberkas, mereka menyerah diri dalam keadaan bertelanjang bulat.

Bagusnya novel RAM ni, pada bahagian belakang buku ada diselitkan 'Segmen Ilmu'. Untuk novel psikologi kali ini, pembaca diberi info secara ringkas mengenai psikosis dan neurosis. Sambil baca novel kita dapat ilmu.


p/s: Bagi yang pertama kali membaca karya RAM, pasti akan terasa pening sebab ia memaksa otak kita berfikir. Macam sorang kawan saya dulu..terus takmau baca! ^__^ 


Thursday 29 December 2011

Menangani Provokasi

Ada page di Facebook menyiarkan gambar seorang lelaki berkulit gelap sedang membuat isyarat tangan pada sebuah frame bertulis kalimah Allah. Akibatnya, ramai yang memberi reaksi berbentuk komen yang penuh emosi. Hanya segelintir yang memberi reaksi secara rasional. Kalau korang macamana?

Sedikit petikan daripada reaksi pengguna Fb:



Apa yang korang nampak? Semuanya penuh emosi marah, kecuali yang bertanda star biru tu. Memang bagus bila orang Islam merasa sensitif terhadap sesiapa yang mempersendakan Allah. Itu tandanya hati sayangkan Islam. Tapi bila kita mengeluarkan kata-kata kesat dan pelbagai ugutan melampau, itu tidak menunjukkan akhlak seorang Islam. Kata-kata begitu hanya membuat non-Muslim melihat kita sebagai agama yang tidak mampu mendidik peribadi mulia penganutnya. Seterusnya membuat Islam dijauhi dan dibenci.

CARA YANG TEPAT
Bila menghadapi provokasi seperti ini, sebaiknya jangan terus melatah dan menghamburkan kata-kata penuh emosi marah. Gunakan akal untuk berfikir sejenak, mengapa dia sampai melakukan begitu dan adakah kita selaku Muslim ada menyumbang ke arah perbuatan begitu? Betul kata seorang pengomen Fb di atas..MUHASABAH!

Juga doakan semoga pelaku tadi menemui kesedaran dan menerima kebenaran Islam. Kalau berpeluang berjumpa, tunjukkan akhlak Muslim kita. Bukankah AKHLAK YANG BAIK ITU DAKWAH?. Peribadi mulia akan membuat hati seseorang mudah tertawan..percayalah! Lepas tu mudahlah dia menerima jika kita menerangkan tentang indahnya Islam.


*Provokasi: Berikan tindakbalas yang rasional dan berilmu!*

Wednesday 28 December 2011

Tanjung Piai

Cuti hujung minggu lalu saya pulang ke kampung di Pontian, Johor. Perancangan asal nak ke Taman Negara Pulau Kukup, tapi dibatalkan sebab musim hujan tak sesuai untuk aktiviti melibatkan laut. Pulau Kukup ni sebenarnya terletak tidak jauh dari rumah mak saya. Ia telah diwartakan sebagai Taman Negara pada tahun 1997, tapi saya sendiri belum pernah menjejakkan kaki ke sana.

Disebabkan tak jadi ke Pulau Kukup, kami menghala ke Tanjung Piai. Lokasinya juga tak jauh dari Pulau Kukup. Jika memandu dari bandar Pontian, ambil simpang kiri ke Serkat. Dari situ kita akan melalui jalan kampung. Untuk ke Tanjung Piai, ikut saja papan tanda yang disediakan. Oh ya, Tanjung Piai juga dikenali sebagai 'Tanah Paling Selatan Benua Asia'.

TAMAN NEGARA TANJUNG PIAI
Kawasan seluas 926 hektar yang meliputi paya bakau dan dataran berlumpur ni telah diwartakan sebagai Taman Negara pada tahun 2004. Saya pernah berkunjung ke sini di awal pembukaannya sebagai Taman Negara.

Nampaknya hasrat untuk berkunjung sekali lagi ke Taman Negara ini tak terlaksana. Setiba kami di sana, air banjir memenuhi laluan di pintu masuk utama. Jadinya, saya cuma berpeluang mengambil gambar disekitar kawasan ini saja.


1. Jalan menuju ke Taman Negara Tg. Piai yang sudah dinaik taraf.
2. Jambatan untuk ke kaunter tiket dan pintu masuk.
3. Air banjir mengalir macam mini air terjun!



4. Pemandangan dari sebelah kiri jambatan..ada kawasan lapang untuk aktiviti.
5. Pemandangan di sebelah kanan jambatan...banyak pokok kelapa.


Tanjung Piai Resort
Berhampiran Taman Negara ni ada sebuah resort yang diusahakan oleh orang Melayu tempatan. Menariknya bilik chalet dibina di atas air, ala-ala water chalet di Port Dickson. Cuma ia tidaklah mewah dan ditawarkan dengan harga serendah RM140 untuk Twin Sharing. Restoran resort juga menyediakan hidangan makanan laut yang lazat dengan harga yang berpatutan. Dari sini juga kita boleh nampak Pelabuhan Tanjung Pelepas dan pemandangannya cantik di waktu malam! Bila dah tengok sendiri ni, rasa macam nak cari masa untuk bermalam dan berehat di sini pulak.

Kalau ada yang berminat, boleh hubungi julialiff@yahoo.com atau 012-706 0890 atau KLIK DI SINI. 


 
1. Papan tanda resort.
2. Pemandangan chalet dari jauh...masa ni air laut pasang.



3. Jeti tempat para nelayan memunggah hasil tangkapan yang terletak bersebelahan resort.
4. Resort dan jeti..sangat dekat.
5. Inilah bilik chaletnya..nampak menarik.


Yang ni memang banyak di sini...comel je duduk gitu!


Sesiapa yang gemarkan alam semulajadi, tempat ni amat disyorkan untuk korang. Tapi pastikan datang di luar musim hujan untuk tidak kecewa. Pontian juga sebuah bandar yang tidak sesak, jaringan jalan rayanya mudah (tegak je) dan pasti tak sesat untuk ke sini. Sorry..promote tempat sendiri!

Tuesday 27 December 2011

Enam Bulan Sudah...


Hari ini...
Enam bulan sudah mengenal dunia blog,
Belajar membina sendiri sebuah blog peribadi,
Belajar apa itu Nuffnang, widget dan bermacam lagi.
Terima kasih kepada tutorial teman blogger!

Sesungguhnya...
Enam bulan ini terasa lebih 'hidup',
Fikiran bekerja demi menghasilkan tiap entri,
Yang kadang terasa malu bila membacanya sendiri.
Terima kasih kepada kalian yang masih sudi membaca!

Juga...
Enam bulan ini terasa lebih ceria,
Hadirnya teman-teman blogger seikhlas rasa,
Tidak bersua, tanpa suara...kita mampu berbicara,
Jantina, umur, latar belakang hidup...bukan persoalan kita.
Terima kasih di atas rasa persaudaraan ini!

Andainya...
Enam bulan ini ada yang tak senang di hati,
Kerana ada entri dan komen yang tak serasi,
Kemaafan dipinta...kelemahan diri ini jangan diambil hati.
Sekali lagi..MAAF!

Terima kasih...
BUAT SEMUA TEMAN BLOGGER & PEMBACA YANG SUDI SINGGAH,
Terutamanya 5 teman yang paling setia meninggalkan komen...
Achie, Diana, Azmnor, Azlan, dan Lily
Kalian semua selalu membuat diri ini tersenyum sendiri!
Paling berjasa tentunya suami yang mendorong untuk berblog.
Sekali lagi...TERIMA KASIH!
^__~

Friday 23 December 2011

Topi Santa & Pokok Krismas


sumber: google
Pokok Krismas
Sejak beberapa minggu lalu, kalau ke kompleks membeli-belah dah meriah dengan hiasan bertemakan perayaan Krismas. Cuma yang tak sedapnya bila tengok orang Muslim beria-ia bergambar dengan hiasan tersebut. Memang nampak cantik pokok krismas tu dengan lampu dan hiasan yang comel, tapi kenalah berfikir sebelum bergambar. Pokok krismas yang dah siap berhias tu adalah lambang perayaan agama Kristian, bergambar dengannya seolah-olah kita membenarkan/bersetuju dengan agama mereka. Melainkan pokok krismas tu tidak menunjukkan ciri-ciri keagamaan, sekadar sebatang pokok memang tiada halangan untuk bergambar. Kat sinilah perbezaannya! Yang ni saya tanya ustaz tau, bukan memandai.


Topi Santa
Masuk restoran makanan segera dan beberapa outlet menjual pakaian, ternampak pulak ramai pekerja yang mengenakan topi santa. Semestinya majikan yang suruh untuk memeriahkan Krismas. Jadi, apa hukumnya? Hukumnya HARAM sebab ia pakaian lambang keagamaan bagi Kristian. Memakainya boleh mempengaruhi dan memesongkan akidah kita. Selain ia menunjukkan kita membenarkan/bersetuju dengan agama lain selain Islam.

Bagi pekerja yang berkenaan, mesti berani beritahu secara baik dengan majikan. Sebab ini melibatkan akidah sebagai Muslim. Majikan yang bukan Muslim memang tak tahu pun. Menjadi tugas kita menerangkan kepada mereka.

Asas hukum: Jika sesuatu itu melambangkan agama selain Islam, ia tidak dibenarkan. Berbeza jika sesuatu itu hanya melambangkan sesuatu kaum, ia dibenarkan selagi tidak bercanggah dengan mana-mana hukum Islam.

Jika ragu-ragu lagi, sila klik peringatan daripada Mufti Pahang dan Mufti Johor ni.

Hukum Menyambut Krismas?
Sekadar ucapan untuk meraikan seorang kawan, tidaklah menjadi kesalahan. Sebab ia atas dasar perpaduan dan bukan kerana nak meraikan perayaan tersebut.

Hukum merayakannya pula HARAM, sekali lagi kerana ia seolah-olah kita membenarkan/bersetuju dengan agama lain. Tetapi atas dasar perpaduan  dengan penganut agama lain dan bukan niat merayakan, ia DIBOLEHKAN dengan syarat majlis yang kita hadiri tu tidak disertakan upacara keagamaan mereka dan tiada perkara yang bercanggah dengan Islam.

Untuk mengetahui muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan berkenaan hal ini, sila layari mohamadazhan.com.


p/s: Harap ada pencerahan di sini. Bila dah faham, boleh jelaskan kepada orang lain pulak ya. Kalau ada teguran/penambahan juga dialu-alukan. Kita sama-sama cari/kongsi ilmu.
Petang ni nak balik Johor...JOM!!

Jom Tingkatkan Ranking Alexa



Kali ni saya nak join segmen review Alexa anjuran Kak Diana.
Cara nak join pun sangat mudah!
Cuma lepas join ni bukan duduk saja-saja tau, ada kerja yang kita kena buat selepas 1 Januari 2012.

JOM JOIN...CUMA KLIK PADA BANNER DI ATAS!


Thursday 22 December 2011

Cemerlang Dulu & Kini



Harini keputusan PMR diumumkan,
Tahniah buat yang dapat A berderet-deret,
Jangan terlalu kecewa jika A cuma sedikit.
Banyaknya A memang perlu tapi bukan titik penentu.
Jalan di hadapan masih menunggu.

Cemerlang masa dulu...
Tidak semudah cemerlang sekarang.
Yang rajin menelaah dan bertanya guru,
Yang fikiran memang cerdas gemilang,
Dialah yang cemerlang!

Cemerlang masa kini...
Lebih mudah untuk dicipta dan dicapai.
Buku ramalan peperiksaan berlambak dipasaran,
Kem-kem peperiksaan dan kecemerlangan jadi pilihan,
Pusat tuisyen tumbuh bagai cendawan,
RM50 sejam jika mengambil tuisyen persendirian,
Asal ada wang...di situ ada cemerlang!

Mungkinkah...
Jika diri ini menjadi anak zaman sekarang,
Keputusan peperiksaan akan lebih cemerlang?
Tambahan lagi menjadi kumpulan pertama PMR.
Tentunya keadaan menjadi lebih sukar!


p/s: Ini la alasan yang boleh saya fikirkan, sebab dulu PMR dapat beberapa A sahaja. Nasib baik masih layak terus sekolah kat situ. Kalau kena balik kampung, malu jugak! ^__^

Wednesday 21 December 2011

Poligami Bukan Sunnah?

Sebelum terus membaca, yang perempuan sila tarik nafas panjang dan tenangkan hati jangan beremosi. Yang lelaki jangan tersenyum-senyum sendiri, juga berlapang dada untuk terus membaca...

Ini hanyalah sebuah pencerahan ilmu mengenai poligami. Selama ni kita disogokkan dengan kata-kata 'poligami itu sunnah nabi'. Tetapi apabila saya membaca novel tauhid berjudul Sebarkan Cinta-Mu karya oleh Fatimah Syarha Mohd Noordin, barulah saya tahu bahawa POLIGAMI BUKAN SUNNAH!

Hukum asal poligami
Hukumnya HARUS, ia tidak digalakkan dan tidak pula diharamkan. Jadinya kalau ada yang ingin berpoligami sebab nak ambil sunnah nabi, nyata anda cuma sekadar mengetahui tetapi tidak mendalami tentang poligami. Dan jangan ada pula yang nak mengharamkannya secara keseluruhan.

Bagaimana ia dikatakan bukan sunnah?
Secara umumnya, setiap sesuatu yang dilakukan oleh Rasulullah adalah sunnah. Tetapi tidak bererti sesuatu yang baginda lakukan itu adalah suruhan dan galakan tanpa mengira soal sesuatu keadaan. Berdasarkan dalil-dalil yang kuat oleh jumhur ulama, poligami memang dibenarkan tapi bukanlah suatu sunnah yang digalakkan.

Harus diingat jua, Rasulullah bermonogami selama 25 tahun dan berpoligami pula selama 10 tahun saja pada akhir usia baginda. Poligami itu pula hanya selepas wafatnya Khadijah r.a. Jelas, sunnah bermonogami lebih mendominasi sunnah berpoligami bukan?

Untuk tidak mengelirukan orang biasa seperti kita, wajarlah tidak disebut 'Poligami itu sunnah', tetapi disebut 'Poligami itu harus'.


Untuk penjelasan yang lebih baik dan meyakinkan, boleh KLIK DI SINI dan boleh dapatkan novel terbitan PTS Litera tersebut di MPH (sebab saya beli kat sana). Saya tak pandai nak menerangkan secara panjang lebar mengenai hal ini, harap korang boleh faham penerangan ringkas saya ni ya.


p/s: Saya hormati mereka yang setuju berpoligami, tapi saya kesal pada mereka yang menyalahgunakan poligami dan melakukan poligami secara tidak terhormat!


Tuesday 20 December 2011

Giveaway Craft n Crochet




Duduk berehat di bawah pohon cemara,
Sambil membawa sebakul bunga,
GA anjuran blogger Herba Tihara,
'Craft n Crochet' kedai maya miliknya.

Sebakul bunga dibawa berjalan,
Kepada teman mahu diberi,
Barangan kraf produk jualan,
Hasil kreativiti tangan sendiri.

Bunga dibawa sambil menyanyi,
Penghibur hati dikala sendiri,
'Baby booties' untuk si bayi,
'Hairpin' comel penghias diri.

Berjalan perlahan di atas titi,
Berhati-hati sambil menjaga sopan,
'Bookmark' paling menarik dihati,
'Brooch' comel turut mencuri perhatian.

Tiba sudah tempat tujuan,
Bunga dihadiah buat teman,
Banyak lagi produk ditawarkan,
Lihat sendiri anda pasti tertawan!


****************************************************
Hadiah ditawarkan cantik dan comel, kalau berkenan jom join!
KLIK pada banner di atas untuk join.
Tarikh tutup 14 Januari 2012.

Genta Rasa

Petang ni sekadar nak mengajak teman-teman blogger ke laman blog milik Ustaz Pahrol Mohd Juoi, iaitu GENTA RASA. Dengan tagline "Kuatkan Fikir, Tingkatkan Zikir", hasil penulisan beliau tidak mengecewakan. Ayat-ayatnya tersusun indah, membuat kita yang membaca mudah menerimanya.

Antara hasil penulisan yang menarik:
Saya dah siapkan linknya, boleh terus klik untuk membaca. Bagi yang sedang mencari jodoh, digalakkan membaca 'Bercerita tentang jodoh' tu ya! ^__^


Monday 19 December 2011

Cinta Si Pembuli

Sungguh...
Bila mata sudah bertentang mata,
Hati sudah berbunga rasa cinta,
Akal mula menerima segala kata.
Dituruti saja segala pinta.

Si lelaki memutar kata...
Bila hati mu dan hati ku bertemu,
Itu bermakna cinta kita menjadi satu,
Segala milik ku kini jua milik mu,
"Pakaian ku kini pakaian mu...cuci pakaian ku!"

Si gadis terbuai dek kata-kata...
Hati sudah bertemu dan cinta telah bersatu,
"Ah...demi cinta, pakaian mu akan ku cuci!"
Sebagai menzahir rasa cinta buat si lelaki...
Pakaian luar dan dalam sanggup dicuci!

Si lelaki tersenyum bangga...
Hanya dengan lafaz cinta,
Dia kini sudah punya 'tukang dobi'!
Saban minggu dihantar cuci,
Siap berbasuh, dilipat elok sekali!

Wahai si gadis...
Hati-hati dengan cinta si lelaki ini,
Cintanya hanya 'cinta si pembuli'!


*********************************************
Ini secebis kisah semasa saya di universiti dulu. Siapa tak terkejut bila ada pakaian dalam lelaki diampaian baju? Oh, rupanya ada teman menjadi mangsa cinta si pembuli! Kalau sesekali masak-memasak untuk si dia merasa, masih boleh diterima. Tapi bukan jadi tukang dobi setiap minggu tanpa gaji! Itulah pendapat saya dan teman serumah yang lain. Maaf jika pendapat kita berbeza ya...

Friday 16 December 2011

Jawapan Teka-Teki

Jawapan kepada entri Teka-Teki siang tadi ialah KAIN KAFAN!

Tahniah kepada Uncle Gedek selaku orang terawal meneka hampir tepat- Keranda, dan seterusnya membuka fikiran yang lain untuk memberikan jawapan yang tepat. Juga Khaifaiz yang menjawab Lampin Pakai Buang, betul juga walau itu bukan jawapan yang dicari.

Mereka yang menjawab tepat...Juliet_Ira, Zul Fattah, Azmnor & Kak Tihara. Terima kasih juga buat mereka yang pening fikir sampai tak boleh nak jawab...Munnafendy, Kak Diana, Kakcik & Ieja.


*Hari ini kita sediakan/belikan kain kafan untuk orang lain, suatu saat nanti kitalah pemakai kain kafan itu! Bersediakah kita menghadapi saat kematian???*


Teka-Teki

Orang yang membuatnya tidak mahu memakai.
Orang yang membelinya pun tidak mahu memakai.
Anehnya, orang yang memakainya tidak sedar yang dia memakainya.
Apakah benda itu?


p/s: Teka-teki ni saya ambil dari sebuah majalah. Kalau ada yang dah pernah baca, tolong jangan jawab ya. Tapi takde hadiah tau, sebab macam tak berapa susah. Eloklah korang fikir-fikirkan untuk menajamkan minda. Jawapan akan diberi dalam entri seterusnya.


Thursday 15 December 2011

Biar Gambar Bercerita #5






p/s: Saya suka tengok pemandangan begini...ini bukan sebarang rumput tau!


Wednesday 14 December 2011

Pekerjaan Selepas SPM


Kalau tak silap peperiksaan SPM yang terakhir hari ni kan? Selepas ni akan ada masa yang panjang untuk tunggu keputusan diumumkan.

Kalau korang dulu-dulu buat apa lepas habis SPM? Saya sendiri ada buat beberapa pekerjaan. Tujuannya untuk mengisi masa dan cari pengalaman baru. Kalau anak orang senang, mungkin tak perlu bekerja. Ambil je kursus memandu, kursus komputer dan melancong sana sini.

Pekerjaan-pekerjaan yang saya buat pada masa tersebut:
Operator Pengeluaran
Hari ni balik dari asrama, esoknya kat rumah terus pergi interview kerja kilang elektronik. Lusa terus masuk kerja, jadi Pekerja Sementara. Yang seronoknya satu line (kumpulan kerja)  tu semua budak lepasan SPM dan STPM. Bila 'sama kepala', masa bekerja pun tak terasa tertekan walau selalu kena herdik dengan Supervisor yang garang!

Masa bekerja 12 jam (dari 8 malam - 8 pagi). Gaji bulanan dekat RM800. Sepanjang beberapa bulan tu siangnya memang tidur je lah. Setakat bangun solat dan makan je.

Sales Girl Kedai Kasut
Bila keputusan SPM keluar, saya terpaksa berhenti kerja kilang sebab nak uruskan permohonan kemasukan ke IPT. Lepas tu saya kerja jadi Sales Girl pulak. Kerjanya leceh, tiap kali ada pelanggan masuk saya kena mengekor je kat belakang. Lepas tu kena panjat tangga dalam stor untuk ambil stok kasut! Yang ni paling tak suka sebab saya pakai baju kurung, masa tu belum kenal t-shirt & seluar.

Masa bekerja dari 10 pagi - 6 petang. Tapi sebab rasa tak seronok, tak bertahan lama.

Pengasuh Pusat Asuhan
Cari iklan kat suratkhabar, dapatlah mohon kerja jadi pengasuh di Johor Bahru (kira-kira 40 minit dari rumah saya). Tapi kena tinggal di sana. Saya setuju dan bapa saya pun beri izin.

Tiba harinya, saya dah bersiap-siap angkat beg..tiba-tiba bapa saya kata tak boleh pergi. Pulak! Rupanya dia nak duga sejauh mana saya bersungguh dan berani. Memanglah saya berani, dah biasa duduk asrama dan ulang-alik Seremban-Pontian.

Akhirnya duduk rumah je tunggu surat tawaran IPTA...


p/s: Akhir-akhir ni macam takde idea, mulalah buka cerita sendiri. Tapi sekurang-kurangnya bolehlah kongsi pengalaman hidup kita yang berbeza-beza ni.

Pakcik...Bukan Abang!

Ini kisah masa lalu saya, zaman bersekolah menengah di sebuah sekolah agama. Seawal minggu orientasi pelajar tingkatan 1, kami yang perempuan ni dah diajar supaya memanggil pelajar-pelajar lelaki senior dengan panggilan PAKCIK. Kakak senior melarang kami memanggil ABANG, atas alasan lelaki mudah 'menggatal' jika dipanggil ABANG. Lelaki..betul ke? Ada betul jugak kan..

Dan sememangnya panggilan PAKCIK sudah jadi suatu budaya di sekolah tersebut. Tapi memang kelat muka senior lelaki tiap kali dipanggil PAKCIK! Disebabkan tak biasa sebut ABANG, bila berurusan dengan orang luar pun tersasul panggil PAKCIK. Sampai ada penjual burger tu cakap "Abang belum tua lagi dik..".

Yang sebenarnya, tiada masalah panggilan ABANG tu. Asal jangan dengan suara mengada-ngada sehingga menarik perhatian lelaki. Bila lelaki jadi tertarik dengan lenggok suara perempuan, dah jadi satu dosa tau! Bercakaplah dengan nada biasa dan suara yang sedikit keras. Nak tunjuk contoh tak boleh, sila fikir sendiri ya.


*Perempuan..hati-hati dengan lenggok suara kamu!*


Tuesday 13 December 2011

Free Service Has To Stop

Itulah yang pihak ShoutMix bagitau. Selepas 1 Januari 2012, tiada lagi istilah percuma untuk menggunakan servis ShoutMix ni. Bagi blogger yang memasangnya, kita ada dua pilihan:
  • berhenti guna
  • atau..bertukar ke pelan berbayar serendah $0.99/sebulan.
Keputusan saya tentulah berhenti guna. Yang harga $0.99/sebulan tu tentunya dalam USD ya. Kalau nak tau lebih lanjut sila klik sendiri kat Shoutmix Box tu, bahagian atas kiri..IMPORTANT NOTICE.


Monday 12 December 2011

Akhir Sebuah Konflik


"Konflik mendatangkan dua kesan,
samada memusnahkan perhubungan ataupun
menjadikannya lebih baik."



Jika masih merasa diri lebih baik,
Jika masih mencari kesalahan orang lain,
Jika masih menegakkan pendapat sendiri,
Jika masih menyimpan sisa amarah di sudut hati,
Konflik pastinya memusnahkan sebuah perhubungan!

Andai mampu merendahkan diri,
Andai mampu menerima kesalahan sendiri,
Andai mampu menilai kembali pendapat orang lain,
Andai mampu menghidupkan rasa kasih yang terpadam,
Konflik pastinya membuat perhubungan bertambah erat!

Apa jua bentuk perhubungan yang terjalin...
Sahabat, suami dan isteri, sesama keluarga,
Biar sekadar teman sekerja, jiran tetangga,
Konflik sering hadir di antara kita,
Bagaimana akhiran sebuah konflik...
Iman dan akal kita jadi penentunya!


p/s: Ada di antara korang yang sedang berkonflik? Tenangkan diri, senyum lebar-lebar...kemudian tentukan pengakhiran konflik tadi. ^__*

Friday 9 December 2011

Weton dan Ramalan Karektor

Apa itu WETON?
Weton adalah hari kelahiran mengikut kalendar Jawa. Ya, memang ada kalendar Jawa! Dalam kalendar Jawa akan ada 5 hari pasaran Jawa iaitu LEGI, PAHING, PON, WAGE & KLIWON. Maaf, saya tak dapat menerangkan lebih lanjut mengenai 5 perkataan ini sebab saya sendiri tak memahaminya.

Weton merupakan gabungan 7 hari dalam seminggu iaitu Isnin, Selasa, Rabu, Khamis, Jumaat, Sabtu & Ahad dengan 5 hari pasaran Jawa seperti di atas.

Weton dan Ramalan Karektor Individu
Menurut kepercayaan Jawa, karektor seseorang itu dapat diramalkan mengikut hari kelahirannya. Sebab tu orang Jawa dulu-dulu akan segera merekod weton bagi setiap kelahiran baru. Bagaimanapun ia masih boleh diketahui dengan cara menghitung nama dan tarikh kelahiran seseorang. Setelah tahu weton seseorang, kita dapat meramalkan karektornya! Sekali lagi, saya tak tahu cara mengiranya ya. Tu kerja orang-orang lama.

Contohnya: setelah dibuat pengiraan, weton saya jatuh pada hari Sabtu Pon. Kemudian ada ramalan karektor bagi individu yang lahir pada Sabtu Pon tersebut.

Hukum Mempercayai Ramalan
Sebarang perbuatan meramal dan mempercayai ramalan adalah HARAM. Ramalan cuaca tak haram ya, sebab ia guna satelit untuk tengok awan. Setakat mengetahui weton (tarikh lahir Jawa) memang tiada masalah, asal jangan mempercayai ramalan untuk tarikh lahir tersebut. Lebih memburukkan keadaan apabila weton ini digunakan dalam meramalkan kebahagiaan rumahtangga bakal pasangan suami/isteri.

Untuk penerangan yang lebih meyakinkan mengenai hukum meramal ni, sila rujuk link berikut:

*Adat budaya dan kepercayaan masih boleh kita ikuti, selama mana ia tidak bercanggah dengan agama Islam.*


p/s: Kepada orang-orang Jawa yang membaca entri ni, sila betulkan jika ada mana-mana bahagian yang saya tersilap tulis. Sumber entri ini berdasarkan temubual dengan mak saya dan carian di internet.

Kenangan Lalu...


Kenangan lalu...
Terlalu indah untuk dikenang,
Seakan ingin mengulangi saat itu,
Merasai kembali kemanisan semalam,
Namun kenangan semalam tak mampu berulang!

Kenangan lalu...
Terlalu perit untuk dikenang,
Seakan ingin membuang ingatan itu,
Melupakan semua kepahitan semalam,
Namun kenangan semalam tak mampu dibuang!

Kenangan lalu...
Jika masih berlegar diruang fikiran,
Jika masih menguasai hati dan perasaan,
Dikau akan terus terbelenggu lalu tenggelam,
Dalam lautan kenangan semalam!

Kenangan lalu...
Sesekali ia menyapa diri,
Tersenyumlah jika ia terlalu indah,
Tapi jangan disesali jika ia terlalu pahit,
Biarkan saja dibawa angin semalam,
Jadikan ia pengalaman dan teladan hidup!

Laluan di hadapan masih berliku,
Teruskanlah hidupmu...
Usah hanyut dalam kenangan lalu!


Thursday 8 December 2011

Khalifah-Khalifah Yang Benar- Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali


Tajuk:
Khalifah-Khalifah Yang Benar - Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali
Penulis: Abdul Latip Talib
Penerbit: PTS Litera Utama S/B
Harga: RM55 (Semenanjung M'sia)
Muka surat: 759


Buku ini merupakan sebuah novel sejarah Islam yang menyingkap pelbagai kisah empat sahabat Nabi Muhammad SAW, yang juga merupakan Khulafa Ar Rasyidin.

Abu Bakar As Siddiq
Lelaki yang tidak pernah ragu membenarkan semua kata-kata Nabi. Dikenali sebagai peneguh kerajaan Islam dan berjasa sebagai penghapus nabi-nabi palsu.

Umar al Khattab
Lelaki yang awalnya keras ke atas Islam, akhirnya menjadi lelaki pendinding agama yang benar. Beliau harum sebagai pengembang empayar Islam.

Uthman Affan
Lelaki yang mengahwini dua puteri Nabi. Dikenali sebagai dermawan dan dikenang sebagai pengumpul al-Quran.

Ali bin Abi Talib
Lelaki yang punyai pertalian darah dengan Nabi. Menjadi kanak-kanak pertama memeluk Islam. Dihormati kerana tinggi ilmunya dan dikenang sebagai pahlawan Islam yang tidak pernah gentar kepada musuh.

Apa yang saya suka mengenai buku ini adalah gaya penceritaannya yang tidak membosankan dan mudah untuk difahami. Memang berbeza daripada buku sejarah lain yang biasanya membuat kita mengantuk saat membacanya. Sama seperti buku Shamsiah Fakeh, kisah sejarah yang diolah dalam bentuk novel ini mampu membawa kita menyelami setiap peristiwa seolah-olah ia berada di hadapan mata. Asal saja kita menghayati tiap perkataan dalam novel ini dan membacanya dengan rasa ingin tahu.

Sejujurnya, saat ini belum pun sampai separuh daripada buku ini yang saya baca. Proses 'penghadamannya' agak mengambil masa kerana ia novel sejarah. Sejarah perlu dibayangkan, difikir-fikirkan dan diambil pengajaran.


p/s: Buku begini sesuai juga dijadikan hadiah. Berkulit tebal, harga berpatutan dan ianya kisah sejarah yang perlu diambil tahu oleh kita orang Islam.
 Jom baca buku..asyik baca blog je kan! ^__*



Wednesday 7 December 2011

Telur Pindang

...sebelum ke cerita telur pindang, saya nak jelaskan kat sini bahawa dalam entri sebelum ini -Ditelan Mati Emak... bukannya saya perlu memilih antara dua orang tau. Tapi memilih diantara dua tindakan bagi suatu masalah rumit. Yang mana tindakan yang diambil pastinya memberi kesan kepada orang-orang yang terlibat...
*******************



Telur ni biasa dibuat untuk majlis perkahwinan di Johor. Gambar di atas ni adalah telur pindang yang dibuat untuk majlis kenduri kahwin adik ipar Ahad lalu. Buat sedikit saja, untuk diletak pada 'bunga telur'. Bunga Telur tu pulak untuk dijadikan Bunga Pahar. Kalau ada yang tak tahu apa tu Bunga Telur dan Bunga Pahar, sila buat carian sendiri kat Google ya! Dah penat, tak rajin nak ambil gambar masa majlis tempohari.

Cara buatnya, telur perlu direbus bersama pelbagai jenis daun seperti daun pokok jambu batu dan daun pokok manggis. Kalau ikutkan, perlu direbus selama beberapa hari untuk lebih rasa dan warna pada telur. Tapi yang dalam gambar ni, kami rebus tak sampai 8 jam. Sebab tu warna pada telur agak cerah. Jadi rasanya pun agak kurang.

Korang yang bukan orang Johor pernah cuba makan telur pindang? Ada orang tak berani cuba sebab macam busuk. Biasalah..kalau tak biasa makan. Kalau saya memang suka makan telur pindang ni!


Ditelan Mati Emak...

Pepatah mengatakan...
Ditelan mati emak, diluah mati bapa.
Bila kita menghadapi suatu masalah yang amat sukar...
Serba salah pula bila perlu memilih diantara dua.
Kerana keduanya jua bukanlah pilihan yang baik.

Jika membuat pilihan pertama,
Ada hati-hati bakal terluka...
Ada jiwa-jiwa pasti merana...
Ada kehidupan-kehidupan yang akan berakhir...
Yang pasti tiada kesudahan yang baik.

Jika membuat pilihan kedua,
Ada hati yang merasa sakit...
Ada jiwa yang menyimpan amarah...
Ada kehidupan yang tidak merasa aman...
Yang pasti jua tiada kesudahan yang baik.

Lalu pada akhirnya...
Buatlah pilihan paling baik diantara keduanya.
Daripada banyak hati, jiwa dan kehidupan yang terkesan...
Pilihlah hanya satu hati, jiwa dan kehidupan yang terkorban.
Itulah pilihan terbaik bila berada dipersimpangan jalan yang hampir buntu!


p/s: Pilihan kedua...itu yang saya lakukan suatu ketika dulu. Sehingga kini, nyata ia bukan pilihan yang baik tapi masih terbaik daripada pilihan pertama!

Monday 5 December 2011

Rewang...Budaya Penuh Makna

Terasa lama menyepi diri dari dunia blog. Semuanya kerana tuntutan masa dan komitmen untuk kenduri kahwin adik ipar yang berlangsung semalam (Ahad) di Batu Pahat, Johor. Maaf tak menjemput korang, sebab ni majlis keluarga mertua.

Seawal hari Jumaat saya dan suami dah pun pulang ke Johor untuk membantu membuat persiapan kenduri kahwin. Hari Sabtu pula orang kampung sudah mula memenuhi luar dan dalam rumah untuk rewang. REWANG merupakan aktiviti bergotong-royong masyarakat Jawa dalam membuat persiapan untuk sesuatu kenduri. Yang perempuan di dalam rumah membuat kuih, mengupas bawang, membuat bunga manggar, menyediakan bunga telur dan lain-lain kerja lagi. Yang lelaki pula berada di luar rumah membuat persiapan di khemah khusus yang dipasang untuk memasak hidangan kenduri.

Sambil tangan buat kerja, mulut masing-masing rancak berbual sambil diselangi gurau senda dan ketawa. Memang meriah! Walaupun agak penat, tapi seronok dapat berjumpa saudara-mara yang biasanya cuma boleh berjumpa pada Hari Raya Aidilfitri je. Memang tak kering gusi kalau berborak dengan makcik-makcik sebelah suami saya ni...ada je usik-mengusik! Sambil tu bolehlah berkenalan dengan jiran sekampung yang datang. Di sinilah menguji kemahiran komunikasi seseorang...sekaligus mendedahkan ciri-ciri peribadi individu!

Melalui rewang juga, dapat meningkatkan kemahiran seni hias dan masak-memasak. Lebih-lebih lagi untuk saya yang tiada bakat dan kurang berminat untuk hal begitu! Asalkan kita sudi, ramai yang sedia memberi tunjuk ajar.

Rewang...ada seronok, ada kebaikan, walau ada penat!

p/s: Entri ni ditaip walau masih dalam mood penat dan terasa sakit badan mengemas selepas majlis habis. Dan saya sekarang masih lagi kat Johor...


Thursday 1 December 2011

Biar Gambar Bercerita #4






p/s: Cantik warna buah pisang ni kan! Tapi rasanya macam tak boleh makan, sekadar jadi hiasan. Saya jumpa masa berkunjung ke Sabah. Ada sesiapa yang tahu apa namanya? Berhajat nak tanam ia dilaman rumah suatu masa nanti.