Friday, 30 September 2011

Kenapa Aku...?



Kenapa aku sering diuji?
Firman Allah, maksudnya;
"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; 'Kami telah beriman', sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui yang manakah orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui siapakah orang yang dusta."
(Surah al-Ankabut: 2-3)

Kenapa aku tak dapat apa yang aku idam-idamkan?
Firman Allah, maksudnya;
"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, sesungguhnya Allah amat mengetahui sedang kamu tidak mengetahui."
(Surah al-Baqarah: 216)

Kenapa aku diuji ujian seberat ini?
Firman Allah, maksudnya;
"Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya."
(Surah al-Baqarah: 286)

(sumber: Majalah Solusi isu perdana)

p/s: Memang inilah soalan-soalan yang sering muncul difikiran kita, disaat hati merasa duka atas ujian yang menimpa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, pertanyaan kita semuanya dah pun dijawab dalam Al-Quran!

Thursday, 29 September 2011

Belajar Ber'Nuffnang'

logo

Setelah blogging selama beberapa bulan, sekarang baru terbuka hati nak pasang iklan Nuffnang.
Sebab semua blogger asyik cerita BE, cek dari Nuffnang...macam best je kan.
Jadi untuk lebih faham cerita-cerita mereka, saya pun pasang juga!

Asalnya saya tak suka pasang sebab rasa macam serabut je blog ada macam-macam.
Sebab saya tak suka masuk lama-lama blog yang ada terlalu banyak macam-macamnya..pening.
Lagi satu sebab kadang-kadang ada iklan yang tak sedap di mata saya.
Untuk yang ni, saya dah fikirkan penyelesaiannya.

p/s: Iklan nuffnang yang kat tepi tu saya dah pasang dekat seminggu. Yang kat atas baru je ni.

Blogger Ros Dalam Program Solehah, TV Hijrah.



Pernah dengar program realiti yang terbaru, SOLEHAH? Terbitan TV HIJRAH. Perasan tak yang salah seorang daripada 10 orang peserta adalah rakan blogger..adik Roros . Saya memang tak perasan sebab jarang buka tv pun. Sebab tulah sudah lama Ros menyepi dari dunia blog. Kalau tak dia memang rajin tinggalkan komen atau jejak kat blog saya ni. Rasa macam hilang sorang kawan pulak...

p/s: Saya pun tak berapa tau pasal SOLEHAH ni, kalau nak tau lebih lanjut KLIK pada banner di atas ya!


Wednesday, 28 September 2011

Gen-Q

 

Untuk adik-adik blogger yang berstatus REMAJA...
Akak nak promosikan majalah terbaru terbitan TELAGA BIRU ni.
Gen-Q = Generasi Al-Quran Kreatif.
Harga: RM7

Kenapa mesti beli?
Sebab majalah ni membimbing remaja untuk menjadikan Islam sebagai jalan hidup.

Sila klik pada gambar di atas untuk info lanjut.

p/s: Tak kenal maka tak suka, cuba beli dan baca dulu ya...

Tuesday, 27 September 2011

Pengikat Hati, Pengukuh Sayang!

Orang kata masakan isteri boleh menambat HATI suami,
Orang kata kilauan emas boleh memikat HATI isteri,
Orang kata bercuti boleh mengeratkan HATI ayah, ibu dan anak.

Semua di atas memang ada kebenarannya,
Tapi semua itu berlandaskan material..kebendaan.

Tips PENGIKAT HATI, PENGUKUH SAYANG paling mudah..
Dirikanlah solat berjemaah!
Carilah kesempatan waktu untuk melakukannya.
Bukan mencari alasan untuk tidak melakukannya.

Sebaiknya mulakan amalan solat jemaah seawal detik bergelar suami isteri.
Suami menjadi imam, isteri menjadi makmum.
Kasih sayang bertambah, pahala kerana berjemaah juga diraih!

Suami akan rasa lebih bertanggungjawab menjadi pemimpin keluarga,
Isteri akan lembut hati menerima pimpinan daripada suami.
Anak akan rasa disayangi dan mudah dilentur.

Hati-hati yang diikat dengan tali Allah...
Pastinya lebih teguh mengharungi hidup yang tidak sunyi daripada ujian-Nya!


p/s: Kalau rasa tak pandai jadi imam, belajarlah dari sekarang ya... Mula-mula memang rasa tak yakin, lama-lama okeylah tu!
Bagi yang belum biasa berjemaah dengan keluarga, jom mulakan hari ini!

Monday, 26 September 2011

Masak Lemak Cili Api Daging Salai dengan Mangga

(gambar dari google)

Hujung minggu lalu (semalam dan kelmarin) ada 5 undangan kenduri dan jamuan hari raya. Dalam banyak-banyak hidangan, yang paling menarik dan saya amat suka - MASAK LEMAK CILI API DAGING SALAI dengan MANGGA. Memang sedap dan membuka selera!

Walaupun berasal dari Johor, tapi disebabkan pernah tinggal selama lebih 9 tahun di Negeri Sembilan membuatkan saya gemar masakan dari sana. Semuanya bersantan..Rendang Maman, Masak Lemak Kayu dan segala jenis masak lemak cili apinya. Tapi yang selalu saya masak cuma Ayam Masak Lemak Cili Api. Sebab tu paling mudah, tak perlu salai apa-apa..tak perlu cari daun maman..tak perlu menghiris pelbagai jenis daun.

Bagi sesiapa yang rajin salai-menyalai dan nak cuba resepi ni..boleh ke web My Resipi.


p/s: Saya kalau makan masakan lemak cili api ni, mesti nak letak kuah banyak-banyak. Nasi sampai bertambah! Hmm..tapi kelmarin tak tambah pun sebab segan!

Friday, 23 September 2011

Tombo Ati

Tombo Ati iku limo perkorone
Kaping pisan moco Qur’an lan maknane
Kaping pindo sholat wengi lakonono
Kaping telu wong kang sholeh kumpulono
Kaping papat kudu weteng ingkang luwe
Kaping limo dzikir wengi ingkang suwe

Salah sawijine sopo iso ngelakoni
Mugi-mugi Gusti Allah nyembadani

Obat Hati ada lima perkaranya
Yang pertama baca Qur’an dan maknanya
Yang kedua sholat malam dirikanlah
Yang ketiga berkumpullah dengan orang sholeh
Yang keempat perbanyaklah berpuasa
Yang kelima dzikir malam perbanyaklah

Salah satunya siapa bisa menjalani
Moga-moga Gusti Allah mencukupi
 
Tajuk Lagu: Tombo Ati (Ubat Hati)
Nyanyian: Opick
(sumber dari ilirik.com)
*************************************************
Nasyid ni dalam dwi bahasa, iaitu Bahasa Jawa dan Bahasa Indonesia.Walaupun saya orang Jawa, saya tak memahami keseluruhan maksud lagu ini jika ia disampaikan hanya dalam Bahasa Jawa. Sebab Bahasa Jawa ni tak semestinya sama antara satu tempat dengan tempat lain.


p/s: Hati kalau tak diubati, lama-lama akan mati.
Segala kebenaran akan tertutup dengan gelapnya hati yang telah mati.

Thursday, 22 September 2011

Purdah

gambar hiasan dari google

Berpurdah...
Memang tidak wajib.
Juga tidak salah jika ingin berpurdah.

Yang salah jika yang memakainya...
Tidak berakhlak muslimah.
Berpurdah sekadar fesyen semata.

Yang silapnya pandangan kita terhadap si pemakai purdah...
Berbungkus macam hantu!
Bukan cantik sangat pun sampai tutup muka!
Itu kata-kata si penentang purdah.

Yang sepatutnya...
Biarlah mereka dengan pilihan mereka.
Kerana mereka memang menutup aurat.
Tak perlu lagi dikutuk dan dikata.
Andai purdah tak selari dengan akhlak...
Tegur saja secara empat mata.

Jangan kita menjadi masyarakat...
Yang menutup dikutuk,
Yang terdedah dibiarkan saja!

p/s: sesetengah orang berani menegur orang yang tak buat salah (berpurdah), tapi takut menegur orang yang buat salah (terdedah aurat). 
*eh..saya tak berpurdah ya.

Tuesday, 20 September 2011

Jangan Mengharap Ole-Ole...

Musim mengerjakan haji semakin menghampir.
Penerbangan pertama jemaah haji akan berlepas pada 29 September ini.

Di mana-mana orang sibuk mengadakan kenduri doa selamat sempena pemergian ke Tanah Suci.
Ramai juga yang berkirim hajat minta didoakan semasa di sana.
Tak kurang juga yang menghulur wang ringgit...
"Buat tambah-tambah belanja kat sana.." ayat yang biasa diucapkan.

Tapi ada juga yang mengharap huluran wang tadi...
Bertukar menjadi ole-ole dari Tanah Suci!
Semasa menghulur memang tiada kata-kata mengharap.
Tapi selepas kepulangan jemaah haji tadi...
"Beli apa aje kat sana? takde ole-ole ke?.."

Ingatlah...mereka pergi menunaikan ibadat haji,
Bukan pergi membeli-belah...bercuti-cuti.
Sebaik-baiknya hulurkan wang semata-mata kerana ingin memberi.
Jangan pula bertanya ole-ole sekembalinya mereka nanti!

Kalau ahli keluarga sendiri...
Elok juga kita berpesan supaya tak perlu membeli-belah untuk kita.
Mungkin kita boleh mengirim untuk dibelikan al-Quran / sejadah bagi diwakafkan di sana..
Itu lebih baik!


p/s: Tumpang gembira atas pemergian salah seorang kakak saya ke Tanah Suci pada 29 September ni. Tapi terasa sedih sebab entah bila pulak giliran saya untuk menjadi tetamu-Nya.

Monday, 19 September 2011

Tetamu Tidak Diundang


(lebih kurang beginilah rupa tupai yang masuk rumah saya tu..)

Kemunculannya mengejutkan,
Berlari-lari di siang hari,
Kadangkala di bilik, ruang tamu,
Paling kerap di dapur.

Pisang yang terletak di atas meja,
Seringkali menjadi santapannya.
Sebelum melangkah pergi,
Pasti ada 'sesuatu' ditinggalkannya...

Terkadang geram,
Jadi tukang cuci tanpa gaji.
Terkadang timbul kasihan,
Habitatnya telah musnah dek pembangunan.

Dialah tetamu tidak diundang...si TUPAI!


p/s: terpaksalah layan karenah si tupai ni, tak mungkin saya sentiasa nak tutup tingkap dan pintu rumah...sebab aliran udara penting untuk kesihatan!

Friday, 16 September 2011

SAKA: Warisan Yang Menyusahkan!

Memang bagus kalau ibu bapa atau datuk nenek kita ada meninggalkan warisan harta buat kita. Tapi memang menyusahkan kalau yang diwariskan adalah SAKA! Orang dulu-dulu kebanyakkannya mempunyai saka untuk menjaga kebun tanaman mereka, selain ada juga untuk tujuan perlindungan diri serta keluarga.

APA ITU SAKA? Saka bererti bahawa salah seorang daripada keturunan teratas kita seperti datuk, nenek, moyang, ibu atau bapa ada mempunyai jin atau mempelajari ilmu batin yang melibatkan jin. Jin ini kemudiannya akan berpindah kepada keturunan yang berikutnya apabila waris yang asal meninggal dunia. Ini berlaku apabila waris yang mati itu tidak sempat membuang ilmu yang diamalkan atau tidak membebaskan jin yang mendampinginya sebelum waris itu meninggal dunia. Kadang kala waris itu sengaja hendak memberi atau menghadiahkan ilmu atau jin itu kepada anak cucu yang telah dipilih sebelum dia meninggal dunia.

HUKUM MEMPUNYAI SAKA adalah berdosa. Kerana kita hanya boleh memohon pertolongan daripada Allah semata, bukan daripada jin.

Berdasarkan pengalaman sebenar, orang yang mempunyai saka ini sukar untuk meninggal dunia. Sukar bagaimana? orang ini sudah terlantar sakit bertahun-tahun tetapi tidak sembuh atau tidak juga meninggal dunia. Tapi bukan semua orang yang terlantar sakit bertahun tu ada saka ya! Dia akan meninggal setelah saka tersebut mendapat tuan yang baru atau setelah dia bersetuju untuk membuang sakanya.

Proses membuang saka pula melibatkan bacaan ayat-ayat suci keatas orang yang mempunyai saka dan barang yang menjadi simbolik kepada saka tadi perlu dimusnahkan. Barang tersebut seperti keris, cincin, duit syiling dengan simbol pelik dan sebagainya. Biasanya waris memang tidak mengetahui barang-barang ini, jadi si empunya saka perlu memberitahu sendiri apa barangnya dan di mana tersimpan. Insyaallah setelah menjalani proses ini, dia dapat meninggal dengan mudah.

Untuk info lanjut dan rawatan, boleh layari Syifa Al-Hidayah. Juga boleh layari Darussyifa' untuk rawatan dan ayat pendinding dari gangguan jin.

Thursday, 15 September 2011

Di-Bawah Alunan Ombak


Tajuk: Di-Bawah Alunan Ombak
Penulis: A. Rashid Bin Ngah
Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka
Harga: $2.00
Mukasurat: 137

Satu lagi novel sejarah yang ada dalam simpanan saya. Saya jumpa buku ni sewaktu mengemas rak buku di kampung saya di Johor. Keadaannya agak usang namun masih boleh dibaca.

Buku ini diterbitkan kali pertama pada Januari 1961, bermakna ia hasil penulisan 50 tahun lalu! Manakala buku yang ada dalam simpanan saya ini merupakan hasil cetakan kelapan, iaitu pada tahun 1970. Ini bermakna ia telah berusia 41 tahun! Sesuai dengan zaman sewaktu ia diterbitkan, buku ini menggunakan bahasa Melayu lama.

Novel ini menceritakan pengalaman penduduk-penduduk di kawasan Pantai Timur semasa dalam pemerintahan Tentera Jepun, iaitu sewaktu Perang Dunia Ke-2. Jalan ceritanya memang mudah, tetapi sarat dengan gambaran pengalaman penderitaan hidup pada masa tersebut. Memetik kata-kata Pengarah DBP pada masa itu iaitu Syed Nasir Bin Ismail, "Dan yang mustahak sa-kali buku ini menanamkan beneh kebenchian terhadap perang, di-samping menyuborkan bibit keberanian dan ketabahan dalam dada anak2".

Sedikit petikan daripada novel ini:
Sa-bentar lepas itu, meletup-lah bedilan menghujani matalamat-nya; hebat dan mengerikan. Rasa2-nya dekat benar penembakan itu berlaku. Kami menutup muka dan menyembam ka-tanah. Tidak lama bunyi-nya menghilang pula dan aku agak tentu-lah Pulau Kambing yang di-bom-nya.


p/s: entah kenapa, akhir-akhir ni saya suka baca kisah sejarah. Mungkin umur dah bertambah, takkan masih nak baca kisah misteri dan cinta je kan!

Wednesday, 14 September 2011

Shamsiah Fakeh: Pejuang, Pemimpin dan Perempuan


Tajuk:
Shamsiah Fakeh : Pejuang, Pemimpin dan Perempuan
Penulis: Azzah AR
Penerbit: PTS Litera Utama S/B
Harga: RM20 (Semenanjung M'sia)
Muka surat: 265


Hujung minggu lalu saya sempat ke kedai buku Popular. Niat di hati sekadar nak tengok-tengok buku terbaru di pasaran. Tapi bila terpandangkan buku ni, rasa ingin membacanya pulak. Ingin mengenali lebih dekat siapa Shamsiah Fakeh (SF) yang sebenarnya. Tambahan lagi sekarang sedang hangat mengenai isu Mat Indera dan PKM (Parti Komunis Malaya).

Secara ringkasnya, buku dalam bentuk novel sejarah ini menceritakan kembali detik-detik bagaimana SF anak kelahiran Kuala Pilah, Negeri Sembilan membesar sehinggalah dia melibatkan diri dalam perjuangan menuntut kemerdekaan dari British. Bermula dengan penglibatan dalam PKMM (Parti Kebangsaan Melayu Malaya), kemudian AWAS (Angkatan Wanita Sedar), akhirnya menyertai PKM dan kemudiannya tersingkir dari PKM. Ketabahan SF sebagai seorang perempuan dalam menghadapi pelbagai rintangan hidup sebagai pejuang amat mengagumkan saya.

Sebagai rakyat Malaysia, ini merupakan antara buku yang perlu kita baca. Biarpun tiada dalam buku teks sekolah, perjuangan SF tetap ada dalam lipatan sejarah. Jika selama ini kita hanya dihidangkan dengan hitam perjuangannya, buku ini akan memaparkan sisi putih SF sebagai seorang pejuang kemerdekaan.

p/s: Ini bukan entri politik atau hasutan. Tapi sekadar berkongsi ringkasan buku yang telah saya baca dan pendapat mengenainya. Semua orang ada pendapat masing-masing bukan?

Monday, 12 September 2011

Salam, Pandang, Senyum!

(gambar dari google)

Bersalaman...
Memang perkara biasa dan mudah.
Terlalu biasa dan mudah...
Hingga ramai yang AMBIL MUDAH!

Bersalaman...
Tanda persaudaraan dan kemesraan.
Pancaran keikhlasan dan kegembiraan.

Bila bersalaman...
Perlulah saling bertentang mata.
Biar pandangan mata yang berbicara,
Lalu kemesraan meresap ke dalam hati.

Bila bersalaman...
Ukirkan senyuman di bibir,
Biar manisnya senyuman itu nanti...
Melakar bahagia di hati yang memandang.

SALAM, PANDANG & SENYUMLAH...
Tanpa sepatah kata, kita boleh membuat orang gembira!


p/s: Memang biasa terjadi, tangan bersalaman dengan Cik Pah..mulut tengah becok bercakap dengan Cik Kiah. Perbuatan macam ni, boleh buat Cik Pah terasa hati tau. Dari dapat pahala, langsung dapat dosa. Jadinya belajar-belajarlah berhenti bercakap seketika..lepas salam boleh sambung cakap lagi kan!

Saturday, 10 September 2011

Setem Malaya

Disebabkan masih dalam suasana Hari Kemerdekaan, saya teringat pada setem-setem Malaya yang ada dalam simpanan saya. Memang sikit, tapi amat berharga.


Setem 4 sen- Singapore Malaya

 
Setem 6 sen- Federation of Malaya

 
Setem 10 sen- Malaya (Selangor)


Setem 50 sen- Malaya (Johore)


Friday, 9 September 2011

Kak Diana Review Blog Saya!

Bulan lepas saya ada join segmen 'Review Blog',
anjuran Kak Diana.

Dan semalam blog saya ni sudah pun kena review.
KLIK DI SINI jikalau nak membaca komen dan saranan Kak Diana.

Terima kasih ya kak!
Adanya segmen begini, bolehlah kita tahu pandangan orang pada blog kita.

Thursday, 8 September 2011

Puasa Enam : Puasa Qadha

Bulan Syawal ni disunatkan kita berpuasa selama 6 hari. Cuma yang sering jadi persoalan (terutamanya kaum perempuan), mana perlu didahulukan..Puasa Enam atau Puasa Qadha (ganti)? Atau boleh digabungkan kedua-duanya?

Sebenarnya ada beberapa pendapat yang berbeza oleh para Ulama' mengenai persoalan di atas. Tetapi ia bukanlah satu masalah kerana perbezaan pendapat terhasil daripada tahap kefahaman yang berlainan.

Sejak dulu saya berpegang kepada pendapat bahawa tidak boleh menggabungkan Puasa Enam dengan Puasa Qadha. Saya juga berpegang kepada pendapat bahawa Puasa Qadha perlu dilaksanakan terlebih dulu sebelum melakukan Puasa Enam. Ini kerana Puasa Qadha merupakan hutang yang wajib dilunaskan, sedangkan Puasa Enam hanya amalan sunat. Disebabkan ajal maut boleh menjemput kita pada bila-bila masa, maka yang wajib amat perlu dilakukan terlebih dahulu sebelum yang sunat.
 
*Untuk huraian lebih lanjut, boleh layari zaharuddin.net sebagai rujukan mengenai persoalan di atas.*
 
p/s: Para isteri bolehlah pakat berpuasa bulan Syawal ni dengan suami..isteri Puasa Qadha, suami Puasa Enam! Kalau berkesempatan, isteri boleh terus Puasa Enam juga.

Thursday, 1 September 2011

Lepat Kacang Merah

(sila klik untuk lebih jelas)

Selain ketupat, lepat kacang merah ni merupakan antara menu wajib pada hari raya di rumah keluarga mertua saya. Ia diperbuat daripada beras pulut yang digaul bersama kelapa parut, kacang merah dan garam. Kemudian bolehlah direbus bersama ketupat seperti biasa.

p/s: Saya rekodkan cara membuat lepat ni sebab saya pun masih belajar membuatnya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...