Sunday, 31 July 2011

Segmen Berpuasa Di Bulan Ramadhan Bersama Adin!


Ni kali pertama saya nak join segmen.
Segmen ni dibuat oleh Adin.
Rasa macam tertarik sebab ia mengenai bulan puasa.
Soalan-soalan yang perlu dijawab untuk segmen ni...

Target puasa korang berapa hari?
Mestilah nak puasa penuh, leceh nak menggantinya tau. Lagipun sebagai muslim kita memang wajib berpuasa, kecuali ada keuzuran.

Fevret makanan ketika berbuka?
Mesti ada air yang sedap & sejuk. Paling sedap air tebu! 
Makan..kuih-muih atau masakan berasaskan mi. Nasi berlauk paling tak suka makan masa berbuka.

Kata-kata semangat untuk blogger yang berpuasa:
Ni bukan untuk yang berpuasa je, mereka yang layak tapi saja-saja malas berpuasa pun kena menghayati firman Allah ni:

"Wahai orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu, agar kamu bertakwa." (Surah al-Baqarah, 2:183)

Mudah je kan? Yang menciptakan kita dah keluarkan perintah berpuasa, kenalah ikut perintah sebagai tanda bersyukur. Ibarat mak yang melahirkan kita, kalau mak minta buat sesuatu mestilah wajib taat! Kalau tak taat..durhaka namanya!


Buat semua...
SELAMAT MENJALANI IBADAT DI BULAN RAMADHAN!

Friday, 29 July 2011

Kundasang & Kinabalu Park

Sekian lama saya memasang angan untuk ke Sabah (kerana keindahan alam semulajadinya), akhirnya tercapai. Persediaan awal seperti menempah hotel dan mencari info menerusi web & blog dibuat beberapa minggu sebelum pergi.

Penerbangan menaiki pesawat Air Asia dari LCCT ke Terminal 2, Kota Kinabalu (KK) mengambil masa kira-kira 2 1/2 jam. Tiba di sana kita akan mendapat pas lawatan yang mesti disimpan untuk dikembalikan semasa meninggalkan Sabah. Masa ni memang terasa macam rakyat asing pulak! Lepas tu jangan lupa ambil peta Sabah yang disediakan percuma berhampiran tempat mengambil bagasi.

Dari situ perjalanan diteruskan ke Kundasang dengan menaiki kereta sewa- Saga (manual), walaupun pada awalnya suami telah pun menempah kereta Saga (auto). Disebabkan masalah tersebut, kami ditawarkan kadar RM150 untuk penggunaan sehingga jam 4 pm esok harinya (28 jam). Kadar biasa bagi Saga (auto & manual) adalah RM130 untuk tempoh 24 jam. Kereta yang kami naiki luar dan dalam masih cantik & baru, cuma enjin berbunyi sedikit bising. Maklum saja dah digunakan oleh ramai orang. Yang bagusnya, kereta ni dihantar secara percuma ke Terminal 2 ni. Tidak seperti beberapa pengendali lain yang mengenakan caj RM30. Ada yang minat? Hubungi En. Wan 016-552 5327.

Sebelum meneruskan perjalanan, kami mengisi petrol RM40 di KK (dan ianya sangat cukup sehingga kami kembali ke KK). Untuk ke Kundasang, kami mengikut arah tanda ke Tuaran, kemudian ke Ranau. Perjalanan pada awalnya lancar, tetapi menjadi perlahan setelah memasuki laluan berbukit kerana berada di belakang beberapa buah lori dan treler.




Pemandangan di Kundasang.
Setelah melalui perjalanan selama 2 1/2 jam, kami tiba di tempat penginapan iaitu Kinabalu Pine Resort. Resort ni dipilih kerana kebanyakkan blogger mencadangkannya, selain harganya yang masih mampu bayar. Sebaik saja melangkah ke sini, pandangan mata terpesona dengan keindahan resort dan landskapnya. Ditambah pula dengan landskap semulajadi Gunung Kinabalu yang melatari resort ini, memang cantik..Maha Suci Allah!

KINABALU PARK
Selesai urusan di resort, kami bergerak ke Kinabalu Park yang terletak kira-kira 12 minit pemanduan. Bayaran masuk RM3 untuk dewasa.


*PERHATIAN: Tiket ni sah untuk sehari ke semua destinasi dlm. taman yang sama.
Jadi, jangan bayar lagi jika ke Poring Hotspring.

Rancangan awal nak masuk Botanical Garden terbatal sebab sudah pun di tutup. Kami sampai sana sudah melewati jam 4 pm. Jadi kami terus saja ke Timpohan View yang terletak kira-kira 3 km dari pintu utama. Pemanduan kadang-kala sedikit sukar kerana menggunakan kereta manual dan keadaan jalan yang menaik.

Timpohan View
Udara di Timpohan View sangat sejuk. Angin bertiup agak kuat, ditambah pula dengan hujan renyai-renyai. Suhu yang sempat dicatatkan ketika itu 20.4 darjah celcius (suhu diambil menggunakan jam tangan dengan fungsi catatan suhu). Disebabkan kabus sudah bergerak menutupi puncak Gunung Kinabalu dan sekitarnya, tiadalah rezeki kami untuk menyaksikan keindahannya dari situ.

Antara pemandangan dari Timpohan View.
Dari Timpohan View, kami bergerak ke atas lagi untuk ke Timpohan Gate. Ia merupakan satu daripada pintu masuk bagi para pendaki untuk mendaki Gunung Kinabalu.


Tak mampu mendaki, dapat bergambar kat sini pun ok!

Pendakian bermula di laluan ini...
Dulu..saya memang ada keinginan untuk mendaki Gunung Kinabalu. Tapi bila usia melewati angka 30, sudah lama pulak meninggalkan aktiviti pendakian..akhirnya tahap keinginan menurun. Sekarang..dapat sampai ke Timpohan Gate pun dah bersyukur!

Kami kemudian naik ke pelantar untuk menikmati suasana di sini dan mengambil gambar. Angin di sini lebih kuat dan suhu lebih sejuk...suhu terendah yang sempat dicatatkan adalah 16.8 darjah celcius. Memang menggigil!


KINABALU PINE RESORT
Udara malam di sini sangatlah sejuk! Angin bertiup kencang sampaikan pintu bilik selalu bergegar dilanggar angin. Mujurlah makan malam sudah termasuk dalam pakej penginapan, tak perlu lagi meredah dingin malam untuk mencari makanan di pekan Kundasang atau Ranau (yang terletak agak jauh).

Terkejut masa tengok set hidangan ni..punyalah banyak! Sup cendawan, kari ayam, ikan masak sambal, baby kailan dan sawi. Rasanya? okeylah! Sampai kenyang saya makan..
 
Set hidangan utk. dua orang..tapi cukup utk. 3-4 orang!

Lepas makan, kami balik bilik berehat sebab esok nak berpagi-pagian lagi. Suhu dalam bilik mencecah 21 darjah celsius tanpa aircond mahupun kipas!


*Entri seterusnya..ke Poring Hotspring & Canopy Walkway.

Thursday, 28 July 2011

Terima Kasih Diana Rashid!


Harini blog saya pakai header. Biasa kosong je kan.
Sebenarnya header ni dihadiahkan oleh Kak Diana.
Sebenarnya juga, saya memang tak pandai buat.

Header ni simple, sesuai dengan saya yang sangat simple orangnya.
Kehadirannya menyerikan blog saya.

TERIMA KASIH tak terkira buat K.Diana yang sudi memberi!
Saya sangat menghargai dan terharu...
MAAF kerana lambat baca mesej pasal header ni.
Malu pun ada..sebab tiada header, sampai orang kena 'sedekah'!

Lepas ni saya kenalah pandai dan rajinkan diri belajar buat header kan..

Friday, 22 July 2011

Pengaruh JB

Justin Bieber
Saya sebenarnya tak tau pun pasal kewujudan budak bernama Justin Bieber ni.
Sehinggalah beberapa bulan lalu dia mengadakan konsert di Malaysia.
Sampai ada kawan suami saya ni, siap beli tiket untuk sama-sama menemankan anaknya menonton konsert!
Anaknya sekolah rendah je tau..yelah anak orang KL..

Tapi memang kuat pengaruh JB ni,
Jangan kata budak sekolah rendah kat KL,
Anak sedara yang di Pontian, Johor pun tergila-gilakan si JB ni.
Usia baru 11tahun dah sibuk buat blog khas pasal JB!
Pening emaknya...

Yang bersekolah di luar bandar pun ada caranya sendiri,
Internet memang tiada, majalah hiburan pulak jadi rujukan,
Bukan majalah beli, tapi kawan-kawannya yang bagi,
Sibuk menulis pada buku sekolah..ingatkan sibuk buat kerja sekolah,
Rupanya asyik buat buku tentang JB!

Kesimpulannya..pengaruh begini kita boleh sekat di rumah,
Tapi bila budak-budak ni bergaul dengan kawan-kawan di sekolah...
tiadalah upaya kita mengawalnya.
Cara terbaik..jangan marah, beri sedikit kebebasan kepada mereka,
dalam masa sama..bawa mereka faham kenapa kita tak patut fanatik pada artis.

Suka? Tiada masalah. Berlebih-lebihan jangan sekali!

p/s: dalam beberapa hari akan datang, saya 'cuti' blogging sebab nak ronda-ronda di KK, Sabah. Ni bukan persediaan Ramadhan, kebetulan ni saja masa yang sesuai.

Thursday, 21 July 2011

Keropok Lekor & Nombor Giliran

Kelmarin suami saya yang baru balik dari Terengganu membelikan keropok lekor. Biasalah tu, ole-ole dari sana. Tapi yang luar biasanya, para pelanggan perlu ambil nombor giliran untuk membeli keropok lekor! Jadi tak perlu kita beratur lama-lama, boleh santai sementara tunggu giliran.

Dulu-dulu pergi masih macam biasa je, sekarang tuan kedai dah ambil inisiatif untuk mengatasi masalah pelanggannya yang terlalu ramai.


lepas 26 org. baru la sampai giliran...

Kedai ni terletak berhampiran Lapangan Terbang di Kuala Terengganu. Dah beberapa kali membeli di sini, rasanya tetap sama..sedap! Rangup di luar dan lembut di dalam. Sebab tu ramai pelanggan datang walaupun terpaksa menunggu lama.

Tuesday, 19 July 2011

Nampak Kaki...

Hari ni nak cerita pasal perempuan yang solat tapi nampak kaki.
Lelaki nampak kaki tak apa ya..
Sebab saya selalu betulkan kain orang yang sedang solat, tapi nampak kaki masa mereka sujud.
Harap-harap ada orang yang tolong saya juga kalau-kalau ia berlaku pada saya.

Pertama yang perlu faham, tak sah solat kalau tak menutup aurat.
Aurat? Seluruh badan kecuali muka dan tangan (dari pergelangan).
Jadi kalau terbuka atau ternampak aurat tadi, solat jadi tidak sah...
Kalau tak tau atau tak perasan, tak apa.
Tapi kalau tau atau ada orang bagitau, kena solat semula ya!

Untuk mengelakkan nampak kaki masa sujud,
Boleh pakai stokin yang tebal (bukan skin sock),
atau pakai kain yang cukup panjang dengan kita.
Paling senang beli je Kain Batik Solat tu.
Di Mydin pun ada jual.

Ingatan ni pun untuk diri sendiri juga, yang selalu cuai dan lalai...

p/s: terkenang masa di asrama..semua orang mesti solat berjemaah. Jadi tiada siapa boleh betulkan kain kita kalau terselak. Lepas bagi salam, ada yang bagitau tadi nampak kaki..arghh..kena solat semula!

Sunday, 17 July 2011

Hotel Yang Seram

Sekitar tahun 2009, saya sering mengikut suami outstation ke Kedah, Pulau Pinang, Terengganu, Kelantan dan Pahang. Jadi banyaklah hotel dan resort yang kami duduki sepanjang bertugas di tempat-tempat tersebut. Berikut merupakan hotel yang telah membuat kami seram! Begini ceritanya..

Sebuah Hotel di Kota Bharu, Kelantan.
Masa tu sampai KB sudah malam, kereta kami berlegar-legar sekitar KB untuk mencari hotel. Terpandang satu banner bertulis "Promosi Hari Lahir Bulan Julai..Family Suite dengan harga RM98"..lebih kurang macam tu lah ayatnya. Kebetulan suami lahir bulan Julai, dengan sukanya kami cepat-cepat menuju masuk hotel untuk check-in. Luaran hotel nampak menarik, ada bangunan sendiri, meyakinkan!

Sampai kaunter, ada seorang saja staff bertugas. Lobi hotel tiada seorang pun yang kelihatan, senyap sepi je. Pelik! Tapi kami teruskan daftar, bayar dan ambil kunci. Masuk lif..makin seram. Lif sempit cukup-cukup untuk kami berdua yang tak besar mana pun. Lampu lif pulak sentiasa berkelip-kelip macam nak off. Masa tu kami dah saling berpandangan dengan muka semacam. Takut!

Keluar pintu lif lagi terkejut, disambut dengan bunyi bising orang bertukang..wiring. Sepanjang laluan terdapat perabot-perabot yang dah buruk dan rosak. Tiba-tiba muncul seorang staff sambil tersenyum. Bila ditanya, jawabnya.."oh..kami sedang baiki bilik yang rosak".

Kejutan paling besar menanti kami...sebaik saja melangkah masuk ke bilik Family Suite tersebut. Bilik memang besar, tapi keadaan perabot dan bilik sangat-sangat buruk dan menyedihkan. Betul-betul macam scene cerita seram! Perabot memang buruk dan ada yang tanggal, dinding bilik terkopek dan ada kesan kotor hitam..pendek kata memang kami rasa seram. Suami terus mintak tukar bilik lain.

Selepas berhubung dengan walkie-talkie, staff tadi membawa kami ke sebuah bilik lain. Mengejutkan, keadaan bilik ni pun sama saja dengan bilik yang tadi. Kami terdiam. "Semua bilik kat sini memang macam ni. Kami sedang baiki." terang staff tersebut. Keputusan diambil, "Maaf, tak jadi tinggal di sini."

Maka malam tu puaslah kami bertekak dengan staff dikaunter untuk mendapatkan semula wang kami. Alasan kukuh, hotel tersebut cuba menipu kami dengan tawaran promosi! Akhirnya setelah berurusan dengan senior staff, setelah hampir sejam barulah kami berjaya mendapatkan kembali duit tersebut! Dan sepanjang masa tu, memang tidak kelihatan guest lain di hotel tersebut...

Opss..hotel ni seram bukan kerana 'gangguan halus', tapi kerana keadaannya yang tak layak dipanggil 'hotel'.

Moral cerita: Jangan mudah tertarik dengan tawaran yang sangat bagus!

Friday, 15 July 2011

Hobi Zaman Dulu



Soalan: "Apa hobi awak?"
Jawapan: "Hobi saya melayari internet, main game, facebook"
Ini adalah jawapan biasa dan terkini bagi kanak-kanak, remaja mahupun yang dewasa!

Kalau ada yang jawab "Oh, hobi saya mengumpul setem".
Mesti kena ketawa.."Hah..kumpul setem? Buat apa?!".

Tapi rasanya takde kanak-kanak atau remaja sekarang yang jawab hobinya mengumpul setem. Saya ada lebih 20 orang anak saudara, tapi tiada seorang pun yang ada 'hobi zaman dulu' ni. Yang ada hobi ni pada masa sekarang cuma orang-orang dari zaman dulu...macam saya! Pada usia awal 30an ni saya masih berminat mengumpul setem. Berkongsi minat dengan beberapa orang kakak saya yang sudah tentu lebih 'zaman dulu' dari saya.


 'miniature stamp' yang unik sebab bentuk no 1.

Seiring dengan masa sekarang, cara nak mendapatkan koleksi setem pun dah berubah. Sejak beberapa tahun lalu, saya mendapatkan koleksi terbaru secara terus melalui Bahagian Filateli, Pos Malaysia dengan melanggan SODA (Standing Order Account). Kalau ada yang berminat boleh layari Bahagian Filateli ni.

Thursday, 14 July 2011

FLORIA 2011

Ahad lepas saya berkesempatan ke Floria 2011. Walaupun cuaca sedikit mendung dan kemudian hujan turun renyai-renyai, tapi tetap ramai yang datang berkunjung. Di bawah ni saya nak kongsi sedikit gambar sekitar Floria 2011.


Ringkas tapi menarik..

Gubahan bunga dari New Zealand.

Menariknya replika ni sebab betul-betul ada sepasang angsa kat situ.


Antara flora yang menarik perhatian...

Kalau nak kelainan, datanglah sebelah malam sebab ada Perarakan Boat Berhias dan Pertunjukan Bunga Api.

Tuesday, 12 July 2011

'Followers' Ku Halimunan?

Opss..jangan salah sangka ya. Bukan kawan-kawan yang follow blog ni jadi halimunan, tapi kotak 'Followers' tu. Sejak semalam 'Followers' kat blog saya ni tak kelihatan. Samada dah ghaib atau jadi halimunan. Tapi rasanya halimunan. Dah cuba remove kemudian add semula, pun tetap sama. Cuba clear history..pun tak jalan.

Bila saya buka blog kawan-kawan yang lain, pun saya tak dapat melihat kotak 'Followers' tu. Rasanya masalah browser, tapi dah tak tau nak selesai  macamana. Buat masa ni saya follow kawan-kawan ikut cara kedua - melalui Dashboard.

Kalau ada yang tahu, tolong bantu saya ya!

Monday, 11 July 2011

Buku...Masih Baca?

Dulu...saya gemar baca buku.
Saya baca pelbagai jenis buku,
Buku cerita, buku agama, buku politik, buku...
Pendek kata segala jenis buku!

Luas pengetahuan sebab baca buku,
Tajam pemikiran sebab baca buku,
Mampu bercerita apa saja sebab baca buku,
Hilang rasa bosan sebab baca buku!

Sekarang...masih baca buku?
Sekarang dah kurang membaca buku.
Sekarang teknologi internet ganti buku.
Sekarang facebook, blog buat kita lupa buku!

Hakikatnya internet dan buku,
Kedua-duanya sama perlu,
JOM LUANGKAN MASA BACA BUKU!

Friday, 8 July 2011

FLORIA Datang Lagi.

Floria 2011 (Putrajaya Flower & Garden Festival) akan diadakan mulai esok (sabtu) 9 Julai 2011 sehingga 17 Julai 2011. Setiap tahun ada tema, kali ni temanya "Roses Are Forever". Kalau nak tahu lebih lanjut KLIK SINI.

Kat bawah ni ada sedikit gambar yang diambil masa saya ke Floria 2010. Bunga bagi tema masa tu adalah Heliconia.


cantik bunga warna biru tu..

Heliconia Stairway To Heaven sp.




Ada banyak lagi bunga yang cantik-cantik, kalau berkesempatan tak rugi berkunjung. Mata rasa segar, hati rasa seronok, ilmu pun bertambah. Kalau nak beli pulak, boleh berkunjung ke booth jualan.

Thursday, 7 July 2011

Jiran Oh Jiran!

Jiran sepakat membawa berkat.
Jiran yang tak sepakat, boleh buat nafas tersekat!

Tiada masalah jika nak buat ubahsuai rumah.
Rumah masing-masing, ikut suka masing-masinglah.
Cuma adab berjiran mesti kena jaga.
Bagitau jiran yang terlibat dan minta izin..sebagai tanda BERADAB.

Proses ubahsuai tu pulak janganlah ambil masa terlalu lama..
Berbulan-bulan sampai jiran sekeliling tension.
Hari-hari bunyi orang bertukang..
Lagi melampau bising..bunyi 'siput' bancuh simen.
Hari minggu nak berehat, pun bertukang jugak!

Kalau ikut hati boleh jadi gaduh dengan jiran macam ni.
Tapi sebab ikut agama, BERSABAR paling baik!
Selagi tak terlalu melampau..sabar je.
Lagipun bukan bertahun proses ubahsuai rumah,
Berbulan je...sabar, sabar, sabar!
Orang sabar ada ganjaran dari-Nya.

Tuesday, 5 July 2011

Penipuan Menerusi E-Mail..AWAS!

Topik biasa, hampir basi tapi masih ada yang percaya! Disebabkan saya ada menjalankan bisnes online, maka alamat e-mail untuk bisnes tersebut memang saya dedahkan kepada umum. Tetapi risiko dan kesannya, saya mendapat banyak e-mail berbentuk penipuan (scam).

Di sini ada tiga contoh e-mail penipuan yang saya terima sebagai panduan anda di luar sana.


Penipuan bank- PENTING! Anda mesti tahu bahawa pihak bank tidak akan sekali-kali mengirim e-mail yang ada pautan (link). Setiap urusan mesti terus ke laman web rasmi sahaja atau hubungi bank untuk pengesahan.

Tak masuk akal- tak kenal tapi minta uruskan harta!

Paling lawak- jadi waris terdekat la pulak! Hal penting macamni mana logik hantar guna e-mail je.
Walaupun ramai diantara kita yang tak layan e-mail sebegini, namun masih ada yang cuba layan dan akhirnya tertipu (seperti yang selalu dipaparkan kat berita/akhbar). Jadi, berhati-hatilah pada e-mail yang menawarkan 'wang besar', yang tak masuk akal atau daripada orang yang kita tak kenal!

Saturday, 2 July 2011

Gaya Bertudung...Moden atau Konservatif?

Sekarang ada macam-macam gaya bertudung,
Ada yang lilit di leher, ada juga yang perlu dipusingkan, ada yang bersanggul palsu!
Juga ada macam-macam jenis tudung untuk digayakan,
Ada selendang, tudung syria, tudung sarung, bawal...

 

-sekadar gambar hiasan-

Memang berlambak jenis tudung dan gaya yang tersedia,
Daripada semurah RM5 sehingga beratus RM,
Yang tiada jenama hinggalah jenama terkemuka,
Pilihan memang di tangan kita.

Tapi saya memang KONSERVATIF,
Tak berubah..itu yang selalu orang kata bila jumpa saya!
Sebab saya masih memakai tudung gaya lama,
Sekadar dicekak (cuff) pada bahagian hujung tudung!
Tudung pulak jenis empat segi biasa je,
Saya rasa selesa begitu...
Tapi sekali sekala bertukar gaya pun bagus jugakan...

Tak kisahlah apa pun gaya saya..gaya anda semua,
Asalkan masih dalam ciri-ciri menutup aurat.
Labuh ke bahagian dada, tidak jarang dan...
tak menonjolkan sanggul samada rambut asli atau palsu!

Friday, 1 July 2011

Bermasalah Untuk Sign In Blogger.com?

Semalam saya memang bermasalah dengan Blogger.com ni. Mula-mula cuma tak boleh nak 'insert image' pada 'new post'. Lepas tu langsung tak boleh nak 'sign in', yang keluar 'BAD REQUEST'. Dah malam baru terfikir nak cari jawapan...lalu menemukan saya dengan blog Mira Edora ni. Dia ada buat post cara nak selesaikan masalah saya.

Alhamdulillah, saya dah boleh sign in! Caranya mudah je..clear browsing history! Terima kasih Mira...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...